Anda di halaman 1dari 24

Penulisan 16 : Dimensi Masyarakat : Usaha Membantu Orang Kelainan Upaya

(OKU)

Usaha berterusan membantu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU)


merupakan satu tindakan yang wajar demi membolehkan golongan ini
memberikan sumbangan berkesan kepada negara.   
Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk
membantu golongan ini? 

        Orang Kelainan Upaya (OKU) ialah kanak-kanak atau orang dewasa yang cacat 
keadaan fizikal atau mentalnya sejak lahir atau kesan kemalangan atau penyakit
tertentu. Kecacatan fizikal dan  mental ini menghalang mereka  daripada melakukan
aktiviti-aktiviti normal  seperti sosial, rekreasi, pelajaran dan pekerjaan. Golongan
Orang Kelainan Upaya (OKU) secara umumnya dapat dikategorikan kepada dua
kumpulan utama, iaitu kelainan upaya secara kekal dan kelainan upaya secara
sementara. Walaupun banyak kekurangan yang ada,  masyarakat kelainan upaya ini
tidak harus dipinggirkan kerana mereka juga turut memberi sumbangan kepada negara.
Oleh sebab itu, pelbagai usaha patut dilakukan bagi membantu OKU  meneruskan
kehidupan dengan sempurna.
Antara usaha yang dapat dilakukan ialah masyarakat perlu menerima
kehadiran golongan kurang upaya ini seadanya dan membantu mereka
menjalani kehidupan dengan sebaiknya. Hal ini demikian kerana  masyarakat
perlu sedar bahawa OKU tidak meminta dilahirkan dalam keadaan yang tidak sempurna
malah mempunyai hak untuk hidup sama seperti orang lain.      
     Tidak kupinta lahir ke dunia,
     Tidak kuduga cacat begini,    
Tiada insan yang mahu dilahirkan dalam keadaan kurang sempurna justeru
golongan Kelainan Upaya (OKU) haruslah diberi layanan yang baik kerana mereka turut
mempunyai perasaan yang sama seperti insan lain. Mereka tidak suka dipandang
rendah dan dianggap tidak berguna. Namun begitu kita harus melayan mereka secara
istimewa dalam keadaan-keadaan tertentu seperti membantu mereka melintas jalan,
memberi tempat duduk di dalam kenderaan awam dan sebagainya.  Dalam hal ini, ibu
bapa berperanan penting dalam mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni seperti
kasih sayang, simpati, belas kasihan dan tolong menolong agar mereka dapat
membantu OKU dengan seikhlas hati.
Selain itu, media massa sama ada media elektronik atau media cetak
juga berperanan penting dalam membantu golongan kurang upaya ini. Pihak
media massa perlu menyiarkan artikel dan rancangan khas tentang OKU kepada
segenap lapisan masyarakat. Rancangan di TV3 seperti Bersamamu  kerap kali
memaparkan kisah sedih dan pilu OKU  untuk perhatian masyarakat. Melalui rancangan
ini, perasaan masyarakat pasti akan tersentuh dan secara tidak langsung wujud
perasaan simpati dan terpanggil untuk menghulurkan bantuan. Dana dan tabung khas
disediakan oleh pihak media bagi memudahkan masyarakat menyalurkan bantuan
kewangan kepada OKU. Oleh hal yang demikian nasib OKU akan terbela dan mendapat
simpati berterusan daripada masyarakat untuk meneruskan kehidupan mereka.
Selain itu, kerajaan juga pula dapat membantu  OKU dengan memberi
peluang kepada mereka untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran dalam
pelbagai bidang. Golongan Kelainan Upaya (OKU) diberi peluang mengikuti latihan
kemahiran seperti membaiki kenderaan dan peralatan elektrik, membuat kek, keropok
dan kraf tangan di Pusat Giat Mara, Kolej Komuniti, Pusat Latihan dan Pemulihan Orang
Cacat(JARO) dan lain-lain institusi. Di sini, OKU dilatih dalam pelbagai bidang kemahiran
supaya mereka dapat berdikari dan boleh bekerja sama ada makan gaji atau berniaga
sendiri. Setelah   mantap dalam bidang pekerjaan,mereka akan duduk
sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang lain membantu negara dan
tidak lagi menyusahkan orang lain bahkan mampu menyara hidup sendiri dan keluarga.
Tambahan pula, pihak kerajaan juga turut membantu OKU dengan
memberikan bantuan dan elaun dalam bentuk wang ringgit,  makanan dan
minuman, pakaian, tempat tinggal, peralatan pembelajaran dan kenderaan
khas. Peruntukan dari kerajaan ini disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat,
MARA dan sebagainya. Bantuan seperti ini bukan sahaja dapat meringankan beban OKU
malah dapat menggembirakan hati mereka dalam meneruskan kehidupan di  dunia
ini. Bantuan modal juga diperlukan oleh golongan OKU untuk memulakan sesuatu
perniagaan.  Hal ini demikian kerana rata-rata golongan ini adalah terdiri daripada
orang susah atau miskin. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan telah berusaha 
memberi bantuan modal kepada semua OKU yang berminat melalui permohonan dan
sokongan daripada persatuan masing-masing.  Oleh itu, bantuan kewangan atau modal
ini sangat penting untuk membolehkan golongan ini meningkatkan ekonomi mereka
tanpa bergantung kepada pertolongan daripada orang lain.
Selain itu, pihak kerajaan juga menyediakan peluang untuk
menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi kepada OKU. Sistem
pendidikan khas perlu diperluaskan kepada OKU yang berada di luar bandar supaya ibu
bapa yang mempunyai anak-anak ini berpeluang menyekolahkan anak-anak mereka.
Sehubungan dengan itu, kemudahan pendidikan khas ini mestilah ditingkatkan bagi
melahirkan para pelajar yang setanding dengan pelajar yang normal. Malah pihak
kerajaan juga mestilah menyediakan tempat atau kuota pengajian di peringkat Institusi
Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada OKU yang mendapat keputusan yang baik dalam
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Oleh itu,
peluang ini akan meningkatkan lagi motivasi pelajar OKU untuk mengubah nasib hidup
mereka ke arah yang lebih baik pada masa akan datang dengan ilmu yang dimiliki itu. 
Di samping itu, pihak swasta pula digalakkan mengambil pekerja OKU
untuk berkhidmat dalam syarikat mereka. Mereka perlu memberi peluang ini
kerana golongan OKU juga mampu menyumbangkan kemahiran yang ada untuk
memajukan syarikat tersebut. Di kilang umpamanya sudah ada OKU yang bekerja
sebagai operator pengeluaran, pembantu pejabat dan kerani walhal sebelum ini kerja
sebegini hanya dilakukan oleh pekerja yang normal sahaja. Selain itu, usaha murni
Pasar raya Besar Carrefour yang telah menyasarkan lima peratus daripada pekerjanya
ialah OKU haruslah diberi pujian kerana mereka memberi peluang kepada OKU dan
membantu mereka mendapatkan kerja bagi menyara kehidupan keluarga
mereka.         
           Kesimpulannya, golongan OKU sangat memerlukan bantuan daripada kita
semua untuk meneruskan dan memajukan diri mereka ke tahap yang lebih baik lagi.
Untuk merealisasikan hasrat tersebut semua pihak terutama kerajaan, swasta dan
masyarakat mestilah berganding bahu menjayakan matlamat tersebut. Sekiranya kita
tidak bersungguh-sungguh membantu golongan ini sudah pasti mereka akan tersisih
dalam era pemodenan negara menjelang tahun 2020 nanti. Kata pepatah muafakat
membawa berkat sangat sesuai diamalkan oleh masyarakat kita dalam usaha
membantu golongan OKU.
Posted by ayaHUda nAs No comments: 
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to Facebook
Labels: PENULISAN SPM

Reactions: 
Penulisan 15 : Dimensi Masyarakat : Usaha Memupuk Minat Orang Ramai
Membaca Karya Sastera

Minat untuk membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat ini


semakin berkurangan.
Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk
menarik minat orang ramai membaca karya sastera.  

      Pada zaman berteknologi tinggi ini, orang ramai telah memilih untuk memiliki
sebuah komputer untuk mendapatkan maklumat daripada internet berbanding mencari
maklumat atau membaca daripada buku. Hal ini menyebabkan minat untuk membaca
karya-karya sastera dalam kalangan rakyat makin berkurangan. Malah ada yang telah
lupa dan tidak kenal akan karya sastera yang dihasilkan oleh sasterawan negara seperti
Usman Awang, Shahnon Ahmad, A.Samad Said dan sebagainya. Hal ini tidak boleh
dipandang remeh kerana karya sastera yang dihasilkan merupakan warisan bangsa
yang menunjukkan identiti dan bangsa kita. Minat untuk membaca karya-karya sastera
ini perlu disemarakkan semula dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah
langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang
ramai untuk membaca karya sastera? 
        Langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat
orang ramai membaca karya sastera termasuklah peranan pihak sekolah khususnya
Pusat Sumber Sekolah. Pusat Sumber Sekolah perlu memperbanyak buku sastera dan
karya agung seperti novel ‘Ranjau Sepanjang Jalan’oleh Shahnon Ahmad, ‘Salina’ oleh
A.Samad Said, ‘Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur’ oleh Kamaludin Muhamad dan
‘Tulang-tulang Berserakan’oleh Usman Awang agar murid mahupun guru berpeluang
untuk membacanya. Pusat sumber boleh mengadakan pertandingan mengulas novel,
sajak, puisi dan pantun pada setiap bulan. Langkah ini membolehkan  para pelajar
untuk membaca karya-karya sastera memandangkan mereka ingin menghasilkan ulasan
yang menarik. Secara tidak langsung, minat pelajar terhadap karya sastera akan
semakin bertambah. Pihak sekolah turut boleh menggalakkan setiap kelas
menyediakan satu ruang atau sudut membaca di kelas bagi memudahkan pelajar untuk
menghayati karya sastera ketika guru tiada di dalam kelas. Tegasnya, pihak sekolah
memainkan peranan yang penting dalam menarik minat pembaca terhadap karya
sastera.
        Selain itu, peranan ibu bapa juga amat penting dalam mengambil langkah untuk
menarik minat anak-anak membaca karya sastera. Ibu bapa haruslah memberikan
pendedahan tentang karya sastera kepada anak-anak sejak kecil lagi bak kata pepatah
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Contohnya, ibu bapa boleh membaca sastera
rakyat kepada anak-anak sebelum mereka masuk tidur Melalui cara ini, hubungan
silaturahim antara ibu bapa dengan anak bukan sahaja dapat dipereratkan, malah
anak-anak dapat mengetahui cara hidup dan budaya masyarakat kita sendiri. Selain itu,
ibu bapa bolehlah membelikan karya sastera untuk dibaca oleh anak-anak supaya
mereka dapat menghayati keindahan hasil warisan bangsa selain dapat mengisi masa
lapang dengan berfaedah. Ibu bapa boleh menghadiahkan novel yang sesuai kepada
anak-anak mengikut umur  mereka. Ibu bapa juga perlu pilih bahan bacaan yang
hendak dibeli untuk anak-anak sewaktu membawa mereka berkunjung ke kedai buku
mahupun pameran buku. Seterusnya, ibu bapa harus menyediakan sebuah
perpustakaan mini yang dilengkapi dengan pelbagai bahan bacaan khususnya karya-
karya sastera seperti prosa atau puisi tradisional dan moden yang dihasilkan oleh
pengarang tersohor  di rumah. Dengan itu, minat anak-anak untuk membaca karya
sastera dapat dipupuk dan disemai dalam jiwa mereka.
Di samping itu, media massa turut memainkan peranan yang penting dalam
mengambil langkah menarik minat semua lapisan masyarakat membaca karya sastera.
Sebagai contohnya, pihak media boleh mempromosikan karya sastera kepada
masyarakat melalui radio, televisyen dan surat khabar. Melalui cara ini, lapisan
masyarakat dapat mengetahui cara untuk mendapatkan karya sastera di pasaran.
Bukan itu sahaja, pihak media juga boleh menyiarkan sudut sastera atau ulasan karya
sastera yang agung di akhbar dan majalah kepada orang ramai. Dengan itu, orang
ramai berpeluang untuk mengenali karya sastera di negara kita dengan lebih
mendalam. Tambahan pula, pihak media turut boleh menganjurkan peraduan teka teki
atau menulis sajak dan syair yang bertemakan karya-karya sastera. Jelasnya, pihak
media haruslah mengambil langkah untuk menarik perhatian orang ramai untuk
membaca karya sastera.
        Seterusnya, pihak kerajaan haruslah mengadakan pameran karya sastera dan
kempen menghayati karya sastera di seluruh pelusuk negara. Melalui langkah ini, rakyat
berpeluang untuk mengenali karya-karya sastera ini dengan lebih dekat. Tambahan
pula, pihak kerajaan boleh membina perpustakaan rakyat di setiap daerah bagi
memudahkan rakyat untuk membaca ataupun meminjam karya-karya sastera untuk
dibaca. Pihak kerajaan turut boleh mengambil inisiatif untuk mengurangkan kadar cukai
penerbitan karya sastera. Langkah ini dapat menurunkan harga buku tersebut agar
semua rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah berpeluang untuk memiliki
karya-karya sastera itu sendiri. Oleh itu, jelaslah bahawa pihak kerajaan turut
memainkan watak yang utama dalam mengambil langkah untuk menarik minat orang
ramai membaca karya sastera.
        Akhir sekali, pihak-pihak NGO seperti syarikat penerbitan harus menerbitkan lebih
banyak karya sastera supaya karya tersebut mudah didapati di pasaran. Pihak penerbit
boleh bekerjasama dengan penulis untuk mengeluarkan berbagai-bagai genre sastera.
Penerbit juga  perlu memberikan bayaran setimpal dan berpatutan kepada penulis.
Persatuan Karya-karya Sastera boleh ditubuhkan untuk melindungi karya-karya penulis
supaya tidak dplagiat oleh pihak tertentu yang bermotifkan keuntungan dan bagi
membolehkan para peminat  berkongsi pendapat bersama dengan penulis. Kerajaan
juga boleh meningkatkan jumlah penerbitan karya sastera dalam setahun dan
bekerjasama dengan seberapa ramai penulis dan penerbit untuk menghasilkan karya
sastera yang bermutu.
          Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa semua pihak
menggalas tanggungjawab yang berat dalam usaha untuk menghidupkan minat orang
ramai membaca karya sastera. Masyarakat pula harus bersikap berhati terbuka  supaya
langkah-langkah tersebut mendapat sambutan yang hangat dan seterusnya berjaya
direalisasikan. Kita selaku warga Malaysia haruslah mencintai dan menghayati karya
sastera kita kerana ia merupakan warisan bangsa dan mencerminkan identiti kita.
Posted by ayaHUda nAs No comments: 
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to Facebook
Labels: PENULISAN SPM

Reactions: 
THURSDAY, 1 NOVEMBER 2012
Penulisan 14 : Dimensi Keluarga : Peranan Ibu Bapa Menggalakkan
Penggunaan Barangan Buatan Malaysia

Ibu bapa merupakan insan yang berperanan penting  bagi menggalakkan 


anak-anak menggunakan barangan buatan Malaysia.
Huraikan langkah-langkah yang dapat diambil oleh ibu bapa terhadap anak-
anak dalam menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia.

