Anda di halaman 1dari 22

1

UNIT PEMBELAJARAN 3

Isu-isu Kebahasaan Bahasa Melayu

Objektif Pengajaran/Pembelajaran:
 Membincangkan aspek tatabahasa yang sering mengelirukan para pengguna bahasa
Melayu.
 Mengenal pasti kesalahan-kesalahan umum dalam penggunaan bahasa Melayu.
 Bertutur dan menulis dengan menggunakan tatabahasa yang betul.

Kandungan Modul

1. Kata Sendi Nama 7. Penggunaan ‘ianya’


2. Hukum D-M 8. Penggunaan kata hubung
3. Kata Majmuk 9. Pengejaan kata apabila menerima imbuhan
4. Kata Pemeri 10. Amalan Kelewahan
5. Kata Tanya
6. Penggunaan Tanda Sempang

Pengenalan
Bahasa Melayu hari ini telah berkembang begitu pesat dan mendadak sehingga ramai penutur
dan pengguna bahasa Melayu menghadapi kesulitan untuk mengikuti perkembangan tersebut
(Tatabahasa Dewan, 2003: ix). Walaupun bahasa Melayu telah dimartabatkan sebagai bahasa
kebangsaan lebih setengah abad, namun perjuangan untuk membaiki kesalahan-kesalahan
tatabahasa dalam kalangan penggunanya belum berakhir. Kesalahan tatabahasa ini berlaku
kerana pengguna bahasa ini belum menguasai sepenuhnya tatabahasa bahasa Melayu. Oleh itu,
modul ini bertujuan membincangkan aspek tatabahasa yang sering mengelirukan para
pengguna bahasa Melayu. Pengguna bahasa disarankan agar berusaha merujuk kepada kamus
untuk mengetahui makna kata, bentuk imbuhan, dan kelas kata, selain mendalami hukum
tatabahasa dan mengetahui ejaan bahasa Melayu yang betul untuk menghindari daripada
melakukan kesalahan bahasa yang tidak sepatutnya dilakukan.

1. KATA SENDI NAMA

Apabila dan di mana-mana sahaja orang memperkatakan soal kesalahan bahasa, tidak dapat
tidak penggunaan sendi nama (ada yang menamainya kata depan, preposisi dan sebagainya)
turut menjadi tajuk perbincangan. Pengguna bahasa Melayu dikatakan keliru tentang
penggunaan kata sendi nama yang betul hingga kini, perkara ini tidak habis-habis
dibangkitkan.(DBP, 1989:1).

Penggunaan sendi nama ternyata bermasalah pada masa kini kalau kita teliti penggunaannya,
baik dalam tulisan mahupun dalam pertuturan rasmi. Penggunaan sendi nama juga didapati
tidak mantap dalam karya sastera seperti novel, cerpen dan sebagainya. Kebanyakan penulis
menggunakan sendi nama seolah-olah secara teragak-agak sahaja menurut intuisi masing-
masing tanpa sebarang peraturan (DBP, 1989:2).

Salinan Pelajar (FBK)


2

Berikut ialah beberapa kategori kata sendi nama yang sering mengalami ketidakselarasan dari
segi penggunaannya:

1.1 Kata Sendi Nama “dari”


Kata sendi nama dari hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan arah
atau tempat, dan waktu atau masa. Oleh itu, sendi nama ini digunakan untuk menyatakan
hubungan tempat datang dan hubungan masa. Menurut Za’ba sendi nama dari menunjukkan
tempat datang, tempat mulai bergerak atau tempat yang ditinggalkan (DBP, 1989: 6).

(a) menunjukkan tempat atau arah

Contoh:
1. Angin kencang yang bertiup dari arah tenggara mungkin akan membahayakan
bot-bot kecil.
2. Puan berasal dari mana?
3. Mereka baru sahaja balik dari perpustakaan.
4. Azmi mengukur jarak dari sudut A ke sudut B.
5. Pasir itu dikuak dari pengkalan sungai.

Sendi nama dari juga untuk menunjukkan semacam lingkungan mujarad, melalui kiasan,
dengan penggunaan maksud tempat. Dalam penggunaan ini, maksud tempat itu dikaitkan
dengan lingkungan mujarad tertentu bagi perkara yang menunjukkan tempat. (DBP, 1989:
6).

Contoh:
Pihak pengkaji akan membuat kajian tersebut dari sudut ekonomi.
1. Kami akan membincangkan tajuk itu dari segi moral.
2. Ahli majlis itu dilantik dari segi ketokohan mereka dalam bidang masing-masing.
3. Syarat pinjaman itu hanya berbeza dari segi kadar faedah dan tempoh bayaran balik.

(b) menunjukkan waktu atau masa

Contoh:
1. Pihak pengurusan akan memantau kes ini dari semasa ke semasa.
2. Sukacita dimaklumkan bahawa Khemah Bahasa akan diadakan dari 26 hingga
27 April 2017 di Taman Negara Lambir, Miri.
3. Mesyuarat itu akan diadakan dari pukul sembilan pagi hingga ke pukul empat
petang.
4. Kerajaan itu terkenal sejak dari kurun ke-18.
5. Dari kurun Masihi ke-16, Tanah Melayu telah dikunjungi oleh bangsa Eropah.

Kata Sendi Nama “daripada”

Salinan Pelajar (FBK)


3

1.2 Kata Sendi Nama “daripada”


Kata sendi nama daripada hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca
bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad (abstrak), sumber atau asal kejadian sesuatu
benda, dan perbezaan atau perbandingan.

