Anda di halaman 1dari 3

1

HURAIAN TEMA KERJA KURSUS SEJARAH 940/4


SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA 2023

OBJEKTIF UMUM KURSUS SEJARAH 940/4


1. Pelajar mampu memperoleh kemahiran mengumpul, memilih, menilai dan mentafsir sumber
sebagai bukti sejarah.
2. Pelajar dapat mengembangkan kemahiran insaniah.
3. Pelajar boleh menganalisis dan merumuskan fakta sejarah secara kritis dan rasional.
4. Pelajar mampu menghayati kepentingan peristiwa, tokoh, isu dan perubahan sosial dalam
masyarakat.
PENGENALAN
Bidang kajian sejarah mencakupi ruang lingkup yang sangat luas seiring dengan pertumbuhan,
perkembangan dan perubahan manusia, masyarakat dan negara. Bidang utama yang sering menjadi
asas penelitian pengkaji sejarah merangkumi aspek politik, sosial dan ekonomi. Pembahagian tersebut
merupakan penyusunan bagi memudahkan pengkaji melakukan pengkhususan serta batasan dalam
kajiannya. Skop penelitian tersebut sebenarnya boleh diperluaskan lagi kepada sub-sub bidang ataupun
kategori pecahan yang lebih kecil selaras dengan keperluan, kepentingan dan keterbatasan kemampuan
seseorang pengkaji. Disebabkan keluasan bidang kehidupan dan kegiatan manusia itu, ahli sejarah
membahagikannya kepada tema tertentu supaya penelitian yang tersusun, mendalam, khusus dan
terarah dapat dilakukan. Bagi tujuan Kerja Kursus Sejarah 940/4 tahun 2022 skop masa kajian yang boleh
dipilih oleh calon untuk menyempurnakan kajian ialah antara tahun 500 hingga tahun 2020.Tema-tema
kajian yang ditetapkan adalah:

1. Sejarah Kulinari
2. Sejarah Kehakiman dan Perundangan
3. Sejarah Sains dan Teknologi
4. Sejarah Tempat

Pemilihan tema bagi tahun 2023 disandarkan kepada kemudahan mengakses dan memperolehi
sumber bagi setiap calon di seluruh negara. Penawaran pelbagai tema mewujudkan pemilihan lebih
terbuka dalam kalangan calon untuk melengkapkan kajian mereka. Tema-tema yang dipilih juga
merupakan skop penelitian yang berkonsepkan mesra calon serta keadaan persekitaran kehidupan calon
bagi membolehkan akses yang lebih mudah dan ekonomik terhadap sumber. Penyelidikan juga menjadi
lebih mudah kerana mereka boleh menggunakan kaedah sejarah lisan atau menggunakan sumber primer
tempatan bagi mengumpul maklumat untuk menulis esei yang diperlukan. Dalam situasi semasa calon
juga boleh memanfaatkan kecanggihan komunikasi dan teknologi (ICT) dalam era Revolusi Industri 4.0
ini untuk memperolehi sumber khususnya sumber atas talian yang berautoriti serta sumber lisan
melalui kaedah temubual menggunakan aplikasi seperti panggilan video dan telefon tanpa perlu
bersemuka.
Memandangkan pentaksiran ke atas esei calon adalah berdasarkan kepada kriteria yang sama,
maka setiap calon diberikan kemudahan menjalankan penyelidikan dan akses yang sama bagi
memperolehi sumber bahan yang mereka perlukan.
2

