Anda di halaman 1dari 10

PERIBAHASA MELAYU

Assalamualaikum..
Peribahasa Melayu merupakan salah satu daripada jelmaan intelektualiti penutur bahasa Melayu.
Ia diungkap menerusi bahasa yang indah-indah. Setiap ungkapan yang tercipta disusun dan
dipadan dengan sedemikian rupa untuk membolehkan idea, rasa dan buah fikiran pengungkapnya
dapat diserlahkan dengan lebih bermakna. Justeru itu, menerusi peribahasa ini, penutur bahasa
Melayu berjaya mengungkap falsafah yang mendalam tentang aspek-aspek ketamadunan,
pemikiran, ethos dan moral bangsa Melayu sejak sekian lama (Abdul Samad Idris, 1990:ix).
Sebagai kesinambungannya, peribahasa terus dicipta dan berkembang dalam kalangan
masyarakat pada hari ini sejajar dengan peredaran masa dan tuntutan persekitaran. Sehubungan
itu, amat bertepatan sekali aspek peribahasa turut dimuatkan ke dalam Huraian Sukatan Pelajaran
Bahasa Melayu.
Ciri dan Tujuan Penggunaan Peribahasa
Peribahasa dikatakan sebagai cerminan watak bangsa yang memilikinya. Di samping itu
peribahasa juga penting dalam konteks penelitian warisan dan keterampilan pengguna bahasa. Ini
kerana dalam peribahasa tersirat makna yang cukup mendalam dan tepat sehingga membolehkan
komunikasi lisan atau tulisan menjadi lebih lancar dan berkesan. Kewujudan peribahasa adalah
serentak dengan kewujudan sesebuah bangsa dan terus berkembang dalam proses manusia
menyesuaikan dirinya dengan kehidupan sehariannya. Peribahasa telah digunakan untuk
mengenal peradaban, di samping membuat ketentuan antara baik-buruk serta mencari ketetapan
dalam tatacara hidup bermasyarakat.

Dalam menghasilkan peribahasa, tiga sumber utama digunakan oleh masyarakat penuturnya,
iaitu yang pertama melalui pengalaman hidup khususnya dalam kalangan rakyat biasa, kedua
melalui penaakulan para bijak pandai dan ketiga menerusi sumber yang didapati daripada kitabkitab suci (Abdullah Hussain, 2003:vii). Hasilnya, peribahasa yang bermain di mulut orang
Melayu bukan sahaja mendukung isi yang tepat dan kias ibarat yang tajam, malah ungkapan
kalimat bahasa yang dihasilkan amat teratur, ringkas dan padat. Oleh itu, perlu disedari bahawa
peribahasa dalam fungsinya menyampaikan pengajaran, teladan dan sindiran mempunyai ciri
pelembut agar pendengar atau pembacanya tidak mudah terasa hati. Pada masa yang sama, unsur
didaktik yang dibawa melalui peribahasa juga akan dapat memberi impak yang besar ke atas
pemikiran serta perasaan mereka.
Peribahasa dikatakan sebagai susunan perkataan yang indah dengan maksud yang benar dan
logik hasil daripada kecekapan berbahasa masyarakat Melayu. Peribahasa merangkumi simpulan
bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan, perbilangan, kata-kata hikmah dan bahasa kiasan (HSP
Bahasa Melayu Tingkatan 4, 2003:xiv). Setiap satunya mempunyai sifat dan tujuan yang
tertentu. Simpulan bahasa ialah ungkapan yang terdiri daripada dua perkataan atau lebih dan
mempunyai makna yang berlainan daripada erti perkataan yang membentuknya. Biasanya
simpulan bahasa berkaitan dengan beberapa perkara iaitu tubuh badan, contohnya telinga kuali
dan hati batu, haiwan, contohnya, buaya darat dan cicak kubin, tumbuh-tumbuhan, contohnya
durian runtuh dan diam ubi, dan kata nama khas seperti Mat Jenin dan Abu Nawas. Terdapat
juga simpulan bahasa yang bersifat bebas, contohnya juling air dan serkap jarang.
(Zaba,1965:151-157).
Perumpamaan pula merupakan peribahasa yang menyatakan sesuatu maksud dengan
diumpamakan kepada sesuatu yang lain sehingga menerbitkan makna dua lapis. Istilah

