Anda di halaman 1dari 8

ANALISIS CERPEN

"RIMBAKU, AIRMATAKU"

1.0       ABSTRAK
            Sejak abad ke-19 lagi, cerpen telah wujud dan menjadi satu genre dalam kesusasteraan
Melayu moden. Genre cerpen menghadapi pelbagai kesukaran dan halangan untuk mancapai mutu
penerbitannya seperti hari ini. Tugasan ini tertumpu kepada pengulasan cerpen berdasarkan sebuah
cerpen yang dipilih. Cerpen yang dipilih hendaklah yang ditulis antara tahun 70-an hingga tahun 90-
an. Analisis cerpen ini meliputi aspek gaya bahasa, kesantunan bahasa dan sistem sapaan. Ia juga
merangkumi penggunaan aspek-aspek tersebut dalam kalangan generasi muda dan juga guru-guru
pada abad ini.

2.0       PENGENALAN
            Cerpen adalah satu cerita pendek yang mempunyai satu tema yang utama dan selalunya
mengandungi 6 hingga 8 muka surat sahaja. Perjalanan watak berkembang dengan pantas.
Ceritanya juga pendek dan padat. Ia tidak memerlukan ayat yang panjang lebar dan berbelit-belit.
Cerpen mempunyai tema yang pelbagai seperti soal cinta, ekonomi, politik, sosial dan sebagainya.
Selain itu, cerpen mestilah mengandungi lima perkara asas iaitu kenapa, dimana, bagaimana, bila
dan siapa dalam keseluruhan proses penceritaan itu sehinggalah selesai atau tamatnya sebuah
cerpen.
            Ramai penulis di negara ini kebanyakannya bermula dengan genre penulisan cerpen seperti
Amaruszati Nur Rahim, Lily Haslina Nasir dan lain-lain lagi.

3.0       BIOGRAFI PENGARANG


            Usman Awang merupakan penerima anugerah Sastera Negara pada tahun 1983. Beliau
juga adalah tokoh sasterawan generasi asas ’50 yang terkemuka. Kecemerlangan sumbangan
beliau terhadap kesusasteraan Melayu diiktiraf melalui pelbagai anugerah lain seperti Anugerah
Pejuang Satera (1976), S.E.A. Write Award (1982), Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti
Malaya (1983), dan Anugerah Penyair Johor (1995).
            Pelbagai karya Usman Awang seperti puisi, drama, cerpen, fragmen novel, dan esei telah
dihasilkan dari tahun 1948 hingga 1988, iaitu dalam tempoh pengkaryaannya selama 40 tahun.
Dalam berkarya, beliau pernah menggunakan pelbagai nama pena seperti Tongkat Warrant,
Setiabudi, Manis, Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Pengarang Muda, Rose Murni, Zaini, dan U.A.

4.0       SUMBER KAJIAN


Tajuk cerpen yang dipilih ialah ‘Rimbaku,  Air Mataku’ karya Usman Awang di dalam buku Edisi
Khas Saterawan Negara, Koleksi Terpilih Usman Awang yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka pada tahun 2005. Cerpen ini pertama kali diterbitkan pada November 1980.
5.0       SINOPSIS
Cerpen Rimbaku, Air Mataku karya Allahyarham Usman Awang  yang telah saya hadam,
begitu menyantun untuk saya hayati kesudahannya yang berlegar tentang ketakutan, kebimbangan
dan keresahan masyarakat rimba dalam menjalani hidup dek habitat mereka kian musnah dan
punah. Kasih-sayang antara ahli keluarga masyarakat rimba jelas kelihatan apabila si anak dan si
ibu begitu terasa kehilangan ahli keluarga mereka. Dengan merenung kepada kisah hidup
masyarakat rimba dengan kesusahan dalam mencari tempat tinggal akibat aktiviti pembalakan
manusia yang kian rancak demi pembangunan infrastruktur dan kasih-sayang antara ahli keluarga
yang dikalamkan di dalam cerpen ini, hati saya amat tertarik untuk menyelami kesudahan cerpen ini.
“Aku”, seekor anak dari keturunan masyarakat rimba yang tidak dinyatakan spesiesnya
merupakan watak utama yang diceritakan dalam cerpen ini. “Aku” merupakan seorang anak yang
bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan oleh bapanya. “Aku” ialah anak yang paling tua
dan “aku” mempunyai seekor adik dan ibu. Bapa “aku” telah mati dibunuh manusia secara tidak
berperikemanusiaan manakala adik “aku” mati setelah minum air sungai yang tercemar.
Kehidupan masyarakat rimba yang dahulunya aman damai, dengan kedengaran suara
riang-riang rimba, teriakan ungka, nyanyian burung dan kejernihan sungai yang mengalir kini
semakin dekat dengan kemusnahan dan kematian. Khususnya cerpen ini membawa pembaca
mendalami kisah hidup haiwan yang diancam kepupusan dan kehilangan habitat dengan
meletakkan diri kita sejenak di tempat mereka bagi merasai keperitan yang dialami oleh masyarakat
rimba itu sendiri.

