Anda di halaman 1dari 2

Perutusan Pengarah Pelajaran Perak Sempena Hari Guru 2013

Tn. Hj. Muhamat Roli Bin Haji Hassan, P.M.P, A.M.N, A.M.P Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia dan Salam Perak Aman Jaya. Alhamdulillah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran Ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan izin dan limpah kurnia-NYA kita sama-sama diberi kesempatan meraikan sambutan Hari Guru Tahun 2013. Saban tahun tanggal 16 Mei kita menyambut Hari Guru sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan yang tidak terhingga terhadap jasa, pengorbanan dan sumbangan besar para guru. Peranan guru dilihat menjadi amat penting dalam memastikan kejayaan individu dan pencapaian matlamat pendidikan negara apatah lagi dalam menjayakan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara (PPPM) 2013-2025. Hal ini bertepatan dengan tema sambutan Hari Guru pada tahun ini iaitu Guru Malaysia 1 Aspirasi 1 Agenda. Menjadi tanggungjawab guru-guru khususnya di negeri Perak untuk sama-sama menghayati dan merealisasikan tema pada tahun ini yang menfokuskan kepada melahirkan murid-murid yang mempunyai enam aspirasi iaitu berpengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional. Dalam konteks tema sambutan Hari Guru pada tahun ini, 1 Aspirasi membawa maksud menterjemahkan cita-cita murni Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ke arah sistem pendidikan negara yang memastikan akses kepada kejayaan, kualiti pendidikan bertaraf antarabangsa, kesaksamaan untuk semua murid tanpa mengira kedudukan geografi, jantina atau latar belakang sosioekonomi, memupuk perpaduan dan memaksimumkan keberhasilan murid mengikut peruntukan sedia ada. Manakala 1 Agenda pula membawa pengertian semua guru berpegang pada satu agenda iaitu memastikan kejayaan PPPM dan perlunya berpegang teguh kepada etika profesion keguruan, yang mempunyai satu agenda atau tugas utama dalam melahirkan murid seimbang berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Saya amat berharap guru-guru di negeri Perak ini sentiasa bersedia dan berusaha gigih untuk memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda besar Transformasi Pendidikan Negara. Sebagai guru kita sewajarnya mengikuti dengan penuh minat setiap perkembangan yang berlaku berkaitan Transformasi Pendidikan Negara khususnya PPPM agar kita tidak ditelan gelombang yang sedang membadai. Di samping itu komitmen tinggi seluruh warga pendidik ditanggih agar kita berjaya melaksanakan segala perancangan yang dibuat untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan di negeri Perak. Dalam hal ini saya telah

menggariskan 9 perkara yang perlu diberikan perhatian oleh kepimpinan sekolah dan semua guru di negeri Perak iaitu: 1. 2. 3. 4. 5. 6. 7. 8. Meningkatkan band sekolah sekurang-kurangnya 1 band dan sifar band 5, 6 dan 7. Memantapkan keupayaan pentadbir (Kepimpinan Instruksional). Memantapkan pelaksanaan Headcount di peringkat JPN, PPD, sekolah dan panitia. Memastikan kelas peperiksaan diajar oleh guru opsyen. Melaksanakan tindakan intervensi mengikut potensi murid. Memanfaatkan khidmat bimbingan daripada Guru Cemerlang. Memperkasa pedagogi guru mata pelajaran kritikal. Menambah bilangan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) dan penerima Anugerah Tawaran Baru (New Deal). 9. Memastikan sekolah berada dalam kesiapsiagaan.

Dalam mencapai hasrat di atas saya berharap semua guru di negeri Perak melaksanakan kerja bertaraf kelas pertama. Sesuatu hasil kerja bertaraf kelas pertama bukan sahaja memberikan kebaikan kepada pekerja itu sendiri tetapi juga kepada masyarakat di sekitarnya. Dalam dunia pendidikan, hasil kerja bertaraf kelas pertama menjadi impian dan harapan Kementerian Pelajaran Malaysia. Untuk mencapai mutu kerja kelas pertama, sesuatu yang perlu dilakukan ialah budaya kerja kelas pertama. Banyak kekangan dan rintangan yang menjadi penghalang untuk membudayakan kerja kelas pertama ini, tetapi golongan guru yang memahaminya tidak rasa ia sesuatu yang sukar dilakukan. Sebagai guru terdapat beberapa perkara yang perlu dihayati sekiranya inginkan budaya kerja kelas pertama dijadikan amalan dalam perkhidmatan antaranya amalan integriti dalam budaya kerja, bekerja secara berpasukan, melaksanakan penyelidikan dan pembangunan, ikhlas dalam pekerjaan dan beretika. Bagi mencapai matlamat budaya kerja kelas pertama, guru perlu menghayati segala amalan kerja seharian mencakupi kehendak masyarakat, murid dan organisasi. Dengan adanya budaya kerja kelas pertama akan dapat membantu segala perancangan yang diatur mencapai objektif dan sekaligus mencapai segala yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Sudah menjadi harapan Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Pelajaran Perak ingin memastikan semua guru memberikan perkhidmatan terbaik sehingga visi dan misi KPM tercapai. Sempena sambutan Hari Guru yang amat bermakna dan bersejarah ini, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua guru di negeri Perak yang telah mengorbankan masa dan tenaga serta memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan berkeperibadian mulia. Semoga kita akan diberikan kejayaan yang lebih cemerlang dalam akademik, kokurikulum, sahsiah dan imej serta melonjakkan agenda Transformasi Pendidikan Negara dengan mengamal dan menghayati sepenuhnya Guru Malaysia 1 Aspirasi 1 Agenda . Selamat Hari Guru! Terima Kasih Cikgu! Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sumber: Portal Rasmi Jabatan Pelajaran Negeri Perak.

Anda mungkin juga menyukai