perumpamaan digunakan kerana sesuatu maksud itu dikaitkan atau diumpamakan dengan satu
perkara lain yang setanding Ini bermakna perkataan yang diungkapkan mempunyai makna yang
lain daripada erti perkataan yang dipaparkan. Malah Zaba (1965:173) dalam hal ini menyatakan
bahawa peribahasa yang tidak mempunyai erti dua lapis tidaklah boleh dinamakan perumpamaan
yang berasal daripada bahasa kiasan.Perumpamaan terdiri daripada dua jenis iaitu yang
menggunakan perbandingan dan yang tidak menggunakan perbandingan. Contohnya adalah
seperti berikut,
Menggunakan perbandingan:
Bagai abu di atas tunggul
Seperti lipas kudung
Tidak menggunakan perbandingan:
Menyelam sambil minum air
Telunjuk lurus kelingking berkait
Pepatah pula lebih menitikberatkan sifat ringkasnya di samping ketepatan perkataan dan
kebenaran pengajaran yang diungkapkan di dalamnya. Dengan kata lain, setiap patah perkataan
yang digunakan membawakan unsur pengajaran kepada pendengarnya walaupun ada juga
pepatah yang tidak memuatkan sebarang pengajaran secara khusus. Ungkapan pepatah adalah
berasal daripada patah-patah perkataan. Antara contoh pepatah Melayu adalah seperti berikut :
Indah khabar dari rupa
Alah membeli menang memakai

Sementara itu, bidalan merupakan peribahasa yang maknanya selapis sahaja, iaitu ungkapannya
tidak membawa maksud yang lain daripada perkataan yang dipaparkan. Oleh itu, bidalan sering
digunakan untuk memberikan teladan secara terus. Dalam hal ini bentuk bidalan terdiri daripada
dua bahagian, iaitu menyatakan maksud yang hendak disampaikan, diikuti dengan unsur
pematah atau pelengkap bagi maksud tersebut.Contohnya ialah seperti yang berikut :
Sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan
Cicir dipungut hilang dicari
Perbilangan mempunyai ciri seakan-akan bidalan dan pepatah, tetapi berbeza dari segi bentuk
susunannya, iaitu pernyataan perkataan secara berangkap yang terdiri daripada dua baris atau
lebih. Perbilangan biasanya disebut satu persatu seperti kaedah membilang dan isinya seringkali
diungkapkan sebagai peraturan dan undang-undang. Berikut merupakan beberapa contoh
perbilangan.
Perbilangan dua baris :
Kecil jangan disangka anak,
Besar jangan disangka bapa.
Hidup dikandung adat,
Mati dikandung tanah.
Perbilangan dua baris :
Yang berat sama dipikul

Yang ringan sama dijinjing


Hati gajah sama dilapah
Hati kuman sama dicecah
Selain itu, terdapat pecahan yang lain, iaitu kiasan dan kata hikmat. Kiasan atau bunga bahasa
secara ringkasnya ialah ungkapan yang menghuraikan sesuatu perkara dengan mengiaskan
dengan perkara lain. Tujuannya adalah untuk menjelaskan dan menegaskan lagi sesuatu maksud
yang cuba disampaikan. Di samping itu kiasan juga bertujuan memaniskan kata ketika menyebut
perkara yang tidak digemari oleh pendengar atau pembaca (Nik Safiah Karim dan Norliza
Jamaluddin, 2003: 270-271). Kiasan biasanya menggunakan isyarat perbandingan, contohnya,
Mukanya terserlah seperti bulan purnama
Hatinya hancur bagai kaca terhempas ke batu
dan adakalnya tanpa isarat perbandingan, contohnya, ayam tambatan, mandi kerbau dan orang
rumah. Menurut Zaba (1965), kiasan terpecah kepada beberapa bahagian kecil iaitu kiasan
sandar, contohnya tidur ayam; kiasan terus, contohnya kutu embun; kiasan berangkap contohnya,
sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula atau sebab pulut santan binasa, sebab mulut
badan merasa; kiasan berbunga, kiasan pemanis kiasan melompat, tamsil, ibarat, kias ibarat dan
tamsil ibarat. Sementara itu kata hikmah pula ialah perkataan bijak pandai yang mengandungi
pengajaran dan pengertian yang tinggi. Ungkapan cendekiawan ini dijadikan nasihat, panduan
dan pedoman hidup. Contohnya,

Bersatu teguh bercerai roboh

Pandu cermat jiwa selamat.


