Anda di halaman 1dari 16

Simbol Perlambangan Wanita dalam Peribahasa Melayu

Salinah Jaafar
b1salina@um.edu.my

Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali


inmarlin@um.edu.my

Kim Keum Hyun


korea@um.edu.my

ABSTRAK

Peribahasa yang sering kali digunakan dalam setiap ujaran dan pertuturan masyarakat menjadi
wadah utama untuk menggambarkan kehalusan budi pekerti yang dimiliki oleh sesebuah
anggota masyarakat. Malah, penciptaan peribahasa yang menggunakan bentuk simbol dan
perlambangan yang membawa fungsi leksikal yang pelbagai mencerminkan keunggulan
pemikiran yang dimiliki oleh masyarakat tersebut bagi menyampaikan mesej-mesej secara
tersirat. Penggunaan baik-bait kata yang puitis semasa penghasilan peribahasa memperlihatkan
keupayaan masyarakatnya mencipta peribahasa bagi melakarkan gambaran dan perihal yang
berlaku dalam dalam kehidupan. Penggunaan peribahasa yang meluas dalam kalangan
masyarakat di seluruh dunia memperlihatkan setiap bangsa mumpunyai bentuk-bentuk
peribahasa sendiri yang turut memantulkan setiap watak yang terdapat pada bangsa tersebut.
Jika diteliti penghasilan peribahasa memberi tanggapan dan persepsi umum kepada masyarakat
luar tentang budaya dan pemikiran yang hadir bersama penciptaan peribahasa. Pemilihan kata
sebagai simbol dan perlambangan wanita dalam peribahasa Melayu memperlihatkan
kepelbagaian fungsi leksikal yang menarik dan unik untuk difahami. Wanita yang dijadikan
simbol dan perlambangan ini pula akan dihuraikan dengan mengaplikasikan aspek
metarepresentasi dari Teori hibrid yang mengkaji metafora bagi memperoleh satu rantaian
konsepsi yang dapat memerikan konsep leksikal atau makna kata yang bersifat figuratif,
implisit dan tersirat.

Kata kunci: simbol, perlambangan, peribahasa, wanita, metarepresentasi

1
Symbols of Woman in Malay Idioms

ABSTRACT

The proverb is often used in every speech and conversation of the community become the
crucial tools to describe the subtlety of the kindness. In fact, the creation of a proverb that uses
symbolic forms as a representation of a diverse lexical function reflects the superiority of the
minds of Malay community to convey the message implicitly. The usage of poetic words in
proverbs reveals the ability of the community to create a proverb to illustrate the reality and
describes many things that occurs in life. The widespread use of proverbs in the community
around the world shows that every nation has its own forms of proverb that reflects every
character in the nation. If examined, the proverb gives a common perceptions to the outside
world about the culture and thought behind the creation of a proverb. Selection of words as
symbols and representation of women in Malay proverbs reveals the diversity of interesting and
unique lexical functions to be understood. The lexical function of the words used as symbols
and representation of women will also be described by using the metarepresentation concepts
in Hybrid Theory that examines metaphors to obtain a concise chain that can illuminate the
concept of lexical or meaningful words that are figurative, hidden and implicit.

Keywords: symbol; representation; woman; idiom; metarepresentation

PENDAHULUAN

Penciptaan peribahasa menghasilkan pertautan yang menghubungkan perkaitan bahasa dengan


pemikiran masyarakat bagaimana anggota masyarakat itu menilai dunia, persekitaran dan
sosialnya melalui makna yang tersimpul dalam peribahasa. Penghasilan peribahasa dalam
kalangan masyarakat Melayu, contohnya memberi gambaran kepada kebijaksaan dan
keupayaan mereka menautkan unsur-unsur alam dan kehidupan dalam menyampaikan mesej
tersirat kepada umum. Zaitul Azma Zainon Hamzah dan Ahmad Fuad Mat Hassan (2011, p. 5)
mengatakan bahawa proses pemikiran manusia telah dibangunkan sedikit demi sedikit apabila
dirangsang terhadap satu proses atau pengalaman yang dialami oleh manusia itu. Oleh sebab
itu, peribahasa yang dibina ini merungkap setiap perihal, keadaan, sifat, cara, kejadian,
peristiwa dan sebagainya berdasarkan pengamatan mereka yang begitu kritis dan teliti tentang
pengalaman hidup, adat dan budaya, flora dan fauna serta sosial dan interaksi berpandukan
pemilihan bait-bait kata yang sungguh puitis, berirama dan ringkas untuk menyampaikan
makna implisit buat umum.
Penghasilan sesuatu peribahasa mengambil kira aspek perlambangan dalam pemilihan
perkataan-perkataan untuk menyampaikan makna tersurat kepada masyarakat. Pemilihan
perkataan ini mempunyai fungsi leksikal yang menunjukkan kelainan daripada fungsi leksikal
umum yang boelh difahami dalam bahasa Melayu. Peribahasa bahasa Melayu memperlihatkan
wujudnya perlambangan daripada pelbagai aspek dan bentuk seperti penggunaan perkataan
berbentuk haiwan, flora seperti perlambangan bunga yang kebanyakannya merujuk kepada
wanita atau perempuan dan buah-buahan bagi menyampaikan makna yang membawa satu
2
bentuk fungsi leksikal yang mencerminkan persekitaran dan sosial yang berlaku dalam
kalangan anggota masyarakat tersebut. Pemilihan dan penggunaan bait-bait kata berbentuk
implisit dan ekspilisit yang melambangkan wanita dalam kalangan masyarakat Melayu banyak
diperkatakan melalui makna dan kiasan yang dipantulkan berdasarkan peribahasa-peribahasa
yang terhasil sejak sekian lama.
Nor Hashimah Jalaluddin (2000, p. 1) berpandangan bahawa perlambangan unsur
wanita dalam penciptaan puisi-puisi lama seperti kiasan, peribahasa, gurindam, perumpamaan
dan perucapan klasik sering kali memaparkan pemilihan perkataan yang melambangkan unsur-
unsur wanita sama ada berbentuk eksplisit atau implisit bagi menyampaikan teguran dan
nasihat. Keupayaan masyarakat Melayu pada zaman dahulu menghasilkan peribahasa dengan
menggunakan unsur persekitaran mereka seperti flora, fauna dan fenomena alam
memperlihatkan ketajaman pemikiran yang dimiliki oleh anggota masyarakat itu sehingga
berupaya menyampaikan maksud secara tersirat dengan hanya menggunakan perkataan-
perkataan sebagai unsur perlambangan.
Ramai sarjana telah membuat kajian terhadap peribahasa termasuk Mineke Schipper
(2006, pp. 19-23) yang mengumpul sebanyak 16,000 peribahasa yang mencerminkan ciri-ciri
dan peranan wanita dalam 278 buah bahasa. Menurut beliau, “kebanyakan peribahasa di dunia
menggambarkan persepsi golongan lelaki terhadap wanita dengan bertujuan untuk
memantapkan hak dan kepentingan lelaki manakala jarang terdapat perbahasa yang melihatkan
pandangan wanita terhadap lelaki. Peribahasa ini melihatkan pemerhatian yang terperinci
terhadap golongan wanita dan kedudukan sosial mereka yang diakibatkan oleh perbezaan antara
jantina. Tradisi lisan ini adalah penting untuk memahami pemikiran tradisi kerana peribahasa
menyumbang kepada pembentukan identiti dan peranan (golongan wanita dan lelaki) dan
seterusnya mempengaruh pemikiran (masyarakat) dengan pelbagai cara. Peribahasa juga
mengajar jurang antara jantina kepada anggota masyarakat untuk mengukuhkan hierarki
sosial.” Setelah Mineke Schipper menganalisis peribahasa tentang wanita dalam 278 bahasa,
beliau merumuskan bahawa kebanyakan peribahasa di dunia lebih menekankan sifat negatif
wanita untuk mengekang dan mengongkong golongan wanita.
Peribahasa Melayu juga mengandungi banyak unsur tentang wanita termasuk
kecantikan, sifat baik, sifat buruk, tingkah laku serta pandangan masyarakat terhadap golongan
wanita. Kajian ini pula meneliti simbol perlambangan wanita atas justifikasi bahawa banyak
simbol perlambangan yang terkandung dalam peribahasa merujuk kepada wanita. Simbol
perlambangan wanita yang terdapat dalam peribahasa bahasa Melayu ini memperlihatkan
kepelbagaian idea golongan masyarakat Melayu lama dalam menyampaikan sesuatu maksud
dengan menggunakan peribahasa.

OBJEKTIF KAJIAN

Kajian ini mempunyai objektif seperti berikut:


1. Mengenal pasti bentuk-bentuk fungsi leksikal yang digunakan dalam peribahasa Melayu
dari perspektif metarepresentasi.
2. Meneliti fungsi leksikal yang digunakan sebagai simbol perlambangan wanita dalam
peribahasa bahasa Melayu.
3. Mengaplikasi konsep metarepresensasi dalam Teori Hibrid terhadap perlambangan wanita
dalam peribahasa bahasa Melayu.

3
METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini menggunakan kaedah kajian kualitatif. Reka bentuk yang sesuai bagi mencapai
objektif kajian ini ialah menggunakan analisis kandungan, iaitu dengan menganalisis ciri-ciri
leksikal simbol dan perlambangan wanita yang digunakan dalam sampel teks. Fungsi leksikal
simbol yang menjadi perlambangan wanita dalam peribahasa dikategorikan mengikut domain
yang telah ditetapkan menggunakan kaedah metarepresentasi yang digunakan dalam teori
Hibrid.

METARPRESENTASI DALAM TEORI HIBRID

Teori Hibrid merupakan gabungan dua bidang bahasa yang mencakupi aspek linguistik kognitif
dan aspek pragmatik berdasarkan Teori Relevan. Teori Hibrid ini juga merupakan antara teori
baharu dalam bidang bahasa yang diperkenalkan dan dapat digunakan untuk mengkaji metafora
bagi memperoleh satu rantaian konsepsi yang memerikan konsep leksikal atau makna
berdasarkan perkataan atau frasa yang bersifat figuratif, implisit atau tersirat. Tendahl (2008)
telah memperkenalkan Teori Hibrid melalui kajian peringkat kedoktoran beliau yang bertajuk
A Hybrid of Metaphors: Relevance Theory and Cognitive Lingusitics. Namun begitu, Stover
(2010) telah memperkemaskan teori ini dengan memperkenalkan model Proses Tiga Serangkai
atau Triple Processing juga melalui kajian yang dibentangkan oleh beliau. Model ini
mempunyai kelebihan yang menyediakan ketepatan logik Teori Relevan iaitu ciri-ciri untuk
memproses psikologi komunikasi yang munasabah dan pada masa yang sama mendapat
manfaat daripada linguistik kognitif mengenai pemahaman yang holistik dunia dan bagaimana
perkara-perkara berkaitan dengan satu sama lain. Rajah di bawah merupakan model Proses Tiga
Serangkai.

Rajah 1: Proses Tiga Serangkai


(Disesuaikan serta diterjemahkan daripada Stover, 2010)

Proses Tiga Serangkai melibatkan tiga proses yang melengkapi antara satu sama lain
iaitu Proses Simulasi, Proses Metarepresentasi dan Proses Penakbiran. Proses Simulasi
melibatkan penginterpretasian makna secara literal atau harfiah dan ujaran yang difahami pada
peringkat ini adalah bersifat tersurat atau eksplisit. Proses Penakbiran pula melibatkan ujaran
yang mempunyai sifat implikatur atau tersirat. Proses Simulasi dan Proses Penakbiran
berlangsung secara serentak bagi memahami makna frasa atau leksikal yang bersifat metafora.
Tambahan pula, peringkat ini turut melibatkan penerapan konsep ad-hoc dalam gagasan Teori
4
Relevans dan proses pemetaan dua domain berdasarkan pendekatan linguistik kognitif.
Manakala, Proses Metarepresentasi berfungsi untuk memberi input dan wahana penyaluran
maklumat kepada proses penakbiran yang mengandungi pengalaman imagistik pendengar atau
pembaca bagi mendapatkan makna yang hendak dipancarkan bagi menyampai maklumat yang
difahami. Oleh hal yang demikian, makna yang ingin disampaikan ini akan disimpan dalam
rantau konsepsi penutur atau pendengar untuk digunakan secara berulang-ulang. Ini kerana,
maklumat ini merupakan sebahagian daripada pengalaman atau catatan ensiklopedia serta
pengalaman badaniah yang telah dialami oleh pendengar atau penutur. Penerapan Teori Hibrid
ini melibatkan penggunaan konsep ad-hoc dalam gagasan Teori Relavans dan proses pemetaan
domain adalah berdasarkan pendekatan linguistik kognitif. Proses penerapan konsep ad-hoc
dan pemetaan domain ini berlangsung secara serentak (Stover, 2010).
Proses Simulasi melibatkan penerapan pendekatan linguistik kognitif yang merupakan
proses dua domain bagi menghasilkan skema imej, metafora konsepsi dan metonomi konsepsi.
Namun begitu, Proses Penakbiran pula melibatkan penggunaan Teori Relevans melalui konsep
ad-hoc perluasan dan penyempitan yang berperanan sebagai satu prosedur pemahaman.
Menurut Robyn Carston (2010), konsep ad-hoc adalah komponen pemikiran penutur yang
dapat diterjemahkan oleh pendengar yang bersifat agak spesifik dan sementara. Selain itu,
Proses Metarepresentasi melibatkan representasi pengalaman atau imaginasi dan berperanan
sebagai pengantara untuk memberi input kepada proses penakbiran. Peringkat ini sangat
membantu semasa pembaca atau pendengar membuat pemilihan inferens melalui penerapan
konsep ad-hoc penyempitan atau semasa membuat andaian implikatur untuk menentukan
kesimpulan melalui penerapan konsep ad-hoc peluasan semasa penginterprestasian makna
sesuatu metafora. Oleh itu, Proses Tiga Serangkai ini akan membantu bagi memperoleh makna
berdasarkan fungsi leksikal yang hendak disampaikan untuk memberi pemahaman kepada
pendengar. Makna yang disampaikan ini pula akan tersimpan dalam rantau konsepsi seseorang
pendengar atau penutur dan akan digunakan secara berulang-ulang kerana makna ini sudah
menjadi sebahagian daripada pengalaman, maklumat atau catatan eksiklopedia serta
pengalaman badaniah yang telah dialami.

FUNGSI LEKSIKAL SIMBOL DAN PERLAMBANGAN WANITA DALAM


PERIBAHASA MELAYU

Fungsi leksikal simbol dan perlambangan wanita yang digunakan dalam peribahasa Melayu
banyak memperlihatkan kepelbagaian makna yang menjadikan peribahasa sebagai satu wadah
komunikasi yang halus dan teliti. Pemilihan perkataan yang menjadi simbol dan perlambangan
ini menggambarkan bagaimana masyarakat Melayu mengaitkan alam sekita dan suasana
sekeliling sebagai wakil atau representasi dalam menyampaikan sesuatu maksud. Proses
Metarepresentasi yang terdapat dalam Proses Tiga Serangkai melalui Teori Hibrid yang
diperkenalkan oleh Tendahl pada tahun 2008 dan kemudiannya diperkemaskan oleh Stover
pada tahun 2010 sesuai untuk diaplikasikan dalam membincangkan tentang konsep fungsi
leksikal simbol dan perlambangan ini.

METAREPRESENTASI SIMBOL DAN PERLAMBANGAN WANITA DALAM


PERIBAHASA MELAYU
.

5
Penghasilan peribahasa Melayu sering kali memperlihatkan hadirnya bait-bait kata yang
menggambarkan sifat dan kelakuan yang terdapat pada seseorang wanita melalui penggunaan
perkataan tersebut sebagai perlambangan berdasarkan penciptaan unsur-unsur yang terdapat
pada alam ini. Ciri semula jadi dan alamiah yang terdapat pada unsur-unsur alam seperti
bintang, bulan dan bunga memperlihatkan keupayaan masyarakat Melayu menghasilkan
perkaitan sifat wanita dengan unsur-unsur alam melalui penciptaan peribahasa. Antara unsur-
unsur alam yang digunakan dalam peribahasa Melayu bagi menggambarkan sifat dan
keperibadian wanita adalah melalui penerapan simbol bunga. Peribahasa seperti umpama bunga
di gunung batu, taruk kaca tangkainya embun memperlihatkan penggunaan perkataan bunga
yang direpresentasikan sebagai seoarang gadis yang cantik berdasarkan makna peribahasa yang
disampaikan. Penggunaan perkataan bunga adalah jelas merujuk kepada gadis atau wanita
berdasarkan sifat semula jadi yang ada pada sekuntum bunga seperti cantik dan wangi.
Penggunaan simbol bunga bagi menggambarkan keperibadian seoarang gadis sebagai simbol
dalam peribahasa Melayu adalah kerana ia berkait rapat dengan kehidupan masyarakat yang
sentiasa kelilingi dengan alam dan flora terutamanya masyarakat di desa.
Metarepresentasi bagi bunga, bulan dan gagak boleh dilihat seperti rajah di bawah:

KETERAMPILAN

bunga gagak

bulan

Rajah 2: Keterampilan Wanita

RUJUKAN
DATA PERIBAHASA MAKNA
[H-halaman : D-data]
TRM 2 Umpama bunga di gunung batu, Gadis yang cantik, terjaga
[H 248 : D 831]
taruk kaca tangkainya embun dengan baik dan tidak mudah
didekati

Jadual 1 : Bunga Perlambangan Kecantikan Wanita

Tambahan pula, ciri-ciri fizikal yang terdapat pada bunga mempunyai persamaan
dengan keperibadian dan sifat luaran yang dimiliki oleh gadis dan wanita. Contohnya, ciri-ciri
yang terdapat pada bunga mempunyai persamaan dengan sifat luaran gadis adalah seperti
memiliki daya tarikan yang menarik dan menawan seperti cantik, ayu, harum, mekar dan berseri
adalah bertepatan bagi menggambarkan fizikal luaran yang dimiliki oleh gadis. Malah,
perkataan bunga merupakan objek alam yang masih digunakan oleh masyarakat Melayu bagi
menggambarkan sifat yang dimiliki oleh gadis dan wanita seperti cantik dan berseri-seri. Ini
kerana, pandangan yang diutarakan oleh Zurinah et al (2008) menyatakan bahawa bunga yang
wangi adalah objek alam yang masih digunakan untuk membawa makna suatu keindahan dan
6
kemurnian yang menjadi kenangan dan sebutan. Oleh itu, di sini jelaslah menunjukkan bahawa
penggunaan perkataan bunga dalam penciptaan peribahasa-peribahasa Melayu adalah
melambangkan kecantikan, keindahan dan keayuan yang dimiliki oleh wanita dan gadis
berpaksikan ciri-ciri semula jadi yang terdapat pada bunga seperti harum, cantik dan indah.
Selain itu, terdapat juga perkataan lain yang digunakan dalam penghasilan peribahasa
Melayu untuk menggambarkan kecantikan yang dimiliki oleh seorang wanita dan anak gadis.
Perkataan seperti bulan turut digunakan bagi melambangkan sifat dan ciri-ciri fizikal yang
dimiliki oleh wanita melalui contoh peribahasa seperti bagai bulan dipagar bintang yang
mendukung makna perihal gadis yang sememangnya cantik bertambah lagi cantik apabila
dikelilingi oleh gadis-gadis yang cantik juga. Penggunaan perkataan bulan dalam peribahasa
ini adalah merujuk kepada gadis yang memiliki rupa paras yang cantik dan menawan. Pemilihan
perkataan bulan sebagai simbol untuk melambangkan kecantikan yang dimiliki oleh anak gadis
adalah berdasarkan ciri-ciri yang terdapat pada bulan di angkasa. Sifat bulan yang indah
dipandang dari jauh dan sentiasa menyinari dan menerangi bumi pada ketika malam adalah
melambangkan sifat fizikal yang terdapat pada wanita dan gadis. Wanita dan gadis yang cantik
adalah susuk tubuh yang akan sentiasa dikelilingi dan didekati oleh gadis-gadis yang memiliki
kecantikan yang rupawan. Malah, penggunaan perkataan seperti bintang juga turut digunakan
sebagai simbol yang melambangkan kecantikan wanita. Sama seperti bulan, bintang merupakan
alam semesta yang sentiasa menyinari dan memberi cahaya kepada bumi pada waktu malam.
Oleh itu, perkataan seperti bulan dan bintang yang hadir dalam penghasilan peribahasa Melayu
adalah melambangkan kecantikan rupa paras yang dimiliki oleh anak gadis berdasarkan sifat
indah dan bercahaya yang terdapat pada bulan dan bintang.
Masyarakat Melayu menerapkan unsur alam seperti haiwan sebagai pencetus idea dan
perlambangan untuk memberi gambaran kepada umum tentang wanita semasa penghasilan
peribahasa. Pemilihan perkataan burung murai yang digunakan dalam peribahasa tersebut
memaparkan sifat semula jadi seekor burung murai untuk memantulkan sifat seorang wanita
atau perempuan secara tersirat. Menyusuri kehidupan seharian masyarakat Melayu pada zaman
dahulu yang menjalani kehidupan berlatar belakangkan suasana di kampung dan sawah padi,
perkara seperti ini dilihat mempengaruhi pemilihan perkataan berdasarkan pengamatan pada
alam dan suasana sekitarnya yang berlaku dalam lingkungan kehidupan dan persekitaran. Oleh
itu, burung murai sering kali menjadi pilihan masyarakat dahulu seperti petani untuk dijadikan
haiwan peliharaan bagi menceriakan suasana di rumah mereka kerana burung murai memiliki
kelunakan dan kemerduan suara. Metarepresentasi bagi simbol dan perlambangan yang
disebuutkan boleh dilihat seperti rajah di bawah:

SIFAT
DIRI

harimau
juadah

buah
lebah
macang
murai
7
Rajah 3: Sifat Diri Wanita

RUJUKAN
DATA PERIBAHASA MAKNA
[H-halaman : D-data]
PBD 24 Bagai murai dicabut ekor Perempuan yang suka bercakap [H 168 : D 191]

Jadual 2 : Murai Perlambangan Sifat Wanita yang Banyak Cakap

Sifat seekor burung murai yang sememangnya memiliki keriuhan mulutnya disamakan
dengan sifat seorang wanita yang banyak bercakap dan pada umumnya kaum wanita begitu
terkenal dengan sifat yang suka berkata-kata berbanding lelaki. Fitrah wanita yang memiliki
sifat banyak bercakap dan terkenal dengan leteran adalah digambarkan melalui penggunaan
perkataan burung murai. Contohnya, seorang wanita yang berperanan sebagai ibu di rumah
akan banyak memberi nasihat dan teguran kepada anak-anak yang bertujuan untuk mendidik.
Gambaran ini diberikan kepada sifat wanita yang suka berkata-kata melalui pemilihan
perkataan burung murai memperlihatkan masyarakat dahulu yang sering mengaitkan
persekitaran seperti fauna untuk memifestasikan makna yang ingin disampaikan. Ini kerana,
bahasa itu ditentukan oleh keupayaan manusia itu berfikir dan peribahasa yang dicipta oleh
masyarakat Melayu disesuaikan dengan konteks dan maknanya serta sering dipengaruhi oleh
latar budaya penuturnya ( Ahmad Fuad & Zaitul Azma, 2010: 10).

