Anda di halaman 1dari 3

PERUTUSAN HARI GURU

KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA


SEMPENA PERAYAAN HARI GURU 2008
“GURU CEMERLANG NEGARA TERBILANG”

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.


Tuan tuan dan puan puan warga pendidik yang dihormati sekalian,

1. Bersyukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinanNya dapat kita
menyambut Hari Guru pada 16 Mei tahun 2008. Pada tanggal ini, seluruh negara
memberi pengiktirafan dan penghormatan yang tinggi kepada kaum guru atas
peranan dan tanggungjawab mereka mendidik anak bangsa. Amanah yang suci ini
menuntut warga guru menjalankan tugas dengan penuh komited dan dedikasi.
Hanya guru yang cemerlang dapat melaksanakan semua perancangan pendidikan
dengan jayanya. Justeru, tema Hari Guru tahun ini, “Guru Cemerlang Negara
Terbilang” amat sesuai dan bertepatan sekali.

2. Misi Nasional yang termaktub dalam Rancangan Malaysia Ke9 telah menetapkan
pembangunan modal insan dan pemupukan minda kelas pertama sebagai satu
daripada lima teras utama bagi negara untuk mencapai status negara maju
menjelang tahun 2020. Di bahu gurulah terletaknya tanggungjawab untuk
memastikan kemenjadian murid yang merupakan aset paling berharga kepada
negara kelak.

3. Apabila bercakap tentang kecemerlangan guru dan profesion keguruan, fokus


perlu diberikan kepada lima perkara utama yang menjadi asas kejayaan dan
kewibawaan seseorang guru. Ia adalah kekuatan intelek, kepimpinan berwibawa,
kemurnian akhlak, kesediaan untuk berubah serta minat dan cinta terhadap
profesionnya. Setiap fokus ini saling berkait, melengkapi serta bergerak serentak
dan beriringan. Hayatilah dan amalkan lima perkara tersebut agar kita samasama
dapat memartabatkan profesion keguruan ini.

4. Dari segi kekuatan intelek, guru hendaklah cemerlang dalam melaksanakan tugas
asasi mereka dengan iaitu mengajar. Proses pengajaran dan pembelajaran akan
menjadi lancar dan bermakna sekiranya guru menguasai kandungan subjek yang
diajar dan berketerampilan dalam kemahiran pedagoginya. Di samping itu, guru
juga perlu memiliki pengetahuan umum yang baik dan terkini agar mereka kekal
relevan dengan tuntutan perubahan semasa.
5. Satu lagi aspek yang amat berkait rapat dengan profesion keguruan ialah
kepimpinan. Sebagai satu organisasi pembelajaran, sekolah perlu dipimpin
dengan cekap dan berkesan oleh mereka telah diberi amanah. Dalam perkara ini,
Pengetua, Guru Besar dan Guru Penolong Kanan merupakan pemain utama. Oleh
sebab bidang kepimpinan itu dinamik dan sentiasa mengalami perubahan maka
adalah tanggungjawab kepimpinan sekolah melengkapi diri dengan pendekatan,
strategi, kaedah dan teknik kepimpinan, pengurusan dan pentadbiran yang terkini
antara lain model kepimpinan instruksional. Guru pula bertanggungjawab
terhadap kepimpinan pengajaran dan pembelajaran serta perkembangan sahsiah
murid.

6. Guru juga harus menyedari bahawa sebagai pendidik, diri mereka menjadi contoh
teladan yang baik kepada murid, ibu bapa dan komuniti. Sehubungan dengan itu,
peribadi guru hendaklah terdorong kepada yang berfikiran global, bermentaliti
kelas pertama dan memiliki a towering personality serta tidak terjebak dalam
sebarang kes jenayah dan salah laku. Guru juga perlu bertindak secara terarah
dengan menjadikan etika profesion keguruan dan Pelan Integriti Nasional sebagai
panduan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Keadaan ini sekali gus
membolehkan Kementerian Pelajaran Malaysia meningkatkan kecekapan jentera
perkhidmatannya dan memartabatkan profesion keguruan.

7. Alaf baru menyaksikan gelombang perubahan hasil dari kemajuan sains,


kecanggihan teknologi dan ledakan ilmu. Bagi menangani perubahan dan
pembaharuan, guru perlu peka dan sentiasa bersedia untuk turut berubah dalam
menghadapi keadaan ini. Dalam perkara ini guru perlu bersedia untuk learn,
relearn and unlearn dan menjadi pelajar sepanjang hayat agar kekal relevan.

8. Pendidikan merupakan satu bidang yang amat mulia dan penting. Ia merupakan
asas pembangunan insan dan tamadun, wadah keamanan, kesejahteraan dan
kemakmuran. Pendidikan juga adalah satu bidang yang dinamik dan penuh
cabaran. Ia menuntut perancangan strategik yang teliti dan pragmatik,
perbelanjaan yang besar, serta jentera pelaksanaan yang cekap. Pendidikan juga
sentiasa terdedah dan terpengaruh dengan tuntutan perubahan selaras dengan
perkembangan semasa dan negara. Justeru, negara akan hilang daya saing,
ketinggalan dan terpinggir dari kemajuan global jika bidang pendidikan tidak
menjadi keutamaan atau tidak diuruskan secara cekap dan berkesan.

9. Keperluan dan kepentingan pendidikan, menuntut minat dan kecintaan yang


mendalam terhadapnya. Minat dan kecintaan ini akan menerbitkan keinginan dan
dorongan untuk menjalankan tugas secara jujur, ikhlas dan penuh tanggungjawab.
Hanya mereka yang mempunyai ROH GURU dapat menjiwai dan menggalas
tugas yang amat berat lagi mencabar ini. Kita patut berbangga kerana tugas
tersebut adalah tugas kita KAUM GURU.
10. Sesungguhnya Sambutan Perayaan Hari Guru ini akan cepat berlalu namun
harapan murid, ibu bapa, komuniti dan negara terhadap kualiti perkhidmatan guru
tidak pernah hilang malah bertambah. Kecemerlangan guru sentiasa diperlukan
selagi institusi sekolah masih berdiri dan menempatkan murid di dalamnya. Oleh
yang demikian, guru perlu terus cemerlang kerana masa depan negara bergantung
pada mereka. Pelaksanaan dan kejayaan tersebut bergantung pada sejauh mana
guru dapat memahami, menghayati dan bertindak bagi tujuan menjayakan Pelan
Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006 – 2010 yang sedang dalam
pelaksanaan sekarang ini.

11. Saya menyeru agar seluruh warga pendidikan menjadikan Perayaan Hari Guru
tahun 2008 ini sebagai tahun membugarkan semula perkhidmatan pendidikan
yang bukan sahaja cemerlang malah gemilang dan terbilang.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayat Wassalammualaikum Warahmatullahi


Wabarakatuh dan salam sejahtera. SELAMAT HARI GURU.

Anda mungkin juga menyukai