Sebagai sebuah negara membangun yang akan menuju ke arah negara maju
menjelang 2020, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasilkan dan mengeluarkan
pelbagai barangan serta produk sendiri. Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita
agar tidak lagi mengagung-agungkan barangan luar. Barangan keluaran tempatan kini
sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk
keluaran negara kita dijamin lebih baik. Walau bagaimanapun, masih ramai lagi yang
tidak mengetahui atau menyedari tentang kelebihan dan kualiti sebenar barangan
buatan negara kita, lebih-lebih lagi orang muda-muda yang kononnya mempunyai cita
rasa yang tinggi dalam memilih kebendaan. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa
dalam menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia?
Peranan yang amat penting yang perlu diamalkan oleh setiap ibu bapa ialah ibu
bapa perlulah menjadi role model kepada  anak-anak mereka kerana anak-anak akan
sentiasa mengikuti jejak langkah kedua-dua ibu bapa mereka. Pepatah ada mengatakan
bahawa bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa merupakan insan yang  paling
dikagumi  kerana ibu bapalah orang yang terdekat dengan anak-anak. Anak-anak
diibaratkan seperti sebutir permata yang belum digilap, ibu bapa yang akan mencanai
dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan bersinar. Walau
bagaimanapun, ibu bapa janganlah bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan
dengan betul kerana ini akan menyebabkan anak-anak hilang rasa kagum dan
kepercayaan kepada ibu bapa mereka. Ibu bapa haruslah membeli kereta buatan
Malaysia seperti kereta dari kilang Proton Edar, barangan elektrik seperti Panasonic,
Philips dan lain-lain. Tegasnya, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan kepada anak-
anak mereka dengan menyokong barangan buatan Malaysia yang berkualiti ini.
        Selain itu, ibu bapa perlulah memupuk perasaan cinta akan negara kepada anak-
anak mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini
terjadi demikian kerana semangat patriotik patut diterapkan ke dalam sanubari remaja
supaya mereka terpanggil untuk membeli barangan Malaysia sebagai tanggungjawab
mereka. Ibu bapa juga boleh menanam minat anak-anak terhadap barangan Malaysia
melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan. Hal ini akan dapat menyuntik nilai cinta akan negara, taat setia
kepada raja dan negara, dan sanggup berkorban untuk negara kepada generasi muda
kita. Ibu bapa patut menyeru anak-anak untuk mencontohi warganegara Jepun dan
Korea kerana rakyat mereka berasa bangga untuk membeli barangan negara mereka
sendiri. Misalnya, dalam filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan
produk negara sendiri seperti jenama Samsung, LG dan Panasonic. Dengan menyahut
seruan Tun Dr. Mahathir yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat
melalui Dasar Pandang Ke Timur, kita digalakkan mencontohi sifat baik negara lain
yang baik untuk meningkatkan taraf kehidupan negara ke alaf baru. Jika anak-anak
telah diterapkan semangat cinta akan negara dan ingin membeli barangan Malaysia,
amalan ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Tidak dapat dinafikan bahawa
golongan remaja merupakan golongan pengguna yang banyak berbelanja. Golongan
remaja juga merupakan harapan negara kita. Hal ini kerana pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara. Jika mereka suka membeli produk jenama Malaysia, produk
Malaysia pasti akan laris di pasaran.
        Di samping itu, peranan yang boleh diamalkan oleh ibu bapa ialah ibu bapa
membawa anak-anak ke pameran barangan ciptaan Malaysia. Contohnya, ibu bapa
bolehlah membawa anak-anak ke Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh
Kementerian Pelancongan Malaysia dengan premis perniagaan seluruh negara. Karnival
sebegini telah ditetapkan hanya barangan Malaysia yang mempunyai tawaran potongan
harga yang istimewa.   Sebagai contoh, kraf tangan dan  batik,  yang merupakan
budaya yang menggambarkan tradisi Malaysia. Ibu bapa perlu mendedahkan anak-anak
dengan pelbagai barangan tempatan yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan
keunikannya yang tersendiri. Apabila anak-anak meminta sesuatu benda yang tidak
keterlaluan, ibu bapa haruslah membeli barang tersebut dan barang tersebut mestilah
merupakan barangan buatan Malaysia. Terdapat juga pameran yang mengadakan
pelbagai jenis pertandingan. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh menggalakkan anak-
anak menyertai pertandingan-pertandingan seperti menulis esei, melukis poster dan
menjawab soalan-soalan kuiz yang berkaitan. Hal ini secara tidak langsung dapat
mencelikkan minda anak-anak supaya mengetahui kualiti dan kelebihan barangan
Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan Malaysia, seperti peribahasa, tak
kenal maka tak cinta. Tegasnya, ibu bapa perlulah membeli barangan buatan Malaysia
untuk didedahkan kepada anak-anak generasi baru ini.
        Seterusnya, ibu bapa perlulah menerangkan kebaikan pembelian barangan buatan
Malaysia kepada anak-anak mereka supaya mereka dapat memahami faedah-
faedahnya, menyokong dan menggunakan barangan buatan Malaysia. Ibu bapa
haruslah memberitahu anak-anak tentang kualiti produk-produk Malaysia yang kini
bukan sahaja kualitinya setanding dengan produk-produk luar negara, malah harganya
juga cukup murah untuk dimiliki seseorang. Ibu bapa juga boleh menunjukkan kempen-
kempen yang telah diadakan seperti Kempen Beli Barangan Malaysia kepada anak-anak
untuk memastikan anak-anak sedar dan mengetahui secara mendalam barangan-
barangan Malaysia. Sikap prejudis, memandang rendah barangan tempatan dari sudut
pemikiran juga seharusnya dilontar jauh-jauh oleh ibu bapa dan juga tidak harus
diwujudkan pada anak-anak mereka, tetapi, sebaliknya, membina semangat Malaysia
Boleh dari serba-serbi, termasuk soal kualiti dan standard barangan
tempatan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting dalam menerangkan manfaat-
manfaat barangan buatan Malaysia kepada anak-anak supaya mereka sedar dan bijak
memilih benda yang baik dan mendatangkan kebaikan kepada mereka.
        Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa yang
merupakan insan terdekat kepada generasi muda kini mestilah memainkan peranannya
yang amat penting dalam menggalakkan anak-anak menyokong, membeli dan
menggunakan barangan buatan Malaysia. Harapan kerajaan Malaysia supaya negara
kita bukan sahaja mengimport barangan luar negara malah juga mengeksport barangan
buatan Malaysia dapat dicapai. Sedarlah bahawa barangan Malaysia tidak sekadar lebih
murah daripada barang buatan import negara malah mempunyai kualiti dan kuantiti
yang baik. Walau bagaimanapun,  usaha daripada ibu bapa semata-mata adalah tidak
mencukupi.  Rakyat Malaysia patut menghayati tema Hari Kebangsaan; 1Malaysia
Menjana Transformasi menyemarakkan semangat seisi negara agar seia sekata sebagai
satu bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan membeli
barangan Malaysia. Tegasnya, negara kita, tanggungjawab kita merupakan azimat yang
tersemat agar kita berbangga dengan barangan Malaysia yang bermutu tinggi.
Posted by ayaHUda nAs No comments: 
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to Facebook
Labels: PENULISAN SPM

Reactions: 
Penulisan 13 : Dimensi Masyarakat : Semangat Kejiranan

Semangat kejiranan dalam kalangan rakyat di negara ini semakin


longgar.                                   
Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil oleh
pelbagai  pihak supaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk dapat
ditingkatkan?

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan
dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal dalam satu taman atau di sebuah
egara yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat
penting kerana merekalah yang akan menjadi  sahabat kita dan orang yang akan
membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada
mengatakan bahawa “Jiran sepakat membawa berkat”. Jadi, kita perlulah
mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan
sesuatu perkara. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang wajar diambil untuk
memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat?
Langkah primer yang harus diambil oleh pihak kerajaan ialah kerajaan
menjalankan kempen-kempen kejiranan yang bersesuaian di semua peringkat sama ada
peringkat daerah, negeri atau kebangsaan. Tujuan kempen ini adalah untuk menanam
semangat perpaduan dan bersatu padu dalam kalangan rakyat. Konsep 1Malaysia yang
diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak menekankan
semangat perpaduan antara kaum di Malaysia. Usaha sama sebegini yang wajar diambil
contoh dan diaplikasikan dalam institusi masyarakat bagi mencetuskan semangat
kejiranan yang utuh. Kempen kejiranan yang dijalankan ini perlulah berterusan dan
janganlah hangat-hangat tahi ayam sahaja. Jelasnya, kempen yang dijalankan ini
dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk memupuk semangat kejiranan.
Selain itu, langkah yang harus diambil ialah masyarakat setempat perlulah
mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat
berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan.
Apabila berkumpul dan berbincang ,mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu
dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran
mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang
mengatakan bahawa  tak kenal maka tak cinta. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh
diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan
hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat
menjalinkan dan meningkatkan hubungan negara jiran. Malahan, menurut laporan
majalah ‘The Times’ di Australia, kegiatan gotong-royong yang diamalkan di Malaysia
merupakan antara aktiviti yang terbaik di dunia.
        Di samping itu, peranan media massa merupakan langkah yang amat penting
dalam meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan rakyat Malaysia. Pelbagai
kaedah boleh digunakan dalam menyuburkan semangat kejiranan. Media cetak
misalnya boleh menyiarkan artikel-artikel tentang kepentingan semangat kejiranan.
Media elektronik pula boleh menyiarkan dokumentari dan rancangan menarik tentang
kejiranan. Melalui media massa, pelbagai maklumat dan berita boleh disampaikan
dengan cepat dan mudah. Sesungguhnya, berita dan isu semasa yang disiarkan oleh
media massa lebih mudah menarik perhatian orang ramai terutamanya generasi muda.
Sebagai contoh, usaha Majalah 3 menyiarkan ‘Colour of Malaysia’ wajar disokong.
Justeru, semangat  hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah  ini wajar
kita tonjolkan melalui media massa.
        Seterusnya, setiap penduduk hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka
semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim
dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara
rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan
lebih dekat. Seterusnya ,melalui rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat
berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan
oleh tuan rumah. Sebagai contoh, sambutan majlis rumah terbuka sempena Hari Raya
Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Krismas, Deepavali dan sebagainya hendaklah dijadikan
acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat
untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.
        Di samping itu, Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung dan Jawatan Kuasa Kemajuan
Taman juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti Hari Keluarga
diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta melibatkan diri dalam aktiviti
berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah dan sebagainya. Apabila
aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu
dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang
bola sepak, taman rekreasi atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti
ini, hubungan yang erat antara jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan
menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang
terungkap dalam peribahasa Melayu, ke bukit sama didaki, ke lurah sama
dituruni.
        Tambahan lagi, kerajaan juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri
dalam aktiviti seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah
membentuk satu persatuan yang mempunyai satu organisasi yang teratur. Persatuan
atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini,
banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun
Tetangga, Jawatan Kuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat
Kematian dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga,
masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk
mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat
dalam peribahasa Melayu,  ibarat aur dengan tebing  yang mementingkan semangat
sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.
        Akhir sekali, masyarakat mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi
dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat
kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui
aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita.
Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa
jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan.
Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa  berat mata memandang berat
lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang kepada
prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita
mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan
dan keperitan yang dialami oleh jiran kita itu.
Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
penduduk setempat. Dalam era globalisasi, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap
tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam
pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-
masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan
menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita
teguh bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan,
perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah
sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya
negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera. 
Posted by ayaHUda nAs No comments: 
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to Facebook
Labels: PENULISAN SPM

Reactions: 
Penulisan 12 : Dimensi Diri : Usaha-usaha memartabatkan permainan
tradisional

Permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi muda.


Jelaskan usaha-usaha yang boleh anda lakukan bagi memartabatkan
permainan  tradisional di negara kita.

          Pada zaman pascakemerdekaan ini, arus modenisasi dan globalisasi yang pesat
berkembang menyebabkan permainan tradisional sudah semakin dipandang enteng dan
disisihkan oleh masyarakat kita daripada arus perdana. Permainan tradisional adalah
merujuk kepada permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesebuah masyarakat
untuk satu tempoh yang tertentu sebagai pengisi masa lapang. Negara kita kaya
dengan pelbagai jenis permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang
dek panas. Antara jenis permainan tradisional tersebut termasuklah congkak, wau,
gasing, galah panjang, batu seremban, teng-teng, guli, sepak raga, konda-kondi dan
sebagainya. Kebanyakan daripada permainan tersebut kurang diketahui oleh generasi
muda.  Hal ini membayangkan bahawa permainan tradisional  berkenaan akan lenyap
ditelan zaman jika tiada usaha diambil untuk mengetengahkannya dalam kalangan
khalayak ramai khususnya generasi masa ini. Persoalannya, apakah peranan yang
seharusnya saya mainkan dalam usaha memartabatkan permainan tradisional di negara
kita?

          Usaha pertama yang saya lakukan untuk memartabatkan permainan tradisional
adalah dengan memupuk minat diri sendiri terhadap  permainan tradisional. Remaja
pada masa ini  banyak terdedah dengan pelbagai pengaruh modenisasi dan perubahan.
Mereka sering menganggap permainan tradisional telah lapuk dan ketinggalan zaman.
Oleh itu, sebagai  generasi muda, saya harus sedar bahawa saya  berperanan 
memartabatkan permainan tradisional. Hal ini boleh dilakukan atas kesedaran diri
sendiri untuk mencari pelbagai informasi berkaitan dengan permainan tradisional. Saya
akan mengakses maklumat tentang permainan tradisional agar dapat memahami
dengan lebih jelas setiap permainan tradisional yang ada di negara kita.  Terdapat
banyak laman web yang memberikan pelbagai maklumat berkenan pelbagai permainan
tradisional berserta gambarnya sekali. Secara tidak langsung, wujud kesedaran dalam
diri sendiri untuk memartabatkan  permainan tradisional di negara ini bagi menyaingi
permainan moden yang semakin popular dalam kalangan remaja.

          Selain itu, usaha yang boleh saya lakukan  adalah dengan menjadikan
permainan tradisional sebagai pengisi masa lapang. Hal ini boleh dilakukan dengan
rakan-rakan sebaya pada waktu petang atau pada masa cuti sekolah bagi
menggantikan permainan moden. Saya boleh meminta tunjuk ajar daripada golongan
yang lebih tua tentang cara-cara  permainan tradisional tersebut bagi membolehkan
saya dan rakan-rakan memainkannya bersama rakan-rakan. Inisiatif ini bukan sahaja
dapat memartabatkan permainan tradisional malah dapat memupuk semangat setia
kawan dan kerjasama sesama rakan. Hal ini juga boleh mengelakkan diri saya sebagai
remaja daripada terjebak dengan pelbagai gejala negatif akibat daripada pengaruh
rakan-rakan dan persekitaran yang tidak baik. Bagi diri saya  lebih baik mengisi masa
dengan bermain permainan tradisional daripada melakukan perkara-perkara yang tidak
berfaedah. Jelaslah permainan tradisional mendatangkan banyak  kebaikan kepada
generasi muda masa ini.

          Di samping itu, bagi memartabatkan permainan tradisional,  saya sebagai pelajar
sekolah haruslah berani mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar permainan
tradisional menjadi salah satu aktiviti semasa perjumpaan kokurikulum. Saya akan
menulis surat kepada pihak sekolah menerusi persatuan agar memasukkan permainan
tradisional menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di sekolah.  Hal ini secara
tidak langsung akan memperkenalkan permainan tradisional kepada semua pelajar.
Saya  juga akan  menyertai permainan tradisional yang dipertandingkan di peringkat
sekolah semasa aktiviti kokurikulum dan juga persatuan akademik. Antara aktiviti yang
boleh dilakukan ialah pertandingan membuat wau, pertandingan bermain congkaka dan
demonstrasi permainan daripada golongan tua yang lebih berpengalaman bagi menarik
minat pelajar. Dengan cara tersebut, minat remaja terhadap permainan tradisional
dapat dipupuk agar kepelbagaian permainan tradisional dapat dipelihara. Ibarat kata
pepatah, tak kenal maka tak cinta amat bertepatan kerana jika pelajar telah mula
diperkenalkan dengan pelbagai permainan tradisional, sudah pastilah minat
terhadapnya akan tertanam secara semula jadi. Maka para pelajar perlu berani
membuat perubahan ke arah memartabatkan permainan tradisional.

          Usaha yang seterusnya ialah saya sebagai remaja perlu menanamkan semangat
cinta akan budaya terutama permainan tradisional.  Hal ini adalah  kerana, permainan
tradisional merupakan budaya masyarakat Malaysia sejak dahulu dan perlu diteruskan
dan dipelihara agar dikenali oleh generasi akan datang. Sesuatu yang baik itu perlu
dipupuk dan ditanam dalam diri sejak kecil sesuai dengan peribahasa, melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Jika asasnya telah kukuh maka secara langsung remaja masa
ini tidak akan segan silu mempertahankan dan memartabatkan permainan tradisional.
Alah bisa tegal biasa kerana sesuatu yang sukar pada awalnya akan menjadi mudah
dan biasa jika selalu dilakukan dan diamalkan. Begitulah juga yang diharapkan terhadap
permainan tradisional. Jika remaja seperti saya telah mula menanamkan sikap sayang
dan cinta akan budaya masyarakat ini, maka sudah pasti permainan tradisional
terpelihara megah dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sesungguhnya kecintaan
terhadap permainan tradisional akan memupuk juga rasa cinta terhadap negara

          Kesimpulannya, remaja hendaklah berusaha mempopularkan permainan


tradisional agar permainan tersebut terus terpelihara dan mendapat tempat di hati
masyarakat Malaysia umumnya dan generasi muda khususnya. Maka golongan muda
perlu berganding bahu dan meminta bantuan golongan yang lebih tua agar permainan
tradisional terus dimartabatkan dan diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti.
Kedua-dua golongan boleh saling bekerjasama sebelum nasi menjadi bubur. Khazanah
ini perlu dipelihara dan dikekalkan di negara ini dengan menggunakan pelbagai
pendekatan sesuai dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. 
Posted by ayaHUda nAs No comments: 
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to Facebook
Labels: PENULISAN SPM

Reactions: 
Penulisan 11 : Dimensi Diri : Usaha-usaha membantu pihak sekolah
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah.

Anda sebagai pengawas pusat sumber sekolah.


Jelaskan usaha-usaha yang dapat anda lakukan untuk membantu
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah anda.

        Pusat Sumber sekolah merupakan gedung ilmu iaitu tempat untuk mendapatkan
pelbagai informasi yang diperlukan oleh setiap warga sekolah. Namun, sejak akhir-akhir
ini isu para pelajar kurang mengunjungi pusat sumber sekolah sering diperkatakan
dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik. Hal ini
membimbangkan semua pihak kerana para pelajar merupakan pelapis yang bakal
menerajui negara pada masa hadapan, bak kata peribahasa pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara. Justeru, pusat sumber sekolah perlu diurus secara sistematik dan
efisien untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar agar menjadi pelajar
yang berilmu dan bermaklumat selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
Persoalannya, apakah usaha-usaha untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat
sumber sekolah?
        Selaku pengawas pusat sumber sekolah, terdapat banyak usaha yang dapat saya
lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber di sekolah saya.
Satu daripada caranya  ialah saya akan memastikan pusat sumber sentiasa berada
dalam keadaan kemas dan menarik. Saya akan bekerjasama dengan pengawas pusat
sumber yang lain untuk mengemas kini pusat sumber. Aktiviti gotong-royong
membersihkan pusat sumber  akan diadakan secara berkala agar pusat sumber sentiasa
berada dalam keadaan bersih. Saya juga akan memastikan buku-buku disusun atur
dengan kemas  di atas rak-rak  buku mengikut kategori dan jenis buku. Dengan ini
keadaan harmoni dan selesa dapat diwujudkan. Situasi ini dapat memberi keselesaan
kepada seseorang pelajar semasa mengulang kaji pelajaran di pusat sumber. Jelaslah,
situasi yang kemas, bersih dan menarik mampu menarik para pelajar berkunjung ke
pusat sumber.
        Selain itu, saya akan membantu guru pusat sumber melaksanakan program Nilam
untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Sebagai contohnya, saya
boleh membantu mencari dan menyediakan buku-buku yang sesuai serta menarik
untuk kegunaan para pelajar semasa program Nilam. Oleh itu, program Nilam dapat
dijalankan dengan lancar dan berkesan. Hal ini dapat membantu meningkatkan
penggunaan pusat sumber sekolah dan juga menyemai budaya membaca dalam
kalangan pelajar. Program Nilam merupakan salah satu usaha Kementerian Pendidikan
Malaysia untuk memupuk dan meningkatkan amalan membaca dalam kalangan pelajar.
Budaya membaca amat penting dan melambangkan ketinggian tamadun sesuatu
bangsa. Dengan membaca, seseorang itu akan mendapat pelbagai ilmu pengetahuan
sebagai pedoman hidup, bak kata peribahasa membaca jambatan ilmu. Justeru,
pelaksanaan program Nilam yang berkesan menjadi daya penarik kepada para pelajar
untuk mengunjungi pusat sumber.
        Seterusnya, saya akan mengesyorkan kepada pihak sekolah agar menyediakan
kemudahan yang lengkap di pusat sumber. Saya akan menulis surat kepada pihak
pengurusan agar dapat menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber untuk
kebaikan pelajar. Saya akan meminta pihak pengurusan menyediakan  komputer yang
boleh diguna pakai oleh pelajar untuk melayari internet bagi mendapatkan pelbagai
informasi terkini. Saya akan membantu dari segi  penyediaan buku-buku yang baharu
dan menarik. Dengan adanya pelbagai buku yang baharu dan terkini, pengunjung dapat
meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Pihak sekolah juga perlu menyediakan
pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada para pelajar. Secara tidak langsung
keadaan ini lebih mewujudkan suasana yang kondusif dan menggalakkan para pelajar
berkunjung ke pusat sumber sekolah.
        Di samping itu, sebagai pengawas pusat sumber juga, saya akan mengamalkan
budaya mesra pelanggan semasa menjalankan tugas. Saya akan bersikap sopan,
berbudi pekerti mulia dan berhemah tinggi serta sentiasa bersedia memberikan
pertolongan sekiranya pengunjung menghadapi masalah tanpa mengira bangsa dan
agama , bak kata peribahasa budi bahasa budaya kita. Layanan mesra daripada 
pengawas  menggembirakan para pengunjung dan merupakan salah satu kunci untuk
menarik para pelajar mengunjungi pusat sumber. Saya juga akan membantu pihak
sekolah mempromosikan buku-buku di pusat sumber agar dapat dipinjam oleh pelajar.
Saya juga perlu bersikap adil dan tegas kepada semua pelanggan terutama sekiranya
mereka lewat atau sengaja  tidak memulangkan buku yang dipinjam mengikut tarikh
yang ditetapkan.
        Selaku pengawas pusat sumber juga, saya akan mencadangkan kepada pihak
sekolah agar menyediakan sistem pinjaman buku yang sistematik dan berkesan untuk
membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah saya. Contohnya
penggunaan ICT khususnya komputer dalam urusan pinjaman dan pemulangan buku
dapat menjimatkan masa dan tenaga. Penggunaan sistem berkod merupakan langkah
bijak kerana semua bahan bacaan berbentuk buku akan direkodkan secara berkod yang
memudahkan urusan pinjaman dan pemulangan buku yang dilakukan secara ‘scaning’.
Kaedah ini akan mewujudkan sistem pengurusan pusat sumber yang sistematik kerana
para pelajar tidak perlu menunggu terlalu lama untuk urusan pinjaman dan pemulangan
buku. Jelaslah sistem pinjaman yang sistematik dan efektif  adalah penting untuk
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah.
        Kesimpulannya, pusat sumber sekolah menyediakan perkhidmatan dan sumber
pembelajaran dalam pelbagai bentuk bagi membolehkan warga sekolah menjadi
pengguna yang bermaklumat dan pemikir  yang kreatif serta kritis. Justeru, terpulang
pada pelajar sendiri sama ada mahu menggunakan atau sebaliknya,  tepuk dada
tanyalah minda. Semua pihak perlulah berganding bahu dalam usaha meningkatkan
penggunaan pusat sumber sekolah bak kata peribahasa bulat air kerana
pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Posted by ayaHUda nAs No comments: 
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to Facebook
Labels: PENULISAN SPM

Reactions: 
Penulisan 10 : Dimensi Diri : Usaha Menggembirakan Ibu Bapa

Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan.


Bincangkan usaha-usaha yang wajar anda lakukan untuk memastikan
harapan mereka itu tercapai.
        Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan. Pernyataan
ini jelas menunjukkan bahawa hasrat semua ibu bapa di dunia ini adalah sama.
Sesungguhnya, ibu bapa merupakan insan mulia yang melahirkan kita  dan
membesarkan kita dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh.
Mereka  merupakan orang yang paling banyak berkorban demi kesejahteraan hidup
kita. Ahli bijak pandai pernah berkata bahawa, ”Tiada anugerah yang lebih berharga
yang diberikan oleh ibu dan ayah kepada anaknya kecuali tunjuk ajar dan budi pekerti
yang mulia”. Ungkapan ini jelas memaparkan betapa besar pengorbanan  ibu bapa
dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna.  Sebagai anak yang
bertanggungjawab, kita perlu sentiasa ingat akan pengorbanan ibu bapa kita dan
sentiasa bersedia untuk membalas budi mereka agar kita tidak dianggap sebagai anak
yang derhaka atau kacang lupakan kulit.. Satu perkara yang amat wajar kita lakukan
dalam kehidupan kita ialah memenuhi harapan ibu bapa terhadap kita agar berjaya
dalam hidup. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang wajar saya lakukan untuk
memastikan harapan ibu bapa tercapai?
        Usaha pertama yang perlu saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa
tercapai ialah saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan
dalam peperiksaan. Saya akan menumpukan sepenuh perhatian  semasa guru sedang
mengajar di kelas. Sekiranya terdapat topik yang tidak difahami, saya akan bertanya
kepada guru. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kecemerlangan dalam
bidang akademik pada zaman ini menentukan keadaan masa hadapan seseorang
kerana mereka yang cemerlang dalam akademik biasanya mempunyai masa hadapan
yang cerah. Kejayaan yang saya capai ini, sudah pasti dapat membanggakan kedua-dua
ibu bapa dan keluarga. Pada era globalisasi ini yang penuh dengan persaingan ini, 
amat penting bagi seseorang  mencapai kecemerlangan akademik untuk bersaing
dengan orang lain terutamanya dalam alam pekerjaan. Masyarakat kini menilai
seseorang berdasarkan pencapaian akademiknya. . Saya akan sentiasa berusaha untuk
membolehkan diri saya meraih kejayaan dan kegembiraan setiap kali keputusan
peperiksaan diumumkan. Oleh itu, saya akan membuat persediaan yang rapi sebelum
menduduki peperiksaan agar saya dapat menjawab semua soalan dengan cemerlang
kerana di mana ada kemahuan di situ  pasti ada jalan.. Pada masa yang sama, saya
juga akan memberi perhatian pada perkara yang berkaitan dengan ilmu selain bidang
akademik. Hal ini kerana saya sedar bahawa kecemerlangan akademik bukanlah segala-
galanya. Seorang insan yang berjaya perlu mahir dalam pelbagai bidang. Tegasnya,
saya akan belajar dengan tekun dan berusaha dengan gigih bagi menunaikan harapan
ibu bapa.
        Selain itu, saya juga akan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi
bahasa dalam kehidupan. Saya akan mengamalkan nilai ketabahan, kerajinan, amanah,
tidak berputus asa dan berkeyakinan tinggi dalam usaha mencapai kejayaan.  Hal ini
demikian kerana saya sedar bahawa orang yang berjaya dalam kehidupan bukan sahaja
perlu cemerlang dalam bidang akademik,  malahan perlu menjadi seorang yang
cemerlang dari segi akhlak, rohani, intelek dan emosi iaitu mempraktikkan konsep JERI
yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebagai contohnya, saya akan
sentiasa bersopan santun dan menghormati ibu bapa, guru-guru,  jiran tetangga  dan
orang di sekeliling saya. Amanat ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan saya
dengan orang lain malah dapat membina personaliti yang luhur dalam diri saya. Saya
juga akan sentiasa menghormati orang yang lebih tua dan bertegur sapa seperti
mengucapkan selamat kepada mereka. Sahsiah yang saya miliki  ini pasti akan
menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa saya, bak kata pepatah, “akhlak yang baik
seperti madu, sentiasa manis dan berkhasiat”. Saya akan membuang sikap malas dalam
diri agar tidak menghampakan harapan ibu bapa saya. Akhlak yang terpuji akan
menjadi penghias diri dan berjalan seiring dengan kejayaan yang kita miliki. Kita perlu
ingat bahawa sekiranya akhlak seseorang itu buruk, walau betapa cemerlang pun
pencapaiannya dalam akademik tidak akan dihormati dan disegani. Jelasnya, amalan
berbudi bahasa amat penting dalam menentukan kejayaan seseorang individu.
       Seterusnya, saya juga akan sentiasa berpegang teguh  kepada ajaran agama
sekiranya ingin berjaya dalam kehidupan. Pegangan agama yang teguh  membolehkan
saya mempunyai benteng keimanan yang  kukuh dan ampuh bagi mengelakkan diri
saya daripada  pengaruh  negatif yang dapat menjejaskan kehidupan saya. Dengan
berpegang teguh kepada ajaran agama, saya akan memiliki jati diri yang utuh untuk
melawan serangan pemikiran yang boleh menjerumuskan saya ke kancah maksiat. Hal
ini kerana Tuhan sentiasa menyeru hambanya  untuk melakukan sesuatu yang baik
serta menjauhi perkara yang buruk. Pegangan kepada agama juga dapat meningkatkan
keyakinan diri saya dan membolehkan saya mempunyai matlamat yang jelas dalam
hidup. Hal ini amat penting dalam menentukan kejayaan saya  pada masa hadapan.
Pendidikan agama yang saya peroleh, menjadi pedoman hidup yang boleh membentuk
saya menjadi seorang yang positif dalam segala hal. Saya tidak mudah dipengaruhi oleh
rakan-rakan yang tidak baik. Sebaliknya, saya akan sentiasa  menjaga nama baik ibu
bapa dan keluarga.  Tegasnya, saya akan berpegang teguh kepada ajaran agama agar
dapat mencapai kejayaan dalam hidup dan membanggakan kedua-dua ibu bapa saya.
        Di samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan mempunyai
keinginan untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa
kelak. Dengan ini, saya tidak akan dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah dan
seterusnya terlibat dalam gejala social yang negatif. Saya akan membezakan antara
kaca dengan permata dan sentiasa memikirkan akan masa depan saya serta matlamat
hidup saya. Melalui pergaulan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pendidikan
mereka, saya akan dapat bertukar-tukar pendapat serta ilmu dengan mereka. Saya
juga dapat menyertai kumpulan pembelajaran mereka dan membolehkan saya
berbincang serta lebih memahami topik-topik yang telah diajarkan oleh guru. Secara
tidak langsung, pencapaian keputusan peperiksaan saya akan meningkat hasil daripada
perbincangan dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan.  Pergaulan dengan rakan-rakan
yang bijak dalam pembelajaran akan dapat menimbulkan persaingan yang sihat dalam
diri saya. Saya akan mempunyai semangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-
sungguh agar diri saya tidak akan diasingkan dari kumpulan tersebut serta tidak akan
berasa tersisih dan terpulau apabila dalam menyelesaikan sesuatu soalan. Saya juga
dapat bergantung kepada rakan–rakan yang baik ini apabila saya tidak berdaya untuk
menghadapi dan menyelesaikan  sesuatu cabaran dalam hidup. Mereka tentu  akan
dapat membantu saya untuk membangkitkan diri saya semula dengan memberi 
dorongan dan nasihat yang berguna kepada saya dan bukannya menyuruh saya
melibatkan diri diri dengan gejala sosial negatif yang dapat mengurangkan tekanan jiwa
dan stress. Maklumlah, seseorang akan lebih terpengaruh dengan gejala sosial apabila
berada dalam ambang kegagalan dan kekecewaan. Tegasnya, saya akan bergaul
dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia agar saya tidak akan tersilap langkah dalam
membuat sebarang keputusan dalam hidup saya agar dapat memenuhi impian dan
harapan ibu bapa.
      Seterusnya, saya akan meningkatkan keilmuan diri saya dengan pembacaan. Ibnu
Khaldun pernah berkata bahawa “membaca menjadi akar tunjang kekuatan seseorang
individu, malah sesuatu bangsa dan sesebuah negara”. Hal ini  jelas menunjukkan
bahawa membaca adalah amat penting dalam menentukan kekuatan dan kejayaan
seseorang individu. Saya akan membaca buku-buku yang berkaitan dengan pembinaan
kendiri seperti buku-buku motivasi dan sebagainya untuk meningkatkan tahap
pemikiran diri saya kerana membaca jambatan ilmu. Langkah ini bagai serampang dua
mata kerana selain boleh membantu saya dalam bidang akademik, usaha tersebut juga
dapat membentuk diri saya menjadi seorang yang berilmu pengetahuan luas. Secara
langsung, kejayaan akan dapat dicapai dalam kehidupan. Saya juga akan cuba
memperbaiki kelemahan diri untuk berjaya dalam kehidupan. termasuk mengatasi 
sikap malas. Saya akan mengubah sikap ini untuk mencapai kejayaan dan berubah
menjadi seorang yang rajin kerana rajin dan usaha, tangga kejayaan.  Saya berharap
agar perubahan yang saya lakukan ini dapat membolehkan diri saya mencapai harapan
ibu bapa iaitu berjaya dalam kehidupan. Apabila masuk ke alam  pekerjaan kelak, saya
akan mencari pekerjaan yang stabil dan membalas budi mereka.
        Akhir sekali,  saya akan sentiasa mendengar nasihat ibu bapa kerana Tuhan
hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa. Saya
akan sentiasa patuh kepada arahan ibu bapa tanpa sebarang rungutan kerana saya
sedar bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu. Saya juga sedar bahawa tanpa
doa dan dorongan ibu bapa, betapa tabah dan pandai saya sekali pun, saya tidak
mungkin akan mencapai impian serta kejayaan dalam hidup saya. Ibu bapa merupakan
insan yang lebih tua dan mereka terlebih dahulu makan garam daripada saya. Oleh itu,
ibu bapa mempunyai pengalaman yang kaya dan luas dalam masyarakat dan dunia
luar. Maka, wajarlah saya untuk meminta dan menerima pandangan mereka agar diri
saya tidak akan menimbulkan kesilapan yang mungkin mengakibatkan saya berasa
menyesal buat seumur hidup saya. Mereka merupakan punca tenaga  dan dorongan
saya untuk mengejar impian dan cita-cita saya serta memperoleh kejayaan dalam hidup
saya. Tanpa mereka, saya tidak mungkin berpeluang untuk mencapai kejayaan dalam
hidup saya. Tegasnya, saya akan mematuhi arahan dan mendengar nasihat ibu bapa
agar impian saya dapat dicapai dan yang paling penting sekali ialah kisah Si Tanggang
tidak akan berlaku ke atas diri saya.
        Berdasarkan perbincangan di atas,  dapatlah  disimpulkan bahawa untuk
mencapai impian dan kejayaan dalam hidup, saya sebagai remaja perlu berusaha
bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.. Saya akan berusaha memastikan agar
impian dan cita-cita saya tercapai dan sekali gus,  saya juga dapat memenuhi impian
dan harapan ibu bapa saya.  Charles Dickens pernah berkata bahawa “kemahuan
seperti sebilah pedang yang dapat membuat jalan melalui hutan rimba.” Manusia
memang tidak dapat menjangka dan melihat masa hadapan, tetapi manusia boleh
meramal masa hadapan mereka dengan merancang masa hadapan mereka sebaik-
baiknya. Jelasnya, kita harus memberi peluang kepada diri kita untuk menjadikan
impian dan cita-cita  sebagai kenyataan kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu
dalih.
Posted by ayaHUda nAs No comments: 
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to Facebook
Labels: PENULISAN SPM

Reactions: 
Penulisan 9 : Dimensi Keluarga : Usaha Ibu Bapa Menjadikan Anak-anak
Insan yang Berguna
Ibu bapa sentiasa mengharapkan anak-anak mereka menjadi insan yang
berguna.
Bincangkan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk
memastikan harapan mereka itu tercapai.

      Anak-anak yang sihat serta memperlihatkan kecemerlangan diri merupakan idaman


setiap ibu bapa. Dalam hal ini, ibu bapa bertanggungjawab penuh untuk merealisasikan
hal tersebut. Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anaknya menjadi insan yang berguna
kepada agama, bangsa dan negara. Mereka perlu berusaha untuk merealisasikan
impian itu dengan mengaplikasikan kemahiran keibubapaan ke tahap yang paling
optimum. Jika hal ini dipraktikkan, harapan untuk memiliki anak-anak yang berguna
akan dapat direalisasikan. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan
oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka tercapai?
        Usaha paling asas yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan anak-
anak mereka menjadi insan yang berguna ialah mewujudkan suasana kekeluargaan
yang saling berkasih sayang. Ibu bapa haruslah memahami bahawa anak-anak
memerlukan perhatian dan kasih sayang mereka. bu bapa boleh mencurahkan kasih
sayang sama ada berbentuk luahan kata dan perbuatan yang secukup kepada anak-
anak agar anak-anak berasa diri mereka diambil berat dan tidak diabaikan oleh ibu
bapa. Misalnya, ibu bapa haruslah memberikan pujian kepada anak-anak sama ada
dengan cara memberikan hadiah ataupun dengan mengucapkan kata-kata positif
apabila anak-anak mendapat keputusan yang cemerlang. Hal ini penting kerana
sepatah kata yang positif daripada ibu bapa dapat menyuntik semangat dan
memberikan dorongan serta motivasi kepada anak-anak untuk terus berusaha
mencapai kejayaan kerana pepatah menyatakan rajin dan usaha, tangga kejayaan.
Kajian menunjukkan bahawa punca kebanyakan anak menjadi sampah masyarakat
adalah kerana keadaan rumah tangga yang porak-peranda di samping sikap ibu bapa
yang materialistik dan mementingkan kerjaya. Sebagai contohnya, banyak ibu bapa
yang menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada pembantu rumah
sepenuhnya. Hal ini menyebabkan anak-anak berasa tersisih dan diabaikan lalu
melakukan perkara-perkara negatif. Tegasnya, anak-anak akan menjadi insan yang
berguna kepada keluarga, masyarakat, agama, dan negara jika keluarga yang saling
berkasih sayang dan mengambil berat dapat diwujudkan.
        Selain itu, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna juga, ibu
bapa perlu menyediakan kediaman yang menepati konsep “Rumahku Syurgaku” demi
keselesaan anak-anak. Ibu bapa perlulah mewujudkan rumah tangga yang aman dan
damai supaya anak-anak berasa tenang ketika berada di rumah. Setiap ibu bapa
perlulah mengelakkan pertelingkahan di hadapan anak-anak. Ibu bapa hendaklah
mengucapkan kata-kata yang lemah-lembut agar anak-anak mendengar segala arahan
dan nasihat daripada ibu bapa. Bagi mewujudkan keselesaan dalam rumah tangga, ibu
bapa perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk ahli keluarganya seperti
bilik tidur yang mencukupi, bilik untuk anak-anak belajar dan bilik untuk anak-anak
menonton televisyen atau bermain komputer. Sudah terbukti bahawa anak-anak yang
tinggal di kediaman yang kurang selesa cenderung untuk melepak dan sesetengahnya
tidak pulang ke rumah. Amalan melepak ini mendedahkan anak-anak kepada pelbagai
bentuk gejala negatif seperti merokok, menagih dadah dan sebagainya. Hal ini banyak
berlaku di bandar-bandar besar, khususnya di kawasan-kawasan setinggan. Oleh hal
yang demikian ,ibu bapa perlu menyediakan kediaman yang selesa untuk anak-anak
mereka sekiranya mereka menginginkan anak-anak mereka menjadi insan yang
berguna dan menyayangi keluarganya.
        Di samping itu, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, setiap
ibu bapa haruslah memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak
mereka kecil lagi kerana pepatah menyatakan bahawa kalau hendak melentur buluh
biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan bermula dari rumah.. Didikan agama yang
sempurna dapat membentuk akhlak dan pekerti mulia kepada anak-anak di samping
membantu mereka mengetahui batas hidup yang betul. Penerapan nilai agama dapat
membantu anak-anak untuk membezakan  baik atau buruk sesuatu perkara dan anak-
anak membesar dengan berpandukan ajaran agama. Sebagai contoh, jika keluarga
tersebut berasal dari keluarga yang baik, kebiasaannya keturunannya akan baik. Jika
ibu bapa mempunyai pegangan didikan agama yang kuat, anak-anak mereka juga akan
mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu
juga, dan bagaimana acuan begitulah kuihnya. Dengan kesempurnaan didikan agama,
anak-anak dapat mengawal diri daripada melakukan maksiat seperti meragut, berfoya-
foya dan sebagainya. Tegasnya, didikan agama yang sempurna dapat merealisasikan
impian ibu bapa untuk memiliki anak-anak yang berguna.
        Seterusnya, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa
mestilah menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak, bak kata pepatah
bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa janganlah menjadi seperti “ketam
mengajar anaknya berjalan betul”. Ibu bapa meminta anak-anak menunjukkan contoh
terbaik sedangkan mereka tidak menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak.
Gaya mendidik anak-anak seperti ini tidak akan berkesan. Peribahasa Melayu “bapa
borek anak rintik” sudah jelas membuktikan bahawa segala tindak tanduk ibu bapa
akan menjadikan ikutan anak-anak, kerana anak-anak biasanya meniru tingkah laku
dan percakapan ibu bapa. Anak-anak yang membesar di bawah didikan ibu bapa yang
berjaya menjadi suri teladan yang baik akan menjadi insan yang baik dan
bertanggungjawab. Oleh itu, ibu bapa haruslah sentiasa menjaga tingkah laku dan
mengelakkan penggunaan bahasa yang kasar dalam kehidupan sehari-hari. Hal ini
demikian kerana keperibadian ibu bapa menjadi penentu tingkah laku anak-anak pada
masa hadapan. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi contoh teladan yang baik agar anak-
anaknya turut menjadi insan yang baik dan berguna.
        Tambahan lagi, ibu bapa perlulah bersedia untuk menerima sebarang teguran
daripada orang lain berkaitan dengan tingkah laku anak-anak mereka dengan hati
terbuka. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab dan ingin membentuk anak mereka
menjadi insan yang berguna, ibu bapa tidak sepatutnya menyebelahi anak-anak mereka
apabila orang lain memberi teguran. Hal ini demikian kerana teguran yang diberi itu
bukanlah untuk memburuk-burukkan anak mereka tetapi untuk membetulkan kesilapan
yang telah dilakukan oleh anak mereka. Dalam konteks ini, falsafah “menjaga tepi kain
orang lain” dalam masyarakat  adalah untuk kebaikan bersama dan ibu bapa perlulah
menerimanya secara positif. Berdasarkan teguran yang diberikan, ibu bapa perlulah
segera membetulkan kesilapan anak dan mencari punca anak mereka berbuat kesilapan
sedemikian rupa agar anak mereka tidak mengulangi kesilapan yang sama. Jadi, untuk
membentuk anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa perlu menerima kritikan dan
teguran orang lain dengan hati yang terbuka. Peribahasa “sesal dahulu pendapatan,
sesal kemudian tidak berguna” atau “sudah terhantuk baru tengadah” sewajarnya
menjadi panduan kepada ibu bapa.
        Akhir sekali, ibu bapa perlu sentiasa mengikuti perkembangan pendidikan anak-
anak sama ada dalam aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah anak-anak. Sikap
prihatin dan ambil berat ibu bapa menyebabkan anak-anak berasa diri mereka
diutamakan. Untuk tidak mengecewakan ibu bapa, anak-anak akan berusaha
meningkatkan kecemerlangan sama ada dalam aspek kurikulum ataupun kokurikulum.
Hubungan ibu bapa dengan guru-guru sekolah juga memberikan impak kepada tahap
sahsiah anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlu menjalinkan hubungan yang baik
dengan guru di sekolah sama ada guru disiplin, guru kelas atau guru mata pelajaran.
Ibu bapa perlu sering berkunjung ke sekolah untuk mengikuti perkembangan kemajuan
anak-anak dalam bidang pelajaran dan berbincang dengan guru disiplin sekolah
berkaitan akhlak dan sikap anak-anak di sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlu
mengawasi tingkah laku anak-anak di luar rumah serta mengenali rakan-rakan mereka.
Ibu bapa juga perlulah bertanya kepada anak sebab-sebab anak-anak keluar rumah
atau pulang lewat. Tuntasnya, ibu bapa perlu memantau perkembangan pendidikan
dan sahsiah anak-anak agar mereka jadi insan yang berguna apabila dewasa kelak.
        Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa usaha untuk
membentuk anak-anak menjadi insan yang berguna memerlukan pengorbanan dan
kesabaran ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi seorang insan yang berguna
bukanlah satu tugas yang mudah. Semua ini perlu dilakukan melalui proses pendidikan
sedikit demi sedikit dan dengan penuh kesabaran. Oleh itu, perancangan yang teliti dan
sistematik perlu dilakukan oleh ibu bapa secara istiqamah untuk mendidik anak-anak
menjadi insan yang berguna. Setiap ibu bapa juga mengharapkan anak mereka dapat
memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara serta mempertahankan
maruah keluarga. Tegasnya, tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka
jadi sampah masyarakat yang bukan sahaja tidak memberikan sebarang sumbangan
kepada masyarakat dan negara malah membawa masalah serta menjatuhkan keluarga
kita.
Posted by ayaHUda nAs No comments: 
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to Facebook
Labels: PENULISAN SPM

Reactions: 
Penulisan 8 : Dimensi Keluarga : Peranan Ibu Bapa Memupuk Minat
Membaca

Minat membaca terutama membaca buku-buku ilmiah dalam kalangan anak


remaja belum mencapai tahap yang memuaskan. Ibu bapa memainkan
peranan penting untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca karya-
karya ilmiah agar dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu.
Nyatakan usaha-usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk mencapai
hasrat tersebut.