(a) menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad (abstrak)

Contoh:
1. Kerjasama daripada tuan amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan ribuan
terima kasih. (manusia)
2. Derma itu diterimanya daripada orang ramai. (manusia)
3. Borang permohonan biasiswa itu boleh didapati daripada pihak Kementerian
Pendidikan. (manusia)
4. Cadangan daripada pihak persatuan kami telah diterima. (manusia)
5. Pemain sarkas itu menerima bola daripada beruangnya. (haiwan)
6. Dalam Sejarah Melayu, Bat dikatakan keluar daripada muntah lembu.
(haiwan)*
7. Kain berasal daripada benang manakala benang pula berasal daripada kapas.
(benda)*
8. Almari itu dibuat daripada logam dan plastik. (benda)*
9. Daripada penyelidikan yang dilakukan, sebanyak 80.3 peratus responden
gemar menonton rancangan berbentuk hiburan. (abstrak)
10. Dia mendapat manfaat daripada nasihat bapanya. (abstrak)

(* juga boleh menyatakan maksud sumber atau asal kejadian sesuatu benda seperti di bawah)

(b) menyatakan maksud sumber atau asal kejadian sesuatu benda

Contoh:
1. Ukiran itu diperbuat daripada logam.
2. Semua ubatnya daripada akar kayu.
3. Azreen mendapat ilham daripada pemandangan itu.
4. Kebanyakan kuih berasal daripada tepung.

(c) menunjukkan perbezaan atau perbandingan

Contoh:
1. Pencapaian pelajar dalam mata pelajaran bahasa Inggeris SPM tahun ini lebih
baik daripada tahun lalu.
2. Budak itu lebih suka membaca buku daripada menonton televisyen.
3. Cara berfikirnya lain daripada yang lain.
4. Daripada Alia, lebih baik Azura.
5. Harga kain itu kurang sedikit daripada harga biasa.

Salinan Pelajar (FBK)


4

1.3 Kata Sendi Nama “kepada”


Kata sendi nama kepada terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan
sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad (abstrak), menyatakan pecahan dan
menyatakan perubahan keadaan.

Contoh:
1. Tuan/puan diminta merujuk hal ini kepada pihak atasan. (manusia)
2. Sila serahkan nama kakitangan yang berminat menyertai pertandingan ini
kepada Puan Zarina selewat-lewatnya pada 3 Mac 2016. (manusia)
3. Pekerja zoo memberi makanan kepada binatang di zoo tersebut tiga kali sehari.
(haiwan)
4. Makanan yang berlebihan itu diberikannya kepada kucing kesayangannya.
(haiwan)
5. Pastikanlah anak-anak anda tidak terdedah kepada bahaya dadah. (mujarad)
6. Perkahwinannya mampu bertahan kerana bersandar kepada kesetiaan.
(mujarad)
7. Peserta Khemah Bahasa telah dibahagikan kepada enam kumpulan. (pecahan)
8. Mulai tahun ini, Jabatan Pendaftaran Negara dibahagikan kepada lima
bahagian. (pecahan)
9. Suhu badannya meningkat kepada 39°C. (perubahan keadaan)
10. Keadaan ekonomi berubah kepada tahap yang lebih baik. (perubahan keadaan)

Namun demikian, kata sendi nama “kepada” boleh juga digunakan di hadapan kata nama atau
frasa nama yang merujuk institusi yang ada kaitan dengan manusia.
Contoh:
1. Ibu bapa telah menghantar surat bantahan kepada sekolah tersebut.
2. Dewan Bahasa dan Pustaka telah menghadiahkan buku bacaan kepada
beberapa buah perpustakaan sekolah.
3. Surat itu hendaklah dihantar kepada Kementerian Pendidikan dengan segera.

1.4 Kata Sendi Nama “pada”


Kata sendi nama pada terletak di hadapan kata nama atau frasa nama dalam situasi yang
berikut:
(a) menunjukkan keterangan waktu (apabila mendahului kata nama yang
menyatakan waktu atau masa)
Contoh:
1. Pihak kami berharap hal ini tidak akan berulang pada masa akan datang.
2. Borang itu dihantar kepada pihak tuan pada 22 Mac 2016.

(b) menunjukkan hubungan tempat bagi perbuatan kata kerja


Contoh:
1. Iklan syarikat itu terpampang pada setiap bas Sri Jaya.
2. Bajunya tersangkut pada cangkuk besi lalu koyak.
3. Sindiran orang tua itu dirasai terkena tepat pada batang hidungnya.

Salinan Pelajar (FBK)


5

(c) apabila hadir di hadapan kata “ada” atau “tiada”, mesti diikuti kata nama yang
merujuk manusia atau haiwan.
Contoh:
1. Semua ketua jabatan disarankan memanfaatkan kuasa yang ada pada mereka
untuk kepentingan organisasi masing-masing.
2. Keupayaan untuk berfikir tiada pada binatang.

1.5 Kata Sendi Nama “di” dan Imbuhan “di”


Kata sendi nama (KSN) di digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan
tempat. Kata sendi di dieja terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya,
manakala imbuhan di dicantum dengan kata yang mengikutinya (kata kerja).

Contoh :
1. Seorang wanita dipenjara 10 tahun kerana menyalahgunakan wang syarikat.
2. Wanita tersebut menjalani hukuman penjara di Penjara Pudu.
3. Kursus Kepimpinan Pelajar akan diadakan di Kem Belia Pueh, Sematan.
4. Semua pelajar sekolah menengah diwajibkan mengikuti kelas tambahan Bahasa
Inggeris di sekolah masing-masing.

Nota: Oleh sebab KSN di digunakan di hadapan kata nama/frasa nama


menunjukkan tempat, maka penggunaan di kalangan tidak tepat kerana
kalangan bermaksud golongan/ kelompok/ kumpulan (abstrak). Penggunaan
yang tepat ialah dalam kalangan kerana dalam digunakan di hadapan kata
nama bersifat abstrak/ sesuatu yang tidak mempunyai ruang.

1.6 Kata Sendi Nama “ke” dan Imbuhan “ke”


Kata sendi nama ke digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk tempat
dan masa. Oleh itu “ke” juga digunakan untuk menyatakan hubungan tempat atau arah tuju
dan hubungan masa. Terdapat dua cara penulisan ke dalam bahasa Melayu.

(a) Apabila berfungsi sebagai kata sendi nama yang menyatakan hubungan tempat atau
arah, maka “ke” dieja terpisah daripada kata nama (tempat) yang mengikutinya.

