Anda di halaman 1dari 10

Travelog: Penulisan Kembara

Ahmad Fouad bin Abd Mubin

Travelog atau penulisan kembara adalah salah satu genre dalam sastera yang

merangkumi penulisan penjelajahan, perantauan, pelancongan, ataupun buku panduan.

Kembara merupakan satu naluri asas manusia. Manusia telah mengembara dengan

seribu satu sebab dan matlamat- mencabar diri, peribadi, penghijrahan, masalah politik,

ekonomi, dan kini di zaman moden sebagai satu pengembaraan budaya. Sesetengah

pengembara yang peka dan mempunyai fikiran yang tersusun serta keupayaan untuk

membuat pemerhatian yang teliti telah mendorong kepada wujudnya penulisan-

penulisan kembara. Sejak zaman dahulu lagi penulisan kembara sudah dimulakan oleh

pengembara-pengembara seperti Marco Polo dan Ibnu Battuta yang menyumbangkan

bahan penulisan sebagai sumber rujukan sejarah popular dunia sehingga ke hari ini.

Tujuan penulisan kembara merupakan sebagai satu catatan seperti diari dan

rekod yang jelas berkenaan masyarakat, tempat, adat dan budaya, serta acara-acara

yang ditemukan oleh pengembara. Mereka memberi satu sudut pandang dan penelitian

yang khusus terhadap suatu budaya dan tempat yang mereka lawati. Penceritaan yang

dibuat dalam bentuk novel juga dikira sebagai salah satu jenis travelog di mana penulis

cuba menonjolkan pelbagai tempat dan budayanya, melalui perjalanan watak utama

misalnya The History of Tom Jones, a Foundling karya Tom Jones.

Penulisan travelog menjadi semakin popular di Malaysia sejak beberapa tahun

ini dan penerbitan karya-karya genre travelog kian bertambah. Rakaman pengalaman
yang menarik ini mengujakan pembaca yang ingin menjiwai pengalaman penulis.

Penulisan berkisar travelog kebiasaannya dilampirkan bersama dengan foto-foto

tentang peristiwa yang berkaitan sebagai pengukuhan catatan yang ditulis.

Perkembangan penulisan jenis ini merupakan sesuatu kelainan dalam bidang penulisan,

sekali gus membuka ruang yang lebih luas dari perbatasan bidang ini.

Cara pengolahan catatan penulis-penulis travelog pastinya berbeza antara satu

sama lain bergantung kepada cara tersendiri yang dipakai oleh penulis. Justeru,

perkara yang boleh diberi perhatian, bagaimanakah lambakan penulisan ini

dipersembahkan? Kebiasaannya, penulis travelog menyampaikan kisah pengalaman

mereka dalam bentuk laporan yang merangkumi perihal, tindakan dan kaedah yang

diambil serta jalan penyelesaian mereka untuk bergerak dari titik A ke titik B, dan

kemudian ke titik C, dan seterusnya. Kandungan cerita mereka bergantung kepada

matlamat kembara dan juga matlamat penulisan. Atas faktor itu, travelog menghasilkan

pebagai jenis persembahan penulisan yang tidak terbatas dalam satu laras yang sama.

Laras penulisan travelog yang berbentuk kisah kembara pendek adalah jenis

travelog yang paling popular setakat ini dalam pasaran tempatan. Penulisan jenis ini

bertambah atas beberapa faktor. Antaranya ialah, ia menjadi permintaan pembaca yang

mahukan maklumat tentang sesuatu pengalaman mengembara sebagai pengetahuan

persediaan untuk mengembara/melancong. Jangka masa kembara yang pendek juga

menjadikan penulisan jenis ini mudah disiapkan. Tempoh kembara yang singkat

dengan secara langsung merangkumkan peristiwa yang tidak terlalu kompleks dan

menjadikan penulis lebih mudah untuk merakamkan keseluruhan kisah kembaranya

dalam satu penulisan yang lengkap. Penulis akan menekankan kisah-kisah yang
dianggap istimewa baginya dan kisah-kisah ini biasanya muncul dalam bentuk masalah

ataupun situasi yang dirasakan sangat asing bagi penulis yang pertama kali

mengalaminya. Kelebihan untuk penulis travelog jenis ini ialah apabila penulis dapat

berkongsi pengalaman menarik yang mengujakan pembaca sebagai sesuatu

pengetahuan dan ilmu baru yang sukar didapati tanpa pengalaman.

Antara perkara penting dalam penulisan kembara jangka pendek ini ialah

kecenderungan penulis memperincikan tentang pergerakan penulis dari titik A ke titik B.

Sebagai contoh, penerangan tentang nombor bas, harga tiket, tempoh perjalanan, dan

hal-hal lain yang diceritakan dengan teliti. Keadaan ini berlaku kerana pergerakan

penulis ini bersifat sehala, maka setiap perincian bagi proses pergerakan merupakan

antara perkara yang dirasakan penting untuk catatan kembara jenis ini. Tambahan pula,

tempoh kembara yang pendek membuatkan proses perjalanan penulis mengambil

ruang yang agak banyak untuk penceritaan proses perjalanan, berbanding pengalaman

penulis dengan lebih deskriptif terhadap satu-satu tempat yang disinggahinya.

Keperluan bagi penulis untuk menceritakan dengan teliti proses teknikal perjalanan

kembara dan perkara-perkara kecil yang berlaku, sedikit sebanyak memberikan kesan

kepada cara pengolahan yang diguna pakai oleh penulis.

Atas faktor-faktor tersebutlah yang menjadikan konsep penulisan travelog

berbentuk seolah-olah sebuah laporan yang haus dari nilai estetika yang diperlukan

untuk menjadikan karya travelog itu sebagai sebuah karya sastera yang baik. Beberapa

faktor lain juga perlu diambil kira seperti sasaran pembaca yang harus diteliti oleh

penulis, sama ada pembaca yang memerlukan panduan kembara, atau pembaca biasa
yang mahu menghayati satu penulisan kembara yang baik dan membawa diri mereka

bersama-sama dalam naratif penulis.

Travelog sebagai sebuah karya sastera

Penulisan berbentuk sastera yang merangkumi keunikan penggunaan bahasa yang

indah serta menepati ciri nilai kesusasteraan adalah penulisan yang berbeza sama

sekali dengan penulisan yang hanya berbentuk catatan. Penulisan sastera yang terdiri

dari dua bentuk, iaitu naratif (cerita) dan bukan naratif (bukan cerita) memiliki ciri-ciri

tersendiri yang membolehkan ia dikategorikan sebagai penulisan sastera. Antara ciri-ciri

penting karya sastera ialah dapat dilihat dari segi genre, bentuk dan gaya bahasa yang

digunakan.

Travelog sebagai sebuah karya sastera juga sudah tidak asing dalam bidang

Kesusasteraan Melayu. Perlu diambil perhatian, bahawa kewujudan pengembaraan

sebagai tema dan jalan cerita dalam karya sastera telah wujud dalam kesusasteraan

tradisional khususnya dalam bentuk prosa. Prosa yang mengemukakan pengembaraan

sebagai tema utama dalam perkisahan antaranya ialah dalam cerita Panglipur Lara

yang mengangkat keunggulan kesusasteraan tradisional. Antara cerita Panglipur Lara

yang popular dengan garapan pengembaraan sebagai tema ialah Hikayat Awang

Sulung Merah Muda, Hikayat Anggun Cik Tunggal, Hikayat Raja Muda, Hikayat Malim

Deman, Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Seri Rama. Perbezaannya hanyalah pada

bentuk pengolahan karya kesusasteraan tradisional itu, yang berbeza dengan

pengolahan dalam karya kesusasteraan moden.


Setelah munculnya kesusasteraan moden yang berdasarkan bentuk dan aspek

baru dari pelbagai segi, penggunaan travelog sebagai tema kembali diungkapkan.

Namun, perbezaannya pengembaraan dalam prosa tradisional dengan travelog dalam

sastera moden ialah apabila prosa tradisional mengangkat cerita pengembaraan

dengan tujuan mengagungkan pemerintah, raja, anak-anak raja dan pahlawan, yang

secara langsung menimbulkan unsur mitos, dongeng dan mengada-adakan cerita

sehingga hilang nilai berpijak pada bumi yang nyata. Manakala, travelog dalam sastera

moden telah mengemukakan pengembaraan sesiapa sahaja yang tidak dibataskan oleh

kasus darjat mahupun kedudukan, bahkan mementingkan perkara pokoknya, iaitu nilai

pengalaman pengembaraan yang dialami oleh mereka dengan tujuan tertentu. Lebih

terlihat perbezaan antara dua zaman ini ialah, travelog dalam sastera moden

kebiasaannya merupakan pengalaman dan kisah sebenar yang berlaku kepada diri

penulis atau individu yang menjadi watak dalam karya tersebut. Makanya, tidak ada

unsur-unsur mitos atau cerita yang diada-adakan, bahkan setiap peristiwa lebih sahih.

Mengambil perhatian terhadap sudut travelog dalam sastera moden, pelbagai

bentuk pengolahan yang diambil oleh penulis berdasarkan cara yang diguna pakai oleh

penulis secara tersendiri. Sudah semestinya penghasilan karya sastera yang berkisar

travelog berbeza dengan catatan travelog biasa. Penulis travelog perlu mencabar diri

dengan menjadikan catatan perjalanan mereka mampu mencapai lebih jauh sebagai

karya sastera berbanding sekadar sebuah laporan perjalanan yang kaku berserta

hanya lambakan foto kembara yang berlebihan dan tidak bersesuaian. Proses

penulisannya sedikit berbeza dengan catatan biasa dan ia bergantung kepada genre

sesuatu karya itu, sama ada berbentuk naratif seperti novel dan cerpen, atau bukan
naratif seperti sajak. Perkara yang membezakan sebuah catatan kembara biasa dan

karya sastera merupakan nilai kreativiti dan estetika yang dimasukkan dalam

pengolahan karyanya.

Penulisan travelog berbentuk novel ini perlu mengemukakan catatan

pengalaman pengembaraan penulis dengan tumpuan kepada bentuk novel. Hal ini

merangkumi watak dan perwatakan, keperincian peritiwa yang lebih teliti, dan

mengemukakan teknik dialog dan monolog watak. Dalam menjadikan penulisan

travelog itu lebih dari sekadar sebuah laporan perjalanan, penulis haruslah mengambil

usaha yang lebih dalam mempersembahkan kisah kembaranya dengan teknik

penceritaan dan penyusunan cerita yang lebih menarik, tidak semata-mata mendatar.

Meskipun travelog adalah suatu kisah perjalanan dari titik A sehingga ke titik Z,

tidak semestinya penulis harus kekal dengan kronologi satu hala. Penulis boleh memilih

pelbagai jenis teknik dan lebih fleksibel dari segi penceritaan, perkembangan watak,

mengambil kira konsep konflik dan penyelesaian supaya dapat menarik pembaca untuk

menghayati cerita yang ingin disampaikan penulis. Kebiasaannya, penulis yang

menggunakan tema travelog dalam penulisan sastera adalah terdiri daripada penulis

muda yang belum berpengalaman luas dalam penulisan sastera. Oleh itu, karya

mereka belum mencapai tahap karya sastera yang baik. Namun, penulis-penulis tetap

perlu berusaha menjayakan objektif mereka untuk menghidupkan travelog dalam karya

sastera dengan baik.


Di suatu sudut yang lain, jenis penulisan travelog berbentuk memoir1 merupakan

bentuk yang paling mampu mendorong kepada ciri-ciri sebuah karya sastera yang baik.

Memoir dikategorikan sebagai sub-kategori untuk autobiografi atau biografi sejak

penghujung abad ke-20. Penulisan bentuk memoir bagi travelog ialah penceritaan

kehidupan penulis yang biasanya mengambil tempoh masa bermastautin yang agak

panjang berbanding pengembaraan jangka pendek. Selain itu, penulisan memoir juga

cenderung menitikberatkan pengolahan perasaan penulis terhadap perkara di

sekelilingnya. Penulis yang menginap untuk jangka masa yang lama di suatu tempat

mempunyai kepadatan rutin dan pengamatan terhadap latar belakang tempatnya yang

lebih terperinci. Penulis juga lebih cenderung untuk tidak mempedulikan hal-hal remeh

yang berlaku di sekelilingnya, ataupun ia diceritakan hanya secara endah tak endah.

Atas faktor itu, penulisan dan penerbitan travelog berbentuk memoir adalah tidak

mudah untuk dilaksanakan dalam jangka masa yang singkat. Penulis perlu mengambil

kira perincian dan penyusunan cerita merujuk pengalaman yang berlaku kepadanya

dalam jangka masa kembara yang lebih panjang daripada biasa, kisah-kisah yang

dipaparkan mampu menarik pembaca untuk menghayati satu proses penceritaan yang

lebih membumi dan realistik (menonjolkan lebih teliti tentang latar tempat dan

masyarakat).

Apakah persediaan dan cabaran menulis travelog?

Perkara paling utama sebelum memulakan penulisan travelog adalah penulis itu

seharusnya tahu matlamat penulisannya, sama ada bertujuan menarik minat pembaca

1
Menurut kamus Merriam Webster, memoir merupakan koleksi memori yang ditulis oleh individu berkenaan satu-
satu situasi atau kejadian sama ada bersifat terbuka atau peribadi yang dialami oleh dirinya.
untuk mengembara dan sebagai panduan, atau atas tujuan ingin merakamkan

pengalaman sebagai rujukan peribadi mahupun umum. Dengan mempunyai matlamat

yang jelas, proses penulisan travelog ini akan menjadi lebih lancar. Pengembara juga

perlu lebih bersedia dengan banyak maklumat sebelum memulakan suatu perjalanan

dengan membuat pembacaan awal terhadap tempat yang ingin ditujui untuk mendapat

pendedahan awal terhadap persekitaran. Selain itu, penulis perlu tahu terlebih dahulu

ruang ceruk (niche) atau fokus yang ingin dibuat dalam penulisannya. Meskipun

perjalanan yang bakal ditempuhi adalah sesuatu yang tidak pasti, namun dari segi

pemilihan kisah dan jalan cerita yang dialami itu perlulah mempunyai satu matlamat

dengan mengetengahkan banyak sudut pandang dari penulis sendiri.

Dalam menambah baik teknik, penulis harus kerap menulis dan memperbaiki

kemahiran menulis pada bila-bila masa. Sesetengah perkara yang dialami semasa

proses kembara kadangkala tidak mampu untuk diungkapkan dengan baik pada masa

dan ketika berada di tempat itu. Tambahan pula, penerangan bagi suatu latar tempat

dan masyarakat yang baru itu seharusnya tepat. Adalah lebih baik jika seseorang

penulis itu mempunyai tabiat untuk membuat catatan bagi setiap isu dan pengalaman

yang dialaminya agar dapat ditambah baik dari segi olahan pada kemudian hari.