6.0       ANALISIS CERPEN


6.1       GAYA BAHASA
Menurut Nik Safiah Karim (1988), gaya bahasa ialah cara bagaimana seseorang itu
mengungkapkan bahasa sama ada semasa bertutur atau menulis. Za’ba pula menjelaskan gaya
bahasa sebagai rupa susuk ayat yang dipakai apabila bercakap atau mengarang. Oleh itu, dalam
kajian gaya bahasa, kita akan melihat aspek-aspek kesesuaian penggunaan perkataan, frasa, ayat
dan ungkapan tertentu dalam situasi tertentu. Gaya bahasa ialah suatu ungkapan yang diucapkan
oleh seseorang untuk menyampaikan dalam sesuatu komunikasi sama ada secara lisan atau secara
tulisan.
Setiap gaya bahasa yang digunakan dalam sesebuah hasil karya mempunyai fungsinya
yang tersendiri. Begitu juga dengan cerpen Rimbaku, Airmataku yang telah saya kaji ini. Gaya
bahasa memainkan peranan yang penting dalam cerpen ini. Ia menggambarkan kehidupan
masyarakat rimba iaitu haiwan yang diancam kepupusan. Sifat manusia diberikan kepada haiwan
bagi menimbulkan perasaan yang nyata bagaimana berada di alam haiwan. Usman Awang
menggunakan bahasa yang mudah difahami pembaca di dalam karyanya. Tambahan pula, gaya
bahasa yang digunakan begitu indah sehingga membuatkan pembaca betul-betul berada di alam
haiwan.
Selain itu, pengarang juga menyelitkan beberapa unsur  sastera seperti hiperbola, simile,
pengulangan dan personifikasi bertujuan menimbulkan lagi keindahan bahasa dalam cerpen ini.
Sebagai contoh, unsur hiperbola yang ditonjolkan “Bulan di langit kelihatan menumpahkan
cahayanya”, digunakan pengarang bagi menekankan tentang sesuatu idea atau perkara. Di sini,
pengarang menegaskan bahawa cahaya bulan begitu terang sehingga menyuluh alam rimba. Selain
itu, pengarang juga menggunakan unsur simile iaitu “seperti bunyi petir yang memanah dahan
kayu”. Simile ialah kiasan atau perbandingan yang setara yang digunakan oleh pengarang di dalam
cerpen ini untuk menunjukkan kuatnya bunyi seolah-olah menyamai bunyi petir yang menyabung.
Penggunaan gaya bahasa yang menarik, sedikit sebanyak menarik perhatian pembaca untuk terus
membaca hingga ke penghujung cerita.
Usman Awang juga menggunakan teknik pengulangan atau repitisi tidak lain tidak bukan
bertujuan menimbulkan lagi keindahan bahasa dalam karyanya. Contoh pengulangan yang terdapat
dalam cerpen ini ialah, “seperti memanggil aku, seperti memanggil ibuku, seperti memanggil adik
bongsuku”. Teknik ini jelas ditunjukkan pengarang untuk membuktikan betapa pentingnya sesuatu
pengulangan bagi menunjukkan kesungguhan watak dalam menegaskan sesuatu. Teknik
personifikasi juga diutarakan oleh pengarang dalam cerpen ini iaitu  “Angin berhembus perlahan
sekali, dan  ” daun-daun seperti menari dengan lenggoknya yang sangat lembut.” Penggunaan
gaya bahasa ini sesuai dengan apa yang ingin disampaikan pengarang untuk memberi impak
estetika kepada pembaca.
Justeru, gaya bahasa ialah keseluruhan proses yang digunakan untuk memindahkan fikiran
pengarang kepada bahasa sebagai media utama karya sastera.

