Anda di halaman 1dari 13

MUKADDIMAH Seseorang yang mempelajari sesuatu bahasa bermakna secara sedar atau tidak, dia sedang mengkaji bangsa

itu sendiri. Mempelajari bahasa sebenarnya lebih dari sekadar mengetahui system ejaan, cara sebutan atau tatabahasanya, bahkan bahasa itu sendirilah yang mencerminkan citra sesuatu bangsa itu. Begitu tepat sekali slogan Bahasa Jiwa Bangsa yang dilaungkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Menjurus kepada pengkajian terhadapa bahasa Melayu, satu aspek yang tidak dapat dirungkaikan ialah peribahasa Melayu. Sepertimana bahasa-bahasa lain di dunia, bukan sedikit khazanah peribahasa Melayu yang terhimpun dan boleh didapati hingga ke hari ini. Malah, mungkin agak tidak keterlaluan untuk dikatakan di sini bahawa Bahasa Melayu mempunyai khazanah peribahasa yang cukup banyak dan indah. Peribahasa Melayu memiliki ciri-ciri keistimewaannya yang tersendiri sehinggakan hampir kesemuanya masih lagi releven dengan dunia moden ini. Tugasan yang berbentuk penulisan ilmiah ini cuba menyingkap hakikat peribahasa Melayu yang diletakkan di bawah tajuk Peranan Peribahasa Dalam

Masyarakat Melayu. Penulisan ilmiah ini dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama akan membawa kepada pengenalan peribahasa Melayu yang merangkumi takrifan, jenis-jenisnya beserta dengan beberapa contoh peribahasa. Manakala pada bahagian kedua, pembaca akan dibawa menghayati peranan yang telah, sedang akan terus dimainkan oleh peribahasa dalam masyarakat Melayu itu sendiri. Sesuatu yang menarik mengenai penulisan ilmiah ini, ia cuba membawa kelainan dari aspek pengkajian peranan peribahasa sebelum ini. Kebiasaannya peranan yang disinonimkan dengan peribahasa adalah sebagai nasihat, teguran, sindiran atau pedoman. Sebenarnya kesemua peranan yang dinyatakan di atas hanyalah dari satu sudut sahaja iaitu dari sudut pendidikan. Di sini, peranan

peribahasa dijelaskan dari tiga sudut iaitu dari sudut pendidikan, sosiologi dan bahasa itu sendiri. Adalah diharapkan, sekelumit usaha ini dapat menyumbang ke arah peningkatan kesedaran cintakan Bahasa Melayu di kalangan warga Malaysia. Segala teguran dan komen adalah amat diharapkan.

BAHAGIAN SATU: i) PENGENALAN PERIBAHASA MELAYU Peribahasa merupakan satu aspek yang tidak patut dikesampingkan dalam membicarakan keistimewaan dan keindahan Bahasa Melayu. Secara umumnya peribahasa merupakan warisan generasi Melayu lama yang wajib dibangga dan dipelihara. Bahkan peribahasa memainkan peranan penting dalam masyarakat Melayu dari pelbagai aspek sebagaimana ia mencerminkan juga citra masyarakat Melayu itu sendiri.

DEFINISI Peribahasa ialah ayat atau kumpulan kata yang tetap susunannya dan mempunyai maksud yang tertentu1. Menurut Za'ba pula, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya2. Kedua-dua membawa pengertian yang sama tentang peribahasa. Manakala istilah peribahasa dalam bahasa Inggeris disebut proverb.

Antara contoh peribahasa Melayu: -Rebung tak miang, bemban pula miang -Daun mengenalkan pohonnya -Ada gula ada semut

1 2

Kamus Dewan;edisi baru, percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka,1989, ms947 http://www.tutor.com.my/tutor/stpm/peribahasa/peribahasa.htm, 4 Januari 2004

ii)

JENIS JENIS PERIBAHASA MELAYU

Peribahasa Melayu sebenarnya boleh dikategorikan kepada beberapa pecahan yang masing-masingnya mempunyai ciri dan bentuk susunan yang tersendiri. Secara mudahnya, peribahasa boleh dibahagikan kepada 4 jenis sebagai berikut:

Simpulan bahasa Perumpamaan Bidalan Pepatah atau Perbilangan

Peribahasa Melayu boleh juga dibahagikan sebagaimana berikut:

i. ii.

Peribahasa selapis: bidalan dan pepatah Peribahasa dua lapis: perumpamaan

a) Simpulan Bahasa

Simpulan bahasa ialah ungkapan yang terdiri dari dua perkataan atau lebih dan mempunyai makna yang berlainan dari erti perkataan-perkataan yang membentuknya3. Cth: kaki ayam, buruk siku, senapang bambu

b) Perumpamaan
3

Kamus Dewan, ms1208

Merujuk kepada Kamus Dewan4, peumpamaan ialah peribahasa yang berupa perbandingan dengan sesuatu yang lain dan umumnya mengandungi ajaran. Perumpamaan boleh dibezakan dengan mudah daripada bentuk peribahasa yang lain kerana ia biasanya didahului dengan perkataan 'bagai', 'bak', 'ibarat', 'laksana', 'macam', 'seolah-olah', 'seperti' dan 'umpama'. Istilah pinjaman Inggeris bagi perumpamaan ialah simili.

Antara contoh perumpamaan: a. seperti katak di bawah tempurung b. umpama kaca dengan permata c. Bagai pungguk rindukan bulan d. Ibarat air di daun keladi e. laksana katak diharung ular.

c) Bidalan

Bidalan ialah peribahasa yang mengandungi nasihat5. Contoh: Bidalan : Baiklah jatuh terletak daripada jatuh terhempas Penjelasan : Lebih baik meletak jawatan daripada dipecat Bidalan : Belum duduk, berlunjur dahulu Penjelasan : Kerja tidak ikut aturan

4 5

kamus Dewan, ms 1433 Kamus Dewan, ms143

Perbezaan antara bidalan dengan pepatah ialah bidalan lebih kerap digunakan, mempunyai nilai, ilmu dan pengajaran, sedangkan pepatah lebih ringkas sifatnya dan tidak mempunyai pengajaran6.

d) Pepatah

Pepatah pula ialah peribahasa yang mengandungi nasihat dan ajaran (perkataan) orang tua-tua7. Ia biasanya lebih berkait rapat dengan adat istiadat, undang-undang atau peraturan masyarakat. Contoh: Biar mati anak, jangan mati ada Ditelan mati emak, diluah mati bapak Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat

BAHAGIAN DUA:
6 7

http://www.tutor.com.my/tutor/stpm/peribahasa/peribahasa.htm, 4 Januari 2004 Kamus Dewan, ms940

PERANAN PERIBAHASA MELAYU DALAM MASYARAKAT MELAYU

a) Dari Sudut Pendidikan

Sesungguhnya peribahasa merupakan khazanah bangsa yang amat berharga. Harta pusaka ini yang diwarisi dari nenek-moyang sejak turun-temurun sebenarnya mempunyai nilai pengajaran dan unsur pendidikan dalam masyarakat melayu. Sekaligus ia melambangkan bahawa bangsa melayu merupakan bangsa yang mengutamakan aspek pendidikan dalam pembentukan bangsanya agar mempunyai jatidiri yang luhur dan budi pekerti yang mulia. Apatah lagi ia merupakan salah satu metod pendidikan secara tidak langsung di samping pendidikan formal yang sedia ada. Peribahasa merupakan satu wadah pendidikan yang menekankan pendekatan yang lebih baik, berhikmah, bijaksana, dan halus tetapi berkesan dalam bentuk yang ringkas dan santai supaya senang untuk difahami dan mudah diterima oleh orang ramai. Di antara unsur-unsur pendidikan yang terdapat dalam peribahasa melayu ialah nasihat, teguran, anjuran, sindiran, kata-kata hikmah dan sebagainya. Untuk mengetahui dengan lebih jelas dan mendalam tentang bagaimana peribahasa berfungsi sebagai elemen pendidikan dalam masyarakat melayu, kita perlulah merujuk terlebih dahulu kepada peribahasa itu sendiri. Seterusnya penelitian yang mendalam diperlukan bagi memahami maksud yang terkandung dalam sesebuah peribahasa. Daripada pemerhatian tersebut, kita akan dapati bahawa di dalamnya tersemai pengajaran, pedoman, dan iktibar sebagaimana yang telah disebutkan tadi. Daripada sejumlah peribahasa melayu itu, sesetengahnya mengandungi maksud nasihat yang menyuruh supaya melakukan perbuatan baik, mendorong dan menunjuk ke arah kebaikan contohnya buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali , sesat

di hujung jalan, balik ke pangkal jalan8, licin muka tilikan orang, suci hati tilikan tuhan9. Manakala peribahasa yang mempunyai maksud teguran pula menyatakan tentang baik atau buruk sesuatu perkara, umpamanya kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga10, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Di samping itu, terdapat juga peribahasa yang bermaksud anjuran mengesyorkan beberapa cadangan atau jalan penyelesaian terbaik yang seharusnya dilakukan, antaranya berakit-rakit ke hulu berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian11, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri kita, baik juga di negeri kita 12. Peribahasa yang terkandung maksud sindiran pula ialah peribahasa yang unik kerana tujuannya cuba memberitahu dan mengajar seseorang tentang perilaku atau kesalahan individu tertentu secara kiasan, tidak dinyatakan secara zahir dan jelas seperti, pukul anak sindir menantu , macam Belanda diberi tanah13. Kata-kata hikmah boleh diertikan sebagai kata-kata perangsang. Ia merupakan salah satu bentuk yang terdapat dalam peribahasa melayu mengandungi unsur pendidikan. Peribahasa jenis ini kebiasaannya dikaitkan dengan falsafah, pendirian, prinsip atau galakan dan keazaman. Ia seolah-olah menjadi ukuran atau salah satu bentuk undang-undang secara lisan dalam menentukan sama ada perkara tersebut baik atau buruk, wajar dilakukan atau tidak dalam kehidupan seharian contohnya, berani kerana benar,takut kerana salah , biar mati anak asalkan jangan mati adat14 , di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung .

A.Samad Idris, buat baik berpada-pada, Pustaka Budiman, cetakan pertama, Kuala Lumpur, 1989 ms 91,112 9 Muhamad Din Ali, pepatah adat melayu, Pustaka Antara, Kuala Lumpur, ms 59 10 A.Samad Idris, ms 51 11 Abdullah Hussain, canai budi, percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, Selangor, cetakan pertama, 1997 ms 136 12 A.Samad Idris, ms 59 13 A.Samad Idris, ms 3,46 14 Muhamad Din Ali, ms 2,7

b) Dari sudut Sosiologi Peribahasa merupakan satu aspek penting dalam masyarakat melayu. Masyarakat melayu dapat melihat suatu perkara dalam aspek yang cukup halus dan teliti.Umpamanya peribahasa melayu yang berbunyi bagaikan aur dengan tebing.Peribahasa ini menunjukkan bahawa masyarakat melayu dapat memikirkan bagaimana rapatnya aur dan tebing dengan eratnya persaudaraan antara mereka. Selain itu, peribahasa juga menggambarkan betapa sopannya masyarakat melayu dalam kehidupan mereka.Mereka menggunakan perkataan yang sopan dalam pertuturan mereka seharian. Peribahasa juga menunjukkan bahawa masyarakat melayu begitu menghargai alam sekitar.Mereka menggunakan alam sekitar untuk membandingkan dalam kehidupan mereka seharian. Umpamanya peribahasa yang mengatakan air dicincang takkan putus..Dalam peribahasa tersebut penggunaan perkataan air merujuk kepada perhubungan sesama mereka . Peribahasa juga mencerminkan sikap muafakat masyarakat melayu seperti gotong royong antara mereka .Hasil daripada itulah lahir pereibahasa yang mengatakan bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Peribahasa ini menunjukkan tentang sikap muafakat dan kerjasama yang wujud dalam masyarakat melayu. Menurut Abdullah Hussain, dalam bukunya Canai Budi peribahasa merupakan satu daripada cabang sastera lama, bukan sahaja bagi bangsa melayu tetapi juga bagi hampir semua bangsa di dunia. Sebelum ada undang-undang yang mengawal perilaku hidup manusia bermasyarakat, orang bijak pandai dalam sesuatu bangsa pada zaman itu telah mencipta beberapa petua, nasihat atau petunjuk sebagai peraturan tatatertib pergaulan, tatasusila dalam pergaulan dan hubungan sesama

manusia. Petua , nasihat atau petunjuk itu diambil dari alam sekeliling contohnya perangai dan sifat manusia itu sendiri juga daripada perangai sifat binatang, tumbuhtumbuhan dan sebagainya.

c) Dari sudut Penulisan Dari sudut penulisan pula, peribahasa menjadi salah satu elemen untuk menghias dan juga mengindahkan sesuatu penulisan. Kalau diperhatikan, penggunaan peribahasa begitu meluas digunakan dalam penulisan-penulisan karyawan dan juga sasterawan dahulu. Malah ianya menjadi satu gaya dan juga daya penarik terhadap sesuatu penulisan. Pada hakikatnya peribahasa digubah oleh cendekiawan-cendekiawan Melayu pada masa dahulu berdasarkan kepada kesimpulan yang dibuat terhadap suatu perkara yang menjadi rutin dalam kehidupan seharian dan juga sifat manusia sendiri.

Dilihat dari segi penghasilan peribahasa itu sendiri ianya merupakan sebuah ungkapan yang memerlukan pemikiran dan penghayatan yang dalam. Justeru juga dalam memahami maksud sebenarnya. Walaupun pada kebiasaan peribahasa mempunyai bentuk ayat yang pendek dan ringkas namun kadangkala ianya menjadi kesulitan bagi generasi hari ini untuk memahaminya lantaran penggunaan bahasa dalam peribahasa itu sendiri.

Selain itu juga, peribahasa kalau dinilai dari konteks ayat ianya adalah sama sekali tidak menepati cara yang sebenarnya, ini kerana peribahasa banyak melanggar peraturan-peraturan dan juga prinsip yang digariskan oleh ahli bahasa. Diambil sebagai contoh, harapkan pagar pagar makan padi ayat ini kalau diperhatikan tidak

10

mempunyai subjek dan juga katahubung. Ianya boleh diperbetulkan kepada saya harapkan pagar, pagar makan padi.

Dalam penulisan, peribahasa banyak digunapakai sebagai isi utama dan juga pokok penulisan terhadap sesuatu karangan. Pemilihan peribahasa yang tepat dan juga sesuai akan menentukan keistimewaan sesuatu karangan. Kalau dilihat contoh peribahasa yang digunakan samada yang berunsurkan pendidikan, falsafah, motivasi dan juga sindiran adalah seperti berikut, sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa, kalau tiada angin masakan pohon bergoyang, bapak borek anak rintik, alah bisa tegal biasa, untung sabut timbul, untung batu tenggelam, dan lain-lain.

Peribahasa juga diguna sebagai bahan penilaian oleh pembaca terhadap tahap kebertanggungjawaban seseorang penulis. Ini kerana pada kebiasaannya penulis yang banyak menggunakan peribahasa melayu menunjukkan bahawa ianya seorang yang menjiwai bahasa bangsa melayu itu sendiri. Cuba kita bayangkan bagaimana usaha dan juga masa yang diluangkan oleh pencinta bahasa tadi mencari dan juga memahami maksud sebenar sesuatu peribahasa sedangkan generasi-generasi sekarang sedang leka terhadap benda-benda baru dan lebih mencabar.

Sebagai tambahannya, peribahasa dikatakan mampu menarik pembaca kerana mempunyai nilai-nilai tersendiri seperti mempunyai susun kata yang indah dan berturutan. Antara contoh peribahasa yang menunjukkan susun kata yang menarik adalah seperti, sebab pulut santan binasa sebab mulut badan binasa. Jika diperhatikan perkataan yang dipilih dalam peribahasa tersebut mempunyai sebutan yang seiras dan senada, seperti mulut dan pulut.

11

Kesimpulan Daripada penjelasan dan huraian yang telah dinyatakan tadi, dapatlah kita mengambil kesimpulan bahawa peribahasa sememangnya mempunyai peranannya yang begitu besar dalam masyarakat Melayu. Sesungguhnya segala yang telah disingkapkan dalam penulisan ilmiah ini hanyalah sebahagian kecil dari keseluruhan persoalan berkenaan dengan peribahasa Melayu. Kesedaran tentang nilai peribahasa melalui di kalangan warga Malaysia amnya dan khususnya anak-anak Melayu haruslah dipergiatkan.

Hilang bahasa, lenyaplah bangsa

Bibliografi A. Samad Idris, Buat Baik Berpada-pada..., Pustaka Budiman, Cetakan Pertama, Kuala Lumpur, 1989. Abdullah Hussain, Canai Budi, Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, Selangor, Cetakan Pertama, 1997.

12

Kamus Dewan; Edisi Baru, percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,1989. Khairuddin Ayip, Peribahasa KBSR, Cerdik Publications Sdn Bhd, Cetakan Ketiga, 2002. Muhamad Din Ali, Pepatah Adat Melayu, Pustaka Antara, Kuala Lumpur http://www.tutor.com.my/tutor/stpm/peribahasa/peribahasa.htm http://www.geocities.com/Vienna/Opera/2340/frame.htm

13

Anda mungkin juga menyukai