RUJUKAN
DATA PERIBAHASA MAKNA
[H-halaman : D-data]
PBD 32 Buah macang dimakan Orang perempuan yang sudah
[H 316 : D 510]
kelarah, di luar baik busuk rosak, hanya di luar saja yang
di dalam kelihatan baik

Jadual 3 : Buah Macang Perlambangan Kehilangan Kesucian Wanita

Pemikiran masyarakat Melayu turut membuat perkaitan antara isu-isu tentang tingkah
laku dan kelakuan moral dalam perhubungan dan interaksi sesama manusia. Menurut Ahmad
Fuad dan Zaitul Azma (2010, p. 13), moral merupakan satu sistem yang menilai tindakan zahir
manusia melalui persoalan moral yang mencakupi pemikiran, perasaan dan niat di hati manusia
dengan manusia dan nilai-nilai moral ini adalah bersifat relatif, subjektif dan sementara. Melalui
penciptaan peribahasa juga dapat dilihat keupayaan manusia pada zaman dahulu untuk
melakarkan ungkapan dalam peribahasa sebagai pengajaran dan nasihat untuk memberi teguran
kepada sikap bermoral dan tidak bermoral manusia. Berdasarkan peribahasa yang terdapat
dalam data di atas, perkataan buah macang digunakan sebagai perlambangan yang memberi
kritikan kepada kelakuan buruk seorang wanita melalui ciri-ciri semula jadi yang terdapat pada
buah macang itu. Buah macang merupakan sejenis buah yang berada dalam kelompok
mempelam.

8
Rupa dan ciri-ciri luaran buah macang adalah hampir sama dengan ciri-ciri fizikal yang
terdapat pada buah mangga namun terdapat perbezaan yang dimiliki oleh buah macang
berbanding buah mangga iaitu seratnya yang berurat-urat dan kasar. Buah ini kurang sesuai
untuk dijadikan sebagai pencuci mulut dan sering kali dijadikan juadah dalam masakan seperti
sambal. Ciri kedua yang terdapat pada buah macang ini keadaan buah ini yang begitu mudah
diserang binatang kecil ceperti kumbang sehingga menghasilkan buah yang busuk. Namun
begitu, kebusukan dan kerosakan yang terdapat pada buah macang ini tidak diketahui umum.
Oleh itu, ciri-ciri yang terdapat pada buah macang itu dijadikan perlambangan untuk
menggambarkan seorang wanita yang pada luarannya memiliki rupa paras yang menawan
namun memiliki hati yang busuk dan berperangai tidak elok. Sifat buah macang yang busuk di
dalam tetapi masih kelihatan elok di luar memperlihatkan keupayaan manusia untuk membuat
perkaitan dengan ciri-ciri gadis atau wanita yang sudah rosak dan memiliki hati yang busuk.
Seorang gadis secara luaran dan fizikalnya adalah sama sehingga tidak dapat dizahirkan jika
seseorang itu sudah rosak atau berniat jahat. Seorang gadis yang sudah rosak dan berhati busuk
dapat disembunyikan melalui rupa paras dan wajah yang cantik sama juga seperti perlambangan
yang diberikan oleh ciri-ciri buah macang yang busuk di dalam namun tetap kelihatan segar
dari luar.

RUJUKAN
DATA PERIBAHASA MAKNA
[H-halaman : D-data]
PBD 33 Juadah sudah dijilat cicak Perempuan yang sudah melakukan
[H 386 : D 1080]
kejahatan dalam diam-diam

Jadual 4 : Juadah Dijilat Perlambangan Wanita yang Sudah Dinodai

Masyarakat Melayu begitu memegang kepada kesantunan dan keperibadian akhlak yang
dimiliki oleh setiap ahli anggota masyarakatnya. Setiap situasi dan perkara yang berlangsung
dalam masyarakat itu sendiri akan dikaitkan dengan tingkah laku dan moral masyarakat
tersebut. Malah, setiap teguran dan nasihat yang disampaikan oleh masyarakat Melayu pada
zaman dahulu adalah melalui penciptaan pantun sebagai sindiran yang disampaikan segala
halus bagi menjaga air muka pendengar. Oleh itu, melalui pencipataan peribahasa seperti yang
terdapat dalam jadual di atas, terdapat beberapa perkataan yang digunakan berfungsi sebagai
perlambangan bagi mencerminkan nilai sebenar yang dimiliki oleh masyarakat Melayu melalui
pemerhatian sekeliling. Frasa juadah dijilat cicak menggambarkan seorang wanita yang
melalukan kejahatan dalam diam tanpa diketahui oleh orang ramai. Melihat kepada situasi yang
berlaku dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu, juadah atau makanan akan dihidangkan
di atas meja atau di atas lantai. Juadah yang tidak ditutup dengan tudung saji akan mudah
terdedah dengan hinggapan binatang-binatang seperti lalat dan cicak. Namun begitu, juadah
yang sudah terkena hinggapan cicak akan diketahui oleh manusia kerana lalat akan bertelur
pada makanan yang terdedah telalu lama.
Oleh itu, juadah yang sudah dihinggap oleh lalat ini akan dibuang oleh manusia
sekirannya terdapat telur lalat pada makanan itu. Namun beigitu, makanan yang dijilat oleh
cicak tidak akan diketahui oleh manusia. Ini kerana cicak tidak meninggalkan sebarang kesan
atau petanda ke atas makanan tersebut selepas ia menjilatnya tanpa pengetahuan manusia.
Makanan atau juadah yang kelihatan masih bersih dan selamat untuk dimakan sebenarnya sudah
tercemar dan kotor tetapi tidak diketahui oleh manusia kepada sifat cicak yang tidak
9
meninggalkan kesan setelah menjilat makanan tersebut. Situasi yang terjadi seperti ini
menggambarkan sifat atau tingkah laku yang dimiliki oleh wanita atau gadis yang melalukan
kejahatan dalam diam tanpa diketahui oleh orang lain. Perempuan ini pada luarannya kelihatan
cantik dan sempurna sama seperti juadah atau makanan tersebut. Namun begitu, disebalik
tingkah laku sopan dan paras rupa yang baik itu tersembunyi sifat sebenar perempuan itu yang
berpewatakan jahat sama seperti perlambangan kepada seekor cicak yang menjilat makanan
tanpa meninggalkan kesan pada makanan tersebut.
Penciptaan peribahasa-peribahasa ini membuktikan bahawa hadirnya perkaitan antara
hubungan lelaki dan perempuan yang berlaku dalam kalangan masyarakat berdasarkan
pemilihan perkataan-perkataan seperti lesung, alu, antan, perigi, timba, ulam dan sambal
walaupun perlambangan yang digunakan adalah berbentuk impilisit untuk menyampaikan
makna berbentuk tersirat. Metarepresentasi bagi simbol dan perlambangan yang disebuutkan
boleh dilihat seperti rajah di bawah:

FITRAH
(perempuan)

bomoh ulam

lesung rumput
perigi

Rajah 4: Fitrah Wanita

RUJUKAN
DATA PERIBAHASA MAKNA
[H-halaman : D-data]
PBD 44 Bomoh mencari orang sakit Perempuan mencari lelaki [H 315 : D 506]
PBD 45 Lesung mencari antan [H 431 : D 1437]
PBD 46 Perigi mencari timba [H 499 : D 1966]
PBD 47 Rumput mencari kuda [H 510 : D 2055]
PBD 48 Ulam mencari sambal [H 572 : D 2536]

Jadual 5 : Pelbagai Perlambangan Wanita yang Mencari Lelaki

Pemilihan perkataan tersebut memperlihatkan keupayaan masyarakat pada zaman


dahulu untuk menerapkan unsur-unsur yang terdapat di sekeliling mereka sebagai cetusan idea
bagi menghasilkan peribahasa. Ini kerana, jika dillihat daripada sifat sebenar lesung, alu, antan,
perigi, timba, ulam dan sambal, unsur-unsur ini merupakan objek yang sering kali berada begitu
hampir dengan masyarakat seperti lesung dan alu yang digunakan oleh masyarakat sejak dahulu
lagi untuk menumbuk sambal dan sentiasa dimiliki oleh setiap rumah. Sama juga seperti ulam
dan sambal yang mempunyai perkaitan kerana makanan seperti ini menjadi antara juadah
masyarakat Melayu terutamanya masyarakat di kampung yang mengamalkan pemakanan ulam
dan bercicahkan sambal. Begitu juga dengan perlambangan perigi dan timba yang begitu dekat
10
dengan cara kehidupan masyarakat dahulu kerana seperti yang diketahui, masyarakat Melayu
pada zaman dahulu menggunakan air di perigi untuk mandi dan membasuh baju.
Oleh itu, terbitlah perkaitan unsur-unsur seperti ini yang menjadi lambang kepada
penghasilan peribahasa seperti ini. Ini kerana, perigi, ulam dan lesung merupakan benda atau
objek yang berpasangan. Perigi memerlukan timba untuk mencedok air, lesung memerlukan
alu untuk menumbuk sambal manakala ulam pula memerlukan sambal untuk dicicah bersama.
Perlambangan seperti ini memperlihatkan satu hubungan yang perlu ada untuk saling
melengkapi dan hubungan antara pasangan ini mestilah mengikut peraturan alam. Contohnya,
mustahil dan tidak masuk akal bagi perigi berjalan untuk mencari timbanya, lesung mencari
alunya dan ulam mencari sambalnya. Peraturan alam tidak bertulis ini memperlihatkan
perkaitan yang berlaku dalam kehidupan seharian manusia yang diterjemahkan melalui
penghasilan peribahasa ini. Lingkungan sosial masyarakat Melayu sejak zaman dahulu lagi
memperlihatkan adalah menjadi satu perkara yang janggal dan aneh sekirannya seorang
perempuan bersungguh-sungguh mencari seorang lelaki dan perkara seperti ini tidak dapat
diterima dalam konteks masyarakat Melayu yang bergitu terkenal dengan budaya dan adat
resam yang dipegang. Tindakan seperti ini merupakan satu perkara yang mustahil untuk perigi
berjalan mencari timbanya, maka begitu mustahil juga bagi wanita walaupun anak dara yang
masih belum berkahwin untuk mencari-cari lelaki sebagai pasangan hidup kerana ibu bapa akan
tetap menjaga adab sopan ketimuran yang sentiasa menjadi pegangan masyarakat Melayu sejak
dahulu lagi.
Penghasilan peribahasa oleh masyarakat Melayu turut menggambarkan perhubungan
yang terjalin antara lelaki dan perempuan dalam kalangan masyarakat. Perhubungan yang
terjalin ini bukan sahaja melibatkan hubungan persahabatan malah turut mengetengahkan
tentang perhubungan dalam alam rumah tangga antara suami dengan isteri. Setiap perilaku dan
keperibadian yang dimiliki oleh pasangan suami isteri akan menjadi buat mulut dalam
kehidupan masyarakat Melayu. Gambaran yang digunakan oleh masyarakat Melayu bagi
mencerminkan kehidupan yang dimiliki oleh pasangan suami dan isteri dalam melayari alam
perkahwinan adalah dengan menggunakan sumber-sumber alam di sekeliling mereka sebagai
perlambangan. Antara beberapa perkataan bercirikan alam yang dijadikan sebagai simbol bagi
melambangkan kehidupan berumah tangga adalah seperti perkataan gula, garam, asam, cincin
dan permata. Contoh peribahasa Melayu yang mengandungi perkataan perlambangan berikut
adalah seperti:

Data Peribahasa Makna Rujukan


WNT 6 Manis bagai gula Sangat sepadan dalam semua hal [H 184 : D 317]
derawa seperti suami dan isteri
WNT 7 Manis bagai gula Jawa [H 184 : D 318]
WNT 8 Manis bagai gula [H 184 : D 319]
Sarawak
WNT 9 Laksana garam dengan Suami isteri yang sepadan [H 199 : D 435]
asam
WNT 10 Seperti cincin dengan Pasangan suami isteri atau pengantin [H 219 : D 599]
permata yang sama cantik dan sama padan

Jadual 6 : Kemanisan Perlambangan Kesempurnaan Perkahwinan

Perkahwinan
11
(sepadan)
Gula cincin
derawa

garam permata

Jawa Sarawak asam

Rajah 5: Hubungan Lelaki dan Wanita

Penggunaan simbol gula dalam penciptaan peribahasa Melayu mendukung perluasan


jenis gula seperti gula derawa, gula Jawa dan gula Sarawak. Walaupun simbol gula yang
digunakan memiliki kepelbagaian jenis gula yang berbeza, namun masih mengekalkan makna
peribahasa yang sama iaitu melambangkan kesepadanan yang dimiliki oleh pasangan suami
dan isteri dalam segala hal. Ini kerana, pemilihan perkataan gula sebagai simbol bagi
melambangkan kehidupan dalam melayari bahtera rumah tangga adalah melalui sifat dan ciri-
ciri yang dimiliki oleh gula. Sifat semula jadi yang terdapat pada gula adalah manis dan
perlambangan ini digunakan bagi mencerminkan kehidupan aman, sejahtera dan bahagia yang
dikecapi oleh pasangan suami isteri. Sifat kesepadanan yang dimiliki oleh suami dan isteri
dalam setiap perkara yang dilakukan dianggap manis seperti gula. Malah, penciptaan
peribahasa Melayu memperlihatkan penggunaan beberapa konsep dalam simbol perkataan bagi
menggambarkan satu kesatuan makna yang sama dan merujuk kepada perihal yang sama.
Contohnya seperti penggunaan simbol garam, asam, cincin dan permata yang digunakan bagi
mencerminkan pasangan suami dan isteri yang sama cantik dan sepadan.
Menelusuri kehidupan masyarakat Melayu sejak zaman dahulu lagi, penghasilan
peribahasa Melayu adalah berilhamkan setiap elemen yang berada di persekitaran masyarakat.
Setiap sumber dan kejadian alam yang berlaku di sekeliling mereka akan dilakarkan untuk
dijadikan simbol dalam peribahasa-peribahasa. Tamsilannya, penggunaan garam dan asam
merupakan perkataan yang digunakan bagi memperlihatkan sifat sepadan yang ada pada suami
dan isteri. Ini kerana dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu, garam dan asam
merupakan bahan asas yang perlu ada dalam setiap masakan dan saling memerlukan untuk
membangkitkan keenakan juadah. Sama juga seperti cincin dan permata yang mencerminkan
pasangan suami dan isteri yang memiliki sifat sama cantik dan sama padan. Ciri-ciri yang
terdapat pada cincin akan bertambah bertambah cantik dan berseri apabila dipadankan dengan
batu permata. Sifat-sifat yang ada pada batu permata seperti cantik, berseri, berkilau dan
menawan melambangkan ciri fizikal yang dimiliki oleh pasangan suami isteri yang sama cantik
dan sama padan. Oleh itu, penggunaan perkataan-perkataan seperti gulam garam, asam, cincin
dan permata adalah merupakan simbol yang terdapat dalam penciptaan peribahasa bagi
melambangkan sifat dan peribadi yang dimiliki dalam perhubungan antara lelaki dan
perempuan terutaanya antara suami dan isteri semasa melayari alam berumah tangga.
Dunia pelayaran dan perkapalan sudah menjadi perkara biasa dalam kehidupan
masyarakat Melayu sejak zaman dahulu semasa Melaka menjadi antara pelabuhan utama di
12
Asia Tenggara. Sejak zaman dahulu lagi, masyarakat Melayu amat arif tentang ilmu perlautan
dan perkapalan menjadi tempat bagi kaum lelaki untuk mencari rezeki. Keadaan seperti ini
turut dijadikan perkaitan oleh masyarakat zaman dahulu bagi menggambarkan situasi yang
berlaku dalam kalangan anggota masyarakat yang berperanan untuk menyampaikan teguran
dan menyindir tetapi dengan menggunakan bahasa halus dan berlapik. Pemilihan kata halus
yang membawa fungsi leksikal berlapik adalah seperti unsur perlambangan yang terdapat
melalui penciptaan peribahasa di atas. Perahu satu merupakan kata yang digunakan untuk
melambangkan seorang wanita manakala nakhoda dua pula frasa yang digunakan sebagai
perlambangan kepada dua lelaki yang dimiliki oleh seorang wanita dalam satu perhubungan.
Dunia pelayaran dan perkapalan memerlukan seorang nakhoda yang berperanan sebagai ketua
dan mestilah seorang yang berpengetahuan luas dalam selok-belok pelayaran dan laut. Satu
kapal atau perahu tidak boleh memiliki lebih daripada satu nakhoda yang mengemudi kerana
akan berlaku pertelingkahan atau ketidak sefahaman pendapat sekiranya kapal atau perahu
dikemudi oleh lebih daripada satu nakhoda. Oleh itu, perlambangan satu perahu yang memiliki
dua nakhoda menggambarkan sikap seorang perempuan yang mempunyai lebih daripada satu
lelaki dalam perhubungannya atau perempuan yang curang dengan lelaki lain.