TEMA 1: SEJARAH KULINARI DAN MAKANAN

Seacara asasnya, kulinari boleh ditakrifkan sebagai seni memasak. Ia merujuk kepada amalan atau cara
penyediaan makanan dan juga persembahan makanan. Dalam konteks kulinari sebagai seni masakan,
pelajar lazimnya didedahkan dengan kaedah yang berbeza dalam proses penyediaan makanan seperti
bahan penaik, pembelian bekalan dan keperluan keselamatan makanan. Dari sudut pandang kajian
sejarah, kulinari merupakan tumpuan terhadap kemunculan, perkembangan dan perubahan dalam dunia
masakan. Setiap kawasan atau kaum tentunya memiliki masakan istimewa tersendiri seperti makanan
dan minuman tradisional yang mempunyai sejarahnya masing-masing. Dalam kalangan masyarakat
Malaysia sendiri setiap kaum memiliki pelbagai masakan unik dan terkenal yang adakalanya menjadi
simbol identiti tersendiri kepada kaum tersebut. Keunikan masakan tersebut boleh ditonjolkan dengan
meneliti perkaitan makanan itu dalam proses sosialisasi masyarakat atau ekonomi. Selain itu, skop kajian
juga boleh dikembangkan dengan mengkaji aktiviti atau pergerakan manusia yang melibatkan masakan.
Individu-individu yang terlibat dengan kulinari seperti tukang masak atau chef juga menjadi sebahagian
dari cakupan bidang ini. Di samping itu, perkembangan dan perubahan dalam teknologi seni kulinari juga
boleh dijadikan subjek penelitian. Walaupun tema ini melibatkan elemen masakan dan makanan, perlu
diberi perhatian bahawa kajian perlulah menggunakan pendekatan sejarah sebagai asas penulisan esei.

TEMA 2: SEJARAH KEHAKIMAN DAN PERUNDANGAN

Kehidupan manusia yang teratur memerlukan pedoman, peraturan dan hukum bagi membolehkan
wujudnya keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian dalam masyarakat berkenaan. Keperluan itu
menjadi pendorong kepada berkembangnya institusi dan sistem perundangan dalam kebanyakan
masyarakat. Institusi ini diberikan peranan bagi menyusun, menggubal atau mengkanunkan sesuatu
peraturan bagi menentukan atau menetapkan hukum atau undang-undang yang akan dilaksana dan
dikuatkuasa dalam negara berkenaan. Dalam sistem pemerintahan tradisional di kebanyakan negara
lazimnya tidak wujud institusi perundangan dan institusi kehakiman yang khusus dan jelas. Di Malaysia
sebelum penjajahan misalnya, kuasa perundangan dan kehakiman bertumpu pada Raja atau Sultan.
Apabila berlakunya pemodenan pemerintahan baik semasa zaman penjajahan Inggeris mahupun setelah
negara kita mencapai kemerdekaan, sistem berkerajaan moden termasuklah sistem kehakiman dan
institusi perundangan moden telah diperkenalkan. Sistem negara moden yang berkembang itu membawa
kepada pembahagian kuasa yang jelas antara pelbagai institusi, iaitu Legislatif, Eksekutif dan Judisiari.
Setiap institusi ini diberikan autoriti yang jelas oleh perlembagaan negara - sebuah dokumen utama yang
menjadi asas kepada undang-undang bernegara bagi negara kita. Perlembagaan memperuntukkan
kuasa kepada Badan Legislatif / Perundangan - terdiri daripada Yang Dipertuan Agong, Dewan Negara
dan Dewan Rakyat untuk membuat undang-undang yang diperlukan. Di Malaysia, kuasa menjalankan
kehakiman terletak pada badan kehakiman. Kuasa itu terbahagi kepada Mahkamah Agung, Mahkamah
Tinggi, Mahkamah Rendah: Sesyen, Majistret, Juveni dan Penghulu. Ketua Hakim Negara menjadi
pentadbir undang-undang yang tertinggi. Selain dipengaruhi sistem perundangan dan kehakiman moden
/ barat – bidang kehakiman dan perundangan juga masih dipengaruhi oleh sistem perundangan Islam.
Kerana adanya pengaruh Islam ini, dari segi perundangan, amalan di Malaysia adalah bersifat dualistik.
Ini dapat dilihat dari segi kewujudan institusi dan undang-undang syariahnya. Perjalanan hukum
kehidupan bagi orang Islam di Malaysia misalnya, tertakluk kepada undang-undang keluarga Islam dan
kuasa kehakimannya dipegang oleh Mahkamah Syariah, Di samping adanya undang-undang moden dan
Islam serta badan pelaksananya, hukum adat juga masih berlangsung dan berpengaruh dalam kehidupan
masyarakat di negara kita