6.2       KESANTUNAN BAHASA


Kesantunan berbahasa dikaitkan dengan penggunaan bahasa halus, termasuk di dalamnya
ialah laras bahasa istana seperti patik, berangkat dan mencemar duli. Kata dan ungkapan
bertatasusila banyak digunakan dalam keadaan biasa bergantung kepada kedudukan, pangkat,
umur dan keakraban hubungan. Abdul Shukor Shaari (2003) mentakrifkan kesantunan sebagai cara
dan bentuk bahasa yang digunakan oleh seseorang itu dengan penuh sopan, tidak biadap atau
kurang ajar. Kesantunan bahasa merangkumi aspek-aspek seperti pemilihan kata yang digunakan
ketika bertegur sapa, nada, gerak laku dan gaya yang digunakan ketika berkomunikasi.
Merujuk kepada cerpen yang telah saya pilih, kesantunan bahasa jelas  ditunjukkan oleh
pengarang. Kesantunan bahasa yang ditonjolkan sangat memberi kesan kepada pembaca.
Contohnya, “Jangan kau sesali nasibmu, nak. Kau harus berterima kasih kerana kau dilahirkan
dengan jiwa dan sifat mulia, tidak mempunyai naluri pembunuh sebagaimana yang ada pada
harimau, singa, buaya, dan juga manusia.” Demikian pertuturan seorang bapa kepada anaknya
yang merungut tentang kejadian mereka yang dianggap bodoh. Kata-kata yang diungkapkan
membawa makna tersendiri yang mampu menyentuh perasaan pembaca. Ia juga menggunakan
bahasa halus tetapi mudah difahami. Kesantunannya dapat diteliti dengan penggunaan bahasa atau
kata-kata yang sopan, tidak biadap dan memberi nasihat.
Begitu juga dengan contoh lain seperti, “Perutmu sakit?” Pertanyaan yang diajukan oleh si
ibu kepada anaknya dengan penuh kasih sayang. Kehalusan budi bahasa memainkan peranan
penting dalam aspek kesantunan bahasa kerana setiap kesalahan kata yang diungkapkan boleh
merosakkan kesantunan bahasa.  Contoh lain yang dapat diketengahkan dalam cerpen ini ialah, 
“Mari kita ikuti jejak darah bapamu,”. Penggunaan perkataan “mari” dalam ayat tersebut dapat
digambarkan sebagai kata yang boleh membawa kepada kesantunan berbahasa. Ajakan si ibu
kepada anaknya untuk menjejaki darah si bapa jelas menunjukkan penggunaan kesopanan dan
kehalusan bahasa dalam berkomunikasi.
Sehubungan dengan kesantunan berbahasa dalam adat melayu, mereka memandang tinggi
dan memuliakan orang yang berbudi bahasa. Orang yang mempunyai budi bahasa, berbudi mulia
dan sopan dalam berbahasa diberi nilai yang sangat tinggi manakala orang yang tidak mempunyai
budi bahasa dan bercakap dengan tidak sopan dianggap berperangai rendah.

6.3       SISTEM SAPAAN


Bahasa Melayu mempunyai sistem sapaan dan rujukan mengikut situasi dan konteks yang
sesuai. Kesalahan penggunaan kata sapaan ini boleh menimbulkan hubungan yang tidak harmoni
antara penutur dan pendengar. Kata-kata membawa implikasi yang berlainan apabila digunakan
dalam situasi yang berbeza. Sistem sapaan melibatkan penggabungan gelaran, rujukan hormat dan
ganti nama. Ia terbahagi kepada pelbagai kategori. Antaranya ialah panggilan dalam keluarga
sedarah, gelaran pergaulan tak sengaja (formal), gelaran warisan, gelaran kurniaan kerajaan dan
banyak lagi.
Dalam cerpen yang saya pilih ini, sistem sapaan yang banyak digunakan ialah panggilan
dalam keluarga sedarah atau keluarga asas. Contohnya, bapa, ibu dan adik yang menunjukkan
pertalian darah antara mereka. Penggunaan kata ganti diri pertama jelas kelihatan. Contohnya
“aku” dalam ayat ini, “Aku selamanya mengagumi ketajaman pendengaran dan penciuman
bapa.” Kata ganti diri “aku” dalam ayat tersebut menegaskan bahawa watak “aku” sahaja yang
berkata sedemikian. Selain itu, terdapat juga kata ganti diri kedua, iaitu “Kami berbaring dan
berbual-bual sementara menanti mata mengantuk.”  Kami merupakan kata ganti diri yang mewakili
ramai orang, sama ada dua orang atau lebih. Kebanyakan sistem sapaan yang ditunjukkan oleh
pengarang dalam cerpen ini merujuk kepada keluarga sedarah kerana terdapat pertalian
kekeluargaan dalam hubungan mereka iaitu keluarga asas. Kata ganti diri dalam sesebuah keluarga
ditentukan melalui pertalian darah keluarga asas, keluarga suku/perut dan keluarga turun-temurun.
Lantaran itu, bahasa yang ditekuni dengan pemilihan sistem sapaan yang tepat, sesuai dan
jitu akan membina kesantunan bahasa dan pemikiran yang besar apabila dibaca atau diungkapkan.
Pada umumnya, sistem sapaan merupakan satu daripada wahana perhubungan dan komunikasi
antara manusia. Sebagai satu keperluan sosial, sistem sapaan memang menjadi alat penting dalam
setiap pertuturan seseorang.

6.4       KEPENTINGAN GAYA BAHASA, KESANTUNAN BAHASA, SISTEM SAPAAN DALAM


MASYARAKAT MALAYSIA
Dalam mengejar dunia tanpa sempadan, budi bahasa dan ketinggian nilainya khususnya
dalam masyarakat Malaysia kian terhakis akibat pembangunan pesat yang kian rancak. Manusia
hanya tahu pergi kerja dan pulang begitu sahaja sehingga kadang-kadang langsung tidak bertegur
sapa antara jiran tetangga. Sikap individualistik sebegini amat mambimbangkan. Arus
pembangunan yang seakan-akan tiada berpenghujung mendorong masyarakat untuk mengejar
wang ringgit tanpa mempedulikan komuniti setempat. Kemana hilangnya semangat kekitaan dan
budi bahasa yang dahulunya menjadi kebanggaan kita semua. Bahkan anak-anak muda bersidai di
sana sini tanpa ada rasa malu dengan ungkapan-ungkapan yang tidak menyenangkan. Kata-kata
yang dituturkan seolah-olah tidak diajar dan langsung tiada adab.
Penggunaan bahasa yang baik amat penting untuk menyampaikan sesuatu mesej.
Sekiranya bahasa yang digunakan buruk dan tidak menepati ciri-ciri kesantunan bahasa yang baik,
bagaimanakah maklumat tersebut dapat disampaikan dengan berkesan. Oleh yang demikian, gaya
bahasa yang menarik, kesantunan bahasa yang tinggi dan penggunaan sistem sapaan yang betul
khususnya dalam kalangan masyarakat Malaysia adalah menjadi satu perkara penting yang perlu
dititikberatkan.
Secara umumnya, penggunaan gaya bahasa yang menarik penting bagi menarik minat
seseorang untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang apa yang ingin kita ungkapkan sama ada
dalam bentuk lisan mahupun tulisan. Selain itu, penggunaan gaya bahasa yang menarik dapat
membantu meningkatkan penggunaan kosa kata seseorang. Seperti yang kita sedia maklum, gaya
bahasa merupakan sesuatu yang indah jika digunakan tepat pada tempatnya. Tidak mustahil
penggunaan gaya bahasa yang menarik mampu menggembirakan hati semua orang. Oleh itu, gaya
bahasa memainkan peranan yang penting dalam sesuatu situasi.
Merujuk kepada kesantunan bahasa dan sistem sapaan, kedua-duanya dilihat saling
berkaitan antara satu sama lain. Oleh sebab itu, kedua-duanya adalah sangat penting dalam
memastikan keluhuran dalam setiap tutur bicara masyarakat di Malaysia. Kesantunan berbahasa
adalah penting dalam memastikan sesuatu perhubungan atau komunikasi itu menjadi berkesan.
Penggunaannya meliputi pelbagai aspek dalam kehidupan setiap individu. Amat mengejutkan lagi
apabila kesan besar kepada penggunaan kesantunan berbahasa yang kurang memuaskan
berlarutan dalam aktiviti seharian kita, khususnya dalam bentuk lisan secara berterusan akan
membawa kesan yang negatif kepada pemikiran seseorang itu.
Penggunaan kesantunan berbahasa dan sistem sapaan yang lemah akan menjejaskan
keyakinan seseorang dan boleh juga mendorong kepada akhlak yang buruk. Oleh itu, amat penting
bagi kita sebagai rakyat Malaysia untuk mengamalkan penggunaan bahasa yang baik. Golongan
pengarang dilihat dapat menyajikan santapan minda buat masyarakat dengan menyelitkan
penggunaan bahasa yang indah lagi menyantun untuk tatapan dan pengertian warga merdeka
melalui karya-karya yang dihasilkan.

7.0       SUB-TUGASAN (FOLIO)


7.1       KONSEP KESANTUNAN BERBAHASA , VERBAL DAN NON VERBAL
Kesantunan bahasa secara umumnya merujuk kepada penggunaan bahasa yang baik,
sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang
menjadi teman bicaranya. Tatabahasa atau tatacara berbahasa harus sesuai dengan norma budaya
masyarakat tersebut. Kesantunan bahasa sesuatu masyarakat seringkali dipenuhi oleh norma
budaya masyarakat tersebut. Bahasa yang digunakan bukan sahaja mengambil kira bentuk atau
pilihan kata tetapi turut menitikberatkan sistem sapaan yang akan diguna pakai.
Noresah Baharom (2000) mendefinisikan kesantunan sebagai perihal santun, kesopanan,
kehalusan (budi bahasa dan budi pekerti). Manakala Asmah Hj. Omar pula mentakrifkan kesantunan
merujuk kepada kesedaran peranan, taraf sosial, kuasa dan kepatuhan mengawal perbincangan
dan menjaga air muka.
Selain itu, kesantunan berbahasa juga diertikan sebagai kesopanan dan kehalusan ketika
menggunakan bahasa, baik dalam bentuk lisan mahupun dalam bentuk tulisan. Konsep ini
bermaksud kesantunan berbahasa bukan sahaja secara berkomunikasi dan juga bahasa tubuh
tetapi juga merangkumi penulisan. Dari segi percakapan, penggunaan bahasa juga berbeza
mengkut umur dan peringkat. Laras bahasa yang sesuai harus digunakan pada masa berkenaan.
Dalam konsep kesantunan tulisan, kita hendaklah menulis sesuatu perkara dengan pemilihan ayat
dan bahasa yang sesuai agar ia senang difahami.
7.1.1   Kesantunan Verbal
Kesantunan verbal bermaksud komunikasi lisan. Bahasa verbal biasanya dikaitkan dengan
ungkapan kata yang bermakna, sama ada yang dituturkan atau bertulis, budaya, bahasa dan
komunikasi. Konsep ini boleh dimaksudkan dengan bertutur secara lisan. Selalunya kita akan
menggunakan bahasa yang lembut dan panggilan yang sesuai untuk berkomunikasi dengan orang
di sekeliling kita.
Menurut Norazilah Buhari, Nor Azlili Hassan dan Nadhirah Nordin, (Universiti Tun Abdul
Rahman),  dalam kajian mereka yang bertajuk Keberkesanan Interaksi Melalui Komunikasi Bukan
Verbal : Satu Tinjauan Awal, mereka berpendapat komunikasi verbal terhasil dalam bentuk lisan
atau bertulis. Hal ini bermaksud percakapan yang tinggi atau berbisik dalam sesuatu majlis bukanlah
merupakan kesantunan bahasa. Sebagai contoh, apabila kita meninggi suara dalam sesuatu majlis,
orang yang berada di sekitar itu mungkin tidak akan selesa dan boleh menimbulkan suasana yang
tidak selesa.
7.1.2   Kesantunan Non Verbal
Kesantunan bukan verbal adalah penyampaian pesan tanpa kata-kata. Definisi ini
bermaksud komunikasi bukan verbal ialah kita berkomunikasi secara tanpa berkata, berucap dan
bercakap untuk memberitahu sesuatu perkara. Dengan erti kata lain komunikasi bukan verbal boleh
dimaksudkan kita menggunakan bahasa tubuh dan pergerakan tubuh badan kita untuk memberitahu
sesuatu hal kepada seseorang. Konsep ini juga bertujuan menerangkan secara mendalam konsep
verbal dengan menggunakan bahasa tubuh dan mimik muka. Postur badan memainkan peranan
penting dalam konsep ini. Hal ini kerana jika postur badan tidak dapat menunjukkan apa yang kita
ingin memberitahu, jadi konsep ini tidak dapat disempurnakan.
Menurut Abdullah Hassan dan Ainon Mohd. (1999) apa yang disebut bahasa badan (bahasa
tubuh) termasuklah perhubungan ruang dari jarak, orientasi masa, gerak-geri, gerak mata,
sentuhan, suara dan kadar kelajuan kita bercakap. Dengan membaca bahasa tubuh, kita dapat
mengetahui sama ada mesej yang diperkatakan itu dapat diterima secara positif atau sebaliknya.
Dalam kajian komunikasi pula, nada suara, corak air muka, isyarat tangan, dan isyarat-
isyarat lain yang digunakan untuk menyampaikan sesuatu maksud digolongkan sebagai komunikasi
non verbal. Ini bererti kesantunan non verbal ialah aspek komunikasi yang penting kerana ia dapat
menyampaikan sesuatu perkara yang sukar melalui percakapan. Konsep ini juga dapat
menambahkan keberkesanan untuk menyampaikan maklumat dengan tepat. Hal ini kerana
seseorang itu boleh menggunakan bahasa tubuh untuk menyampaikan maksud tersirat semasa
menyampaikan ucapan.

