Anda di halaman 1dari 3

1

HURAIAN TEMA KERJA KURSUS SEJARAH 940/4


SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA 2022

OBJEKTIF UMUM KURSUS SEJARAH 940/4


1. Pelajar mampu memperoleh kemahiran mengumpul, memilih, menilai dan mentafsir sumber
sebagai bukti sejarah.
2. Pelajar dapat mengembangkan kemahiran insaniah.
3. Pelajar boleh menganalisis dan merumuskan fakta sejarah secara kritis dan rasional.
4. Pelajar mampu menghayati kepentingan peristiwa, tokoh, isu dan perubahan sosial dalam
masyarakat.
PENGENALAN
Bidang kajian sejarah mencakupi ruang lingkup yang sangat luas seiring dengan pertumbuhan,
perkembangan dan perubahan manusia, masyarakat dan negara. Bidang utama yang sering menjadi
asas penelitian pengkaji sejarah merangkumi aspek politik, sosial dan ekonomi. Pembahagian tersebut
merupakan penyusunan bagi memudahkan pengkaji melakukan pengkhususan serta batasan dalam
kajiannya. Skop penelitian tersebut sebenarnya boleh diperluaskan lagi kepada sub-sub bidang ataupun
kategori pecahan yang lebih kecil selaras dengan keperluan, kepentingan dan keterbatasan kemampuan
seseorang pengkaji. Disebabkan keluasan bidang kehidupan dan kegiatan manusia itu, ahli sejarah
membahagikannya kepada tema tertentu supaya penelitian yang tersusun, mendalam, khusus dan
terarah dapat dilakukan. Bagi tujuan Kerja Kursus Sejarah 940/4 tahun 2022 skop masa kajian yang boleh
dipilih oleh calon untuk menyempurnakan kajian ialah antara tahun 500 hingga tahun 2020.Tema-tema
kajian yang ditetapkan adalah:

1. Sejarah Perubatan dan Kesihatan


2. Sejarah Politik
3. Sejarah Seni dan Kebudayaan
4. Sejarah Pendidikan

Pemilihan tema bagi tahun 2022 disandarkan kepada kemudahan mengakses dan memperolehi
sumber bagi setiap calon di seluruh negara. Memandangkan negara ini masih dilanda pandemik Covid
19 maka tema-tema yang dipilih membuka ruang untuk calon-calon mengeksploitasi kajian tentang
sejarah tempatan dengan lebih efisien. Penawaran pelbagai tema mewujudkan pemilihan lebih terbuka
dalam kalangan calon untuk melengkapkan kajian mereka. Tema-tema yang dipilih juga merupakan skop
penelitian yang berkonsepkan mesra calon serta keadaan persekitaran kehidupan calon bagi
membolehkan akses yang lebih mudah dan ekonomik terhadap sumber. Penyelidikan juga menjadi lebih
mudah kerana mereka boleh menggunakan kaedah sejarah lisan atau menggunakan sumber primer
tempatan bagi mengumpul maklumat untuk menulis esei yang diperlukan. Dalam situasi semasa calon
juga boleh memanfaatkan kecanggihan komunikasi dan teknologi (ICT) dalam era Revolusi Industri 4.0
ini untuk memperolehi sumber khususnya sumber atas talian yang berautoriti serta sumber lisan
melalui kaedah temubual menggunakan aplikasi seperti panggilan video dan telefon tanpa perlu
bersemuka.
Memandangkan pentaksiran ke atas esei calon adalah berdasarkan kepada kriteria yang sama,
maka setiap calon diberikan kemudahan menjalankan penyelidikan dan akses yang sama bagi
memperolehi sumber bahan yang mereka perlukan.
2

TEMA 1: SEJARAH PERUBATAN DAN KESIHATAN


Perubatan dan kesihatan merupakan unsur yang amat berkait rapat dengan kehidupan manusia.
Perkembangan kehidupan manusia yang bermula sejak dalam kandungan ibu hingga ke akhir hayat
sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan dua aspek ini. Cakupan tema ini meliputi aspek-aspek
tentang cara bagaimana manusia mengendalikan dan merawat diri mereka daripada penyakit baik
yang bersifat fizikal mahupun spiritual sehingga munculnya pelbagai institusi, kaedah dan cara
memelihara kesihatan tersebut sejak zaman berzaman, iaitu kaedah merawat kesihatan dan institusi
perubatan tradisional dan juga kemunculan kaedah dan institusi perubatan moden. Aspek-aspek ini boleh
diteliti dalam lingkup tempatan, negeri atau nasional. Contohnya, masalah penularan penyakit dan
langkah mengatasinya yang berlaku di sesuatu kampung, negeri atau negara. Di samping itu, aspek-
aspek yang melibatkan dasar kesihatan kerajaan, institusi bidan, bomoh, kemudahan kesihatan,
perubatan Islam dan seumpamanya turut tercakup dalam tema ini. Ringkasnya, cakupan tema ini bepusat
kepada soal penyakit, rawatan perubatan, institusi, tokoh perubatan dan lain-lain