kecurangan

benang pelesit

biduk enau
kapal

Rajah 6: Kecurangan wanita

RUJUKAN
DATA PERIBAHASA MAKNA
[H-halaman : D-data]
WNT 45 Dikembar seperti benang Perempuan yang menduakan [H 206 : D 494]
WNT 46 Biduk satu nakhoda dua suaminya [H 314 : D 495]
WNT 47 Seperti kapal dua kapitan [H 226 : D 656]
WNT 48 Enau sebatang, dua [H 346 : D 761]
sigainya
WNT 49 Kapal satu, nakhoda dua [H 396 : D 1160]
WNT 50 Pelesit dua sejinjing [H 496 : D 1945]

Jadual 7 : Pelbagai Perlambangan Kecurangan Wanita

KESIMPULAN

Masyarakat Melayu yang kreatif menjadikan alam sekeliling sebagai panduan dalam
menyampaikan maksud. Pemilihan perkataan yang membawa fungsi leksikal yang begitu
simbolik telah memperlihatkan penggunaan pelbagai lambang dan simbol dalam penghasilan

13
peribahasa Melayu seperti flora, fauna dan alam yang merujuk kepada wanita. Pemilihan simbol
atau perlambangan yang menceritakan perihal wanita dalam peribahasa adalah berdasarkan
perkataan yang bersifat kiasan. Kemampuan dan keupayaan masyarakat Melayu sejak dahulu
membina peribabasa dengan menggunakan unsur-unsur yang berada di sekeliling mereka
seperti flora dan fauna adalah berkaitan dengan proses pemikiran yang berlangsung semasa
memproses maklumat. Setiap bentuk kata yang dipilih merupakan satu proses meletakkan
fungsi leksikal yang menjadi simbol dan perlambangan dalam menyampaikan sesuatu yang
dimasukkan sebagai metafora. Pengintepretasian makna yang dibawa oleh simbol dan
perlambangan yang dipilih menjelaskan tentang fungsi leksikal yang berlainan daripada unit
leksikal itu sendiri. Oleh itu, penerapan konsep metarepresentasi yang diadaptasi dari teori
Hibrid ini sesuai dalam penganalisisan data-data yang dikumpul telah memberi jawapan dan
hasil perkaitan proses pemikiran yang berlangsung berdasarkan pengamatan dan penghayatan
yang terdapat pada alam sekeliling dengan makna yang ingin disampaikan melalui peribahasa
dengan menerapkan penggunaan simbol sebagai perlambangan.

14
BIBLIOGRAFI

Abdullah Hussain. (2006). Kamus istimewa peribahasa melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Ainon Mohd & Abdullah Hassan. (2008). Kamus peribahasa kontemporari edisi kedua. Batu
Caves: PTS Publications & Distributors.
Chen Seok Yeun. (2012). Strategi Penterjemahan Mainan Kata dari Bahasa Inggeris ke Bahasa
Cina dalam ‘Alice’s Advantures in Wonderland’. Ijazah Sarjana, Fakulti Bahasa dan
Linguistik, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Malaysia.
Effendy Kadarisman. (2009). Karya dosen. Dicapai pada Disember 17, 2015 daripada
http://karya-ilmiah.um.ac.id/index.php/karya-dosen-fs/article/view/3689
Imran Ho-Abdullah. (2011) Analisis kognitif semantik peribahasa Melayu bersumberkan
anjing. Jurnal Pengajian Bahasa. 11(1), 125-141.
Kamus Dewan.(4th ed). (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Liki Hamid. (2002). Pengajian Tamadun Islam Edisi Kedua. Batu Caves: PTS
Publications & Distributors.
Nor Hashimah Jalaluddin. (2000). Seksis atau sosialisasi: Satu interprestasi makna berdasarkan
peribahasa melayu. Rampak Serantau. 7(1), 142-161.
Robyn Carston (2010), Lexical paragmatics, ad hoc concepts and metaphor: A Relevance
Theory perspective. Italian Journal of Linguistcis. 22(1), 158-180
Rozaimah Rashidin. (2015). Metafora konsepsi marah dalam data korpus teks tradisional
melayu. Jurnal Lingustik. 19(1), 24-47.
Rozaimah Rashidin & Nor Hashimah Jalaluddin. (2013). Metafora kasih dalam teks melayu
tradisional: Analisis teori hibrid. Jurnal Linguistik. 17(1), 19-28.
Sabitha Marican. (2012). Penyelidikan Sains Sosial: Pendekatan Pragmatik. Batu Caves:
Edusystem Sdn. Bhd.
Salinah Jaafar et al., (2016). Wacana Pantun Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Sapir, E. (1921). Language: An Introduction To The Study Of Speech. London: Harcourt Brace
Jovanovich Publishers.
Schwreigert, W. A. (1998). A handbook: Research method in psychology. Pasific Grove:
Brooks/Cole Publishing Company.
Schipper, Mineke. (2006). Never Marry a Woman with Big Feet : Women in Proverbs from
around the World. Amsterdam : Amsterdam University Press.
Stover, H. (2010). Metaphor and Relevance Theory: A New Hybrid Model. Ph.D thesis,
University of Bedfordshire, United Kingdom.
Tendahl, M. (2008). A Hybrid Theory of Metaphors: Relevance Theory and Cognitive
Linguistics. Ph.D thesis, Department of English and Americans Studies, University of
Dortmund, Germany.
Za’ba. (2002). Ilmu Mengarang Melayu Edisi Ejaan Rumi Baharu. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Zurinah Hassan, Salinah Ja’afar dan Tengku Intan Marlin Tengku Mohd Ali. (2016). Kritik
sosial dalam pantun Melayu: Lambang Ketekalan Minda. Dalam Salinah Jaafar et al.,
(2016). Wacana Pantun Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

15
Zaitul Azma Zainon Hamzah & Ahmad Fuad Mat Hassan. (2011). Peribahasa Melayu
Penelitian Makna & Nilai. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Zaitul Azma Zainon Hamzah & Ahmad Fuad Mat Hassan. (2011). Bahasa dan pemikiran dalam
peribahasa Melayu. Jurnal Pengajian Bahasa. 11(3), 1-21.

16

Anda mungkin juga menyukai