Contoh:
1. Beliau telah berkhidmat di sini dari muda hingga ke tua.
2. Konvoi Kembara Bahasa telah singgah ke lima tempat sebelum sampai ke Sibu.
3. Papan tanda tersebut dialih ke tengah ruang pejabat agar mudah dilihat oleh
pelawat.
4. Semua pekerja menjenguk ke luar setelah mendengar bunyi jeritan yang
dahsyat.
5. Mesyuarat berlanjutan sampai ke pukul tiga petang.
6. Bahagian Penguat Kuasa akan mengadakan pemeriksaan kebersihan gerai dari
masa ke masa.

Salinan Pelajar (FBK)


6

(b) Apabila “ke” berfungsi sebagai imbuhan, maka “ke” ditulis serangkai dengan kata
yang mengikutinya untuk membentuk kata nama, kata bilangan dan kata kerja.

Contoh:
1. Ketua unit di setiap jabatan memainkan peranan penting memastikan staf di
unit mereka menjalankan tugas dengan cekap dan dedikasi.
2. Minit Mesyuarat Kelima Pusat Pengajian Bahasa disahkan tanpa sebarang
pindaan.
3. “Ketengahkan pendapat anda agar kita dapat mencari jalan penyelesaian
terhadap kes ini”, kata Ketua Polis Negara apabila diminta mengulas tentang
kes samseng di sekolah.
4. Encik Hashim telah keluar pejabat sejak pukul 10.00 pagi tadi.

1.7 Penggunaan “di dalam” dan “dalam”


Frasa sendi nama di dalam digunakan untuk menunjukkan sesuatu yang mempunyai ruang,
manakala kata dalam digunakan apabila memperkatakan sesuatu yang bersifat abstrak atau
tidak mempunyai ruang seperti perkara, peristiwa, hal, urusan, bahasa, bidang, dan sebagainya.

Contoh:
1. Pemburu itu sesat di dalam hutan.
2. Penumpang tidak dibenarkan merokok di dalam kabin kapal terbang.
3. Semua peserta berkumpul di dalam dewan.
4. Nota yang dicari selama ini rupa-rupanya terselit di dalam surat khabar lama
itu.
5. Banyak kesilapan bahasa dapat dikesan dalam surat khabar berbahasa Melayu.
6. Dia merupakan pelajar yang pintar dalam kalangan kawan-kawannya.
7. Masalah itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat yang lalu.
8. Kemahiran berkomunikasi dalam pelbagai bahasa amat penting bagi pelajar.
9. Tujuan utama kursus ini diadakan adalah untuk membolehkan para pelajar
mengaplikasi kemahiran yang dipelajari dalam kehidupan seharian.

1.8 Penggunaan “di antara” dan “antara”


Frasa sendi nama di antara digunakan untuk sesuatu yang mempunyai ruang (kedudukan
fizikal atau tempat). Kata antara dapat berfungsi sebagai kata sendi nama dan kata arah dan
digunakan apabila memperkatakan sesuatu yang bersifat abstrak. Kata antara yang berfungsi
sebagai kata sendi nama boleh mendahului ayat yang menunjukkan perbandingan.

Contoh:
1. Juzaila duduk mencelah di antara Syahmina dengan Shahira.
2. Rumahnya terletak di antara dua bangunan tinggi itu.
3. Tambak Johor terletak di antara Johor Bahru dengan Singapura.
4. Masalah disiplin merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam
mesyuarat itu.
5. Kini, ramai antara mereka ini telah mempelajari bahasa Melayu.
6. Kamil adalah antara peserta yang mengambil bahagian dalam acara renang.
7. Antara ilmu perubatan dengan ilmu biologi ada persamaannya.
8. Antara Rahim dengan Azman banyak perbezaannya.

Salinan Pelajar (FBK)


7

2. Hukum D-M
Hukum D-M (Diterang-Menerangkan) ialah peraturan susunan frasa dalam bahasa Melayu.
Dalam susunan frasa bahasa Melayu, kata yang diterangkan (D) MESTI hadir dahulu, diikuti
oleh kata yang menerangkan (M). Misalnya, “kereta biru”, terbentuk daripada kata “kereta”
yang diterangkan dan diikuti kata “biru” yang menerangkan tentang keadaan kereta tersebut.
Hal yang sebaliknya berlaku dalam susunan frasa bahasa Inggeris iaitu kata yang menerangkan
hadir di hadapan kata yang diterangkan, misalnya “Zahid’s Clinic”.

Penterjemahan secara langsung daripada bahasa Inggeris adalah salah satu faktor
mempengaruhi pengguna bahasa Melayu melakukan kesilapan hukum D-M iaitu “Zahid’s
Clinic” diterjemahkan menjadi “Zahid Klinik”, walhal sepatutnya “Klinik Zahid”.

Contoh-contoh lain kesalahan hukum D-M adalah seperti berikut:

SALAH BETUL
mini telekung telekung mini
mi 2 minit segera mi segera 2 minit
Linda Restoran Restoran Linda
lain-lain hal hal-hal lain
maksimum denda denda maksimum
S.Y. Lim Klinik Sakit Puan dan Bersalin Klinik Sakit Puan dan Bersalin S.Y. Lim
Juara Kedai Kopi Kedai Kopi Juara

Kecualian Hukum D-M


Kecualian peraturan D-M, iaitu penerang mendahului unsur yang diterangkan, boleh berlaku
akibat kebiasaan dalam penggunaan terutama sekali pada nama-nama jawatan. Contohnya;

Penerang (M) Yang Diterangkan (D)


Perdana Menteri
Timbalan Menteri
Naib Presiden
Ibu Pejabat

Salinan Pelajar (FBK)


8

3. Kata Majmuk
Terdapat sebilangan kecil bentuk kata majmuk yang penggunaannya sudah dianggap mantap
sebagai satu perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut ternyata mengandungi dua
kata dasar. Perkataan yang demikian tetap dieja sebagai satu perkataan. Bentuk-bentuk kata
yang telah mantap ialah:

antarabangsa kakitangan tandatangan


beritahu kerjasama tanggungjawab
bumiputera olahraga warganegara
jawatankuasa matahari pesuruhjaya
setiausaha

