Anda di halaman 1dari 8

1.

0 PENGENALAN

‘Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga’ bermaksud perselisihan faham


antara ahli keluarga kebiasaannya tidak lama. sifat yang ada ‘bulu ayam’ juga
diperhatikan merupakan salah satu alasan untuk digunakan dalam peribahasa ini.
Pelepah ‘bulu ayam’ yang mudah dicantumkan semula setelah ‘dicarik-carikkan’
diumpamakan dengan hubungan kekeluargaan yang berpecah belah disebabkan
perbalahan pada kebiasaannya tidak lama dan pasti berbaik semula pada akhirnya (Abd
Hussain, 2016). Persoalannya ialah kenapakah ‘bulu ayam’ bersifat sedemikian? Melalui
perspektif semantik, kita dapat melihat sebab masyarakat Melayu dahulu menggunakan
‘bulu ayam’ dalam peribahasa ‘Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga’
kerana sifat yang ada pada bulu ayam itu sendiri, iaitu mudah bercantum kembali
walaupun dipisahkan.

Dalam konteks memahami makna peribahasa secara mendalam dan menyeluruh,


konsep semantik didasari oleh prinsip ‘semangat ingin tahu’. Peribahasa ini mempunyai
hubung kait dengan konsep metodologi yang dapat digunakan untuk membangkitkan
persoalan demi persoalan bagi mendapatkan jawapan sebenar yang dikehendaki (Jos.
Daniel Parera, 2004). Pertanyaan ‘apa’ sering digunakan untuk mencungkil pembayang
peribahasa seperti bulu ayam dan dikaji sehingga ke akar umbi sekali gus menyerlahkan
akal budi penutur jati.

Selain itu, kajian tentang peribahasa dan makna telah banyak dilakukan bagi
mengaitkan keindahan peribahasa dengan kebijaksanaan pemikiran orang Melayu
dahulu kala. Semantik dapat dijelaskan sebagai satu bidang ilmu yang mengkaji makna
perkataan dan ayat dalam bahasa (Nathesan, 2008). Dalam konteks pemahaman
makna bagi peribahasa ialah satu aspek yang sangat menarik untuk dikaji oleh
penyelidik bahasa. Dengan ilmu semantik, makna bukan sahaja dapat dilihat secara
tersurat tetapi yang paling penting dapat difahami secara tersirat. Secara khususnya,
penulis berpendapat, semantik juga membawa maksud kajian tentang lambang atau
tanda yang menyatakan makna, hubungan antara satu makna dengan makna yang lain
serta pengaruh makna terhadap masyarakat.

1
2.0 ANALISIS PERIBAHASA DALAM BAHASA MELAYU
2.1 Takrifan Peribahasa

Bangsa Melayu sangat terkenal sebagai bangsa yang berbudi bahasa dan bersopan
santun. Semasa berkomunikasi, orang Melayu cenderung untuk menjaga tutur kata
agar tidak menyinggung perasaan dan melukakan hati orang yang dilawan bicara.
Oleh itu, kiasan seperti peribahasa dan pantun memainkan peranan untuk mewarnai
suasana komunikasi. Peribahasa, iaitu susunan percakapan yang pendek, yang
telah melekat di mulut orang ramai sejak turun-temurun, sedap dan bijak
perkataannya, luas dan benar tujuannya, serta dipakai dan dijadikan sebutan oleh
orang sebagai perbandingan, teladan, pengajaran dan iktibar (Seri Lanang Jaya,
2016). Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2015) peribahasa ialah ayat atau
kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian
yang tertentu yang menggambarkan kebudayaan mereka. Rumusannya, penulis
berpendapat, peribahasa juga terbit daripada pemerhatian dan pengalaman hidup
rakyat jelata dan para cendekiawan yang terkandung budi bahasa, falsafah, petua
dan amanah, tunjuk ajar dan nilai agama, serta budaya dalam sesebuah masyarakat.

