Anda di halaman 1dari 3

Bahasa dalam Karya Sastera

(Prof. Rahman Shaari pensyarah di Jabatan Pengajian Media, UM)


KARYA sastera dihasilkan dengan menggunakan bahasa. Oleh itu dapat dikatakan bahawa bahasa
ialah alat untuk penghasilan karya sastera.
Ketika kita dilahirkan, kita tidak tahu berbahasa. Tangisan pertama bayi bukanlah bahasa seperti yang
difahami oleh masyarakat, kecuali jika kita mahu mengatakannya bahasa dalam erti yang tertentu. Kita belajar
berbahasa sejajar dengan perkembangan fizikal kita. Ketika kita kecil, keluarga mengajarkan kata-kata dan ayat-
ayat mudah. Apabila kita bersekolah, kata-kata pun bertambah-tambah, dan ayat-ayat pun semakin kompleks.
Kita berbahasa seumur hidup. Bahasa yang kita gunakan ialah bahasa yang dipersetujui oleh masyarakat.
Dengan kata lain, bahasa kita adalah mengikut konvensi masyarakat. Apa-apa yang kita katakan, sentiasa difahami
oleh orang yang kita ajak berbual-bual. Jika kita menulis sesuatu, kita menujukan tulisan itu kepada orang yang
tahu berbahasa, khususnya yang memahami bahasa yang kita gunakan. Seterusnya, kita membaca tulisan-tulisan
dalam bahasa yang kita fahami juga.
Apabila kita mengarang, karangan kita adalah bertahap-tahap. Kita mungkin mengarang untuk pembaca pada
tahap biasa. Maksud pembaca pada tahap biasa ialah pembaca yang membaca karangan kita untuk mendapatkan
maklumat atau berita. Penulis berita untuk akhbar sentiasa menggunakan bahasa untuk pembaca tahap ini.
Kita mungkin juga menulis karangan untuk pembaca pada tahap intelektual dan akademik. Makalah-makalah
yang tersiar dalam jurnal sentiasa menggunakan bahasa akademik. Isinya pula tebal dengan pemikiran. Karangan
pada tahap ini banyak menggunakan istilah-istilah yang hanya difahami oleh pembaca yang mempelajari ilmu
tertentu. Tidaklah mudah untuk kita memahami karangan akademik tentang undang-undang jika kita tidak pernah
mempelajari bidang tersebut.
Oleh itu, di manakah letaknya karya sastera?

Karya sastera ialah karya yang memuatkan nilai seni. Telah disebutkan tadi bahawa karya sastera
berasaskan bahasa. Kita mengatakan karangan tentang undang-undang, perubatan, ekonomi, politik dan
lain-lain semuanya menggunakan bahasa, dan kita bertanya apakah perbezaan antara bahasa dalam
karya sastera dengan bahasa dalam bidang-bidang tersebut?
Tanpa karya sastera, bahasa hanyalah alat untuk anggota masyarakat berhubung antara antara satu dengan
yang lain, dan juga bertujuan mendapatkan ilmu. Memang peranan yang sedemikian dapat dilaksanakan oleh
bahasa tanpa karya sastera. Namun, untuk keberkesanan mesej dalam kehidupan, karya sastera amat dituntut.
Karya sastera berupaya untuk memperkukuh kesan yang diharapkan oleh penutur dan penulis. Bahasa dalam karya
sastera berbeza daripada yang lain apabila aspek tersebut diperhatikan.
Bahasa amat penting dalam menghidupkan dan menyegarkan karya sastera. Untuk menilai kebagusan bahasa,
kajian hendaklah ditumpukan pada aspek gaya bahasa. Bagi menghidupkan karya sastera, gaya bahasa seperti
metafora, simile, personifikasi dan lain-lain akan ditekankan.
Bahasa dalam karya puisi
Dalam perbualan harian, kita menemukan karya sastera dalam bentuk yang sederhana dan rendah. Apabila kita
mahu menyarankan bahawa sesuatu itu boleh dipercayai, maka kita katakan Tak tumbuh tak melata, tak sungguh
orang tak kata. Berita yang tidak dapat dibuktikan disebut khabar angin. Perhatikan bahawa khabar angin
ialah simpulan bahasa, dan tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata ialah pepatah. Simpulan bahasa
dan pepatah ialah karya sastera.
Karya sastera dari genre peribahasa (termasuk simpulan bahasa dan pepatah) adalah banyak. Demikian juga
karya sastera yang berupa ungkapan-ungkapan. Kita sering membaca karya sastera sedemikian di akhbar, majalah
dan buku. Kita juga sering mendengar syarahan dan juga percakapan harian yang memuatkan karya sastera
sedemikian. Karya sastera yang sedemikian ialah puisi.
Pantun, syair, gurindam dan seloka, ialah puisi yang dianggap berada pada tahap yang lebih tinggi daripada
peribahasa. Walau bagaimanapun, kesemua karya sastera yang disebut puisi tradisional itu membawa maksud yang
mendalam dan maksud itu tersimpul dalam bahasa yang indah dan menarik. Jika bahasanya tidak menarik dan
keseluruhan penyampaiannya tidak berkesan, pasti kita tidak menganggapnya karya sastera.
Marilah kita tuturkan serangkap pantun. Pantun ini membawa maksud bahawa seseorang akan mengingati orang
yang jauh, jika dia merasakan orang dekat tidak memberikan perhatian terhadapnya.
Ada penyengat di dahan pauh,
Di dahan langsat semut melata;
Mana tak ingat orang yang jauh,
Orang yang dekat tak dengar kata.
Jika isi pantun di atas disebutkan dalam bentuk prosa biasa, bunyinya ialah, Saya asyik mengenang
kawan saya yang jauh, kerana kawan yang dekat dengan saya tidak sefahaman dengan saya. Kata-kata
dalam bentuk prosa itu tidak berkesan. Pantun yang diutarakan itu lebih berkesan kerana bahasa yang
digunakan ialah bahasa yang berentak dan berirama. Kata-kata Mana tak ingat orang yang jauh
adalah padat, dan berentak, manakala kata-kata yang berbentuk bukan sastera adalah biasa sahaja.
Oleh sebab kata-kata dalam pantun itu berkesan, kita menganggapnya aforime, iaitu bahan yang dapat
dijadikan pedoman hidup. Pedoman hidup ini berbunyi: Jika kita mahu diri kita disayangi, janganlah kita
mengetepikan cakap-cakap orang yang kita sayangi.
Sekarang, jelaslah bahasa dalam karya sastera ialah bahasa yang berkesan. Bahasa dalam sajak
sentiasa padat dan puitis, oleh itu mesejnya akan diingati, tidak segera dilupakan. Perhatikan kata-kata
daripada sajak Mengintai Ruang Insaf karya Shukri Abdullah.
Semakin berat kejahilan
terpikul di bahu
semakin jauh perjalanan
memburu nur-Mu.
Rangkap di atas menimbulkan keinsafan, bahawa manusia yang berdosa akan kian jauh daripada
nikmat Tuhan. Bahasa sastera yang digunakan oleh Shukri Abdullah kuat dan berkesan, berbanding
dengan bahasa bukan sastera untuk menyampaikan mesej yang sama. Sebagai karya puisi moden, karya
ini memuatkan metafora seperti padang hidup dan tunjang makna.
Bahasa dalam karya prosa Prosa tradisional Pelayaran yang Penuh Peristiwa ditulis semula oleh
Matlob daripada karya asal. Oleh sebab yang demikian, sifat klasiknya agak terhakis. Perhatikan ayat
ini: Setelah beberapa lama berlabuh barulah orang-orang yang mabuk tadi tersedar. Ayat tersebut
menyamai ayat bahasa Melayu moden. Bahasa Melayu dalam prosa Melayu tradisonal yang tulen
berbunyi seperi ini: Syahadan maka tersebutlah perkatannya Indera Nata berjalan itu. Ayat tersebut
terdapat dalam Hikayat Indera Nata.
Karya sastera yang berbentuk prosa juga memiliki unsur-unsur yang menentukan keberkesanan. Selalunya karya
prosa memuatkan cerita. Dalam cerita itu terselit pesanan dan pengajaran.
Pesanan dan pengajaran yang disampaikan melalui cerita sentiasa berkesan. Khalayak karya prosa, baik prosa
tradisional mahupun prosa modern, akan tiba pada kesimpulan bahawa kebaikan mesti mengatasi kejahatan. Selain
itu karya prosa yang baik pasti memuatkan pemikiran. Nilai kebaikan dan pemikiran adalah penting dalam
kehidupan masyarakat. Dalam karya yang berbentuk prosa, bahasa yang berkesan digunakan untuk melukiskan
peristiwa dan juga untuk menghasilkan dialog.
Bentuk dan susuk bahasa Melayu tradisional tidak menyamai bentuk dan susuk bahasa Melayu moden. Untuk
memahami hal ini, ambil sahaja mana-mana ayat daripada Hikayat Indera Nata dan bandingkan dengan mana-
mana ayat dalam cerpen Mellisa karya Abdullah Hussain.