           Pada era globalisasi ini, ibu bapa memainkan peranan penting untuk
menggalakkan anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan
generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana anak-anak muda
pada era ini, lebih gemar membaca bahan-bahan bacaan yang ringan seperti surat
khabar,  novel cinta, komik, majalah hiburan dan animasi kartun. Majalah atau buku
yang sarat dengan ilmu dan pengetahuan seperti buku-buku motivasi, pembinaan
kendiri, falsafah, Majalah Dewan Masyarakat, Solusi, Dewan Budaya, Al Islam,  dan Anis
kurang diminati malah ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu akan kewujudan
majalah tersebut di pasaran. Mereka berpendapat bahawa membaca karya-karya ilmiah
dianggap berat dan membosankan kerana memerlukan minda untuk berfikir sedangkan 
majalah atau buku-buku yang berunsurkan hiburan lebih seronok untuk dibaca kerana
pembacaan bagi mereka hanya sekadar mengisi ruang kosong dalam masa senggang
sahaja. Apa pun yang jelas, buku yang baik adalah kunci kepada khazanah
kebijaksanaan. Ibu bapa merupakan insan yang penting untuk melahirkan anak yang
berilmu, bersahsiah baik dan dihormati oleh orang lain. Persoalannya, apakah modus
operandi yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk melahirkan generasi yang cinta akan
ilmu pengetahuan?
          Untuk memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak, ibu bapa haruslah
membawa anak-anak ke pesta buku atau pameran buku  seperti Pameran Buku
Antarabangsa  di PWTC yang diadakan pada setiap tahun. Hal ini dapat melahirkan
generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Apabila ibu bapa membawa anak-anak ke
pameran buku, minat anak-anak untuk membaca buku akan bercambah. Anak-anak
akan dapat melihat pelbagai jenis buku yang menarik serta menyeronokkan untuk
dibaca. Mereka berpeluang untuk memilih buku-buku yang disukai dan diminati. Dalam
hal ini, peranan ibu bapa amat penting untuk membimbing anak-anak agar dapat
memilih buku yang berkualiti yang mampu membina pemikiran atau minda anak-anak.
Selain itu, anak-anak juga berpeluang untuk membaca buku-buku yang berunsurkan
keagamaan, falsafah, motivasi dan sebagainya.. Hal ini secara tidak langsung, dapat
meningkatkan ilmu pengetahuan dalam diri anak-anak. Di samping itu, anak juga
berpeluang untuk membaca buku-buku yang memaparkan sejarah negara lain. Hal ini,
dapat meningkatkan pengetahuan am anak-anak tentang Negara luar. Tegasnya, usaha
ibu bapa membawa anak-anak mereka ke pameran buku merupakan salah satu langkah
efektif yang melahirkan minat anak-anak untuk membaca karya-karya ilmiah dan
menjadi ulat buku dan seterusnya menjadi generasi yang cinta akan ilmu
pengetahuan.
         Selain itu, ibu bapa harus  menjadi suri teladan kepada anak-anak dalam aspek
membaca. Justeru, ibu bapa hendaklah  memulakan budaya membaca di rumah
dengan menyediakan persekitaran yang boleh  merangsang minat anak-anak untuk
membaca buku-buku ilmiah. Ibu bapa hendaklah membaca buku-buku dan surat
khabar  pada setiap hari terutama pada waktu senggang. Perbuatan ibu bapa yang
suka membaca pasti akan dicontohi dan diikuti oleh anak-anak kerana pepatah
menyatakan bagaimana acuan begitulah kuihnya, ke mana tumpah kuah kalau
tidak ke nasi. Pada zaman ini, anak-anak tidak tahu untuk mengisi masa lapang
dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah Jadi, ibu bapa boleh mendidik anak-anak sejak
kecil lagi untuk membaca buku-buku ilmiah. Bak kata pepatah, melentur buluh 
biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa
boleh melakukan aktiviti membaca bersama anak-anak pada hari cuti sewaktu semua
ahli keluarga berehat di rumah. Dalam hal ini, Ibu bapa janganlah menjadi
seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul, sedangkan diri sendiri  tidak
betul. Sekiranya, ibu bapa tidak pernah membaca bahan-bahan ilmiah, bagaimanakah
anak-anak hendak membaca bahan-bahan tersebut. Anak-anak akan suka membaca
apabila melihat orang tuanya membaca. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi suri teladan
yang baik  kepada anak-anak kerana anak-anak akan menjadikan membaca sebagai
satu amalan ke mana-mana sahaja mereka pergi bak kata pepatahkalau asal benih
yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora,
dicampak ke bumi menjadi penawar.
          Di samping itu, Ibu bapa perlu menambahkan sumber bacaan dengan membeli
banyak buku atau majalah yang mengandungi  ilmu  pengetahuan yang boleh
mengembangkan minda anak-anak.  Pepatah menyatakan bahawa  membaca
jambatan ilmu.  Apabila anak- anak banyak membaca, sudah tentu pengetahuan
mereka pun akan meningkat. Sebagai ibu bapa, mereka hendaklah membeli bahan
bacaan secara tetap pada setiap bulan seperti Majalah Dewan Masyarakat, Dewan
Pelajar, Dewan Siswa, Al Islam  dan Solusi selain surat khabar yang dibeli secara
harian. Secara tidak langsung, anak-anak akan tertarik untuk membaca buku-buku dan
majalah yang mengandungi banyak ilmu dan pengetahuan yang dibeli oleh ibu bapa
mereka. Minat untuk membaca bahan-bahan yang berkualiti pasti akan bercambah
dalam jiwa mereka. Anak-anak yang disuburkan dengan budaya membaca, pasti dapat
membina jati diri unggul, mempunyai minda sihat, berketerampilan sebagai orang
berilmu dan berpengetahuan tinggi. Selain itu, ibu bapa boleh memberikan hadiah
berupa buku sempena hari lahir atau hadiah sempena kejayaan anak-anak dalam
pelajaran atau peperiksaan sebagai ganjaran. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh
menghadiahkan buku-buku motivasi sempena hari lahir anak. Hadiah tersebut dapat
memotivasikan diri anak-anak. Mereka akan belajar bersungguh-sungguh kerana
menghargai jasa ibu bapa. Amalan seperti ini akan menyebabkan anak-anak hidup
dalam dunia buku. Tak kenal maka tak cinta.   
            Seterusnya  ibu bapa juga hendaklah menggalakkan anak-anak  membaca
buku dengan cara mendaftar anak mereka menyertai kelab buku.  Melalui penyertaan
dalam kelab buku, anak-anak akan menyertai pelbagai aktiviti dan mengetahui
perkembangan buku yang terkini.  Sebagai contohnya, anak-anak boleh menjadi ahli
Kelab Buku Ilmiah yang ditubuhkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.    Apabila anak-
anak menjadi ahli kelab buku, mereka didedahkan dengan pelbagai perkara yang
berkaitan dengan buku. Secara tidak langsung, anak-anak juga dapat membezakan
bahan bacaan yang bermutu dan bahan bacaan yang tidak berkualiti. Anak-anak pasti
memilih bahan-bahan yang berkualiti kerana boleh mematangkan minda seseorang
dalam mengeluarkan pendapat atau melakukan tindakan. Selain itu, ibu bapa juga
boleh menggalakkan anak-anak menyertai  Kempen Galakan Membaca  dan Kembara
Buku yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Dengan menghadiri kempen-kempen 
membaca,  anak-anak bukan sahaja mendapat kesedaran tentang pentingnya membaca
malah ibu bapa turut memperoleh manfaatnya.  Tegasnya, ibu bapa perlulah membawa
anak-anak menghadiri kempen-kempen membaca dan menggalakkan anak-anak
menyertai ahli kelab buku agar anak-anak  membaca bahan-bahan ilmiah yang dapat
membentuk anak-anak menjadi insan yang mulia dan disanjung tinggi.
             Selain itu, ibu bapa  boleh membina perpustakaan mini yang mengandungi
bahan-bahan ilmiah yang menempatkan pelbagai jenis  buku ilmiah  seperti novel karya
agung,  kamus, buku- buku agama, dan buku motivasi diri  selain buku pelajaran dan
buku rujukan. Hal ini dapat menyuburkan minat anak-anak  untuk membaca buku-buku
yang disimpan di rak buku tersebut. Ibu bapa juga hendaklah memainkan peranan dan
memastikan anak mereka membaca buku-buku yang disediakan dalam perpustakaan
mini di rumah.  Anak-anak  juga  digalakkan  untuk membaca surat khabar atau
majalah ilmu pada setiap hari dan membaca sebuah buku pada  setiap minggu. Hal ini
akan menyebabkan masa lapang anak-anak terisi dengan aktiviti membaca tanpa perlu
keluar rumah. Perpustakaan mini yang disediakan oleh ibu bapa tidak memerlukan
modal yang banyak. Buku-buku dan majalah yang dibeli pada setiap bulan boleh
disimpan dalam perpustakaan mini tersebut. Pembacaan buku dan majalah yang
berulang kali dapat menguatkan minda anak-anak. Pepatah menyatakan bahawa
bangsa yang membaca, bangsa yang berjaya.  Apabila anak-anak sudah biasa
didedahkan untuk membaca surat khabar pada  setiap hari dan sebuah buku pada
setiap minggu, anak-anak akan biasa berbuat demikian  dan  menjadikan membaca
sebagai  amalan rutin harian kerana alah bisa, tegal dek biasa. Mereka akan selalu
membaca apabila  ada  masa terluang dan mereka akan menghargai masa
kerana masa itu emas. Tambahan pula, jika ibu bapa mempunyai waktu terluang,
mereka bolehlah membawa anak-anak ke perpustakaan awam yang berhampiran
dengan tempat tinggal mereka.  Perpustakaan awam memuatkan berjuta-juta buku
yang boleh meningkatkan ilmu pengetahuan anak-anak. Malahan, apabila anak-anak
pergi ke perpustakaan awam, mereka dapat membaca buku dalam keadaan yang
senyap, aman, damai dan tenang. Jelasnya, usaha ibu bapa membawa anak-anak
mereka ke perpustakaan awam dan menyediakan perpustakaan mini di rumah dapat
melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.
Tambahan lagi, ibu bapa juga boleh memupuk minat membaca bahan-bahan
ilmiah dengan membimbing anak-anak mereka melayari internet. Internet merupakan
sumber ilmu yang boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat. Namun, terdapat
remaja yang yang menyalahgunakan Internet seperti melihat gambar-gambar lucah.
Dalam konteks ini, ibu bapalah merupakan pembimbing kepada anak-anak mereka. Ibu
bapa perlu mendidik anak-anak melayari internet untuk mencari judul  buku ilmiah yang
terkenal supaya boleh dibeli di kedai-kedai buku berhampiran. Hal ini dapat 
menggalakkan anak-anak membaca karya-karya ilmiah supaya boleh melahirkan
generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Ilmu yang diperoleh daripada bahan-bahan
ilmiah boleh dijadikan sebagai panduan hidup. Hal ini disebabkan mesej-mesej yang
terkandung dalam bahan bahan ilmiah penting dalam kehidupan. Justeru, ibu bapa
memainkan peranan yang penting dalam memupuk minat membaca buku-buku ilmiah.
              Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk
melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan, ibu bapalah yang memainkan
peranan penting menggalakkan anak-anak membaca bahan-bahan ilmiah. Ibu bapa
harus menanamkan sikap suka membaca dalam kalangan anak mereka kerana
membaca akan menjadikan minda anak-anak mereka cerdas. Oleh hal yang
demikian,  ibu bapa mestilah menjadi pendorong untuk menyemaikan minat membaca
dalam kalangan anak mereka.  Jika anak-anak sudah jatuh cinta dengan aktiviti
membaca, kejayaan dalam bidang pelajaran akan terbentang luas di depan mereka
pada masa depan. Ibn Khaldun  dalam karya besarnya, Muqaddimah, pernah berkata
bahawa kekuatan ilmu bukan sahaja menjadi syarat dan pelengkap kepada kekuatan
fizikal, malah memberi arah dan makna kepada manusia dan bangsa terbabit.
Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam melahirkan generasi yang
cinta akan ilmu pengetahuan.

Anda mungkin juga menyukai