Anda di halaman 1dari 9

1.

0 Pengenalan

Peribahasa merupakan sesuatu yang penting dalam masyarakat di negara kita terutamanya
dalam kalangan orang-orang Melayu. Hal ini kerana peribahasa digunakan oleh masyarakat
dahulu dan sekarang untuk menyampaikan nasihat, teguran dan sindiran dengan penuh
berhemat tanpa menimbulkan rasa marah atau kecil hati pada orang lain.

2.0 Konsep Peribahasa Bahasa Melayu

Peribahasa merupakan ayat atau susunan kata yang mempunyai maksud tertentu yang
biasa merujuk kepada maksud berkias, berlapik dan tersirat. Sapiah Haji Said (2004)
mendefinasikan peribahasa sebagai ayat yang tersusun pendek menepati makna dan
pengertian yang ingin disampaikan sejak turun-temurun. Peribahasa bersifat kiasan yang
berbentuk tradisional dan tetap dari turun-temurun. Peribahasa tercipta dari pengalaman
kehidupan harian sesuatu masyarakat. Selain itu, peribahasa juga merupakan satu sindiran
dan pengajaran orang terdahulu. Oleh itu, orang Melayu dahulu menggunakan bahasa
kiasan untuk meluahkan sesuatu kebenaran atau mengriktik sesuatu perkara. Hasmah Haji
Omar (2015) mengatakan bahawa peribahasa tergambar fizikal, alam dan budaya Melayu
serta minda mereka semuanya tersimpul dalam bahasa yang ringkas, padat dan indah.

Rasional pemilihan peribahasa bahasa Melayu amat signifikan dengan arus zaman
sebagai satu mekanisme untuk menganalisis pemikiran dan idea sesuatu bangsa yang
dapat mencitrakan corak dan amalan dalam kehidupan. Selain itu, peribahasa bahasa
Melayu juga memperlihatkan kemuliaan, karisma dan keluhuran sistem nilai. Peribahasa
Melayu merupakan sumber maklumat mengenai gaya atau sistem kehidupan masyarakat
Melayu di samping menjadi aset penting kepada bahasa Melayu.

2.0 Analisis Peribahasa Melayu

Beberapa aspek yang diambil kira semasa melakukan analisis peribahasa. Antaranya aspek
makna dan juga proses perubahan makna yang berlaku dalam peribahasa. Analisis
dilakukan bertujuan untuk menghurai pemikiran atau makna yang tersirat dalam peribahasa.

2.1 Bagai Aur Dengan Tebing

Peribahasa ‘bagai aur dengan tebing’ merupakan perumpamaan kerana menggunakan kata
tugas bagai. Peribahasa tersebut mempunyai dua kata nama iaitu aur dan tebing. Aur atau
lebih dikenali sebagai buluh merupakan sejenis tumbuhan berongga dan beruas serta
mempunyai batang yang keras. Ia antara tumbuhan yang memerlukan air yang banyak
untuk hidup subur dan kebiasaanya dijumpai di tebing sungai. Tebing merupakan tepi atau
pinggir sungai yang tinggi serta curam.

Perubahan makna yang berlaku dalam peribahasa ini dapat dilihat kepada sifat aur
yang merupakan tumbuhan yang memerlukan air sebagai sumber untuk tumbuh dengan
subur. Manakala tebing merupakan kawasan yang kebiasaanya aur tumbuh untuk
mencengkam tanah di tepian tebing. Tanpa cengkaman aur yang menyokong sudah pasti
tebing akan runtuh. Masyarakat menyampaikan nilai murni melalui peribahasa ini secara
berkias yang membawa maksud sesuatu hubungan yang akrab dan saling bantu-membantu.
Apabila memerlukan pertolong untuk melakukan sesuatu, hubungan yang erat diperlukan
untuk melaksanakannya dengan berkesan. Begitulah jua aur dengan tebing yang
memerlukan antara satu sama lain untuk melengkapi kepentungan tersendiri. Salinah et al.
(2018) Peribahasa ini telah membawa maksud bagai aur dengan tebing yang
melambangkan sesuatu yang akrab, tidak berpisah dan sentiasa bersama.

2.2 Ayam tambatan

Peribahasa ‘ayam tambatan’ merupakan peribahasa yang dikategorikan sebagai simpulan


bahasa. Peribahasa tersebut merupakan frasa nama gabungan perkataan ayam dan juga
tambatan. Ayam bermaksud beberapa jenis binatang seakan burung tetapi tidal pandai
terbang tinggi yang kebiasaannya dipelihara. Isitlah ayam tambatan merujuk kepada makna
ayam yang ditambat pada tiang atau pancang untuk mengelakkan ia lari.