TEMA 2 : SEJARAH POLITIK


Sejarah politik adalah satu bidang kajian sejarah yang mendapat perhatian utama dalam kajian sejarah.
Politik adalah satu bidang kegiatan yang menyentuh keseluruhan kehidupan bernegara dalam sesebuah
masyarakat. Sejarah politik meneliti tentang kegiatan, pemikiran dan institusi politik dipelbagai
peringkat yang berkaitan dengan perjalanan sistem pemerintahan yang diamalkan dalam sesebuah
masyarakat atau negara. Kegiatan politik merangkumi tindakan secara individual atau berkumpulan
yang dilakukan bagi memperjuangkan keyakinan/ideologi atau idealisme untuk membentuk sistem
pemerintahan dan kehidupan bernegara yang dihasratkan seperti perjuangan kemerdekaan tanah air.
Institusi politik dan sistem pemerintahan pula merangkumi misalnya, institusi raja, sistem raja
perlembagaan, institusi parlimen dan pemerintahan demokrasi, parti politik dan sistem pilihanraya dan
beberapa aspek lain. Sejarah politik juga meneliti pemikiran dan kegiatan yang dilakukan oleh seseorang
individu/tokoh samada secara bersendirian atau secara berkumpulan/berorganisasi dalam usaha
melakukan penentangan terhadap pihak berkuasa – misalnya penentangan terhadap pihak penjajah
dengan tujuan untuk memperolehi kuasa atau melakukan pembaharuan di dalam sesebuah negara itu.
Dalam konteks ini, sejarah politik akan meneliti kegiatan, peranan dan sumbangan seseorang atau
sekumpulan individu dalam memperjuangkan idealisme yang dipercayai untuk memperbaiki atau
menggantikan cara kehidupan bernegara dalam sesebuah negara itu. Kegiatan politik dalam negara
demokratik pada zaman moden ini lazim berlaku menerusi penubuhan parti-parti politik. Kegiatan
politik seperti ini boleh berlaku samada di peringkat kampung, daerah, negeri atau nasional.

TEMA 3: SEJARAH SENI DAN KEBUDAYAAN


Tema ini merupakan sub-tema kepada bidang sejarah sosial. Skop penelitian tema ini adalah luas dan
meliputi segala aspek kehidupan manusia. Seni pada amnya sudah tercakup dalam konsep kebudayan.
Dalam konteks yang luas, kebudayaan meliputi cara, gaya dan amalan dalam kehidupan manusia-
khususnya tindakan-tindakan mereka dalam menyusun kehidupan secara teratur, sehingga terbitnya
kebiasaan-kebiasaan/convention yang menjadi piawai dan diperturunkan secara berterusan ke dalam
masyarakat. Jadi, kebudayaan mencakupi banyak dimensi kehidupan manusia. Contohnya, seni adalah
satu aspek kebudayaan yang berkaitan dengan tahap perkembangan daya ekspresi dalam sesebuah
masyarakat – yang boleh dikategorikan ke dalam pelbagai genre seperti seni tari, seni lagu, seni
tampak, seni lukis, seni puisi, syair dan sebagai. Aspek-aspek ini mengalami perubahan dan
perkembangan dari semasa ke semasa, misalnya dari tahap tradisional ke moden. Manakala aspek lain
kebudayaan adalah seperti – cara hidup dalam masyarakat tradisional seperti perkahwinan, cara
berlakunya hubungan dalam masyarakat, cara mendidik anak, penubuhan institusi/organisasi serta
cara menjalankan sesuatu kegiatan baik dalam ekonomi, politik, dan sebagainya.
3

TEMA 4: SEJARAH PENDIDIKAN


Pendidikan adalah suatu proses bagaimana sesebuah masyarakat memindahkan (transmitting) budaya,
pengetahuan, kemahiran, nilai dan lain-lain dari satu individu/kelompok kepada yang lain. Pendidikan
melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran dengan memberikan tekanan atau tumpuan kepada
aspek-aspek tertentu yang dikira bernilai untuk dipelihara, dikembang dan diperturunkan. Bagaimana
proses ini berlaku berkembangkan sesuai dengan peredaran masa. Proses pendidikan yang berkembang
dalam sesebuah masyarakat sentiasa mengalami evolusi dan perubahan. Di kebanyakan negara,
pendidikan tradisionalnya masih berterusan, meskipun pendidikan moden berasaskan model Barat telah
diperkenalkan. Sementara itu, proses pendidikan dalam sesebuah masyarakat berlangsung menerusi
dua cara. Iaitu menerusi pendidikan formal dan tidak formal. Pendidikan formal berlaku menerusi atau
ditempat yang khusus samada dikendalikan oleh kerajaan atau swasta seperti di sekolah, kolej, atau
institusi pendidikan tinggi. Ia berlaku menerusi sistem pengajaran dan pembelajaran secara berstruktur,
sistematik dan tersusun. Dalam pendidikan formal, matlamat dan objektif, organisasi, kandungan dan
kaedah penyampaiannya (P&P) yang jelas dan tegas. Ini berbeza dengan satu lagi bentuk pendidikan
iaitu, pendidikan tak formal. Pendidikan bentuk ini berlangsung dalam kebanyakan masyarakat sebelum
munculnya pendidikan formal. Akibat perubahan dan kemajuan yang dicapai sesebuah masyarakat,
mereka beralih kepada pendidikan formal, tetapi ini tidak bermakna pendidikan tak formal pupus. Yang
demikian, di luar daripada bentuk formal itu, proses memindahkan pengetahuan, nilai dan kemahiran
masih berlaku dalam kebanyakan masyarakat. Pendidikan sebagai satu fenomena sejarah adalah subjek
yang luas cakupannya. Kita boleh meneliti pebagai aspeknya seperti matlamat dan objektif, organisasi,
kandungan sukatan pelajaran, kaedah pengajaran dan pembelajaran atau sistem pendidikan,
institusi, teori dan falsafah, pengalaman keguruan dan sebagainya.

Disediakan Oleh,

KPK 940/4 2022

Anda mungkin juga menyukai