Anda di halaman 1dari 1

Golongan Kurang Upaya

Golongan orang kurang upaya (OKU) di negara ini masih boleh dikatakan
umpama melukut di tepi gantang. Masyarakat tidak begitu mempedulikan kehadiran
mereka, sekali gus menerima nasib seperti pungguk rindukan bulan. Orang Kurang
Upaya termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal,
mental, intelektual, atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan,
boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat. Ada juga
yang menjadi cacat akibat mengalami kemalangan yang menjejaskan anggota badan.
Mereka tidak dapat menjalani kehidupan yang sempurna kerana kekurangan yang
dimiliki. Mereka perlu dibantu untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Sebagai masyarakat
yang cakna dan bertanggungjawab, kita haruslah membantu golongan ini menikmati
hidup yang sama seperti mereka yang normal.
Antara usaha untuk membantu OKU ialah menyediakan peluang untuk
mendapatkan kemahiran dalam bidang tertentu. Program kemahiran tersebut sangat
penting untuk melatih OKU menguasai bidang kraftangan, membaiki kenderaan dan
perniagaan. Dengan cara ini mereka akan mudah untuk bekerja dan dapat menjana
pendapatan keluarga walaupun cacat. Selain itu, pihak kerajaan perlu membuka
peluang untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi kepada OKU.
Sistem pendidikan khas perlu diperluaskan kepada OKU yang berada di luar bandar
supaya ibu bapa yang mempunyai anak-anak ini berpeluang menyekolahkan anak-anak
mereka.
Kita hendaklah percaya golongan OKU juga ada peranan dan mampu memberi
sumbangan bermakna andai diberi peluang dan ruang sewajarnya. Semua pihak perlu
berganding bahu, bak kata peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, bagi
membela nasib dan masa depan golongan OKU. Sekiranya kita tidak bersungguh-
sunggguh membantu golongan ini, sudah pasti mereka akan terus tersisih dalam era
pemodenan Negara menjelang tahun 2020 nanti.

Anda mungkin juga menyukai