2.2 Jenis-Jenis Peribahasa

Peribahasa Melayu terdiri daripada pelbagai jenis dan merangkumi simpulan bahasa,
perumpamaan, pepatah, bidalan, dan kata-kata hikmat (Indirawati Zahid, 2005).
Setiap satunya mempunyai sifat dan tujuan yang tertentu. Simpulan bahasa ialah
kata-kata ringkas atau rangkaian perkataan yang dirumuskan dalam susunan
tertentu yang membawa maksud tertentu. Di samping itu, perumpamaan ialah
susunan kata-kata yang indah, ringkas dan kemas serta mempunyai maksud yang
tersirat (Jaludin Chuchu, 2008). Selain itu, pepatah seakan-akan sama dengan
bidalan, tetapi pepatah mempunyai rangkaian perkataan berkerat-kerat atau
berpatah-patah. Seterusnya, bidalan ialah susunan kata-kata yang telah digunakan
umum dalam masyarakat Melayu. Dalam bidalan terkandung perbandingan, teladan
dan pengajaran. Akhir sekali ialah kata hikmat. Kata hikmat merujuk kepada kata-
kata pujangga, ulama atau orang bijak pandai. Kata hikmat dijadikan pedoman hidup
dan percakapan umum. Bentuknya ringkas tetapi mempunyai maksud yang benar
dan dalam. Menurut penulis, jenis-jenis peribahasa ini dipelbagaikan adalah untuk
memperbanyak peribahasa yang telah dicipta dan merangkumkan peribahasa
kepada fungsi-fungsinya yang berbeza.

2
3.0 ANALISIS TIGA PERIBAHASA BAGI MENCERMINKAN PEMIKIRAN MASYARAKAT
MELAYU BERDASARKAN CERPEN “TELUR” MENGGUNAKAN BAHAN SUBJEK
BMMB3103 PENULISAN KREATIF SASTERA KANAK-KANAK.

Penulis telah memilih cerpen yang bertajuk ‘Telur’ karya penulis sendiri bagi kursus
BMMB3103 Penulisan Kreatif Sastera Kanak-kanak. Dalam tugasan BMMB3103, penulis
ditugaskan untuk menyediakan satu karya kreatif cerita kanak-kanak. Pada tugasan kali ini,
penulis menggunakan peribahasa-peribahasa dalam karya kreatif tersebut untuk dihuraikan
dalam penulisan ini. Penulisan ini terhasil apabila penulis menonton cerita Batu Belah Batu
Bertangkup ketika cuti semester yang lalu. Penulis telah mengadaptasi sedikit daripada
cerita itu dan menambah beberapa plot supaya penceritaan cerpen ini akan lebih menarik.
Penulis juga telah meneliti beberapa bentuk penulisan novel yang lain untuk dijadikan
inspirasi bagi mewarnai ayat-ayat di dalam penulisan cerpen yang dihasilkan.

Telur merupakan tajuk bagi cerpen ini dinamakan sempena subjek utama di dalam
cerpen ini. Cerpen ini menceritakan tentang seorang kanak-kanak yang bernama Abuya
berusia enam tahun dan telah menjadi anak yatim sejak berumur empat tahun lagi.
Kehilangan Pak Harun iaitu ayahnya, membuatkan kasih sayangnya tumpah kepada
emaknya, Mak Temah seorang. Dia bertekad untuk memenuhi segala permintaan Mak
Temah sebagai membalas jasa mendidiknya sejak kecil. Mak Temah menginginkan telur di
pasar pagi kampung itu. Kelarisan telur itu menjadikan telur itu sukar didapati. Telur yang
dibeli di pasar pagi oleh Abuya menjadi idaman Mak Temah telah hilang di para dapurnya.
Cerita ini menceritakan tentang perjalanan Abuya menjejaki telur yang hilang itu.

Di dalam cerpen ini terdapat tiga jenis peribahasa. Antaranya ialah perumpamaan,
pepatah dan bidalan. Ketiga-tiga peribahasa ini dihasilkan melalui pemikiran masyarakat
Melayu. Terdapat juga peribahasa yang menggunakan unsur-unsur haiwan ataupun fauna
sebagai subjek kajian mereka seperti ikan, ayam, itik, angsa, burung, musang dan harimau.
(Kasan, Jalaluddin, & Ismail, 2016). Selain itu, peribahasa ini turut diwujudkan berdasarkan
kepercayaan dan ideologi yang dipegang oleh orang Melayu serta pemikiran yang
mendalam secara berfalsafah. Maka, peribahasa yang dihasilkan oleh masyarakat Melayu
berdasarkan situasi persekitaran mereka dan menggunakan persekitaran mereka juga untuk
dijadikan sebagai kiasan kerana peribadi masyarakat Melayu sendiri yang sentiasa menjaga
kesopanannya dalam berbahasa.