Selain bentuk dan susuk ayat, dalam karya prosa tradisional terdapat beberapa perkataan yang sudah tidak
digunakan dalam zaman moden. Kata-kata itu antara lain ialah syahadan, sebermula, hatta, dan lain-lain.
Perhatikan juga bahawa dalam prosa tradisional terdapat agak banyak kata yang digunakan untuk melukiskan corak
komunikasi antara pihak raja dengan rakyat. Kata-kata yang dimaksudkan ialah patik, tuanku, beta, baginda
dan lain-lain.

Bahasa dalam karya prosa tradisional selalunya tidak memaparkan keperibadian khusus pengarang. Perhatikan
ayat ini: Alkisah inilah suatu ceritera orang dahulukala, amatlah indah bunyinya, supaya memberi asyik hati
perempuan yang hendak berbuat bakti kepada suaminya, dari dunia datang ke akhirat. (Daripada Hikayat Khoja
Maimun). Kita katakan ayat tersebut tidak memaparkan keperibadian khusus pengarangnya kerana bentuk itu ialah
bentuk umum bahasa Melayu klasik. Yang dapat kita pelajari daripada ayat di atas ialah adanya kata lama, iaitu
alkisah dan ceritera. Kita juga dapat memerhatikan bentuk dan susuk ayat dalam bahasa Melayu klasik.
Bahasa dalam karya prosa moden memuatkan identiti pengarang. Perhatikan ayat daripada cerpen Ibu dan
Ceper karya Shahnon Ahmad: Ceper pun serupa. Ia memancutkan airnya begitu deras bagaikan anak panah yang
baru saja lepas dari busurnya. Gaya bahasa Shahnon tidak sama dengan gaya bahasa Erda Roslan Khairi.
Perhatikan ayat-ayat daripada cerpen Israk: Pagi nirmala. Camar menyanyi mesra bersaing dengan cengkerik
menunjuk ketangguhan.
Perbezaan antara pengarang dapat dilihat pada pemilihan kata, pembinaan ayat dan beberapa aspek lagi. Selain
gaya pengarang, prosa moden juga selalu kaya dengan metafora, personifikasi dan lain-lain. Dalam cerpen Israk
terdapat metafora kolam mata, manakala dalam cerpen Mellisa terdapat arus masyarakat dan lain-lain.
Bahasa figuratif tidak hanya terdapat dalam puisi, tetapi juga dalam prosa.
Sebagai kesimpulan, aspek bahasa ialah aspek penting dalam karya sastera. Bahasa ialah penentu utama yang
menyebabkan karya sastera menjadi indah dan istimewa.

Anda mungkin juga menyukai