Selain bentuk kata majmuk yang dibincangkan di atas, terdapat sejumlah perkataan yang
tergolong dalam golongan kata tertentu yang secara lazimnya dieja bercantum, contohnya:

(i) kata nama : peribadi, peribahasa, hulubalang, dinihari, perikemanusiaan


(ii) kata adjektif : sukacita, dukacita
(iii) kata sendi nama : kepada, daripada
(iv) kata hubung : apabila, manakala, padahal, darihal, barangkali, kadangkala,
apakala, walhal
(v) kata tanya : bagaimana

3.1 Penggandaan Kata Majmuk


Penggandaan kata majmuk melibatkan penggandaan unsur pertama sahaja.
Contohnya:

alat-alat tulis Menteri-Menteri Besar model-model linear


balai-balai raya gambar-gambar rajah Naib-Naib Canselor
suku-suku kata kapal-kapal terbang Ketua-Ketua Menteri
jirim-jirim organik garis-garis pusat

Satu kecualian ialah penggandaan yang melibatkan bentuk yang telah mantap;
penggandaannya melibatkan keseluruhan unsur.

Contohnya:
Pesuruhjaya-pesuruhjaya
Warganegara-warganegara
Tandatangan-tandatangan
Jawatankuasa-jawatankuasa

Salinan Pelajar (FBK)


9

3.2 Pengimbuhan Kata Majmuk


Kata majmuk boleh menerima imbuhan untuk menghasilkan kata terbitan. Pengimbuhan kata
majmuk terdapat dalam dua bentuk, iaitu:

(i) apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan awalan atau akhiran sahaja,
ejaannya tetap terpisah.
Contohnya:
campur aduk → bercampur aduk temu bual → ditemu bual
litar selari → berlitar selari daya serap → daya serapan
ambil alih → mengambil alih kemas kini → kemas kinikan

(ii) apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan apitan, ejaannya menjadi
bercantum.
Contohnya:

campur aduk → mencampuradukkan satu padu → menyatupadukan


daya serap → kedayaserapan urus niaga → diurusniagakan
garis pusat → menggarispusatkan

4. Kata Pemeri
Kata pemeri ialah unsur yang memerikan hal atau merupakan perangkai antara subjek dengan
frasa-frasa utama dalam predikat. Terdapat 2 kata pemeri dalam bahasa Melayu iaitu ialah dan
adalah.

Kata pemeri ialah hanya digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang bersifat
persamaan.
Contoh:
1. Rumah itu ialah rumah Datuk Mohan.
2. Nama ketua jabatan kami (ialah) Azman bin Halim.
3. Kucing belang itu ialah kucing jenis parsi.

Kata pemeri “adalah” pula hadir di hadapan frasa adjektif atau frasa sendi nama yang bersifat
huraian.
Contoh:
1. Keputusan pihak hakim adalah muktamad.
2. Jawapan yang diberikan oleh peserta kuiz itu (adalah) tepat.
3. Kursus ini adalah untuk memantapkan disiplin pelajar.
4. Sumbangan besar beliau adalah dari segi kewangan.

4.1 Kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan kata kerja atau frasa kerja. Oleh sebab
itulah kata pemeri tidak boleh digunakan pada pangkal ayat, seperti yang lazim digunakan
dalam ayat berbentuk makluman dan pengisytiharan.
Contoh:
1. Adalah dimaklumkan bahawa pihak Universiti Malaysia Sarawak dengan
kerjasama pihak RTM akan menganjurkan Malam Kesenian pada 23 April
2017. (salah)
(sepatutnya : Dimaklumkan bahawa pihak Universiti Malaysia Sarawak dengan
kerjasama pihak RTM akan menganjurkan Malam Amal pada 23 April 2017.)
Salinan Pelajar (FBK)
10

2. Adalah menjadi harapan pihak kami agar pihak tuan dapat memberi maklum
balas segera berkenaan hal ini. (salah)
(sepatutnya : Pihak kami berharap agar pihak tuan dapat memberi maklum balas
segera berkenaan hal ini.)
3. Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Ahad , 19 Ogos
2017. (salah)
(sepatutnya : Dengan ini diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari
Ahad, 29 Ogos 2017 .)

Nota: kata pemeri boleh hadir di hadapan kata kerja seperti contoh
berikut kerana kata berenang, memasak dan menyanyi telah
mengambil sifat kata nama dalam konteks ini.

Contoh: Hobi saya ialah berenang/memasak/menyanyi.

4.2 Kata pemeri juga tidak boleh hadir bersama-sama kata nafi.

Contoh:
1. Encik Razak ialah bukan timbalan pengarah jabatan kami.
(sepatutnya: Encik Razak bukan timbalan pengarah jabatan kami.)
2. Arahan tersebut adalah bukan untuk semua kakitangan kerajaan.
(sepatutnya: Arahan tersebut bukan untuk semua kakitangan kerajaan.)

Namun demikian terdapat kecualian. Dalam keadaan tertentu, kata pemeri adalah boleh wujud
dalam binaan kata nafi dan frasa adjektif.

Contoh:
1. Kenyataan itu adalah tidak benar.
(Boleh juga: Kenyataan itu tidak benar.)

2. Keputusan itu adalah tidak adil.


(Boleh juga: Keputusan itu tidak adil.)

3. Sambutan tahun baru yang dibuat secara berpesta-pesta adalah tidak sesuai
dengan budaya timur.
(Boleh juga: Sambutan tahun baru yang dibuat secara berpesta-pesta tidak
sesuai dengan budaya timur.)

4. Kes saman yang menuntut pampasan berjuta-juta ringgit itu adalah tidak
munasabah.
(Boleh juga: Kes saman yang menuntut pampasan berjuta-juta ringgit itu tidak
munasabah.)

Salinan Pelajar (FBK)


11

5. Penggunaan Kata Tanya


Kata tanya berfungsi untuk membentuk ayat tanya. Kata tanya tidak sepatutnya digunakan
dalam ayat penyata.

Contoh penggunaan yang betul:


1. Apa yang dilihat oleh mereka?
2. Bagaimana dia hendak pergi ke klinik dalam keadaan lemah begini?
3. Mengapa pelajar diminta mendaftar kursus di dewan itu?
4. Mana satu buku yang hendak dibeli?
5. Berapa harga sekilo beras sekarang?
6. Bila kamu akan berangkat ke Kuching?

Contoh penggunaan yang salah:


1. Saya tidak tahu apa yang mereka bualkan tadi.
(Sepatutnya : /perkara/apa-apa/hal/topik)
2. Puan Aini ingin mengetahui bagaimana pelajarnya meniru dalam peperiksaan.
(sepatutnya : cara)
3. Fahmi menanyakan ibunya bilakah mereka akan pergi ke taman permainan
(sepatutnya : masa/tarikh/hari)

5.1 Walau bagaimanapun, beberapa kata tanya seperti apa, bila dan mana boleh
digandakan menjadi apa-apa, bila-bila dan mana-mana dan digunakan dalam ayat penyata.

i. “Apa-apa” berfungsi untuk merujuk kepada sebarang perkara secara umum.

Contoh:
1. Saya tidak mahu makan apa-apa kerana sudah kenyang.
2. Apa-apa sahaja yang diminta oleh anaknya akan dipenuhi oleh Puan Noraini.
3. Kami memang tidak tahu apa-apa tentang kecurian yang berlaku di rumahnya
minggu lepas.

ii. “Bila-bila” berfungsi sebagai kata ganti umum yang merujuk kepada waktu
/masa/ ketika (digunakan untuk menggantikan masa secara umum)

Contoh:
1. Sekiranya budaya kerja kakitangan kerajaan tidak diubah, sampai bila-bila pun
prestasi kerja mereka tetap di takuk lama.
2. Dia akan muncul bila-bila masa sahaja.
3. “Bila-bila kamu ada kelapangan, datanglah ke pejabat saya,” kata Parameswari.
4. Kata Tim, “Bila-bila masa sahaja bangunan lama itu akan runtuh.”

iii. “Apabila” pula berfungsi sebagai kata hubung untuk membentuk ayat majmuk
keterangan.

Contoh:
1. Semua kakitangan kerajaan menarik nafas lega apabila Perdana Menteri
mengumumkan pemberian bonus sebulan gaji kepada mereka.
2. Murid-murid berhenti bercakap apabila guru mereka masuk.
3. Pelajar-pelajar akan berdiri tegak apabila lagu Negaraku dinyanyikan.

Salinan Pelajar (FBK)


12

Ayat-ayat berikut pula salah:

4. Semua kakitangan kerajaan menarik nafas lega bila Perdana Menteri


mengumumkan pemberian bonus sebulan gaji kepada mereka.
5. Murid-murid berhenti bercakap bila guru mereka masuk.
6. Pelajar-pelajar akan berdiri tegak bila lagu Negaraku dinyanyikan.

iv. “Mana-mana” pula digunakan untuk menggantikan tempat, benda dan orang
secara umum.

Contoh:
1. Mana-mana pakaian yang lama itu disimpannya di dalam almari.
2. Dia tidak pergi ke mana-mana petang itu.

5.2 Penggunaan Ungkapan “Yang Mana” dan “Di Mana” dalam Ayat Penyata
Ungkapan yang mana dan di mana hanya berfungsi sebagai kata tanya dalam ayat
tanya. Kesilapan penggunaan frasa-frasa tersebut dalam ayat penyata sering berlaku
disebabkan penterjemahan secara langsung daripada perkataan bahasa Inggeris which
yang berfungsi sebagai ganti nama relatif dalam bahasa Inggeris dan where yang boleh
berfungsi sebagai kata hubung.
Contoh:
1. Indicipline in schools which has become a serious phenomena in our education
system should be handled efficiently.

a. Masalah disiplin di sekolah yang mana sudah menjadi satu fenomena serius
dalam sistem pendidikan harus ditangani dengan berkesan. (salah)
b. Masalah disiplin di sekolah yang sudah menjadi satu fenomena serius dalam
sistem pendidikan harus ditangani dengan berkesan. (betul)

2. The village where I live is very peaceful.

a. Kampung di mana saya tinggal sangat aman. (salah)


b. Kampung /tempat saya tinggal sangat aman. (betul)

Contoh kesalahan lain:


3. a. Untuk makluman tuan/puan, kursus bahasa ketiga di universiti ini bertaraf
generik di mana ditawarkan kepada semua pelajar. (salah)

b. Untuk makluman tuan/puan, kursus bahasa ketiga di universiti ini bertaraf


generik dan ditawarkan kepada semua pelajar. (betul)

4. a. Sesetengah pelajar menganggap subjek Fizik, Kimia dan Biologi hanya


dipelajari untuk kerjaya yang teknikal yang mana anggapan ini akan
membataskan minat mereka terhadap bidang sains. (salah)

b. Sesetengah pelajar menganggap subjek Fizik, Kimia dan Biologi hanya


dipelajari untuk kerjaya yang teknikal. Anggapan ini akan membataskan
minat mereka terhadap bidang sains. (betul)

Salinan Pelajar (FBK)


13

6. Penggunaan Tanda Sempang


(a) Tanda sempang digunakan untuk menghubungkan awalan ke- dengan angka bagi
membentuk angka bilangan ordinal.
Contoh:
1. Minit Mesyuarat ke-3 Khemah Bahasa 2017 disahkan tanpa sebarang pindaan.
2. Perayaan Ulang Tahun ke-50 RTM sungguh meriah.
3. Sejak kurun ke-17, sastera Islam telah berkembang dengan pesatnya.

(b) Tanda sempang turut digunakan untuk merangkaikan angka yang menunjukkan tahun
dengan akhiran -an.
Contoh:
1. Pegawai kerajaan yang telah berpencen selepas tahun 80-an akan menerima
insentif khas daripada pihak kerajaan.
2. Penyanyi tahun 70-an masih popular hingga kini.

Nota : Rangkai kata 80-an dan 90-an dalam ayat di atas merujuk dekad-
dekad abad ke-20 (tahun 1900 hingga 1999). Dekad-dekad dalam abad
ke-19 dan sebelumnya dirujuk dengan menyebut angka tahun
sepenuhnya.