7.2       FENOMENA KESANTUNAN BAHASA DALAM KALANGAN GENERASI MUDA


Dewasa ini, nilai-nilai murni kemanusiaan kian terhakis dalam kalangan generasi muda. Bagi
mereka, alah bisa tegal biasa. Namun, kebimbangan ini terus menjadi mimpi ngeri kepada
masyarakat. Keruntuhan akhlak yang juga manjadi tunjang kepada pembentukan sahsiah yang tidak
lagi dipedulikan. Saban hari, di dada-dada akhbar, terpampang isu-isu remaja yang rosak sikapnya,
di corong-corong radio dan di kaca televisyen, terdapat berita-berita yang menggambarkan generasi
muda pada masa kini makin bertambah liar. Bukan sahaja dengan sikap mereka yang menjijikkan
tetapi juga tutur bicara yang biadap lagi kurang ajar.
Tidak dinafikan mereka bukanlah berperangai semulajadi seperti itu, tetapi didorong dan
dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Faktor utama yang dapat kita rungkaikan ialah faktor media
massa. Umum mengetahui, media massa adalah medium utama penyampaian maklumat dan juga
alat komunikasi yang sangat penting. Namun, penyiaran filem-filem ganas yang tidak ditapis oleh
pihak berwajib amatlah menyedihkan. Penggunaan bahasa yang kesat dan tidak baik menjadi ikutan
generasi muda pada masa kini. Kesannya, kesantunan bahasa tidak dapat dikekalkan dan lama-
kelamaan menjadi semakin pudar ditelan arus pemodenan.
Selain itu, faktor kedua yang juga penting ialah faktor ibu bapa dan keluarga. Ibu bapa dan
ahli keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk jiwa, sahsiah dan kesantunan
berbahasa anak-anak bak kata pepatah melentur biarlah dari rebungnya. Ibu bapa sibuk bekerja
mencari wang ringgit demi memenuhi keperluan anak-anak terkadang mengabaikan masa bersama
anak-anak di rumah walhal masa itulah yang paling penting bagi mendidik anak-anak   nilai  murni
yang patut diamalkan di samping menerapkan kesantunan bahasa kepada generasi yang
merupakan generasi muda yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan negara. Oleh itu,
ibu bapa perlulah sedar akan peranan mereka dalam mendidik anak-anak dengan kesantunan
bahasa yang baik
Akhir sekali, boleh juga dikatakan rakan sebaya turut menjadi faktor dalam pembinaan
kesantunan bahasa dalam kalangan generasi muda. Hal ini kerana, pengaruh rakan sebaya lebih
kuat daripada pengaruh ibu bapa dan guru di sekolah. Anak-anak muda dalam lingkungan umur 16-
19 tahun merupakan saat yang paling genting untuk dicorak. Pada masa ini, mereka mudah
terdorong kepada sesuatu yang baru termasuklah gejala sosial. Pada masa yang sama jiwa mereka
mudah memberontak dan segala apa yang disampaikan oleh rakan sebaya mudah dituruti
berbanding kata-kata ibu bapa. Bagi mereka, rakan-rakan adalah segala-galanya. Pemiihan rakan-
rakan yang baik menjamin kesantunan bahasa dan sahsiah yang baik dalam diri setiap generasi
muda. Jika tersalah pilih, maka buruklah akhlaknya ibarat terlajak perahu boleh diundur, terlajak
kata buruk padahnya. Oleh itu, amat perlu bagi generasi muda pada masa kini memilih rakan yang
baik bagi memupuk nilai-nilai yang baik dan kesantunan bahasa yang indah lagi menawan hati.
                       
Justeru, kesantunan berbahasa amat penting dalam membentuk jiwa dan sahsiah generasi
muda pada masa kini. Biarlah slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” dan “Bahasa Cerminan Bangsa”
sentiasa tersemat dalam diri setiap individu khususnya generasi muda agar kesantunan bahasa tak
lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.  

8.0       RUMUSAN
Secara konklusinya, guru perlulah mengamalkan kesantunan berbahasa agar dihormati oleh
murid-murid. Ia juga menjadi tunjang kepada bidang pendidikan negara. Selain itu, 16 nilai murni
perlu diterapkan dalam diri guru tersebut kerana dalam kurikulum pendidikan, guru wajib
menerapkan nilai murni dalam setiap mata pelajaran yang diajar kepada murid-murid bagi memupuk
kesantunan bahasa dalam kalangan murid-murid di sekolah. Walau bagaimanapun, pihak pentadbir
dan rakan sejawat juga memainkan peranan dalam memantau dan membantu guru-guru yang
bermasalah dalam penggunaan bahasa yang baik supaya profesion perguruan tidak diperlekeh dan
dipandang serong oleh masyarakat seterusnya pelajar-pelajar yang dididik kaya dengan kesopanan
dan kesantunan bahasa.

Anda mungkin juga menyukai