Peribahasa pertama ialah jenis pepatah. Seperti yang telah diterangkan di atas,
pepatah juga merupakan salah satu daripada peribahasa yang berbentuk nasihat dan
mempunyai rangkaian perkataan berkerat-kerat. Di dalam cerpen ini, penulis telah
menggunakan pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya membawa maksud perangai

3
anak kebiasaannya mengikut perangai ibu atau bapa (Khairuddin Ayip, 2005). Seperti yang
tertera di dalam ayat yang dipetik daripada cerpen.

“Mak Temah mendidik Abuya dengan ilmu-ilmu kesantunan yang telah diterapkan dari
kecil. Dia juga sering menjaga tingkah lakunya untuk menunjukkan contoh yang baik di
hadapan anaknya kerana Mak Temah mempercayai bagaimana acuan begitulah
kuihnya.”

(Telur, halaman:2)

Penggunaan ‘acuan’ di dalam peribahasa yang dikaitkan dengan ‘ibu bapa’ menunjukkan
ketersiratan makna yang digambarkan oleh masyarakat Melayu melalui penggunaan objek
di sekeliling mereka. Bentuk ‘kuih’ yang dihasilkan daripada ‘acuan’ secara tidak langsung
menggambarkan cerminan yang menjadi ciri-ciri utama makna peribahasa yang bertemakan
kekeluargaan. Peribahasa ini tidak susah untuk difahami makna implisitnya kerana ‘acuan’
dapat difahami sebagai ‘ibu bapa’, manakala ‘kuih’ dapat difahami sebagai ‘anak-anak’
apabila merujuk kepada konteks ayat di dalam cerpen. Rutin masyarakat Melayu terdahulu
gemar menghasilkan pelbagai jenis kuih. Sehingga kini, terdapat pelbagai jenis kuih yang
masih wujud seperti kuih bahulu. Bahulu memerlukan acuan untuk menghasilkan bentuk
kuih yang menarik. Terdapat pelbagai acuan kuih bahulu. Ada yang bujur dan ada yang
bulat. Terpulang kepada pembuatnya yang menginginkan bentuk bahulu mengikut minatnya.

Mak Temah yang merupakan ibu tunggal kepada Abuya, yang menjadi watak utama di
dalam cerpen ini sering menunjukkan tauladan yang baik kepada anaknya kerana dia ingin
anaknya itu mencontohi sikap yang baik daripadanya. Mak Temah membesarkan Abuya
seorang diri setelah suaminya, Pak Harun meninggal dunia kerana penyakit yang tidak
diketahui puncanya. Oleh itu, leksikal acuan yang dimaksudkan di dalam peribahasa itu
ialah Mak Temah sendiri manakala leksikal kuihnya itu ialah Abuya yang merupakan anak
Mak Temah. Mak Temah menginginkan Abuya menjadi seorang anak yang berbudi bahasa
dan menjaga tatasusilanya kerana itulah dia sentiasa menjadikan dirinya sebagai suri
tauladan kepada anaknya. Samalah seperti acuan bahulu di atas. Mak Temah sebagai
acuan yang akan memilih sama ada acuannya baik atau buruk yang diinginkan untuk
kuihnya iaitu Abuya.

Selain itu, di dalam ini juga terdapat peribahasa berbentuk bidalan iaitu ‘di mana ada
kemahuan di situ ada jalan’.

“Diteliti raut wajah itu yang manis dan terlihat kedutan-kedutan halus di bawah mata
membuatkan rasa kasihnya semakin membuak dan menanam azam untuk mencari
bersungguh-sungguh telur itu. Bak kata peribahasa di mana ada kemahuan di situ ada

4
jalan. Dia percaya, dengan kesungguhannya mesti Tuhan akan membantu dengan
memberi jalan.”