Perubahan makna yang berlaku dalam peribahasa ini dapat dilihat pada sifat ayam
yang merupakan haiwan peliharaan masyarakat Melayu zaman dahulu sebagai sumber
untuk mendapatkan makanan iaitu telur dan juga sumber untuk mendapatkan sesuatu
ganjaran hasil aktiviti menyabung ayam. Ayam yang ditambat merujuk kepada ayam yang
mampu memberi hasil kepada tuannya dan bermanfaat. Oleh itu, peribahasa ayam
tambatan telah digunakan sebagai kiasan untuk merujuk kepada orang yang dianggap
hebat dan diharapkan dapat membawa kemenangan dalam sesuatu perlawanan. Orang
yang hebat dalam pasukan sudah pasti menjadi harapan kepada pasukan dan juga jurulatih
untuk melakar kemenangan.

2.3 Bagai kambing dihalau ke air

Peribahasa ‘bagai kambing dihalau ke air’ merupakan perumpamaan dan mengandungi dua
kata nama iaitu kambing serta air. Kambing merupakan haiwan mamalia yang dipelihara
untuk mendapatkan dagingnya dan juga susu. Air pula bermaksud sebatian kimia yang
berada dalam bentuk cecair pada tekanan biasa dan pada suhu bilik.
Proses perubahan makna yang berlaku dapat dirujuk kepada sifat kambing. Kambing
merupakan haiwan yang takut kepada air dan tidak mandi. Masyarakat Melayu melihat
perihal kambing apabila diarahkan untuk mandi pastinya takut air terkena pada badanya.
Justeru, tiada gunanya mengarah kambing untuk ke air. Pemikiran masyarakat Melayu yang
terkandung dalam peribahasa ini dilihat jelas dengan penggunaa bagai kambing yang
merujuk kepada manusia manakala dihalau ke air pula merujuk kepada suruhan untuk
melakukan sesuatu. Maka terhasil satu makna peribahasa tersebut iaitu seseorang yang
malas untuk melakukan suatu pekerjaan.

2.4 bagai mencurah air ke daun keladi

Peribahasa ‘bagai mencurah air ke daun keladi’ terdiri daripada kata kerja dan kata nama
yang membentuk perumpamaan. Mencurah air bermaksud perbuatan mencurah air dan
daun keladi pula merupakan sejenis tumbuhan yang mempunyai lapisan kalis air pada daun
keladi itu. lapisan ini menghalang peresapan air keluar dan masuk melaluinya.

Perubahan makna yang berlaku dalam peribahasa ini dapat dilihat dari segi makna
Bagai mencurah air ke daun keladi iaitu ibarat perbuatan memberikan nasihat kepada
seseorang tetapi hanyalah sia-sia. Perkataan air dalam peribahasa tersebut merujuk kepada
nasihat, manakala kata kerja mencurah merujuk perbuatan memberikan. Frasa ke daun
keladi diertikan sebagai perbuatan yang sia-sia. Oleh itu, dari perspektif masyarakat Melayu,
frasa mencurah air merujuk perbuatan yang positif dan boleh disama ertikan dengan
perbuatan memberikan nasihat kerana air merupakan sumber semula jadi yang digunakan
setiap hari begitu juga perbuatan orang yang lebih tua sering memberikan nasihat kepada
anak-anaknya.

2.5 Bagaimana acuan, begitulah kuihnya

Peribahasa ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya’ mengandungi kata nama iaitu acuan dan
juga kuih. Acuan merupakan bekas tempat menuang bahan sesuatu yang hendak dibentuk.
Manakala kuih bermaksud makanan atau juadah

Perubahan makna yang berlaku dapat dilihat kepada penggunaan acuan yang dapat
dikaitkan dengan ibu bapa. Manakala bentuk kuih terhasil daripada acuannya
menggambarkan cerminan yang menjadi ciri-ciri utama makna peribahasa mengenai tema
kekeluargaan. Oleh itu, kuih merujuk kepada anak-anak. Jika dapat dilihat penggunaan
acuan akan membentuk kuih yang dihasilkan sama juga dengan peribadi anak-anak. Dalam
mendidik anak-anak menjadi insan yang baik, ibu bapa memainkan peranan yang penting
dalam mendidik anak. Hal ini kerana apa yang ibu bapa curahkan kepada anak-anak
begitulah hasilnya. Jika kebaikan yang dicurahkan, makan peribadi baik dapat diterapkan
dalam diri anak-anak. Oleh itu, bagaimana kuih bergantung kepada acuannya dan
bagaimana peribadi anak-anak bergantung kepada ibu bapa.

2.6 makan angin

Kata kerja dan kata nama telah membentuk peribahasa ‘makan angina’ menjadi simpulan
bahasa. Makan bermaksud perbuatan memamah atau memasukkan sesuatu bahan
makanan ke dalam mulut. Angin pula bermaksud udara yang bergerak.

Perubahan makna yang berlaku dapat dilihat pada makna makan. Kata makan telah
dijadikan sebagai atau metafora untuk mencipta simpulan bahasa. Manusia akan memilih
tempat yang bersih dan selesa untuk menikmati makanan. Hal ini kerana tempat yang
selesa dapat meningkatkkan selera makan. Oleh itu, masyarakat Melayu telah mengaitkan
kata makan dengan aspek tempat yang menjadi unsur perlu ada pada kata makan.
Disebabkan kata makan mempunyai ciri tempat, maka masyarakat Melayu telah
menggunakan kata tersebut untuk membetuk simpulan bahasa makan angin yang
membawa maksud perbuatan bersiar-siar atau berehat di tempat-tempat tertentu.
Masyarakat Melayu kreatif dalam menggunakan kata-kata yang berkias untuk
mengungkapkan sesuatu hal.

2.7 Seperti hujan jatuh ke pasir

Peribahasa ‘seperti hujan jatuh ke pasir’ mengandungi kata nama iaitu hujan dan juga pasir.
Hujan merupakan air yang turun ke muka bumi. Manakala pasir bermaksud batu yang
hancur halus terbentuk melalui silicon teroksida. Pasir juga dapat menyerap air dengan baik
kerana bersifat keras dan berbutir.

Perubahan makna dapat dilihat pada kata hujan kerana membawa makna air yang
jatuh ke bumi. Pemikira masyarakat Melayu mengaitkan kata hujan dengan perbuatan yang
baik. ‘jatuh ke pasir’ pula ibarat melakukan sesuatu tidak pada tempatnya dan kata pasir
lebih digambarkan sebagai perkara sia-sia. Hal ini jelas bahawa masyarakat Melayu kreatif
dalam menilai unsur alam untuk dijadikan peribahasa kerana air yang jatuh menimpa pasir
akan membuatkan air itu meresap hilang dari permukaan pasir. Oleh itu, hujan disimbolkan
kebaikan manakala pasir disimbolkan usaha yang dilakukan menjadi sia-sia kerana sifat
pasir apabila dituangkan air akan hilang dari permukaan. Begitu juga perbuatan baik yang
dilakukan pada bukan tempatnya akan menjadi sia-sia dan tidak mendatangkan apa-apa
kebaikan.
2.8 Air dicincang tidak akan putus

Peribahasa ‘air dicincang tidak akan putus’ terbentuk daripada kata nama air dan juga kata
kerja dicincang. Air berkmaksud cecair yang berada pada suhu bilik. Dicincang pula
bermaksud perlakuan memotong sesuatu kepada bahagian yang kecil.

Perubahan makna yang berlaku dalam peribahasa ini dapat dilihat pada penggunaan
kata air. Air telah digambarkan sebagai hubungan kekeluargaan seperti adik beradik.
Manakala dicincang diibaratkan sebagai permasalahan atau pergaduhan yang berlaku
dalam keluarga. Peribahasa ini sesuai digunakan untuk menceritakan hal kekeluargaan.
Frasa dicicang tidak akan putus bererti masalah atau pergaduhan yang berlaku dalam
keluarga tidak akan putus kerana sebesar mana pergaduhan terjadi akan berbaik semula.
Masyarakat Melayu menggunakan unsur air untuk dikaitkan dengan pertalian darah. Hal ini
kerana air dikatakan tidak dapat mencairkan darah. Malah dari sudut perspektif masyarakat
Melayu air merupakan unsur alam yang wujud secara alamiah dalam kehidupan dan
membawa makna positif berbanding kata darah yang membawa makna konotasi negatif
dalam peribahasa. Kesimpulannya terbetuk satu peribahasa yang membawa maksud
pergaduhan dalam keluarga tidak akan putus malah akan berbaik semula.

2.9 Seperti ayam patuk ananknya

Peribahasa ‘seperti ayam patuk anaknya’ merupakan perumpamaan yang bermaksud


menghukum anak bukan untuk menyeksa tetapi untuk memperbaik kelakuan anak. Kata
nama iaitu ayam serta anaknya dan juga kata kerja iaitu patuk. Ayam merupakan haiwan
seakan burung yang mempunyai paruh tetapi tidak boleh terbang. Patuk pula bermaksud
perbuatan ayam mematuk atau memagut dengan paruh.

