Anda di halaman 1dari 3

Air adalah elemen penting dalam kehidupan manusia. Bincangkan kepentingan air dalam kehidupan manusia dan haiwan.

Air adalah anugerah Tuhan yang sangat bernilai kepada seluruh hidupan di mukabumi ini. Air adalah satu sumber keperluan asas yang sangat penting kepada manusia. Manusia mungkin masih boleh hidup dengan selesa selama beberapa hari tanpa elektrik, komputer, internet dan apa-apa sahaja tetapi tidak tanpa air. Krisis air di Lembah Kelang dua tahun lalu adalah bukti jelas bahawa betapa pentingnya air di dalam kehidupan kita. Krisis ini banyak membuka mata masyarakat dan kerajaan tentang kepentingan air.

Di dalam sektor perindustrian, penggunaan air semakin kompleks. Dalam usaha menuju negara maju, keperluan air perlu sejajar dengan kepesatan industri moden. Begitu juga jika dilihat keperluan air di bidang pertanian. Secara amnya, tumbuh-tumbuhan memerlukan kuantiti air yang mencukupi. Contohnya sawah padi, memerlukan sistem pengairan yang sistematik. Kawasan ladang, kebun sayur, hutan-hutan dan lain-lain bergantung penuh kepada air untuk hidup subur.

Selain itu, air begitu sinonim dengan kaum nelayan. Kepada airlah tempat mereka mencari rezeki bagi memenuhi tuntutan kehidupan. Kadang-kala, mereka sanggup menyambung nyawa meredahi laut yang bergelora dan ombak yang ganas demi mencari rezeki sesuap nasi. Begitu juga dengan penduduk di negara Thai yang menggunakan sungai sebagai punca rezeki. Dengan sebuah sampan beserta barang jualan mereka berniaga di tepi sungai. Kadangkala, mereka mendirikan rumah di gigi sungai. Inilah bukti pentingnya air kepada manusia.

Disamping itu, air berfungsi sebagai penyelamat. Ini nyata kerana ia digunakan untuk memadamkan kebakaran oleh pihak bomba. Tanpa air, sudah tentu nyawa manusia dan harta benda tidak dapat diselamatkan. Kebakaran hutan dan masalah jerebu pada suatu masa dahulu jelas membuktikan bahawa air sangat-sangat diperlukan. Masalah kekurangan air yang wujud ketika itu menyulitkan kehidupan masyarakat sehingga pihak kerajaan terpaksa mencari alternatif lain iaitu menggunakan hujan tiruan.

Apabila jumlah penduduk meningkat, permintaan untuk tanah juga meningkat. Penebangan kawasan hutan untuk dijadikan penempatan, perindustrian dan lebuh raya berlaku bagi memenuhi keperluan pembangunan. Tindakan inilah yang menyebabkan keimbangan ekosistem kita terganggu. Implikasinya, berlakunya banjir, kurang bekalan air yang bersih dan hakisan tanah. Contoh yang nyata ialah kejadian banjir lumpur yang berlaku di Pos Dipang, Kampar, Perak beberapa tahun lalu. Kejadian ini telah meragut banyak nyawa dan memusnahkan kehidupan manusia.

Sesungguhnya, kita harus sentiasa bersyukur kerana kita masih dapat minum air yang bersih. Usaha kerajaan dengan mewujudkan 'Syarikat Indah Water' membolehkan kita menikmati kemudahan bekalan air yang sempurna. Meskipun, kita harus membayar perkhidmatan mereka, namun kita harus akur bahawa mereka cuba melakukan sesuatu yang terbaik untuk kita. Justeru itu, kita sebagai penghuni bumi boleh mengambil inisiatif bagi mengurangkan masalah pencemaran air. Diantaranya ialah mewujudkan kesedaran terhadap masyarakat. Kita harus lebih prihatin terhadap bumi agar kesedaran dapat bertapak di hati serta dapat menjadi penjaja kepada bumi kita sendiri. Contohnya, tidak membuang sampah di kawasan sungai, laut dan sebagainya. Melalui cara ini, air bukan sahaja tidak tercemar, malahan hidupan di dasar laut juga tidak terancam.

Selain itu, kita harus mengelakkan pembaziran air. Segala kebocoran paip harus dibaiki segera. Pengumpulan air hujan juga boleh dilakukan untuk kegunaan di luar rumah. Kita juga harus menggunakan bahan pencuci yang mempunyai kandungan fosfat yang rendah. Di sektor pertanian, penggunaan baja dan racun serangga mengikut sukatan dapat mengelakkan bahan berlebihan mengalir ke kawasan pengairan air. Ini boleh menyumbang kepada kuantiti air yang lebih baik.

Natijahnya, air memainkan peranan penting kepada manusia dan hidupan di muka bumi ini. Oleh itu, kita harus memelihara alam sekitar agar masalah pencemaran sumber air dapat

diatasi. Sesungguhnya air, nadi kehidupan kita. Hargailah dan lindungilah air demi masa depan kita.

Anda mungkin juga menyukai