(Telur: halaman 3)

Bidalan ini membawa maksud sekiranya kita bersungguh-sungguh dalam satu perkara atau
dalam menyelesaikan masalah, kita pasti akan berjaya menyelesaikannya (Sapinah Haji
Said, 2015). Bidalan merupakan peribahasa yang terkandung perbandingan, teladan dan
pengajaran. Masyarakat Melayu banyak menerapkan nilai-nilai di dalam bidalan yang
mereka cipta. Misalnya, di dalam bidalan ini, mereka menyelitkan nilai murni bersungguh-
sungguh dalam mengerjakan sesuatu. Masyarakat Melayu mempercayai setiap
kesungguhan itu akan dibalas dengan kejayaan bagi setiap usaha yang dititikpeluhkan dan
jalan penyelesaian bagi setiap masalah itu akan terbuka sekiranya kesungguhan itu
disertakan dalam setiap pekerjaan. Bidalan ini digunakan untuk menaikkan semangat
masyarakat Melayu ketika itu. Kini bidalan ini digunakan setiap genap manusia terutamanya
pada golongan pejuang untuk dijadikan sebagai peransang.

Penulis menggunakan bidalan ini kerana dikaitkan dengan peristiwa Abuya memburu
telurnya yang hilang. Mak Temah menginginkan untuk makan telur yang dijual di pasar pagi.
Sebagai anak yang baik, Abuya bertanggungjawab untuk menunaikan permintaan ibunya
lalu dia pergi ke pasar pagi dan mendapatkan telur itu. Kelarisan telur itu memaksa Abuya
untuk datang ke pasar tersebut sebelum matahari terbit lagi. Nasib menyebelahi dirinya
apabila telur yang belum dijual hanya tinggal satu dan dia berjaya membeli telur itu Namun,
setelah tiba di rumah, Mak Temah memintanya untuk meletakkan telur tersebut di atas para
dapur. Setiba waktu tengah hari, ibunya pergi ke dapur untuk memasak telur tersebut
sebagai menu tengah hari. Tiba-tiba, telur itu telah hilang. Mak Temah menangis kerana
terlalu mengimpikan telur tersebut sebagai makanan tengah harinya. Abuya berazam untuk
mencari telur itu dan mempercayai dengan kesungguhannya itu akan membantu
menyelesaikan misteri telur itu dan jalan penyelesaiannya akan terbuka luas untuknya.

Seterusnya, terdapat juga peribahasa berupa perumpamaan di dalam cerpen ini seperti
bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Perumpamaan bagai cendawan tumbuh selepas
hujan merupakan satu peribahasa Melayu yang telah digunakan semenjak dahulu di
kalangan masyarakat tempatan. Perumpamaan ini memberi maksud terlalu banyak pada
sesuatu masa (Zaidah Ahmad Rosly, 2001). Peribahasa ini memang amat sinonim dalam
masyarakat luar bandar atau masyarakat kampung tradisional. Masyarakat Melayu akan
hanya dapat melihat cendawan yang tumbuh lazimnya selepas hujan (Rahman Shaari,
2000). Ini amat sesuai dengan cara pada zaman dahulu. Ketika itu teknologi penanaman
cendawan belum ada lagi seperti masa kini. Perumpamaan yang memberi makna benda

5
atau perkara atau rezeki yang keluar terlalu banyak pada satu masa tanpa diketahui atau
dirancang. Cendawan yang tumbuh atau keluar selepas hujan ini memang kadang-kadang
banyak sehingga berguni-guni jika dipetik di dalam kawasan kebun getah atau kelapa sawit
atau dalam belukar. Penggunaan perumpamaan ini dapat dilihat dalam petikan di bawah:

“Sebelum matahari terbit lagi dia telah berada di pasar pagi kampung tersebut. Bak kata
peribahasa, bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Walaupun seawal waktu itu,
penduduk kampung telah ramai berada di pasar tersebut bagi mencari barang keperluan
mereka. Ada yang membawa bakul, ada yang berlenggang sahaja. Sesaknya pasar
tersebut sehingga badan Abuya yang kecil itu tetap sukar untuk menyelit di antara
mereka.”

(Telur, halaman:2)

Penggunaan perumpamaan ini dapat dilihat dalam cerpen ini. Penulis menggambarkan
keramaian penduduk kampung di pasar pagi kampung tersebut. Abuya terus bergegas ke
pasar pagi untuk mendapatkan telur tersebut, setelah mendengar permintaan Mak Temah.
Walaupun seawal itu, ramai penduduk kampung yang berpusu di pasar tersebut untuk
mendapatkan barang keperluan mereka. Dengan pelbagai jantina dan ragam manusia,
Abuya tetap melintasi kerumunan manusia di pasar tersebut untuk mendapatkan telur yang
diminta oleh ibunya. Oleh itu, penulis menggunakan perumpamaan cendawan yang tumbuh
selepas hujan kepada penduduk kampung yang berada di pasar pagi tersebut untuk
pembaca merasai situasi itu dalam dunia mereka.

Secara tuntasnya, penggunaan peribahasa dalam cerpen ini merupakan salah satu
usaha penulis untuk memurnikan lagi ayat di dalam cerpennya. Selain itu, penulis memilih
peribahasa yang sangat bersesuaian dengan jalan cerita dalam cerpen. Melalui peribahasa
inilah, penulis menerapkan nilai-nilai pengajaran untuk disampaikan kepada pembaca
cerpen terutamanya pada pembaca daripada golongan kanak-kanak.

6
4.0 PENUTUP

Peribahasa memainkan peranan yang penting dalam masyarakat di negara kita terutamanya
di kalangan orang-orang Melayu. Peribahasa digunakan untuk menyampaikan sesuatu
nasihat, teguran, atau ingatan secara kiasan atau sindiran. Pada hemat saya, dengan
menggunakan peribahasa banyak teguran, nasihat, dan sindiran dapat disampaikan tanpa
menimbulkan rasa marah atau kecil hati pada orang lain.

Sesungguhnya tujuan utama penciptaan peribahasa adalah untuk memberikan


pengajaran kepada masyarakat pada zaman dahulu kala. Selain itu, peribahasa berfungsi
sebagai pengawal sosial. Hal ini bermaksud masyarakat dahulu kala sering menegur
anggotanya dengan cara berkias ibarat melalui peribahasa. Dengan cara demikian, orang
yang ditegur tidak mudah tersinggung. Begitulah juga dengan pihak penegur yang lazimnya
terdiri daripada orang tua-tua, tidak akan berasa segan untuk berbuat demikian apabila
diperlukan.    

Penggunaan peribahasa dalam penulisan kanak-kanak sedikit sebanyak membantu


mengekalkan penggunaan peribahasa sehingga akhir zaman. Selain itu, penggunaan
peribahasa dalam penulisan kanak-kanak juga dapat menerapkan nilai-nilai murni yang
terdapat pada peribahasa itu ke dalam diri kanak-kanak masa kini. Oleh itu, peribahasa
bahasa Melayu dapat dikekalkan penggunaannya hingga ke akhir zaman dan tak lekang dek
panas, takkan lapuk dek hujan.

7
RUJUKAN

Hussain, A. (2016). Kamus Istimewa peribahasa Melayu edisi kedua. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka

Indirawati Zahid. (2005). Semantik leksikal dalam peribahasa Melayu. Kuala Lumpur:
Jabatan Pengajian Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

Jaludin Chuchu. (2008). Semantik dan pengajaran bahasa. Brunei: Dewan Bahasa dan
Pustaka Brunei, Kementerian Kebudayaan.

Jos. Daniel Parera. (2004). Teori semantik. Indonesia: Erlangga.

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2015). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kasan, J., Jalaluddin, N. H., & Ismail, W. N. W. (2016). Ikan (pisces) dalam peribahasa
Melayu: Analisis semantik inkuisitif. International Journal of the Malay World and
Civilisation (Iman), 4(1), 31–42. Retrieved from http://dx.doi. org/10.17576/IMAN-2016-
0401-03

Khairuddin Ayip. (2005). Peribahasa KBSR SJK. Kuala Lumpur: Cerdik Publications Sdn.
Bhd.

Nathesan, S. (2008). Makna dalam Bahasa Melayu (2nd ed.). Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Rahman Shaari. (2000). Memahami gaya bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Sapinah Haji Said. (2015). Kamus Peribahasa Melayu. Kuala Lumpur: Pelangi ePublishing
Sdn. Bhd.

Seri Lanang Jaya. (2016). Sang Budiman. Selangor: PTS Publications Sdn. Bhd.

Zaidah Ahmad Rosly. (2001). Semantik dan pragmatik metonimi dalam peribahasa Melayu.
Selangor: Universiti Putra.

Anda mungkin juga menyukai