Anda di halaman 1dari 3

TEKS UCAPAN LANGKAH-LANGKAH MEMBELA WARGA EMAS Salam sejahtera dan salam 1 Malaysia saya ucapkan kepada Tuan

Pengerusi Majlis, yang berusaha Penghulu Mukim Labis, Tuan Haji Khairul bin Muhamad, yang dihormati wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat serta para hadirin yang dikasihi sekalian. Dewasa ini kita sering melihat terpapar di media massa kehidupan segelintir warga emas yang malang dan tidak terbela. Perkara ini telah menjadi satu gejala atau penyakit yang melular ke akar umbi masyarakat kita. Langkah-langkah yang wajar perlu diambil bagi membela nasib golongan ini. Hadirin yang saya hormati, Jabatan Kebajikan Masyarakat mentakrifkan warga emas sebagai mereka yang berumur 60-tahun dan ke atas. Menurut Ketua Pengarahnya, Puan Norani Mohd Hashim, berdasarkan resolusi yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu, penduduk warga emas negara ini, dijangka meningkat 15-peratus menjelang tahun 2030 daripada 2.2-juta orang ketika ini. Melihat kepada statistik ini, langkah segera perlu diambil agar warga emas ini dapat dibela dan tidak terbiar begitu sahaja. Perlu difahami, kepentingan dan kesejahteraan warga emas harus diberi perhatian oleh semua pihak. Bagi memastikan warga emas ini dibela, kita mestilah sedar tentang kepentingan sesebuah ikatan kekeluargaan itu. Kita lihat kebanyakan warga emas yang tidak terbela nasibnya adalah mereka yang ditinggalkan oleh keluarga mereka sendiri. Ikatan kekeluargaan yang terlalu bernilai itu sering dilupakan kerana terdapat sesetengah orang merasakan bahawa warga emas ini merupakan satu bebanan kepada mereka. Kita sering mendengar orang berkata seorang ibu mampu menjaga sepuluh orang anak, tetapi sepuluh orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu. Senario ini seolah-olah membenarkan kata-kata tersebut. Kita harus ingat bahawa golongan warga emas inilah yang dahulunya menjaga serta mengajar kita menjadi dewasa. Masalah warga emas yang terbiar ini mampu dikawal jika setiap orang mengambil langkah menerapkan rasa cinta terhadap keluarga sendiri. Hadirin yang dikasihi,

Setiap masalah yang berlaku dapat diselesaikan jika menyelesaikannya dari akar umbi lagi. Maka, pelajar-pelajar di bangku persekolahan ini perlu diterapkan dengan ideologi dan keperibadian yang betul. Kurikulum sekolah perlu mengambil kira pelajaran mengenai nilai-nilai kekeluargaan agar generasi muda dapat menghayati dan memahami kepentingan warga emas. Pengetahuan ini sangat penting bagi memahami keperluan warga emas kerana kebanyakan dari mereka beranggapan bahawa warga emas itu tidak berguna dan tidak produktif. Kesedaran ini dapat menganjak paradigma mereka agar mereka dapat menghargai orang tua yang telah banyak berjasa kepada kemakmuran dan kemajuan negara. Selain daripada kesedaran sivik, amalan praktikal juga diperlukan. Contohnya, mengunjungi rumah orang-orang tua, berbicara dengan mereka, menghiburkan mereka dan bermain dengan mereka. Faedah daripada langkah ini ialah hidup warga tua akan lebih bermakna kerana mereka dihargai oleh generasi muda. Penyertaan warga emas dalam aktiviti kemasyarakatan dan kekeluargaan merupakan satu lagi langkah yang dapat dilakukan bagi membuat kehidupan mereka lebih selesa dan bermakna. Mereka harus digalakkan untuk menyertai aktiviti-aktiviti kekeluargaan dan juga kemasyarakatan kerana mereka sangat berpengalaman Dengan menyertai aktiviti-aktiviti ini, masyarakat akan dapat lebih menghargai warga emas. Kebajikan warga emas ini sering diabaikan oleh masyarakat kerana mereka beranggapan bahawa mereka tahu segalanya dan warga tua tidak berguna dan juga membebankan sehingga mereka sanggup membiarkan orang tua mengemis. Mereka tidak sedar bahawa syurga terletak di bawah telapak kaki ibu. Oleh kerana itu, warga emas harus diberi penglibatan aktif dalam menyertai aktiviti-aktiviti kekeluargaan dan kemasyarakatan agar mereka dapat membuktikan bahawa anggapan stereotaip masyarakat tentang warga emas itu tidak benar dan juga masyarakat dapat menghargai mereka. Dengan cara begini, kehidupan mereka akan lebih bermakna ketika usia senja. Hadirin yang budiman sekalian, Di samping itu, perlindungan yang sewajarnya harus diberikan kepada warga tua. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak laporan akhbar yang melaporkan kejadian anak-anak muda yang melupakan ibu bapa mereka yang sudah tua apabila

mendapat wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ibu bapa mereka. Golongan yang berperwatakan ketidakberperikmanusiaan ini berpura-pura menjaga ibu bapa mereka sehingga warga tua ini mencapai usia 55 tahun. Apabila berjaya mengeluarkan wang KWSP, anak-anak muda ini akan melupakan ibu bapa dan hidup mewah dengan wang titik peluh ibu bapa mereka. Oleh sebab itu, kerajaan haruslah memperketat peraturan pengeluaran wang KWSP agar kebajikan dan masa depan warga tua dapat dilindungi. Saya berharap agar warga emas mendapat tempat yang sewajarnya dalam masyarakat kini. Hal ini dikatakan demikian kerana warga emas merupakan golongan yang banyak membanting tulang empat kerat untuk membina bangsa dan negara yang merdeka. Kejayaan golongan yang terdahulu menjanjikan kehidupan yang lebih selesa kepada kita pada masa ini. Wahai orang muda, janganlah kita menjadi seperti ulat lupakan daun selepas menikmati keselesaan hidup. Warga emas sewajarnya mendapat pengiktirafan dan pembelaan daripada semua pihak supaya mereka dapat melalui kehidupan dengan penuh ketenangan jiwa. Sebelum saya menyimpul bicara pada hari ini, dengarkanlah pantun berikut:

Bulan purnama ke pekan Kuah, Tengah hari membeli ragi; Dirimu umpama nyiur bertuah, Padat sari harun mewangi.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai