Anda di halaman 1dari 20

1

Usaha berterusan membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU)


Golongan orang kurang upaya (OKU) di negara ini masih boleh
dikatakan umpama melukut di tepi gantang. Masyarakat tidak begitu
mempedulikan kehadiran mereka, sekali gus menerima nasib seperti pungguk
rindukan bulan. Orang Kurang Upaya termasuklah mereka yang mempunyai
kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual, atau deria yang apabila
berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan
berkesan mereka dalam masyarakat. Ada juga yang menjadi cacat akibat
mengalami kemalangan yang menjejaskan anggota badan. Mereka tidak dapat
menjalani kehidupan yang sempurna kerana kekurangan yang dimiliki. Mereka
perlu dibantu untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Sebagai masyarakat yang cakna
dan bertanggungjawab kita haruslah membantu golongan ini menikmati hidup
yang sama seperti mereka yang normal.
Antara usaha untuk membantu OKU ialah menyediakan peluang
untuk mendapatkan kemahiran dalam bidang tertentu. Program kemahiran tersebut
sangat penting untuk melatih OKU menguasai bidang kraftangan, membaiki
kenderaan dan perniagaan. Dengan cara ini mereka akan mudah untuk bekerja dan
dapat menjana pendapatan keluarga walaupun cacat. Oleh itu, sokongan daripada
pihak kerajaan amat diperlukan untuk membangunkan pusat-pusat latihan
kemahiran OKU ini seperti Program Semai Bakti Pusat (PDK) di bawah
pengawasan Felda di seluruh Negara berjaya melatih kira-kira 7,700 orang OKU
dalam pelbagai bidang. Jelaslah kemahiran yang dimiliki oleh OKU itu akan
membantu OKU berdikari dan menyumbangkan kepada kemajuan serta
pembangunan ekonomi negara kita.
Selain itu, pihak kerajaan perlu membuka peluang untuk
menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi kepada OKU. Sistem
pendidikan khas perlu diperluaskan kepada OKU yang berada di luar bandar
supaya ibu bapa yang mempunyai anak-anak ini berpeluang menyekolahkan anak-
anak mereka. Sehubungan itu, kemudahan pendidikan khas ini mestilah
ditingkatkan bagi melahirkan para pelajar yang standing dengan pelajar yang
normal. Malah pihak kerajaan juga mestilah menyediakan tempat atau kaota
pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada OKU yang
mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan
2

Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Oleh itu, peluang ini akan meninkatkan lagi
motivasi pelajar OKU untuk mengubah nasib hidup mereka kea rah yang lebih
baik pada masa akan datang dengan ilmu yang dimiliki itu.
Di samping itu, pihak swasta pula tidak boleh mengamalkan dasar
pilih kasih semasa mengambil pekerja untuk berkhidmat dalam syarikat mereka.
Mereka perlu bersikap adil kerana golongan OKU juga mampu menyumbangkan
kemahiran yang ada untuk memajukan syarikat tersebut. Di kilang umpamanya
sudah ada OKU yang bekerja sebagai operator pengeluaran, pembantu pejabat dan
kerani dimana sebelum ini kerja sebegini hanya dilakukan oleh pekerja yang
normal sahaja. Kita harus memuji Pasaraya Besar Carrefour telah mensasarkan 5
peratus daripada pekerjanya adalah OKU menjelang tahun 2010 nanti iaitu
berjumlah kira-kira 200 orang. Oleh itu, peluang pekerjaan haruslah dibuka kepada
OKU untuk membantu mereka mendapatkan kerja bagi menyara kehidupan
keluarga mereka.
Bantuan modal juga diperlukan oleh golongan OKU untuk
memulakan sesuatu perniagaan. Hal ini demikian kerana rata-rata golongan ini
adalah terdiri daripada orang susah atau miskin. Sehubungan itu, pihak kerajaan
mestilah mengambil tindakan segera melalui Kementeriannya agar minat OKU
dalam bidang ini dapat dikembangkan dari masa ke masa. Sebagai contoh dalam
Rancangan Malaysia ke-9 kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM 22 juta
melalui Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU dibawah kelolaan Kementerian
Sumber Manusia. Semua OKU yang berminat boleh membuat permohonan dan
perlu mendapat sokongan daripada persatuan masing-masing. Oleh itu, bantuan
kewangan atau modal ini sangat penting untuk membolehkan golongan ini
meningkatkan ekonomi mereka tanpa bergantung kepada pertolongan daripada
orang lain.
Intihannya, negara kita semakin maju ke hadapan, terutama ke arah
merealisasikan impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020
yang memerlukan sumbangan dan komitmen semua pihak termasuk golongan
OKU untuk memberikan sumbangan kepada negara dalam menjayakan impian
berkenaan. Kita hendaklah percaya golongan OKU juga ada peranan dan mampu
memberi sumbangan bermakna andai diberi peluang dan ruang sewajarnya. Semua
pihak perlu berganding bahu, bak kata peribahasa berat sama dipikul, ringan sama
3

dijinjing, bagi membela nasib dan masa depan golongan OKU. Sekiranya kita tidak
bersungguh-sunggguh membantu golongan ini sudah pasti mereka akan terus
tersisih dalam era pemodenan Negara menjelang tahun 2020 nanti.




















4

PENGGUNA BESTARI
Keperluan membentuk kesedaran dalam kalangan para pengguna
demi memantapkan ekonomi negara adalah satu agenda yang berkepentingan
tinggi dalam usaha kerajaan untuk melaksanakan suatu aliran Pengguna Perkasa.
Jika pada suatu masa dahulu, penjual, pembekal atau pun pengilang boleh
bertindak menaikkan harga sesuatu barangan di pasaran terutamanya apabila
menjelang sesuatu musim perayaan mengikut suka hati mereka, hari ini dengan
kesedaran dalam kalangan pengguna khususnya bahawa kekuatan sebenarnya
berada dalam tangan pengguna sendiri, keadaan-keadaan seperti ini telah semakin
berkurangan. Kegiatan yang tidak bertanggungjawab ini, jika tidak dibendung
dengan berkesan akhirnya akan membahayakan ekonomi negara dan akibatnya
masyarakat juga yang akan menanggung rugi.
Jika pengguna terasa ditipu dengan sesuatu produk, maka pengguna
boleh bertindak memboikot barangan berkenaan. Tindakan ini akhirnya akan
memberi kesan kewangan negatif kepada syarikat pembuat barangan berkenaan,
dan ini akan memberi kesedaran kepada mereka tentang kuasa pengguna.
Kesedaran dan keprihatinan ini perlu datang daripada para pengguna sendiri.
Contohnya apabila kita membeli tepung sekampit yang ditulis berat bersihnya 1
kilogram, adalah wajar bagi kita menimbang semula kampit tepung berkenaan dan
memastikan bahawa berat bersih produk berkenaan adalah benar-benar 1 kilogram.
Sebagai pengguna prihatin, kita juga perlu mengambil tahu dengan lebih teliti
tentang barangan yang kita beli. Apakah ramuannya? Adakah bahan pewarna yang
digunakan menepati syarat-syarat kesihatan pengguna seperti yang telah di
tetapkan oleh kerajaan? Adakah produk berkenaan mengandungi MSG? Adakah
produk itu benar-benar berstatus halal? Adakah harga jualannya menepati harga
yang telah ditetapkan oleh kerajaan? Ketika membeli belah, berapa ramaikah yang
akan membelek-belek dan membaca setiap satu pek atau tin barangan yang hendak
dibeli dan membuat perbandingan harga setiap produk yang dibeli? Isu-isu
sebeginilah yang perlu menjadi perhatian para pengguna hari ini.
Fenomena kenaikan harga barangan keperluan ini bukanlah suatu
masalah yang cuma berlaku di Malaysia sahaja, malahan telah menjadi suatu
permasalahan global hari ini. Pada Oktober 2007, rakyat Itali telah memboikot
keluarangan barang-barang pasta apabila harga makanan ini naik melebihi 20
5

peratus dalam masa seminggu. Hasil daripada tindakan ini pengeluar Pasta
terpaksa akur kepada sentimen kuasa pengguna Itali, dan menurunkan semula
kadar harga barangan berkenaan. Mekanisma penyebab pada kenaikan harga
barangan sememangnya berhubung rapat antara satu sama lain. Contohnya di
Mexico, apabila permintaan meningkat untuk minyak bio-diesel yang dipanggil
Ethanol yang dihasilkan daripada jagung, maka harga jagung di pasaran terus
melambung dan ini menyebabkan timbulnya masalah bekalan jagung kepada
penternak lembu tenusu yang juga memerlukan jagung sebagai makanan utama
untuk haiwan ternakan mereka. Ekoran ini harga susu, keju, dan mentega pula turut
naik di pasaran Mexico. Mengikut kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan
Pertanian dan Pemakanan Sedunia yang beribu pejabat di Brussels, harga pasaran
makanan sedunia pada hari ini naik sebanyak 70 peratus berbanding dengan harga
pada tahun 2000. Jadi sebagai pengguna yang bijak, mereka perlu bertindak
dengan menggunakan "kuasa pembeli" mereka.
Hakikatnya pada hari ini, dengan meningkatnya taraf hidup bagi
penduduk-penduduk di negara-negara membangun dunia yang besar seperti China
dan India, maka permintaan dunia untuk barangan seperti gandum, beras, minyak
masak dan bahan-bahan keperluan asas kehidupan yang lain akan terus juga
meningkat. Faktor lonjakan harga minyak dunia juga bererti bahawa kos dalam
proses pembuatan serta penghantaran akan terus meningkat dan ini akan
menyumbang pada peningkatan harga barangan di pasaran. Faktor cuaca juga
memainkan peranan yang penting bagi sektor penanaman sedunia. Permintaan
bahan mentah seperti jagung, gandum dan lain-lain lagi untuk diproseskan menjadi
bio-fuel atau ethanol adalah juga merupakan faktor penyumbang kepada kestabilan
harga barangan pasaran.
Manusia memerlukan tiga perkara asas untuk kehidupan iaitu
makanan, pakaian dan tempat tinggal. Akibat krisis bekalan makanan yang gagal
dikawal, akan membawa kepada kemelut kenaikan harga bekalan makanan di
pasaran dan ini akan akhirnya menyebabkan berlakunya inflasi pada ekonomi
sesebuah negara. Oleh itu, pemantauan dan usaha berterusan perlu diperhebatkan
lagi dalam usaha untuk menangani apa-apa jua krisis bersangkutan yang
berkemungkinan akan timbul pada masa depan. Kita sebagai pengguna yang bijak
adalah agen pemerhati harga barangan di pasaran yang paling efektif untuk
membantu pihak kerajaan memantau pergerakan harga-harga pasaran. Selain itu,
6

akta undang-undang perlindungan pengguna yang membawa kepada hukuman
yang lebih drastik mestilah terus digubal demi untuk perlindungan jangka panjang
kepada pengguna.
Kementerian yang telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan
untuk menjaga hal ehwal pengguna ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Hal Ehwal Pengguna. Pelbagai langkah proaktif telah diambil oleh
kementerian terbabit demi memastikan kebajikan pengguna benar-benar terjamin.
Antara langkah-langkah berikut adalah dengan menubuhkan Stok Penimbal
Kebangsaan serta Penubuhan Majlis Harga Negara. Kerajaan juga turut
mengenakan larangan membawa keluar barangan kawalan dari Malaysia serta
memberi pengetahuan dan kefahaman kepada pengguna tentang hak-hak mereka
melalui penggubalan rang undang-undang Akta Perlindungan Pengguna 1999
dan penubuhan Mahkamah Tribunal Pengguna. Pada masa yang sama, kerajaan
juga menggerakkan sektor pertanian negara secara aggresif sebagai langkah
membangunkan Sarawak sebagai Negeri Jelapang Padi Kedua Negara.
Tindakan-tindakan ini telah berjaya mengawal kestabilan harga
barangan di pasaran dan juga dengan bantuan padu beberapa agensi berwajib yang
lain, telah dapat mengurangkan kadar aktiviti penyeludupan bahan makanan ke
negara jiran. Hasil daripada pemantauan berterusan dan beberapa lagi langkah
susulan proaktif kerajaan, kebajikan dan kesejahteraan kita sebagai pengguna telah
dapat dimantapkan lagi. Dengan terlaksananya perubahan-perubahan kritikal ini,
telah dapat membantu untuk memangkinkan lagi ekonomi negara. Justeru marilah
kita sebagai pengguna bersama-sama memupuk kesedaran tentang hak-hak kita,
langsung menjalankan tanggungjawab sosial kita dan juga memartabatkan diri kita
sebagai Pengguna Bestari.





7

Langkah Menggalakkan Orang Ramai Menggunakan Pengangkutan Awam
Zaman beralih, musim bertukar, selepas tamat penjajahan asing
selama 446 tahun yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan
kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk menyesuaikan diri di mata dunia
dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan
paradigma. Kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk
memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan
awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem
Transit Tren Ringan (LRT), Kereta api, komuter dan monorel. Jikalau bukan kita
sebagai warganegara Malaysia yang menyokong pengangkutan awam, siapakah
lagi yang mesti menyokongnya? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan
drastik hendaklah diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan
pengangkutan awam.
Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak
pihak mengatakan bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan
rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah mengurangkan minat mereka
untuk bergerak dari tempat asal ke destinasi lain dengan penukaran rangkaian
perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket
bersepadu dengan harga yang mampu dibeli oleh orang ramai khususnya mereka
yang berpendapatan rendah supaya dapat menggalakkan orang ramai
menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah
Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan awam di
negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem
tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus
mengambil contoh pelaksanaannya di negara barat seperti di Melbourne, Australia.
Di Melborune penumpang hanya perlu membeli satu tiket pada kos yang rendah
untuk menaiki kereta api atau menaiki bas. Hal ini bertepatan dengan peribahasa
serampang dua mata. Pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang
golongan yang kurang berupaya tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk
mengatur pejalanan laluan harian mereka. Jadi jikalau sistem tiket bersepadu ini
dapat direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang
telah diramalkan oleh pengendali pengangkutan awam.
8

Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk
menaiki pengangkutan awam ialah meningkatkan kuantiti dan kualiti
pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam haruslah dipertingkatkan
jumlahnya bagi memenuhi kehendak rakyat serta mengatasi masalah kekurangan
pengangkutan awam di sesetengah kawasan yang menjadi rungutan orang ramai.
Selain itu, KTM (Kereta Api Tanah Melayu) haruslah mencontohi perkhidmatan
kereta api di negara Jepun yang telah menggunakan kuasa elektrik seprti
shinkansen (bullet train) sehingga mencapai kelajuan melebihi 200 kilometer
sejam. Dengan menggunakan lokomotif berkuasa elektrik, kekerapan KTM di
negara kita pasti dapat ditingkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah salah
satu unsur untuk menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang
memandu kereta atau menunggang motosikal. Dengan kekerapan perjalanan
pengangkutan awam yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk
menunggu ketibaan pengangkutan awam tersebut. Hal ini dapat mengurangkan
masa perjalanan orang ramai secara keseluruhannya. Dalam era globalisasi yang
mengutamakan kepantasan, kelemahan perkhidmatan dan kelewatan jadual
perjalanan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan
menyebabkan mereka kurang berkeyakinan terhadap pengakutan awam di negara
kita. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk mendapatkan semula
keyakinan rakyat terhadap sistem perkhidmatan pengangkutan awam.
Pada masa yang sama, langkah kerajaan menggalakkan pemasangan
televisyen di dalam bas ekspres mendapat banyak komen yang baik daripada orang
ramai. Hal ini kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan
mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton pelbagai siaran televisyen
ketika berada dalam perjalanan mereka dan menjadikan perjalanan lebih menarik.
Perkara ini haruslah diperluaskan dalam pengangkutan awam yang lain seperti
Komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak penumpang menaiki pengangkutan
awam. Selain menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran
televisyen juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan
masyarakat dengan menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan yang
mengimbas kembali detik-detik bersejarah di negara kita dan sebagainya.
Kemudahan seperti alat pendingin udara juga perlu dipertingkatkan bagi
menjadikan penumpang berasa lebih selesa apabila menaiki pengangkutan tersebut.
Kemudahan-kemudahan sampingan seperti ini pasti akan dapat meningkatkan
9

