Anda di halaman 1dari 3

Peribahasa Melayu

Oleh ANNAS HAJI AHMAD Kedudukan Peribahasa dalam masyarakat Melayu Sarjana barat, seperti Winstedt dan Wilkinson berasa kagum dengan kekayaan peribahasa Melayu yang berjumlah berpuluh ribu itu. Masyarakat Melayu lama menggunakan peribahasa dalam segala lapangan hidup. Alam peribahasa Melayu dengan sendirinya merupakan satu kemegahan masyarakat Melayu lama, mempunyai pertalian yang erat dengan bentuk puisi lama dan meliputi medan yang luas dalam pemakaian bahasa. Bahasa memainkan peranan yang penting dalam sastera rakyat, iaitu sastera yang disampaikan secara lisan dari satu keturunan kapada keturunan yang lain. Bila kita hendak menyampaikan sesuatu mengikut bentuk lisan kita berkehendakkan sesuatu sistem pemilihan kata yang sesuai, sedap didengar dan hendaklah ringkas, kerana penerimaannya tergantung kapada penangkapan bunyi perkataan dan susunannya. Dengan itu, penggunaan peribahasa merupakan satu seni tersendiri yang sangat terkenal dalam masyarakat Melayu lama. Alam peribahasa Melayu meliputi kata yang dipilih khas, kata geliga, kata orang tua, bahasa kiasan dalam serba bentuk simpulan bahasa, pepatah dan bidalan yang mengandungi makna selapis, termasuk kata perbilangan yang dipakai sebagai panduan hidup dan perumpamaan yang mengandungi pengertian dua lapis. Pemakaian peribahasa bukan sahaja merupakan satu kebijaksanaan, tetapi pengetahuan mengenainya dapat membawa kita kapada memahami corak fikiran, asas tindakan, kesukaan dan perkara yang dibenci masyarakat lama. Peribahasa tumbuh bersama masyarakat zaman dahulu. Peribahasa hanya sanggup tumbuh dikalangan masyarakat daerah dan bukannya masyarakat kota. Adalah juga difahami bahawa jika sesuatu bahasa itu berkembang dan menjadi bahasa resmi, peribahasanya akan berkurang. Peribahasa tidak sahaja patut dikaji dari sudut bagaimana tumbuhnya dalam masyarakat, tetapi juga dari segi pemakaian dan kegunaannya. Peribahasa, baik yang digunakan dalam pertuturan harian maupun dalam penulisan sastera dan puisi, mementingkan unsur bunyi. Bunyi dengan susunan kata dapat menimbulkan asonansi dan aliterasi yang memberi kesan kapada pendengar.

Masyarakat Melayu lama yang mementingkan peribahasa adalah masyarakat yang stabil, masyarakat yang tenteram, dan ahlinya mempunyai kesempatan untuk berfikir dari segi keindahan bahasa. Banyak peribahasa Melayu yang mengambil perlambangan alam sekeliling untuk memberi makna yang padat dan tepat dalam menggunakan peribahasa. Kata itu pada hakikatnya mempunyai kebenaran, setidak-tidaknya pada zamannya. Contoh peribahasa adalah kata itu kota, sedikit lama-lama jadi bukit, atau bukit sama didaki, lurah sama dituruni yang terbit dari pengalaman, pemerhatian dan pandangan yang dalam. Dalam masyarakat yang tenteram, ahlinya mementingkan sifat, persamaan dan menentang keras orang, yang hendak mengasing, dan memandai sebab peribahasa dianggap kepunyaan umum yang sesiapa juga boleh menggunakannya. Peribahasa juga dibentuk dengan menggunakan imej (lambang) dari keadaan yang terdapat dalam sesebuah masyarakat. Contohnya ialah perumpamaan menanti ara tidak bergetah dan tetak air tidak akan putus yang bukan sahaja menggunakan perlambangan yang tepat, tetapi juga dengan perlambangan ini bilangan perkataan itu boleh dikurangkan untuk menjadikan peribahasa itu padat dalam susunan, pendek dan rapat, yang sama ada membawa makna selapis atau dua lapis. Ada kalanya peribahasa itu dibentuk dengan mempunyai unsur, asonansi dan aliterasi seperti ikut hati mati, ikut suka duka, ikut rasa binasa atau biar titik jangan tumpah dengan mana mengindahkan peribahasa itu dari segi bunyi dan rentaknya. Ada kalanya dimasukkan pula unsur, pertentangan bunyi yang membawa kesan yang dalam juga, seperti lain padang, lain belalang, lain lubuk lain ikannya. Kadang pula kata itu diselang-selikan saperti dalam, ringan tulang berat perut, berat tulang ringan perut. Dalam sastera rakyat yang mementingkan pendengaran, unsur bunyi amatlah penting. Bahkan dalam pantun, peribahasalah yang dapat memenuhi syarat, bilangan sukukata, perkataan dan isi yang padat. Jikalau dikaji pula penggunaan peribahasa pada umumnya, timbul keindahan dari segi kehalusan budi dan tujuan di sebalik peribahasa itu. Masyarakat Melayu lama dalam perhubungan mereka sehari-hari membicarakan soal adat dengan menggunakan peribahasa sebagai satu hiasan dan tanda kebijaksanaan. Pemakaiannya merupakan satu kelaziman. Perumpamaan juga merupakan perekonomian bahasa. Peribahasa juga dapat menyembunyikan kata-kata yang kasar seperti sindiran dan kekasaran yang diselimuti dengan kata-kata halus yang berkesan. Contohnya, alangkah dalam maksud di sabalik perumpamaan siapa makan cabai, dialah yang merasa pedasnya, dan air tenang jangan disangka tiada buayanya.

Sementara dalam masyarakat yang tidak biasa dengan alat-alat untuk menentukan waktu mereka berpegang kapada cara-cara yang tertentu. Mithalnya, untuk mengatakan lama masa disebut sepenanak nasi, selempar batu, matahari segalah, dua bulan purnama dan lain-lain lagi. Dengan ini fahamlah kita akan kekayaan dan keindahan alam peribahasa Melayu. SASTERA MELAYU LAMA (untuk Tingkatan Menengah dan Atas) oleh ANNAS HAJI AHMAD, Terbitan Saudara Sinaran Berhad (Tahun 1964)

Anda mungkin juga menyukai