Anda di halaman 1dari 5

.

 Apakah maksud ‘teknologi hijau’?

Teknologi hijau adalah aplikasi sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam
semulajadi bagi menangani impak negatif aktiviti manusia. Teknologi Hijau adalah teknologi
rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia ada. Apabila kita
menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air dan
sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk. Oleh yang demikian, apa-apa
teknologi yang menyumbang kepada pengurangan pelepasan Gas Rumah Hijau atau digunakan
untuk membangunkan produk dan perkhidmatan yang menghasilkan pelepasan Gas Rumah
Hijau yang tinggi perlu dikurangkan melalui kesedaran pada peringkat permulaannya dan
selanjutnya melalui penguatkuasaan. Aplikasi Teknologi Hijau juga adalah selaras dengan
konsep pembangunan mapan (sustainable development) di mana pembangunan yang
dilaksanakan perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa
depan. Sehubungan itu, kita bertanggungjawab untuk memastikan generasi akan datang dapat
sekurang-kurangnya menikmati kualiti kehidupan yang kita perolehi sekarang atau kualiti yang
lebih baik dari sekarang.

2. Mengapakah teknologi hijau diberi penekanan dalam pentadbiran negara?

Pada 9 April lalu, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan pembentukan Kementerian
Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi menggantikan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.
Saya percaya penekanan terhadap “teknologi hijau” adalah pendekatan yang tepat dalam
menangani masalah alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi. Ia juga selaras dengan agenda
utama Kerajaan-Kerajaan di seluruh dunia pada masa kini yang memberi prioriti kepada isu-isu
alam sekitar khususnya fenomena perubahan cuaca dunia. Kita sebagai penduduk dunia perlu
bertanggungjawab untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjadikan dunia ini a better
place to live in.

Dalam mengaplikasi teknologi hijau, faedah terbesar ialah dari segi peningkatan kualiti hidup
rakyat dengan menjamin kualiti alam sekitar yang lebih mapan. Pencemaran udara, air, bunyi
dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat sekiranya masalah tersebut dibiarkan
berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar
adalah minima.

Teknologi hijau juga mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara. Industri
yang menggunakan atau membangunkan produk berhubung teknologi hijau dapat menyediakan
peluang-peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan. Kita boleh juga meneroka peluang
mengeksport produk ’hijau’ yang telah kita hasilkan. Pasaran untuk teknologi dan produk hijau
amat besar, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharu atau renewable energy.
Contohnya, industri solar photovoltaic telah dikenalpasti sebagai sumber pertumbuhan ekonomi
baru untuk negara kita. Mengikut unjuran kami, menjelang tahun 2020, industri PV dapat
menyumbang sebanyak 4 peratus pendapatan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).

Kerajaan akan menyediakan dasar yang sesuai untuk mempromosikan teknologi hijau. Pihak
swasta, para profesional serta penyelidik harus bekerjasama untuk mencipta dan
mengkomersilkan teknologi hijau.
 

3. Apakah kepentingan aplikasi teknologi dan amalan hijau dalam kehidupan kita sebagai
orang awam?

Seperti yang telah saya katakan tadi, secara amnya, Teknologi Hijau merupakan satu teknologi
yang mesra alam dan merupakan teknologi yang rendah karbon bagi mengurangkan pelepasan
gas karbon ke udara yang menyebabkan antara lainnya fenomena perubahan cuaca dunia. Antara
kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang kita rasai pada masa kini ialah cuaca yang
melampau seperti keadaan cuaca panas yang sedang kita hadapi pada masa ini. Selain itu,
kejadian bencana alam seperti ribut taufan, kecairan ais di Kutub Utara dan Selatan,  kenaikan
paras dan suhu air laut,  kepupusan spesis flora dan fauna dan sebagainya juga merupakan kesan-
kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang prominen pada masa sekarang. Oleh yang
demikian, mitigasi fenomena perubahan cuaca dunia telah menjadi antara prioriti dalam
masyarakat dunia pada masa kini.

Proses perubahan cuaca global sememangnya tidak dapat dihalang. Walau bagaimanapun, usaha-
usaha boleh dilakukan untuk melambatkan proses ini. Oleh yang demikian, aplikasi Teknologi
Hijau merupakan salah satu langkah yang diambil bagi melambatkan proses perubahan cuaca
dunia. Kita sebagai pengguna merupakan salah satu daripada penyumbang terbesar dalam
pelepasan gas rumah hijau melalui aktiviti harian dan pilihan yang kita buat sebagai contohnya
penggunaan kereta, tenaga elektrik, penggunaan bahan-bahan kimia seperti racun serangga dan
sebagainya.

Sehubungan itu, aplikasi teknologi dan amalan hijau seperti penggunaan alat-alat elektrik cekap
tenaga, penggunaan kenderaan awam atau bahan api alternatif, penjimatan penggunaan air
merupakan antara perkara-perkara yang boleh dipertimbangkan dalam melaksanakan aktiviti
harian kita. Walaupun amalan-amalan hijau bukan merupakan satu kebiasaan pada sebahagian
daripada kita pada masa kini, kita perlu mengubah minda kita bagi memastikan kita masih akan
dapat menikmati kehidupan yang kita nikmati pada hari ini dalam jangka masa panjang. Kita
juga harus sedar bahawa pilihan-pilihan yang dibuat oleh kita pada hari ini akan menentukan
masa depan yang akan dilalui oleh anak-anak kita di masa akan datang. Oleh yang demikian,
saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua agar mula mendekati
amalan-amalan hijau yang kecil seperti mengitar semula sampah, menggunakan peralatan cekap
tenaga, mengamalkan penjimatan tenaga dan air dan sebagainya.

4.  Boleh Y.Bhg Dato’  berikan sedikit saranan dan harapan Datuk kepada masyarakat ke
arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengutamakan teknologi hijau?

Usaha Kerajaan untuk menerapkan teknologi hijau perlu dilihat dari dua aspek. Pertama ialah
aspek inovasi, iaitu usaha mencipta atau membangunkan teknologi hijau. Kita tidak semestinya
mencipta sesuatu yang komplikated atau kompleks. Produk mudah yang mesra alam serta
praktikal untuk negara kita boleh dihasilkan. Adalah penting supaya pelajar-pelajar digalakkan
dari peringkat  sekolah lagi untuk mencipta sesuatu. Pada peringkat yang lebih tinggi pula, para
penyelidik kita boleh menghasilkan teknologi yang dapat menghasilkan sesuatu produk tanpa
membazir sumber-sumber seperti tenaga dan air. Rekaan baru haruslah rekaan praktikal yang
boleh dikomersilkan untuk penggunaan tempatan dan untuk tujuan eksport.
 
Keduanya ialah penggunaan atau aplikasi teknologi hijau sama ada dalam melaksanakan proses
kerja atau amalan hidup seharian. Kita harus mengamalkan amalan hijau sebanyak yang boleh,
bermula dengan perkara-perkara mudah yang boleh kita laksanakan. Contohnya, kita boleh
membawa air minum dalam bekas tanpa keperluan membeli botol-botol air. Kalau kita membeli
makanan untuk dibawa balik ke rumah, eloklah kita menggunakan bekas makanan sendiri
daripada menggunakan bekas styrofoam atau plastik yang tidak mesra alam. Bawalah beg sendiri
ketika membeli-belah.

Pengguna juga harus mengutamakan pembelian peralatan elektrik jenis cekap tenaga. Utamakan
penggunaan lampu cekap tenaga. Tindakan sedemikian akan menghasilkan penjimatan tenaga.
Walaupun harga peralatan cekap tenaga lebih mahal sedikit berbanding peralatan biasa, namun
penjimatan tenaga adalah banyak dan kurang menjejaskan alam sekitar. Yang penting adalah
supaya kita mulakan dengan langkah-langkah yang mudah dan murah dahulu. Jadikan amalan
hijau budaya hidup. Ibubapa harus menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak supaya
mereka akan turut terdorong untuk mengamalkan budaya hijau.

Sebenarnya perubahan gaya hidup dan perubahan minda  akan mengorak langkah ke arah
penghayatan dan pengamalan teknologi hijau. Perubahan kecil yang kita buat pada hari ini akan
memberi kesan yang besar pada masa hadapan.
 

5.  Adakah sebarang galakan disediakan oleh Kerajaan untuk menggalakkan teknologi


hijau?

Untuk bidang kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharu, Kerajaan telah memperkenalkan
pelbagai insentif fiskal sejak tahun 2003 bagi syarikat-syarikat yang menjana elektrik daripada
sumber Tenaga Boleh Diperbaharu atau Renewable Energy (RE) dan syarikat-syarikat
mengamalkan aktiviti-aktiviti penjimatan tenaga Energy Efficiency (EE) dimana mereka layak
diberi Pengecualian Cukai Pelaburan (Investment Tax Allowance) dan Status Perintis (Pioneer
Status).

Syarikat-syarikat ini juga boleh memohon untuk mendapatkan pengecualian duti import dan
cukai jualan untuk tempoh setahun bagi mesin, peralatan, material dan alat ganti import yang
digunakan secara terus dalam penjanaan tenaga elektrik daripada sumber RE dan dan aktiviti EE.
Insentif-insentif ini telah ditambah baik di bawah Bajet 2009 dimana pengecualian boleh
diberikan bagi:

i- duti import dan cukai jualan untuk peralatan sistem solar untuk kegunaan pihak ketiga diberi
kepada pengimport termasuk penyedia perkhidmatan photovoltaic yang diluluskan oleh ST;
ii- pengecualian cukai jualan untuk pembelian peralatan sistem pemanas solar daripada
pengilang tempatan;
iii- Pengecualian duti import dan cukai jualan diberi ke atas peralatan EE seperti motor cekap
tenaga (high efficiency motors) dan bahan penebat (insulation material) diberi kepada
pengimport termasuk agen yang diluluskan oleh ST.
iv- Pengecualian cukai jualan diberi kepada pembelian EE consumer goods yang diluluskan oleh
ST seperti bahan penebat, peti sejuk domestik, Ballast untuk lampu fluorescent, kipas domestic,
lampu dan penyaman udara.

6. Boleh Y.Bhg Dato’ terangkan langkah-langkah yang diambil atau contoh-contoh


program yang dijalankan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat?

Kementerian telah mula menjalankan program-program kesedaran mengenai Kecekapan Tenaga


dan Tenaga Boleh Diperbaharu yang merupakan salah satu daripada cabang Teknologi Hijau
sejak tahun 2000 lagi melalui penubuhan Centre for Education, Training and Research in
Renewable Energy and Energy Efficiency (CETREE) oleh Universiti Sains Malaysia. Program-
program ini disasarkan kepada golongan profesional, sekolah, institusi pengajian tinggi dan
orang awam di Malaysia. Antara program yang telah dilaksanakan oleh CETREE ialah Pameran
program Kempen Penjimatan Tenaga & Alam Sekitar dan Kempen Cekap Tenaga di USM,
Pertandingan Eureka, Kereta Solar dan Dapur Suria, Karnival Pendidikan Sains dan Teknologi
Kebangsaan dan sebagainya.  Selain daripada itu, CETREE juga telah membangunkan Modul
Tenaga Boleh Diperbaharu dan Kecekapan Tenaga Merentasi Kurikulum Sekolah Rendah di
seluruh Malaysia bagi menimbulkan kesedaran murid sekolah di peringkat awal dalam Tenaga
Boleh Diperbaharu dan Kecekapan Tenaga.

Selain itu, Kementerian juga telah melaksanakan program Energy Month peringkat Kebangsaan
secara tahunan bagi meningkatkan kesedaran mengenai Tenaga Boleh Diperbaharu dan
mempromosikan amalan Kecekapan Tenaga di kalangan orang awam dan sektor swasta. Antara
aktiviti-aktiviti yang dijalankan semasa program Energy Month adalah mengadakan ceramah-
ceramah berkaitan Kecekapan Tenaga, menerbitkan buku panduan Kecekapan Tenaga Di
Rumah, menerbitkan siri artikel di surat khabar dan menggunakan media massa untuk
menggalakkan amalan Kecekapan Tenaga.

Di masa akan datang, Kementerian akan melaksanakan kempen Teknologi Hijau yang akan
melibatkan stake-holders yang berkaitan termasuk orang awam dan Kementerian/ Jabatan
Kerajaan, badan bukan Kerajaan dan lain-lain agensi yang berkaitan bagi mendidik dan
meningkatkan kesedaran dan pengetahuan semua pihak mengenai kepentingan Teknologi Hijau
dalam kehidupan kita. Ini bagi memastikan program-program lain yang akan dilaksanakan oleh
Kerajaan dalam mempromosi dan membangunkan Teknologi Hijau tempatan dapat dilaksanakan
dengan berkesan dan dihayati oleh semua lapisan masyarakat.

Sumber:  Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

Anda mungkin juga menyukai