Perubahan makna yang berlaku dalam peribahasa dapat dilihat pada penggunaan
ayam. Kata ayam digunakan oleh masyarakat Melayu untuk mengambarkan ibu bapa.
Manakala mematuk anaknya diibaratkan sebagai hukuman yang dikenakan pada anak-anak
untuk mengajar mereka. Masyarakat Melayu dahulu memilih ayam untuk membentuk
peribahasa ini kerana ayam merupakan haiwan yang mempunyai naluri semula jadi dengan
memakan semua jenis makanan. Jika makanan tersebut tidak sesuai ianya akan membuang
makanan tersebut dari paruhnya. Kelakuan ayam mematuk anaknya kerana ayam
merupakan haiwan yang cepat belajar untuk mengenali tuan atau ibunya sendiri. Mematuk
anaknya sendiri akan membantu anaknya mencari makanan dan melindungi anaknya
daripada serangan musuh (Hasni et al. 2015). Hal ini demikian kerana guru atau ibu bapa
bukan sahaja menghukum murid atau anaknya semata malah memperbaik kelakuan anak
menjadi insan yang berguna kelak.
2.10 Bagai bulan dipagar bintang

Peribahasa ‘bagai bulan dipagar bintang’ bermaksud perihal gadis yang memang cantik
bertambah lagi cantik apabila dikelilingi oleh gadis-gadis yang cantik juga. Peribahasa ini
terbentuk dari kata nama bulan dan bintang. Menurut Kamus Dewan (2015) bulan diertikan
sebagai satelit semula jadi bumi yang bergerak mengelilingi bumi dan bersinar pada waktu
malam oleh cahaya. Manakala bintang pula diertikan sebagai salah satu cakerawala yang
mengeluarkan cahaya dan kelihatan berkelip-kelip di langit pada waktu malam.

Perubahan makna yang berlaku dapat dilihat pada kata bulan yang dikaitkan dengan
wanita yang cantik. Hal ini kerana sifat bulan yang penuh cahaya melambangkan kecantikan
wanita. Manakala bintang juga dikaitkan dengan keadaan sekeliling yang terdiri daripada
gadis-gadis yang cantik. Oleh itu, bulan yang melambangkan kecantikan wanita serta
adanya bintang. Mencirikan sesuatu yang cantik telah menjadikan peribahasa seperti bulan
dipagar bintang sebagai satu keadaan yang sangat mengindahkan mata kerana kehadiran
wanita yang cantik. Sapinah Said (2013) menyatakan bahawa bulan menyinarkan cahaya
yang indah pada waktu malam, lebih-lebih lagi dikelilingi dengan kecantikan bintang-bintang
di sekitarnya. Justeru, bulan yang dipagar bintang itu dikatakan sungguh menawan bagi
sesiapa sahaja yang memandang. Masyarakat Melayu menggunakan bulan dan bintang
sebagai simbolik kepada wanita yang cantik akan bertambah cantik apabila berada dengan
wanita-wanita lain yang cantik.

3.0 Kesimpulan

Sesuatu masyarakat yang kaya dengan kesopanan dalam berbahasa akan sentiasa cuba
untuk cuba menjaga hati pendengar dalam setiap tutur kata mereka. Oleh itu, dapat
dirumuskan bahawa dalam Peribahasa Melayu mempunyai pelbagai makna yang tersirat.
Peribahasa Melayu ini telah menonjolkan kearifan masyarakat Melayu dahulu dengan
mengaitkan alam sekitar sebagai rujukan sifat atau kelakuan sesuatu perkara. Kehebatan
Peribahasa Melayu tersebut bukan sahaja dapat dilihat daripada aspek tersebut, namun
dapat dilihat juga daripada kelestarian penggunaannya sehingga pada hari ini.

Masyarakat Melayu dan masyarakat Jepun dahulu menggunakan peribahasa dalam


kehidupan harian mereka. Daripada kedua-dua peribahasa ini terdapat banyak pengajaran
yang dapat dicungkil. Penyampaian maksud peribahasa ini dapat difahami secara tersurat
dan tersirat. Dapatan kajian ini juga menunjukkan masyarakat Melayu dan masyarakat
Jepun mempunyai kesejajaran pemikiran dalam penciptaan peribahasa walaupun unsur
yang digunakan berbeza. Namun, maksud yang hendak disampaikan adalah sama.
Pengaruh budaya dan alam banyak mempengaruhi dalam penciptaan peribahasa. Ini
menunjukkan masyarakat Melayu dan masyarakat Jepun banyak berinteraksi dengan alam
dan menggunakan kiasan dalam kehidupan harian mereka.

Anda mungkin juga menyukai