Anda di halaman 1dari 2

Ceramah Kesihatan

Tajuk : Amalan yang Menjamin Gaya Hidup Sihat


Penceramah : Atikah bt Ismail
Jawatan : Pensyarah Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan

Assalamualaikum w.b.t. Yang dihormati tuan pengerusi majlis, Yang


berusaha Tuan Haji Osman bin Hussain, Pengarah Institut Pendidikan Guru
Kampus Pendidikan Islam Selangor, Tuan Haji Anwar bin Ahmad, Timbalan
Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam Selangor, Pn. Nur
Aishah bt Abdullah , Ketua Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, barisan
para pensyarah, seterusnya para pelajar yang saya kasihi sekalian.
Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dapat bertemu dengan para
hadirin sekalian dalam majlis pada pagi ini. Saya ingin mengucapkan jutaan
terima kasih kepada pihak institut ini kerana sudi menjemput saya untuk
menyampaikan ceramah yang bertajuk Amalan yang Menjamin Gaya Hidup
Sihat.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Seperti yang kita ketahui, badan manusia merupakan satu mekanisme
yang kompleks dan mengagumkan. Kesihatan badan khusus kesihatan fizikal
melibatkan fungsi fisiologi dan anatomi badan. Kesihatan badan turut
merangkumi kesihatan mental, emosi, rohani dan sosial. Justeru itu,
mengamalkan gaya hidup sihat membantu kita mencapai tahap kesihatan
optimum seterusnya menjamin kesejahteraan hidup. Oleh itu, sebelum
melangkah dengan lebih jauh, kita harus mengenal pasti erti sebenar apakah
yang dikatakan dengan gaya hidup yang sihat.
Hadirin yang saya hormati,
Dalam kerangka gaya hidup sihat, komponen utama yang harus
dititikberatkan ialah pemakanan yang seimbang. Secara amnya, makanan
berfungsi sebagai pembekal tenaga dan berperanan dalam perkembangan
mental dan fizikal seseorang. Diet yang seimbang mengandungi kesemua tujuh
kelas makanan dalam kadar yang betul sejajar dengan keperluan tubuh manusia.
Namun, implikasi pengambilan makanan yang berkolestrol dan berparas glukosa

tinggi secara berlebihan pula ialah penyakit-penyakit popular pada masa kini.
Contohnya, kencing manis dan tekanan darah tinggi. Ekoran daripada itu, kita
perlu peka dan mengamalkan sikap berwasatah dalam pemilihan barangan
makanan. Aspek-aspek mikro seperti pengambilan makanan secara teratur serta
mengelakkan makanan ringan tidak harus dipandang enteng.
Saudara dan saudari sekalian,
Sementara itu, kebersihan diri dan persekitaran juga perlu dititikberatkan.
Keluarga memainkan peranan penting dalam memupuk tabiat menjaga
kebersihan khusus dalam diri individu dan masyarakat umumnya. Melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Boleh diaplikasikan dalam hal ini. Persekitaran fizikal di
dalam dan di luar rumah seharusnya bersih dan menunjukkan taraf kesihatan
yang membanggakan. Pelbagai jenis penyakit dapat dielakkan jika amalan ini
telah dibudayakan. Semua hal ini membuktikan kepentingan menjaga kebersihan
diri dan alam sekitar demi menyejahterakan hidup.
Para hadirin yang mulia,
Seperkara lagi ialah kita perlu selalu menerima rawatan doktor. Melalui
rawatan seperti ini, segala penyakit kronik dapat dikesan lebih awal.
Sesungguhnya, mencegah adalah lebih baik daripada mengubat. Justeru, kita
harus membuat rawatan untuk mengenal pasti lebih awal akan penyakit yang
kita hidapi. Kemudian, barulah kita dapat mengawal penyakit tersebut.
Para hadirin yang dihormati,
Pokoknya, kesedaran diri setiap individu perlu disertai dengan pegangan
agama yang mapan merupakan akar umbi dalam mencapai kesihatan dan
kehidupan yang sempurna. Penyakit-penyakit berbahaya dapat dielakkan. Kadar
hayat yang lebih berkualiti dapat dinikmati. Oleh itu, usaha-usaha yang
dilancarkan oleh pihak kerajaan dalam meningkatkan taraf kesihatan negara
adalah sia-sia tanpa penglibatan tuntas oleh masyarakat. Tuntasnya, saya ingin
mengingatkan kepada hadirin sekalian agar mengamalkan gaya hidup yang sihat
demi kesejahteraan hidup yang lebih baik. Sebelum saya mengundur diri, saya
ingin mengambil kesempatan untuk menyusun sepuluh jari , memohon ampun
dan maaf sekiranya terdapat sebarang kesilapan yang tidak disengajakan.
Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai