Anda di halaman 1dari 7

2.

KEPENTINGAN LEMBAH BUJANG SEBAGAI TAPAK PROTO SEJARAH DALAM

KONTEKS SEJARAH AWAL DI MALAYSIA 2.1 PERDAGANGAN Perkembangan pesat perdagangan telah berlaku di Lembah Bujang kesan daripada kemasyhuran yang dicapai oleh empayar Srivijaya di mana Lembah Bujang menjadi sebahagian daripada kekuasaan empayar tersebut. Hasilnya Lembah Bujang juga turut menjadi tumpuan para pedagang yang datang daripada India, China, Timur Tengah dan lain-lain lagi. Banyak faktor yang menjadikan Lembah Bujang sebagai tempat tumpuan para pedagang dan menjadikannya sebuah pelabuhan entrepot utama di Asia Tenggara. Antara faktor tersebut adalah kedudukannya yang strategik dimana lokasi Kedah Tua terletak di tengah-tengah jalan perdagangan antara Timur dengan Barat yang menjadi laluan utama para pedagang dari China, India dan Arab dari Timur Tengah. Selain itu, lokasi Lembah Bujang yang strategik ini juga menjadikannya tempat persinggahan dan berlindung daripada tiupan angin monsun sementara menunggu pertukaran angin monsun. Pelabuhan Lembah Bujang banyak memperdagangkan hasil kertas dan hasil bumi yang diperlukan oleh pedagang seperti emas. Ianya juga menjadi tempat persinggahan para pedagang untuk mendapatkan bekalan air bersih. Tumpuan Lembah Bujang sebagai pusat perdagangan utama di Asia Tenggara dapat dilihat melalui catatan dari pelayar-pelayar China, India, Arab dan lain-lain lagi. Catatan-catatan dari sumber luar banyak menulis mengenai petempatan dan juga perdagangan yang merujuk kepada Lembah Bujang. Hal ini dapat dilihat melalui catatan I Ching iaitu pengembara Buddha yang terkenal ada menulis mengenai kerajaan Chieh-ch'a apabila beliau melakukan penjelajahan dari Canton ke India.1 Chieh-ch'a dalam catatan I Ching tersebut merujuk kepada Kedah Tua. I Ching juga menyatakan bahawa Kedah terletak diantara Kerajaan Srivijaya dan Malayu. 2 Merujuk kepada catatan daripada sumber India pula, petempatan Lembah Bujang tersebut dikenali sebagai Kataha, Kadaram dan Kidaram yang mana ianya merujuk kepada Lembah Bujang, Kedah.3 Penempatan ini juga mungkin sama dengan Kalah seperti yang tercatat dalam sumber-sumber
1 Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman, Antiquities of Bujang Valley, Museum Association of Malaysia, Kuala Lumpur, 1990, hlm 1. 2 Ishak Saat, Ilmu Sejarah antara tradisi dan moden, Karisma Publications sdn bhd, Shah Alam, 2007, hlm 98. 3 Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman, Antiquities of Bujang Valley, Museum Association of Malaysia, Kuala Lumpur, 1990, hlm 2.

Arab pada sekitar abad kelapan atau kesembilan.4 Menurut catatan Arab, bandar Kalah adalah sangat besar, mempunyai kubu yang tinggi, banyak kebun, mempunyai saliran air yang banyak serta mengandungi sebuah benteng. Disekeliling bandar terdapat pekan, pasar dan terdapat rumah persinggahan. 2.2 KEAGAMAAN Lembah Bujang dianggap penting kerana ianya menjadi antara tempat tumpuan dalam perkembangan dan penyebaran agama Hindu-Buddha di kawasan kepulauan Melayu ini. Agama Hindu-Buddha ini berasal daripada India dan tersebar ke Asia Tenggara serta mula bertapak di Tanah Melayu pada abad keempat Masihi. Terdapat pandangan lain yang menyatakan bahawa agama dan budaya Hindu-Buddha bertapak di Tanah Melayu setelah kewujudan dua buah kerajaan Hindu iaitu Langkasuka dan juga Kedah Tua.
5

Kerajaan-kerajaan awal seperti Ayuthia, Champa dan Srivijaya merupakan kerajaan-kerajaan besar yang menganut kepercayaan agama Hindu-Buddha. Pengaruh agama itu turut disebarkan ke wilayahwilayah di Tanah Melayu. Lembah Bujang antara tempat terawal menerima pengaruh ajaran HinduBuddha ini. Kedatangan pengaruh Hindu-Buddha ke Lembah Bujang adalah disebabkan oleh kegiatan perdagangan yang berlaku di tempat tersebut. Kedudukan Lembah Bujang yang strategik membolehkan para pedagang singgah sebelum meneruskan perjalanan. Para perdagang India yang datang bersamasama dengan golongan Brahmin ini telah mengambil kesempatan untuk menyebarkan pengaruh HinduBuddha di kawasan sekitar Lembah Bujang. Mereka juga telah mendirikan petempatan di kawasan sekitar Lembah Bujang bagi memudahkan tujuan menyebar dan memperkembangkan ajaran HinduBuddha yang di bawa. Penduduk tempatan tidak memberikan sebarang tentangan malahan menerima ajaran tersebut dengan baik. Aspek keagamaan yang merujuk kepada pengaruh Hindu-Buddha di Lembah Bujang ini dapat dilihat dengan kesan dan juga bukti kewujudan seni arca yang berhubung dengan keagamaan di Lembah Bujang. Arca merupakan imej yang dibentuk oleh manusia sebagai perlambangan kepada
4 Mohd Supian Sabtu, Tamadun Awal Lembah Bujang, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2002, hlm 5. 5 Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia, Penerbit Fajar Bakti sdn bhd, Shah Alam, 2005, hlm 90.

dewa utama yang terdiri daripada Dewa Brahma, dewa Wisnu dan dewa Siwa. Arca dewa ajaran Hindu ini banyak dijumpai di Lembah Bujang antaranya seperti dewa Ganesha dan sebagainya. Arca berhubung dengan ajaran Buddha juga telah ditemui di Lembah Bujang. Penemuan sembilan buah artifak yang berhubung dengan seni arca Buddha di Lembah Bujang membuktikan bahawa ajaran Buddha juga pernah berkembang di Lembah Bujang selain ajaran Hindu. Antara arca yang ditemui adalah seperti sebuah arca gajah di Kampung Pangkalan Bujang.6

2.3 KEBUDAYAAN Aspek kebudayaan adalah antara salah satu faktor yang menjadikan Lembah Bujang dianggap sebagai tapak proto sejarah penting dalam konteks sejarah awal di Malaysia. Kebudayaan di Lembah Bujang mula menjadi tumpuan apabila pengaruh Hindu-Buddha dibawa ke kawasan penduduk tempatan. Kebudayaan Hindu-Buddha ini telah diterima oleh masyarakat dan berjaya mempengaruhi penduduk tempatan tanpa berlaku sebarang persengketaan dan pertentangan. Budaya Hindu-Buddha ini telah diserapkan serta diadaptasi dengan budaya penduduk tempatan. Perkembangan dan percampuran budaya Hindu-Buddha dan penduduk tempatan telah berlaku dengan begitu pesat sekali. Pengaruh kebudayaan Hindu-Buddha dan penduduk tempatan ini dapat dilihat dengan pembinaan candi di kawasan-kawasan sekitar Lembah Bujang. Candi merupakan antara komponen tinggalan data arkeologi yang menjadi bukti berhubung dengan konsep pengamalan keagamaan di Asia Tenggara. Perkembangan candi dapat dirumus bermula sekitar abad ketujuh hingga abad ke14 Masihi.
7

Tujuan utama pendiriannya adalah sebagai sarana untuk memenuhi keperluan manusia terhadap pencipta dan kemudiannya diperkembangkan kepada monumen yang menjadi lambang kekuasaan dan kebanggaan sesebuah kerajaan atau dinasti yang pernah wujud di Asia Tenggara. Istilah candi yang digunakan di Lembah Bujang merujuk kepada kuil Hindu-Buddha yang pernah digunakan oleh masyarakat Kedah Tua. Candi berperanan sebagai tempat untuk memuliakan orang yang telah mati terutamanya golongan Raja, para pembesar ataupun golongan Brahmin. Candi Bukit Batu Pahat misalnya dibina untuk memperingati seorang Raja atau pegawai istana yang telah

6 Mohd Supian Sabtu, Tamadun Awal Lembah Bujang, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2002, hlm 104-105. 7 Mohammad Redzuan Othman, Sejarah Pembinaan Negara Bangsa, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2006, hlm 1.

meninggal.8 Ianya juga berperanan sebagai tempat melakukan kegiatan atau upacara yang berunsur keagamaan. Candi yang menjadi tempat keagamaan bagi budaya Hindu-Buddha mempunyai seni bina bangunannya yang tersendiri. Struktur bangunan candi ini mempunyai nilai keseniannya yang unik terutamanya dari segi teknik pahatannya. Bentuk pahatan batu yang pernah dihasilkan di Lembah Bujang dapat dikategorikan kepada sembilan jenis. Antara bentuk pahatan yang terdapat dalam seni bina bangunan candi ini adalah seperti pahatan yang menyerong, mempunyai mata landai pada satu dan kesemua sisi. Berdasarkan bentuk pahatan diduga ia berperanan sebagai hiasan pada penjuru atau sisi bangunan vimana.
9

Bentuk ini dapat

diertikan sebagai pelipih teratai.10 Kesan pahatan ini dapat dilihat pada candi yang terdapat di Bukit Batu Pahat. Kesenian pahatan ini menunjukkan bahawa corak seni unik telah dicipta pada candi yang mempunyai kaitan dengan ajaran Hindu-Buddha. Antara candi yang terkenal terdapat di Lembah Bujang adalah seperti candi tapak 21 dan tapak 22 di Kampung Pangkalan Bujang. Candi di kawasan tersebut mempunyai seni pembuatannya yang begitu rapi berdasarkan terdapatnya kesan penajamannya. Candi ini diduga dibina sekitar abad kesembilan sehingga abad kesepuluh dan mewakili ajaran Buddha.11 Perkembangan pembinaan candi di Lembah Bujang ini menyebabkan berlakunya penyebaran kebudayaan Hindu-Buddha di kawasan sekitar. Selain itu, akibat daripada berlakunya perkembangan kebudayaan Hindu-Buddha ini di Lembah Bujang maka telah terjadi percampuran antara budaya luar dan budaya tempatan ini terutamanya dalam seni bina bangunan candi. Unsur tempatan juga terdapat dalam budaya Hindu-Buddha di Lembah Bujang ini apabila pembinaan bangunan candi dimasukkan sekali unsur-unsur masyarakat tempatan. Contoh dapat dilihat pada candi yang terdapat di Bukit Batu Pahat dan juga Sungai Merbok Kecil. Bentuk bumbung candi berbentuk kuncup dan mengecil apabila semakin ke bahagian atas candi. 2.4 PETEMPATAN Lembah Bujang dianggap sebagai tapak proto sejarah penting dalam konteks sejarah awal di Malaysia adalah disebabkan kewujudan petempatan yang teratur dan tersusun di kawasan tersebut. Petempatan yang teratur dan lengkap adalah penting dalam melihat perkembangan
8 Barbara Watson Andaya, Sejarah Malaysia, Macmillan Publishers (M)sdn bhd, Petaling Jaya, 1983, hlm 18. 9 Mohammad Redzuan Othman, Sejarah Pembinaan Negara Bangsa, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2006, hlm 3. 10 Ibid, hlm 3. 11 Mohd Supian Sabtu, Tamadun Awal Lembah Bujang, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2002, hlm 39.

5 dan kemajuan sesebuah tamadun awal di Malaysia. Lembah Bujang dianggap penting kerana ianya mempunyai petempatan yang baik sama ada untuk penduduk tempatan ataupun untuk para pedagang asing. Di Lembah Bujang kewujudan sesebuah petempatan adalah sangat istimewa apabila terdapat kawasan petempatan yang telah dibuka dan didiami oleh masyarakat asing. Perkembangan petempatan di Lembah Bujang adalah disebabkan oleh kemajuan perdagangan yang dialami. Perdagangan yang pesat berlaku telah mewujudkan pelabuhan entrepot yang menjadi tumpuan para pedagang dari luar untuk singgah berehat dan berniaga. Hal ini menyebabkan pertumbuhan kawasan petempatan di kawasan-kawasan yang sibuk dan menjadi tumpuan ramai pedagang. Di sesebuah pelabuhan kewujudan petempatan dengan mengadungi rumah dan pondok rehat adalah amat penting dan diperlukan oleh para pedagang. Ini kerana petempatan yang wujud ini telah memberikan pelbagai jenis kemudahan kepada para pedagang termasuklah tempat berehat, tempat menyimpan barangan serta tempat untuk mendapatkan makanan dan minuman. Kemudahan yang ada memudahkan para pedagang untuk berniaga, mendapatkan barangan serta yang paling penting menyebarkan ajaran agama seperti Hindu-Buddha seperti yang dilakukan oleh pedagang dari India. Kebanyakkan petempatan yang terdapat di sekitar Lembah Bujang bukan sahaja diasaskan oleh penduduk tempatan malahan ianya telah banyak dibina oleh pedagang dan juga masyarakat asing. Hal ini kerana para pedagang yang singgah di sekitar kawasan Lembah Bujang memerlukan satu tempoh jangka masa yang panjang terutamanya ketika menunggu peralihan angin monsun berlaku. Mereka ini terpaksa membina petempatan bagi mendapatkan keselesaan sementara menunggu masa yang sesuai untuk meneruskan perjalanan. Michael Sullivan berpendapat petempatan awal di Lembah Bujang adalah di sekitar Sungai Bujang dan petempatan ini diasaskan oleh para pedagang. Apabila berlaku penurunan aras sungai, maka kawasan petempatan semakin berundur ke kawasan pendalaman. 2.5 PELABUHAN ENTREPOT Lembah Bujang juga merupakan pelabuhan etrepot yang terawal di Malaysia. Ianya dianggap penting sebagai tapak proto sejarah dalam konteks sejarah awal di Malaysia. Perkembangan pesat perdagangan di Lembah Bujang yang mempunyai kedudukan strategik dan menjadi tumpuan para pedagang dari India, China, Timur Tengah dan lain-lain lagi telah menjadikannya sebuah pelabuhan entrepot.

Kewujudan Lembah Bujang sebagai pelabuhan entrepot adalah disebabkan ianya menjadi tumpuan para pedagang yang membawa banyak barangan untuk berniaga. Di samping itu juga pelabuhan ini menjadi tumpuan kerana ianya menjadi tempat para pedagang untuk mendapatkan bahan mentah dari kawasan-kawasan sekitar Lembah Bujang serta untuk membeli barangan daripada pedagang asing lain yang juga berdagang di pelabuhan ini. Para pedagang dari India, China dan Timur Tengah ini telah datang berdagang ke pelabuhan Lembah Bujang dengan membawa barangan perniagaan mereka untuk dijual kepada penduduk tempatan dan juga kepada pedagang asing yang datang berniaga. Para pedagang ini juga datang ke pelabuhan ini untuk mendapatkan barangan tempatan seperti damar, rotan serta hasil bumi seperti timah dan juga barangan dari pedagang asing untuk dibawa balik dan dijual ke tempat asal mereka seperti manik, barangan kaca, teh, sutera dan sebagainya. Lembah Bujang dikatakan sebagai pelabuhan entrepot yang penting di Asia Tenggara pada abad ketujuh sehingga abad ke-14 apabila dijumpai banyak bukti-bukti barangan dagang yang di bawa dari luar terutamanya daripada India, China dan Timur Tengah. Banyak jumpaan seramik daripada lima zaman dinasti China telah ditemui di Lembah Bujang. Serpihan seramik Dinasti Tang ( 618-906 M ) telah dijumpai di Lembah Bujang di Tapak-tapak 21/22 dan khususnya di Sungai Mas. 12 Seramik ini terdiri daripada pelbagai jenis kumpulan seperti barangan bersepuh keputih-putihan, barangan seramik porselin putih jenis Samarra dan seramik stonewares jenis Yueh. Serpihan seramik China paling istimewa adalah dari jenis porselin putih. Ia didapati dalam bentuk mangkuk yang kelihatan sebagai jenis Samarra. Mangkuk itu rendah dengan kaki bergelang serta bahan buatan untuk badannya merupakan tinggalan zaman Song, iaitu bahan porselin putih yang padat dan halus. 13 Celadons juga adalah antara barangan dagangan eksport yang paling awal yang dibawa dari China.14 Selain itu, serpihan pinggan dan mangkuk juga ditemui di sekitar kawasan pelabuhan Lembah Bujang dengan corak bunga ditengahnya. Terdapat juga seramik stonewares yang berbadan tanah liat begitu halus dan sepuhan kelabu kehijau-hijauan.15 Kesemua jumpaan ini adalah datangnya daripada para pedagang Cina pada zaman Dinasti Lima ( 907-960 M ). Didapati bahawa kawasan pelabuhan
12 Nik Hassan Suhaimi Nik Abd. Rahman, Warisan Lembah Bujang, Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia, Bangi, 2006, hlm 84. 13 Ibid, hlm 85. 14 B.A.V.Peacock, Two Celadon plates from the Sungei Muda, Kedah, dlm Lembah Bujang, Persatuan Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur, 1980, hlm 68. 15 Nik Hassan Suhaimi Nik Abd. Rahman, Antiquities of Lembah Bujang, Museum Association of Malaysia, Kuala Lumpur, 1990, hlm 74.

Lembah Bujang ini menjadi tumpuan para pedagang China sejak beratus tahun lamanya. Hal ini dapat dibuktikan dengan penemuan seramik yang berbeza-beza pada setiap pemerintahan dinasti di China. Antara jumpaan yang dijumpai datangnya daripada Dinasti Song ( 960-1279 M ), Dinasti Yuan ( 12791368 M ) dan Dinasti Ming ( 1368-1644 M ). Kesemua seramik yang ditemui mempunyai pelbagai jenis bentuk dan warna yang unik dan menarik. Berdasarkan kepada banyaknya serpihan-serpihan keramik yang telah dijumpai itu membuktikan kepada kita bahawa di abad ke10 Masihi Pengkalan Bujang itu merupakan sebuah pelabuhan yang paling sibuk.16

16 Othman Bin Mohd. Yatim, Masalah pentarikhan Lembah Bujang dan Keramik-keramik dari Pengkalan Bujang, dlm Lembah Bujang, Persatuan Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur, 1980, hlm 24.

Anda mungkin juga menyukai