Anda di halaman 1dari 3

Analisis Zaba yang cukup berpengaruh dalam menentukan jalan bahasa Melayu ialah dalam bidang tatabahasa.

Analisis beliau tentang tatabahasa dapat dibahagi kepada dua komponen utama, iaitu morfologi dan sintaksis, walaupun beliau tidak menggunakan istilah tersebut. Selaras dengan pengaruh tatabahasa tradisional yang ketika itu mendominasi disiplin linguistik, analisis Zaba ternyata banyak yang terikat oleh pendekatan tersebut. Oleh sebab itu istilah -istilah tatabahasa yang digunakannya dan cara beliau men jelaskan sesuatu konsep tatabahasa seluruhnya berdasar pada makna, iaitu ciri utama linguistik tradisional.

Dalam membicarakan kata, Zaba menggolongkan kata kepada lima golongan yang utama, iaitu nama, perbuatan, sifat, sendi, dan seruan. Setiap golonga utama itu dipecah-pecahkan kepada subgolongan. Misalnya di bawah nama ada nama betul dan ganti nama. Di bawah kedua -duanya ada pula pecahan yang lebih kecil, iaitu nama am atau nama nika dan nama khas. Tentang perbuatan pula, dipecahkannya golongan itu kepada perbuatan melampau dan perbuatan tidak melampau, yang kini kita kenal sebagai kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif. Antara gagasan Zaba yang menarik tentang perbuatan yang dapat menduduki fungsi nama, iaitu yang disebutnya perbuatan nama dan nama perbuatan. Jelas bahawa hal yang kini dibincangkan oleh ahli linguistik moden sebagai bentuk nominal telah dibincangkan jauh lebih awal oleh Zaba.

Tentang sifat pula, Zaba membahaginya kepada sifat nama dan sifat kata. Yang pertama merujuk kepada golongan kata yang dikenal sebagai adjektif, sementara yang kedua merujuk kepada adverba. Dalam keriuhan perancang bahasa dan pengguna bahasa mendapati tiadanya golongan kata adverba dalam Tatabahasa Dewan, maka sekali lagi tatabahasa yang disusun Zaba dirujuki untuk mengambil keputusan memasukkan golongan kata itu dalam edisi baharu buku tatabahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka itu. Tentang kata sendi pula, Zabalah yang meletakkan asas penggunaan kata sendi yang tepat, misalnya antara pada dengan di, ke dengan kepada, dari dengan daripada, dan yang lain. Hingga kini ketetapan yang dibuat Zaba itu menjadi pegangan pendidik dan pelajar serta masyarakat umum.

Analisis Zaba tentang ayat bahasa Melayu berkisar di sekitar ayat selapis, ayat

berlapis, ayat berkait, dan ayat bercampur. Penggolongan ayat sedemikian tidak jauh berbeda dengan yang berlaku dalam bahasa -bahasa lain, dan hal ini memenuhi salah satu ciri asas kesejagatan bahasa. Ayat selapis merujuk kepada konsep ayat tunggal, iaitu ayat ayat yang terdiri daripada satu subjek dan satu predikat. Ayat berlapis samalah dengan ayat gabungan, sementara ayat berkait ialah padanan istilah bagi ayat pancangan walaupun konsep ayat berkait Zaba lebih banyak berkaitan dengan ayat pancangan keterangan saha ja. Ayat bercampur samalah dengan ayat campuran, iaitu ayat yang terdiri daripada pelbagai binaan ayat. Jelaslah bahawa analisis ayat atau sintaksis yang terdapat dalam buku -buku tatabahasa kini masih tetap berasas pada analisis yang dibuat oleh Zaba. Yan g membezakannya hanya soal istilah dan kerangka pendekatannya sahaja. Sebagai contoh, sementara Zaba menggunakan pendekatan tradisional, Tatabahasa Dewan, khususnya dalam aspek sintaksis, disusun berasaskan pendekatan transformasi generatif.

Jenis-jenis ayat yang terbahagi kepada ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, dan ayat seruan pun telah dianalisis oleh Zaba. Demikian juga ragam ayat yang dikenal sebagai ayat aktif dan ayat pasif telah digarap oleh Zaba dengan istilah ayat bangun membuat dan ayat bangun kena buat. Kajian yang saya lakukan menunjukkan bahawa rumus-rumus ayat pasif bahasa Melayu yang dikemukakan oleh sarjana sarjana linguistik moden tidak ada perbezaannya sama sekali dengan yang telah dikemukakan oleh Zaba lebih setengah abad ya ng silam.

Selain berjasa besar dalam meletakkan asas sistem bahasa Melayu dalam bidang ejaan dan tatabahasa, Zaba berjasa besar juga dalam mengetengahkan ilmu retorik. Karyanya Ilmu Mengarang Melayu yang mula terbit pada tahun 1934 telah dicetak ulang sebanyak enam kali dalam edisi Jawi sehingga tahun 1956 dan terbit pula dalam edisi Rumi ( dengan pindaan dan pembaikan ) pada tahun 1962. Buku tersebut memberikan pedoman yang cukup praktis dalam kerja karang -mengarang, baik dalam bentuk prosa mahupun puisi . Prof. Dr. Hashim Awang dalam kertas kerjanya Retorika Melayu dari Tanggapan Zaba untuk Kongres Bahasa Melayu Sedunia ( 21 25 Ogos 1995 ) mengangkat Zaba sebagai tokoh dan pelopor retorik Melayu. Kata beliau, buku Ilmu Mengarang Melayu Zaba mendahu lui buku tokoh retorik Inggeris Cleanth Brooks dan Robert Penn Warren, iaitu Modern Rhetoric

yang terbit enam tahun sesudah buku Zaba itu. Pembicaraan tentang pemikiran dan kesarjanaan Zaba tidak mungkin terungkapkan dalam kertas kerja sesederhana ini. Kajian yang mendalam lagi analitis dan kritis diperlukan untuk menghargai jasa dan sumbangan Zaba dalam bidang bahasa dan persuratan. Usahlah kita sekadar mengagumi Ferdinand de Saussure, Leonard Bloomfield, Noam A. Chomsky, M. A. K. Halliday, John Lyons, dan yang lain dari dunia barat sehingga lupa akan kehebatan Zaba dalam meletakkan asas perkembangan ilmu bahasa atau linguistik di Malaysia dan di Alam Melayu. Usaha Universiti Pendidikan Sultan Idris mewujudkan Kursi Zaba dalam rangka mengimarahkan dunia kesarjanaan dalam bidang pengajian Melayu merupakan usaha yang terpuji, bukan sahaja sebagai mengenang jasa bakti beliau sebagai antara tokoh yang menjadi tonggak Sultan Idris Training College yang merupakan institusi awal universiti tersebut, malah seb agai penghargaan yang hak baginya sebagai perintis bahasa Melayu baharu. Demikian juga, usaha kerajaan Negeri Sembilan mewujudkan Teratak Zaba yang bersifat muzium tokoh seakan -akan muzium Hemingway di England itu akan dapat mengabadikan sumbangan Zaba dalam melanjutkan tradisi keilmuan di rantau berbahasa Melayu ini.

Anda mungkin juga menyukai