Dalam era globalisasi pada hari ini, penggunaan peribahasa amat penting dalam memartabatkan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Oleh itu, dalam era moden ini nilai dan norma
masyarakat Melayu juga kadangkala tergugat akibat daripada penggunaan bahasa yang terlalu
berterus terang dan terbuka. Namun begitu, dalam konteks masyarakat Melayu yang kaya dan
mementingkan nilai norma serta adap sopan, sikap keterbukaan ini masih perlu dibataskan.
Dalam kaitan ini, hati budi orang Melayu sebagai pemilik peribahasa ini akan dapat dikenali
dengan jelas selaras dengan ungkapan Bahasa Jiwa Bangsa dan Bahasa Menunjukkan
Bangsa.Oleh itu, penggunaannya dalam wacana penulisan, khususnyan dalam bidang
pengajaran, amat sesuai dilaksanakan kerana ia secara tidak langsung dapat mendidik generasi
muda menjadi warga yang berkeperibadian mulia.
Dalam

konteks

kemasyarakatan,

peribahasa

mempunyai

dua

tujuan

utama,

iaitu

menyembunyikan ungkapan atau kata-kata kasar dan penghuraian sistem adat Melayu.
Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan budi bahasa yang lembut ketika
berkomunikasi dengan pihak lain. Pada kebiasaanya, masyarakat Melayu tidak gemar berterus
terang dalam menyatakan sesuatu yang tidak digemarinya. Contohnya, untuk meluahkan rasa
marah terhadap perlakuan seseorang akan diungkapkan peribahasa yang berikut :
Siapa makan lada, dialah terasa pedasnya,
Lembu punya susu, sapi dapat nama
Menerusi peribahasa juga kata-kata kasar dapat dielakkan penggunaannya dan diganti dengan
kata-kata yang lebih halus dan indah bagi menunjukkan rasa marah dan tidak puas hati.
Contohnya dalam menyatakan badan seseorang yang terlalu kurus, maka digunakan peribahasa

badannya melidi, sementara bagi menyatakan kebodohan seseorang diganti dengan ungkapan
Pak Pandir.
Dalam membicarakan persoalan adat pula, peribahasa banyak mengungkapkan persoalan yang
dihadapi oleh masyarakat dalam kehidupan sehari-hari. Dalam hal ini, perbilangan digunakan
sebagai media untuk menyampaikan petunjuk dan pengajaran kepada tertentu khususnya
golongan muda. Bagi masyarakat Melayu di Negeri Sembilan perbilangan masih digunakan
dengan meluas dalam urusan adat dan interaksi sosial ahli masyarakatnya. Contohnya bagi
menggambarkan ikatan kemesraan dan kasih sayang, digunakan perbilangan seperti berikut,
Merajuk pada yang kasih
Manja kepada yang sayang
Meminta kepada yang ada
Berkaul kepada yang keramat
(Zaba, 1965:173)
Peribahasa Dalam Pendidikan

Dalam proses pengajaran-pembelajaran subjek Bahasa Melayu khasnya di sekolah, peribahasa


mempunyai kedudukan yang sama penting dengan aspek lain. Hal ini kerana peribahasa
berupaya untuk berkembang dan relevan dengan bahasa tersebut secara keseluruhannya. Dalam
Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan Empat, dalam bahagian Sistem Bahasa,
perkara v, halaman xiv dinyatakan bahawa:

Peribahasa...perlu diajarkan dalam pendidikan Bahasa Melayu. Pemilihan peribahasa...


