Anda di halaman 1dari 5

1.

0 Pendahuluan

Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa. Namun
begitu masyarakat Malaysia tetap hidup bersatu padu tanpa sebarang kekecohan dan
peperangan. Hal ini kerana rakyat Malaysia sentiasa mengamalkan kesantunan
berbahasa dan nilai-nilai yang mulia. Kesantunan Bahasa ini merujuk kepada
penggunaan Bahasa yang sopan santun antara satu sama lain. Walau bagaimanapun,
amalan kesantunan berbahasa ini kian berkurang di dalam kalangan rakyat Malaysia
khusunya golongan remaja. Hal ini boleh dilihat melalui percakapan golongan remaja
yang suka menggunakan Bahasa yang kasar dan tidak sopan. Amalan kesantunan ini
hendaklah menjadi amalan dalam kalangan masyrakat di negara kita supaya dapat
membentuk sebuah masyarakat yang bertamadun.

2.0 Aspek kesantunan Bahasa

Kesantunan bahasa merupakan nilai-nilai kesopanan seperti pertuturan yang


baik, halus, lembut dan indah. Kesantunan bahasa juga disertai dengan budi pekerti.
Kesantunan bahasa juga meliputi aspek-aspek seperti pemilihan kata, nada, gerak laku
dan gaya ketika berkomunikasi sama ada secara terus atau tidak. Bahasa yang
digunakan turut mementingkan sistem sapaan yang digunakan agar menampakkan
kesantunan yang tinggi. Selain itu, kesantunan berbahasa merujuk kepada ketertiban
budi bahasa dalam penggunaan bahasa atau kesopanan ketika berbahasa. Kesantunan
berbahasa juga menunjukkan gambaran imej dan keperibadian seseorang sama ada
baik atau tidak baik. Contohnya, kita dapat mengetahui ragam dan bentuk tingkah laku
sebenar seseorang itu melalui kesantunan berbahasanya apabila berkomunikasi dengan
kita.

3.0 Konsep Budi Bahasa

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), budi ditakrifkan sebagai akal dan
kebijaksanaan seseorang. Dalam maksud yang lain, budi juga ditakrifkan sebagai
perangai, akhlak, tingkah laku, watak, sifat baik, perbuatan baik, kebajikan, bicara dan
daya upaya yang baik. Budi juga boleh memberikan maksud berterima kasih atas
kebaikan orang lain. Oleh hal yang demikian, budi merujuk kepada ketertiban atau
kesopanan yang dimiliki oleh seseorang.

1
Berdasarkan Kamus Dewan (2002), bahasa bermaksud sistem lambang bunyi
suara yang dipakai sebagai alat perhubungan di dalam sesuatu kelompok manusia.
Bahasa juga bermaksud percakapan yang baik, tingkah laku yang baik dan sopan
santun terhadap orang lain. Asmah Hj. Omar (1988) menyatakan bahawa bahasa
merupakan frasa atau petunjuk kepada sesuatu kebudayaan. Nik Safiah Karim (1981)
mentakrifkan bahasa satu sistem lambang pertuturan yang arbitari dan digunakan oleh
manusia sebagai alat untuk berhubung.

Siti Hajar Abdul Aziz (2009) mentakrifkan budi bahasa dan tingkah laku
bertatasusila dapat dilihat melalui kesantunan berbahasa seseorang itu. Dalam maksud
yang lain, budi bahasa seseorang itu dapat dilihat ketika dia menggunakan bahasa. Oleh
hal yang demikian, konsep budi bahasa merujuk kepada tutur kata, kelakuan, sopan
santun, tatatertib, akal, kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan dalam bentuk kata-kata
yang mempunyai nilai akhlak yang mulia.

4.0 Kepentingan kesantunan bahasa dan budi bahasa dalam masyarakat Malaysia
berdasarkan tokoh tempatan dan luar negara

Kesantunan bahasa dan budi bahasa sangat penting di dalam masyarakat


Malaysia kerana kesantunan berbahasa dapat mewujudkan perpaduan sesama
masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Masyarakat yang berbudi bahasa akan
mewujudkan masyarakat yang saling menghormati antara satu sama lain tanpa mengira
warna kulit ataupun status individu tersebut. Sekiranya wujudnya sikap saling
menghormati, masyarakat dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan sejahtera
biarpun hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum. Selepas itu, kesantunan bahasa
amat penting kepada remaja kerana remaja merupakan pelapis yang akan menjadi
pemimpin negara pada masa hadapan. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya remaja
sebagai modal insan minda kelas pertama yang akan memimpin bangsa dalam
mencapai kemajuan negara pada masa hadapan.

Berdasarkan Radiah Yusoff (2005), kesantunan berfungsi sebagai medium untuk


menjaga hubungan silaturahim sesama manusia. Beliau mentakrifkan kesantunan
sebagai fenomena sekumpulan manusia yang memainkan peranan untuk mengekalkan
hubungan harmoni antara ahli masyarakat. Hal ini amat penting kepada rakyat Malaysia
yang berbilang kaum kerana kesantunan bahasa dapat mengelakkan berlaku

2
perselisihan faham antara kaum ataupun lebih teruk lagi ialah peperangan. Selain itu,
Awang Sariyan (2007) menyatakan bahawa kesantunan bahasa sebagai penggunaan
bahasa yang beradab, sopan dan baik. Penggunaan bahasa yang beradab, sopan dan
baik ini mampu memperlihatkan peribadi mulia seseorang itu dan mempamerkan
penghormatan kepada individu yang menjadi teman bicaranya. Hal ini penting di dalam
kalangan rakyat Malaysia kerana penggunaan bahasa yang beradab, sopan dan baik ini
mampu membuatkan orang lain lebih selesa untuk berkomunikasi dengan kita. Selepas
itu, Zaitul Azma Zainon Hamzah (2012) mentakrifkan kesantunan sebagai penggunaan
bahasa yang halus dan santun yang dapat menunjukkan nilai sosial dan budaya sesuatu
masyarakat. Perkara ini amat penting dalam masyarakat Malaysia kerana rakyat
Malaysia hidup di dalam kalangan masyarakat yang harmoni, oleh itu penggunaan
bahasa yang halus dan santun perlulah sentiasa diamalkan agar masyarakat tersebut
akan terus hidup aman dan harmoni.

Menurut Sapir-Whorf (1921), kesantunan bahasa seseorang itu dapat dinilai dari
segi tingkah laku dan pengunaan bahasanya. Bahasa yang digunakan oleh seseorang
itu bukan hanya menentukan corak dan gayanya berbudaya, malah dapat menentukan
cara dan pola pemikirannya. Hal ini membuktikan kesantunan bahasa banyak
mempengaruhi perilaku penuturnya. Kesantunan juga berhubung secara langsung
dengan jarak sosial seseorang individu dengan individu yang lain. Hal ini ditekankan
oleh Thomas (1995) yang berpandangan bahawa kesantunan ialah kesedaran tentang
jarak sosial iaitu seseorang penutur perlu sentiasa menerapkan sikap bersopan santun
apabila berkomunikasi dengan orang lain kerana wujud sempadan antara seorang
penutur dengan penutur lain. Lanjutan, darjah kesopanan perlu mengambil kira jarak
sosial antara seseorang itu dengan orang lain semasa berinteraksi. Jarak sosial
merupakan tingkat keakraban yang menunujukkan hubungan individu dalam interaksi
sosial. Contohnya, sekiranya kita berbual-bual dengan rakan sekelas yang telah lama
kita kenali, pasti akan wujud ciri-ciri keakraban semasa proses perbualan tersebut. Hal
ini penting kepada masyarakat Malaysia kerana keakraban sesebuah masyarakat itu
penting kerana ia dapat membentuk masyarakat yang bersatu padu dan saling
membantu antara satu sama lain. Selain itu, Lakoff (1975) mentakrifkan kesantunan
sebagai perlakuan yang dapat mengurangkan pergesaran dalam sesuatu interaksi. Hal
ini penting kerana kesantunan dapat membantu proses interaksi antara seseorang
dengan seseorang yang lain supaya menjadi mudah, mesra, berkesan dan tidak
bermasalah.

3
5.0 Kesimpulan

Sebagai penghias bicara akhir, jelaslah bahawa kesantunan bahasa merupakan


perkara yang sewajibnya diamalkan di dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini kerana
negara kita merupakan negara yang mempunyai pelbagai kaum dan bangsa. Oleh itu,
kesantunan bahasa ini amat penting di dalam kehidupan rakyat Malaysia kerana
kesantunan bahasa ini dapat mengekalkan keharmonian negara melalui komunikasi
yang sopan sesama kaum dan bangsa di Malaysia. Selain itu, kesantunan bahasa juga
perlu diterapkan di dalam diri rakyat Malaysia khususnya golongan remaja kerana
kesantunan bahasa ini kian dilupakan oleh generasi pada masa kini. Hal ini kerana jika
kesantunan bahasa tidak diterapkan di dalam diri anak muda, kemungkinan besar
kekecohan akan berlaku pada masa hadapan kerana hilangnya rasa hormat sesama
kaum dan hilangnya kesopanan di dalam bicara sesebuah masyarakat itu.

4
Rujukan

Khairuddin Mohamad (2018). Kesantunan Masyarakat Malaysia. Selangor: Oxford Fajar

Sdn. Bhd.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan (2007). Santun Berbahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mustafa Haji Daud (1995). Budi Bahasa dalam Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka.

https://gsb1012kmm.blogspot.com/2015/09/bab-1-konsep-budi-bahasa-dalam.html

https://sainskesantunan.blogspot.com/2015/08/tajuk-1-konsep-budi-bahasa-dalam.html

https://muzkesantunanmasyarakat.blogspot.com/2015/09/bab-1-konsep-budi-bahasa-
dalam.html?m=1

https://vivianwee.blogspot.com/2013/10/kepentingan-kesantunan-berbahasa.html

https://sharondhivya.blogspot.com/2015/09/isu-kesantunan.html

Anda mungkin juga menyukai