(c) Tanda sempang juga digunakan untuk menghubungkan imbuhan dengan kata nama
khas.
Contoh:
se-Malaysia pro-Malaysia
anti-Israel anti-Amerika

(d) Tanda sempang digunakan untuk menghubungkan kata nama dengan ganti nama diri
yang merujuk Tuhan.
Contoh:
hamba-Mu suruhan-Nya
kepada-Ku perintah-Nya

7. Kesalahan Penggunaan “ianya”


Kata ianya tidak wujud dalam bahasa Melayu. Kedua-dua ia dan nya merupakan kata ganti
nama diri. Jika ianya digunakan, maka terdapat dua ganti nama diri dan hal ini amat
janggal. Oleh itu, ayat-ayat di bawah ini salah:

Contoh:
1. Bakul yang penuh dengan sayur-sayuran itu tidak terangkat oleh Suresh kerana
ianya terlalu berat.
2. Kes itu sulit kerana ianya melibatkan golongan atasan.

Salinan Pelajar (FBK)


14

8. Penggunaan Kata Hubung

i. Penggunaan “Oleh kerana”, “Oleh sebab”, “kerana” dan “sebab”


(a) Penggunaan oleh yang diikuti dengan kerana dalam ungkapan oleh kerana adalah
salah. Hal ini disebabkan oleh mesti diikuti oleh kata nama atau frasa nama, sedangkan
kerana ialah kata hubung. Bentuk yang betul ialah oleh sebab.

Contoh:
1. Oleh kerana kesilapan sering berlaku, perkara ini perlu dibincangkan dengan
teliti.
(Sepatutnya: Oleh sebab kesilapan sering berlaku, perkara ini perlu
dibincangkan dengan teliti.)
2. Keadaan selepas kejadian tsunami itu sangat memilukan oleh kerana ribuan
mayat bergelimpangan di mana-mana sahaja.)
(Sepatutnya: Keadaan selepas kejadian tsunami itu sangat memilukan oleh
sebab ribuan mayat bergelimpangan di mana-mana sahaja.)

(b) Kata hubung kerana tidak boleh disamakan dengan kata nama sebab. Oleh itu,
penggunaan sebab untuk menggantikan kerana seperti dalam ayat-ayat di bawah ini
adalah salah.

Contoh:
1. Jasmin berasa bimbang sebab ibunya sakit
(Sepatutnya: Jasmin berasa bimbang kerana ibunya sakit)
2. Mesyuarat itu ditangguhkan sebab pengerusinya tidak dapat hadir.
(Sepatutnya: Mesyuarat itu ditangguhkan kerana pengerusinya tidak dapat
hadir.)

ii. Penggunaan “Ini kerana”

Contoh :
1. Ini kerana kehidupan masyarakat hari ini lebih mementingkan kebendaan.
(salah)
2. Ini kerana kursus generik yang ditawarkan tidak bersesuaian dengan keperluan
pelajar di universiti tersebut. (salah)

Ayat-ayat di atas tidak gramatis kerana ungkapan “ini kerana” menyalahi struktur ayat
bahasa Melayu. Ungkapan ini mengikut struktur atau pola ayat bahasa Inggeris This is
because.

Ayat-ayat ini boleh dibetulkan menjadi:

1. Hal ini demikian kerana kehidupan masyarakat hari ini lebih mementingkan
kebendaan.
2. Hal ini demikian kerana kursus generik yang ditawarkan tidak bersesuaian
dengan keperluan pelajar di universiti tersebut.

Salinan Pelajar (FBK)


15

iii. Penggunaan “tetapi” dan “yang” pada Pangkal Ayat


Kata tetapi dan yang tidak dapat digunakan pada pangkal ayat sekiranya ayat tersebut
merupakan ayat pertama bagi sesebuah wacana (kecuali penggunaan yang pada ayat
tanya, tiada masalah). Walau bagaimanapun, kedua-dua kata ini boleh digunakan pada
pangkal sesuatu ayat jika:

a. ayat tersebut merupakan ayat sambungan daripada ayat sebelumnya.


Contoh:
1. Masyarakat di kampung tersebut telah menikmati kemudahan-kemudahan
seperti jalan raya, elektrik dan air paip sejak sepuluh tahun lalu. Tetapi
bekalan elektrik dan air paip sering terputus, terutama pada penghujung
tahun.

2. Pihak universiti menggalakkan para mahasiswa mengikuti kursus merentas


kurikulum agar mereka berupaya menjadi graduan yang serba boleh. Tetapi
hal ini disalah tafsir oleh sesetengah mahasiswa, dan beranggapan tindakan
pihak universiti membebankan mereka.

b. berlaku proses pengguguran subjek.


Contoh:
1. Yang berbaju kuning itu tunang saya.
(Berasal daripada ayat “Lelaki yang berbaju kuning itu tunang saya.”)
2. Yang rajin berusaha selalunya akan berjaya.
(Berasal daripada ayat “Mereka yang rajin berusaha selalunya akan
berjaya.”)

9. Pengejaan Kata Apabila Menerima Imbuhan

(a) Kata asli bahasa Melayu yang bermula dengan konsonan p, t, k, s mengalami
pengguguran konsonan tersebut apabila menerima imbuhan me-N dan pe-N
Contoh:

perlu – memerlukan (p > m) tarik – menarik (t > n)


potong – pemotong tolak - penolakan
kerja – mengerjakan (k > ng) suci – menyucikan (s > ny)
kelompok – pengelompokan sayang – penyayang
kagum - mengagumkan

(b) Kata pinjaman yang bermula dengan konsonan p, t, k, s akan mengekalkan konsonan
tersebut apabila menerima imbuhan me-N dan pe-N
Contoh:

proses – memproses pamer - mempamerkan


terjemah – menterjemah tradisi - mentradisikan
kategori – mengkategorikan klasifikasi - pengklasifikasian
sintesis – mensintesiskan struktur - penstrukturan

Salinan Pelajar (FBK)


16

(c) Apabila kata dasar yang berakhir dengan konsonan k menerima imbuhan akhiran -
kan, maka terdapat dua cara penulisannya.