Mencari kisah yang bagus adalah perkara yang tidak mudah bagi seorang

penulis yang sedang mengembara. Jalan yang terbaik untuk mendapatkan intipati

berkenaan tempat yang disinggahi adalah melalui masyarakat tempatan. Adalah satu

kerugian bagi seorang pengembara itu yang membataskan perhubungannya dengan

masyarakat tempatan kerana melalui mereka, penulis akan mengetahui lebih banyak

berkenaan budaya dan sejarah setempat. Membataskan diri dari masyarakat tempatan
sedikit sebanyak mengurangkan nilai estetika budaya yang sepatutnya dihayati oleh

seseorang pengembara. Berbanding dengan pengembara lain yang hanya

menumpukan tempat atau monumen sebagai rujukan budaya tempatan, interaksi

dengan masyarakat mampu membuatkan kisah kembara penulis itu lebih sempurna.

Mencatat adalah satu keperluan untuk mendapatkan bahan untuk dikumpulkan

menjadi sebuah karya travelog. Selain mencatat, penulis juga boleh menggunakan

kaedah lain dalam mendokumenkan perjalanan mereka seperti mengambil foto dan

juga helaian-helaian risalah yang diperoleh sepanjang perjalanan. Perkara ini boleh

membantu penulis untuk mendapatkan perincian bagi menjelaskan suatu situasi yang

dialami, ataupun menjelaskan informasi yang mungkin hanya mampu diingati semula

melalui foto dan risalah yang diambil tadi. Oleh kerana manusia mempunyai daya

ingatan yang tidak panjang dan penulis juga perlu menumpukan perhatian dalam

perjalanan pengembaraannya, amalan seperti ini sedikit sebanyak dapat membantu

untuk mendapatkan bahan bagi proses penulisannya pada kemudian hari.

Akhir sekali, penulis harus sedar bahawa tiada latar belakang dan watak dalam

penceritaan yang boleh dicipta mengikut citarasa dan imaginasi penulis travelog.

Perkara yang berlaku dalam kembara seseorang penulis itu tidak boleh direka-reka dan

keadaan ini sedikit sebanyak memberikan cabaran kepada penulis untuk menceritakan

semula kisah kembaranya tanpa melanggar etika iaitu tokok tambah yang berlebihan

dalam penceritaan. Penulis juga akan mengalami masalah untuk memilih jalan cerita

yang terbaik untuk dituliskan semula, jika mahu mengambil kira reaksi dan harapan

bakal pembaca karya mereka kelak.


Penulis tidak perlu berlebih-lebih dalam memaparkah kisah kembaranya

sehingga karyanya menjadi berserabut atau terlalu mendatar. Penulisan travelog ini

tidak seharusnya menjadi sebagai satu log harian yang membosankan dan bertindih-

tindih. Maka, adalah lebih baik jika penulis memilih kisah yang kecil namun diceritakan

dengan deskriptif supaya mendapatkan hasil yang lebih berkualiti.

Paling utama, penulis haruslah jujur dalam menulis. Pembaca tidak

mengharapkan kisah kembara yang dibaca adalah indah belaka melalui kepura-puraan.

Mereka menginginkan pembacaan berdasarkan sudut pandang penulis sebagai

mengembara dan ingin tahu bagaimana penulis menjalani hidup sepertimana orang

tempatan menjalaninya. Sesetengah pembaca tidak mahukan sudut pandang penulis

sebagai seorang pelancong kerana itu akan bertentangan daripada matlamat sebenar

seorang penulis kisah kembara.

Tidak semua kisah yang dialami oleh seorang penulis itu wajar untuk diceritakan,

lebih-lebih lagi apabila terdapat isu atau rahsia yang tidak sesuai dipaparkan semula

mengikut pertimbangan penulis itu sendiri. Harus diingati semula, bahawa penulisan

travelog merupakan kisah peribadi penulis. Setiap perkara yang berlaku dan keputusan

yang dibuat oleh penulis sebagai pengembara merupakan paparan tingkah laku, sikap,

dan personaliti penulis. Namun, adakah penulis travelog sudah cukup bersedia untuk

menceritakan kisah peribadinya secara terbuka yang akan dibaca dan dihakimi oleh

para pembaca kelak?

Anda mungkin juga menyukai