TEMA 3: SEJARAH SAINS DAN TEKNOLOGI


3

Sejak permulaan dunia ini, manusia sentiasa berusaha memahami, mengatur dan melangsungkan
kehidupan mereka. Sebagai makhluk yang hidup dalam alam ini, mereka berusaha secara sistematik
untuk memahami persekitaran tempat tinggal mereka dan fenomena alami yang mereka hadapi setiap
hari. Atas usaha secara sedar dan daripada pengalaman itu, manusia membangunkan ilmu pengetahuan
tentang alam dengan tujuan memperolehi manfaat daripada alam itu. Perkembangan ilmu sains
kemudiannya banyak membantu manusia membina teknologi bagi menghasilkan pelbagai alat bagi
membantu mereka memenuhi keperluan hidup. Dengan bermulanya usaha manusia mengaplikasikan
pengetahuan dengah tujuan menghasilkan sesuatu produk dan untuk memenuhi keperluan hidup itu,
membawa kepada berlakunya pelbagai inovasi. Dengan adanya inovasi tersebut lahirnya pelbagai
produk teknologi yang direkacipta bagi meringankan beban manusia ketika bekerja atau menghasilkan
sesuatu. Usaha manusia mengaplikasikan pengetahuan untuk rnerekacipta sesuatu (berasaskan know-
how) itulah yang dikenali sebagai teknologi. Dalam sejarah peradaban manusia, sains dan teknologi
tersebut mencetuskan pelbagai perubahan samada ianya bersifat baik atau buruk ke atas kehidupan
mereka. Dari segi sejarah, pengaruh sains dan teknologi sangat penting dalam mencorakkan perjalanan
hidup manusia di serata dunia, termasuk di negara kita. Produk teknologi yang dihasilkan itu telah banyak
membantu meringkankan beban manusia dan semakin memberikan kemudahakan kepada kehidupan
mereka. Hakikat ini sangat ketara dalam pelbagai bidang kehidupan kita seperti kegiatan ekonomi,
pengangkutan, pendidikan, perhubungan, kesihatan dan lain-lainnya. Disebabkan besarnya pengaruh
sains dan teknologi itu, kita boleh meneliti tentangnya dari pelbagai aspek. Misalnya, aspek pendidikan
sains, institusi penyelidikan, saintis, inovasi sains, produk teknologi yang dihasilkan di sesebuah negara
serta tentang teknologi tradisional dan sebagainya.

TEMA 4: SEJARAH TEMPAT

Keluasan bidang kajian sejarah tidak membataskan skop penelitian pengkaji terhadap pendekatan
tematik semata-mata. Kajian yang mengkhusus kepada aspek kajian kawasan (area studies) juga amat
penting malah seringkali menjadi fokus pengkaji. Sehubungan itu, muncul kajian-kajian yang bersifat
sejarah dunia, sejarah benua, sejarah rantau, sejarah negara serta sejarah kawasan yang lebih kecil.
Tema sejarah tempat dapat dikategorikan dalam kelompok sejarah tempatan (local history). Batasan
kawasan termasuklah sebuah kampung, bandar tradisi, bandar baru, atau kawasan/tapak. Antara aspek
pengkajian sejarah tempat meliputi asal-usul dan pembukaan serta perkembangan sesebuah kawasan
atau petempatan. Di samping itu, skop kajian juga boleh diperluaskan dengan meneliti perkembangan
kawasan tersebut sebagai sebuah petempatan. Dalam aspek ini tumpuan kajian berkait rapat dengan
sesuatu kegiatan manusia dalam pelbagai bidang kegiatannya. Contohnya, Banting, Beaufort, Arau,
Tumpat, Serian, penempatan di FELDA, FELCRA dan lain-Iain petempatan yang signifikan sejarah
masing-masing untuk diteliti.

Disediakan Oleh,
KPK 940/4 2023

Anda mungkin juga menyukai