hendaklah mengutamakan falsafah, keperibadian dan nilai murni masyarakat Malaysia,... dan
hendaklah diajarkan dalam konteks"
Dalam hal ini, jelas bahawa pembelajaran dan penghayatan peribahasa bertujuan meningkatkan
keupayaan berbahasa dalam kalangan murid. Kemahiran berbahasa ini pula akan diteliti dalam
konteks kebolehan pelajar menggunakan peribahasa dalam aktviti seharian dan penulisan. Hasil
penulisan tentunya akan menjadi lebih indah dan bermutu sekiranya dimuatkan dengan
peribahasa yang tepat dan sesuai.
Sehubungan itu, murid perlu diajar mengenai ciri dan penggunaan peribahasa secara mudah dan
tepat. Namun begitu murid tidak seharusnya digalakkan menghafal sesuatu peribahasa seperti
yang lazim dilakukan sebelum ini. Sebaliknya, mereka harus dirangsang agar menggunakan
peribahasa dalam pelbagai situasi. Bagi mencapai tujuan ini, beberapa halangan perlu dihadapi
semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Antaranya ialah kesukaran murid
untuk mengingat sesuatu peribahasa ekoran sifatnya yang mempunyai pelbagai makna. Selain
jumlah dan jenisnya yang banyak, sifat peribahasa yang hanya sesuai untuk keadaan tertentu
telah menyebabkan minat dan kecenderungan untuk mempelajarinya menurun.
Selain itu, pengajaran berpusatkan guru turut menyebabkan pengajaran peribahasa tidak begitu
berkesan. Guru memberikan penjelasan mengenai maksud peribahasa, manakala murid begitu
pasif sebagai penerima maklumat. Akibatnya murid akan berusaha menghafal peribahasa yang
diberikan dan tidak menghayatinya sehingga mereka menganggap peribahasa adalah sesuatu
yang sukar untuk diperlajari (Koh Boh Boon, 1982:196-198). Justeru itu, sebagai jalan
penyelesaian adalah dicadangkan agar pengajaran peribahasa di dalam bilik darjah menggunakan

pendekatan kontekstual, iaitu guru bertindak sebagai fasilitator. Menerusi pendekatan ini,
pengamatan perlu dilakukan mengenai hubungan antara perkara yang dibandingkan, diikuti
dengan menyimpul makna yang simbolik dan terakhir dengan membuat penilaian terhadap
ketepatan peribahasa berdasarkan konteks atau situasinya. Dengan cara ini, murid diajar
menghayati peribahasa berdasarkan kontek dan situasi.
Dengan strategi pengajaran berdasarkan konteks ini, guru perlu bijak memilih peribahasa yang
akan diajar. Guru dicadangkan agar memilih peribahasa yang mudah dan biasa digunakan dalam
masyarakat. Guru juga harus mengetahui maksud dan pengertian serta penggunaan peribahasa
yang diajar kepada murid. Berikut merupakan contoh pengajaran peribahasa mengunakan
konteks situasi.
...Remaja di kawasan perumahan itu sanggup menggadai nyawa untuk berlumba haram
walaupun telah didiberi amaran beberapa kali oleh pihak polis
Jelas sekali peribahasa menggadai nyawa di atas diungkapkan dalam bentuk yang tidak tepat.
Peribahasa tersebut sebenarnya lebih sesuai bagi menyatakan perajurit negara yang berjuang
mempertahankan tanah air atau pengorbanan yang suci dan bermakna. Justeru itu, peribahasa
yang tepat bagi remaja yang berlumba haram seperti yang digambarkan dalam petikan tadi ialah
menempah maut. Ini kerana, perbuatan yang dilakukan adalah tidak bermoral.
Penutup
Peribahasa ternyata begitu penting dalam pengajaran bahasa. Dengan adanya pengajaran dan
pembelajaran peribahasa yang menarik dan berkesan, kemahiran berbahasa para murid akan
dapat dipertingkatkan. Ini bukan sahaja dalam aktiviti penulisan ayat atau karangan, malah murid
juga digalakkan untuk menggunakan bahasa kiasan ini dalam aktiviti lisan sama ada lisan formal

atau sebaliknya. Lebih penting lagi, pengajaran peribahasa kepada generasi muda juga akan
dapat memastikan warisan bangsa tidak terus dilupakan. Mereka juga boleh didedahkan dengan
falsafah, pemikiran dan moral bangsa Melayu untuk dijadikan pedoman hidup. Secara langsung,
hasrat negara menerusi Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang seimbang
dari segi intelek dan keperibadian akan mampu direalisasikan pada masa hadapan.

Anda mungkin juga menyukai