(i) Kata dieja dengan satu k apabila menunjukkan kata nama am

Contoh:
1. Saya sentiasa merindui masakan ibu yang tiada tandingannya.
2. Pertunjukan pentas yang dianjurkan oleh pihak Astrio berjaya menarik
perhatian orang ramai.

(ii) Kata dieja dengan dua k apabila menunjukkan kata kerja (perbuatan)

Contoh:
1. Tolong masakkan saya bubur sebab saya kurang sihat.
2. Semua staf diminta menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang.

10. Amalan Kelewahan Dalam Bahasa Melayu


Dalam aspek penulisan, hal kepersisan atau ketepatan amat ditegaskan. Dengan demikian, ayat-
ayat yang ditulis haruslah berkesan. Salah satu cara untuk menentukan ayat-ayat tersebut ditulis
secara berkesan ialah mengelakkan amalan kelewahan ketika menulis atau menggunakan kata-
kata mubazir. Dalam konteks bahasa, amalan kelewahan dapat diertikan sebagai penggunaan
kata, frasa ataupun ungkapan secara berlebihan dalam penulisan dan jika digunakan tidak pula
menambah maksud, malah merosakkan kelancaran dan kepersisan sesuatu ayat.

Umpamanya, dalam ayat berikut penggunaan ungkapan hadiah percuma merupakan


ungkapan yang tidak menambah apa-apa maksud kepada ayat berkenaan malah menjejaskan
kepersisan ayat tersebut.

1. Kanak-kanak tersebut diberi hadiah percuma oleh penganjur pertandingan.


(sepatutnya : Kanak-kanak tersebut diberi hadiah oleh penganjur pertandingan.)
2. Punca masalah ini disebabkan virus.
(sepatutnya : Punca penyakit itu ialah virus atau Penyakit itu disebabkan virus)
3. Kita perlu berjuang demi untuk negara tercinta.
4. Pelajar-pelajar itu hanya diminta membayar RM 5 sahaja.
5. Di samping itu, kita juga perlu memberi tumpuan kepada pencapaian akademik
anak-anak.
6. Ahmad merupakan pelajar yang paling tinggi sekali di dalam kelasnya.
7. Saya pun hendak pergi ke situ juga.
8. Pelajar-pelajar sedang membuat persembahan dalam kumpulan sekarang.
9. Setiap satu cadangan ahli mesyuarat akan dibentangkan ke peringkat atasan.
10. Rakyat hendaklah bersatu demi untuk kestabilan negara.
11. Tempoh masa yang diberi kepadanya untuk menyelesaikan kerja tersebut agak
singkat.

Salinan Pelajar (FBK)


17

Penggunaan ungkapan atau frasa “yang menangkap ikan”, “tempat tinggal” dan “hadiah
percuma”, “hanya... sahaja” dan “paling ...sekali” ialah amalan yang ditakrifkan sebagai
kelewahan dan mubazir. Oleh itu, kita harus mengelakkan daripada menggunakan ungkapan
yang panjang untuk menerangkan sesuatu maksud, tetapi lebih baik kalau digunakan satu
perkataan yang tepat dan tidak menjejaskan maksud yang hendak disampaikan. Bagi ayat 3
hingga ayat 11, perlu digugurkan salah satu kata yang dihitamkan.

Bahan tambahan:
 Lembar Bahasa – daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka

Rujukan

Asmah Haji Omar. (2008). Nahu Kemas Kini. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing
Sdn. Bhd.
Lee Lai Foon & Raja Masittah Raja Ariffin. (2007). Petunjuk Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Nathesan, S. (1994). Beberapa Persoalan Penggunaan Bahasa Melayu dan Penyelesaiannya.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nik Safiah Karim et al. (2003). Tatabahasa Dewan (Edisi Baharu). Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan. (2003). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
____________. (1989). Penggunaan Sendi Nama dalam Bahasa Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Salinan Pelajar (FBK)


18

Latihan Kesalahan-Kesalahan Penggunaan Bahasa Melayu

Latihan 1
Arahan: Kenal pasti kesalahan-kesalahan dalam ayat-ayat berikut dan betulkan ayat-ayat itu
semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

1. Kursus masakkan yang diadakan pada setiap petang hari Sabtu dijalankan oleh guru-
guru Kemas.
______________________________________________________________________

2. Pada abad ke-lima belas, negeri Melaka telah diserang dan dijajah oleh Portugis.
______________________________________________________________________

3. Pencapaian akedemik golongan pendidikkan khas perlu diberi perhatian untuk


membantu semua kanak-kanak istimewa.
______________________________________________________________________

4. Sewaktu saya kecil, sungai itu jernih airnya dan menjadi tumpuan di kalangan pelancong
asing tetapi kini sungai itu hitam dan berbau busuk akibat pembuangan sisa kilang.
______________________________________________________________________

5. Nora ingin mengkenali pekerja baharu di pejabatnya tetapi terkejut bila mendapati
pekerja itu adalah rakannya sewaktu di universiti.
______________________________________________________________________

6. Nelayan daripada Thailand seringkali menceroboh perairan negara kita sebab tidak ada
tindakkan tegas oleh pihak berkuasa Malaysia.
______________________________________________________________________

(diambil dan diubah suai daripada Lestari e-Mentor Bahasa Malaysia (2005).
Petaling Jaya: Info Didik Sdn.Bhd).

Salinan Pelajar (FBK)


19

Latihan 2
Arahan: Kenal pasti kesalahan-kesalahan dalam ayat-ayat berikut dan betulkan ayat-ayat itu
semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(a) Rosli tidak dapat tidur semalam-malaman sebab dia kehilngan dompetnya.
______________________________________________________________________

(b) Kebanyakan pelajar-pelajar hari ini suka menghabiskan masa di pusat siber.
______________________________________________________________________

(c) Pokok-pokok di kebun bunga itu cantik-cantik belaka.

_____________________________________________________________________

(d) Ahmad menjual goreng pisang di tepi rumahnya.


______________________________________________________________________

(e) Bangunan yang paling tinggi sekali di Malaysia ialah Bangunan Berkembar Kuala
Lumpur.
_____________________________________________________________________

(f) Istana Puteri Balqis merupakan istana yang tercantik sekali pada masa dahulu.
______________________________________________________________________

(g) Ramai para pelancong kagum akan keindahan pantai-pantai di Malaysia yang menjadi
warisan negara.
______________________________________________________________________

(h) Bapa bertanya pada saya sebab-musabab terjadinya kebakaran tersebut.


______________________________________________________________________

(i) Setiap malam kami tidur berbantal-kan lengan


______________________________________________________________________

(j) Petani diseru agar mentingkatkan produktiviti pertanian di negara kita.


______________________________________________________________________

(k) Semua kemenangan-kemenangan yang dicapai oleh mereka mendapat penghargaan


Perdana Menteri.
______________________________________________________________________

(diambil dan diubah suai daripada Lestari e-Mentor Bahasa Malaysia (2005).
Petaling Jaya: Info Didik Sdn.Bhd).

Salinan Pelajar (FBK)


20

Latihan 3
Arahan: Kenal pasti kesalahan-kesalahan dalam ayat-ayat berikut dan bulatkan pilihan
jawapan yang betul.

1. Pilih ayat yang menggunakan kata sendi “dalam” yang salah.


A. Nota yang dicari selama ini rupa-rupanya terselit dalam surat khabar lama itu.
B. Banyak kesilapan bahasa dapat dikesan dalam surat khabar berbahasa Melayu.
C. Dia merupakan pelajar yang pintar dalam kalangan kawan-kawannya.
D. Masalah itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat yang lalu.

2. Semua frasa berikut betul dari segi hukum D-M kecuali


A. telekung mini
B. mi 2 minit segera
C. Restoran Linda
D. hal-hal lain

3. Pilih perkataan yang salah ejaannya.


A. alat-alat tulis
B. warganegara-warganegara
C. kapal terbang-kapal terbang
D. denda maksimum

4. Pilih pernyataan yang benar tentang kata pemeri.


I. Terdapat 2 kata pemeri dalam bahasa Melayu iaitu “ialah” dan “adalah”.
II. Kata pemeri merupakan perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama
dalam predikat.
III. Kata pemeri “ialah” hanya digunakan di hadapan frasa adjektif atau frasa
sendi nama yang bersifat huraian.
IV. Kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan kata kerja atau frasa kerja

A. I dan II sahaja
B. III dan IV sahaja
C. I, II dan IV sahaja
D. I, II dan III sahaja

5. Semua ejaan kata pinjaman berikut betul ejaannya kecuali


A. memeroses
B. penstrukturan
C. mengkategori
D. menterjemah

Salinan Pelajar (FBK)


21

Latihan 4
Arahan: Kenal pasti kesalahan-kesalahan dalam petikan berikut dan betulkan petikan itu
semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

Pendidikan bidang bio-teknologi penting pada orang ramai. Pihak media masa dan
wartawan harus memberi laporan dan gambaran yang betul serta tepat tentang
bioteknologi. Dengan cara ini tanggapan mentakutkan berkaitan bio teknologi dapat
dikurangkan kerana bioteknologi mempunyai kebaikkan di dalam pelbagai-bagai bidang
malahan setiap ciptaan moden digunakan untuk kepentingan semua manusia sejagat.

(dipetik dan diubah suai daripada Latihan Tatabahasa Pelajar)

Salinan Pelajar (FBK)


22

Latihan 5
Arahan: Kenal pasti 5 jenis kesalahan penggunaan bahasa Melayu berserta 2 contoh yang
berbeza bagi setiap jenis kesalahan dalam petikan berikut dan betulkannya semula.

Siburan Bakal Miliki Pusat Kesihatan


Pembinaan klinik baru itu bagi menampung keperluan
penduduk
KUCHING: Siburan bakal memiliki pusat Beliau berkata Jabatan Kesihatan telah
kesihatan yang sama seperti Klinik Kota memberikan jaminan untuk projek tersebut
Sentosa bagi mengatasi kesesakkan klinik semasa mesyuarat pada Sabtu lepas di
sediaada. Siburan, yang turut dihadiri Jabatan Kerja
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Raya (JKR), Jabatan Tanah dan Survei,
Bengoh, Dr. Jerip Susil berkata, projek Jabatan Pertanian, Majlis Perbandaran
tersebut adalah keutamaan dalam Padawan (MPP), Pejabat Residen dan
Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK- Daerah. Ianya juga dihadiri oleh seramai 400
10). orang termasuk ketua kaum dari kawasan
Menurut beliau, tapak seluas 11 hektar Padawan dan Penrissen, serta ketua dari
yang berdekatan Bandar Siburan telah pelbagai persatuan.
dikenalpasti untuk pelaksanaan projek itu Dr. Jerip berkata, mesyuarat itu diadakan
yang juga akan dilengkapi dengan pelbagai bagi mentangani pelbagai masalah-masalah
kemudahan-kemudahan kesihatan. dan isu-isu yang dihadapi penduduk.
“Di bawah RMK10 akan datang, Siburan Daerah kecil Siburan sewajarnya mendapat
bakal memiliki klinik dan kerajaan projek seperti klinik, melebarkan jalan raya
mengutamakan untuk membina klinik ini di lampu isyarat menuju ke bandar dan
bagi menggantikan klinik yang ada bekalan elektrik.
sekarang,” katanya semalam. Menaik taraf dan melebarkan jalan-jalan
Menurut beliau, projek tersebut kampung juga akan dipertimbangkan,
dijadualkan dalam RMK-9, namun sementara pelan juga dirangka untuk
dilanjut-kan pelaksanaannya berikutan membina jalan menuju kawasan-kawasan
kekangan kewangan. kampung yang belum mempunyai jalan raya.
Bagaimanapun, beliau tidak memberitahu
kos keseluruhan bagi projek itu, namun
meyakinkan bahawa ianya akan
dilaksanakan dalam RMK-10.

(Dipetik dan diubah suai daripada Utusan Borneo, 25 Julai 2010)

Salinan Pelajar (FBK)

Anda mungkin juga menyukai