bilangan penumpang pengangkutan awam kerana orang ramai boleh mendapatkan
perkhidmatan yang berkualiti dengan banyaran yang minimum. Manisfestasinya,
langkah memasang televisyen memang dapat menarik perhatian para penumpang
untuk menaiki pengangkutan awam.
Bagi mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang kurang
berdisiplin, sistem perakam perlu dipasang di semua kenderaan awam di negara
kita. Pemasangan alat perakam ini dapat merakamkan bukan sahaja perkara yang
berlaku di sepanjang perjalanan malah dapat merakamkan kelajuan pengangkutan
awam tersebut. Hal ini akan dapat mengurangkan masalah kenderaan awam seperti
bas yang dipandu terlalu laju sehingga melebihi had yang dibenarkan. Pada masa
yang sama, pemasangan alat ini dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya
khususnya bas yang sering diperkatakan oleh orang ramai. Kerajaan juga perlu
lebih kerap mengadakan pemeriksaan bagi memastikan pemandu pengangkutan
benar-benar mereka yang berkelayakan atau bebas daripada sebarang
penyalahgunaan dadah. Tindakan kerajaan menyenaraihitamkan pemandu yang
kurang berdisiplin akan dapat mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam
yang tidak bersopan sekali gus melenyapkan pekerja yang tidak berkualiti.
Pemeriksaan oleh pihak berwajib seperti Jabatan Pengangkutan Jalan atau pihak
polis juga perlu menyeluruh bukan sahaja kepada kakitangan pengangkutan awam
tetapi perlu juga melihat pada keadaan dan keselamatan pengangkutan awam yang
digunakan bagi memastikan keselamatan pengguna pengangkutan tersebut
terjamin. Dengan cara itu, keyakinan orang ramai untuk menggunakan
pengangkutan awam di negara kita akan meningkat.
Pihak pengurusan atau pengendali pengangkutan awam juga
perlulah lebih peka untuk menyediakan kemudahan hiliran bagi mereka yang
menggunakan perkhidmatan ini. Di kawasan stesen komuter atau LRT
umpamanya, tempat meletakkan kenderaan perlu ditambah bagi mengelakkan
orang ramai meletak kenderaan mereka di tepi-tepi jalan atau di tempat lain yang
tidak sesuai. Hal ini sentiasa menjadi rungutan orang ramai kerana bukan sahaja
boleh mengakibatkan kesesakan malah pada masa yang sama turut menjadi punca
berlakunya kemalangan jalan raya. Begitu juga halnya dengan pengangkutan
tambahan atau bas fider yang dikatakan menjadi masalah kepada pengguna
komuter dan LRT. Kekurangan pengangkutan bas tambahan ini telah menyukarkan
pengguna pengangkutan tersebut jika kawasan stesen tersebut jauh dari pejabat.
10

Justeru adalah penting sekiranya bas-bas tambahan ditambah bilangannya bagi
memudahkan dan mempercepat perjalanan seseorang dari rumah ke destinasi yang
dituju. Jarak atau lokasi pengangkutan awam seperti komuter dan LRT juga perlu
ditambah dari semasa ke semasa agar lingkungan pengguna yang dapat menaiki
kemudahan awam tersebut turut meningkat. Biarpun langkah ini memerlukan biaya
yang agak tinggi namun kesannya pada sistem perhubungan di negara kita adalah
amat besar. Oleh itu langkah-langkah menyediakan kemudahan tambahan bagi
meningkatkan kualiti pengangkutan awam tersebut perlu dilaksanakan agar
pengangkutan awam di negara kita tidak dianggap indah khabar dari rupa.
Seperti kata peribahasa Melayu yang berbunyi melentur buluh
biarlah dari rebungnya, pendidikan sejak kecil juga merupakan salah satu langkah
untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam. Pihak sekolah
dicadangkan supaya memberi penerangan tentang kebaikan-kebaikan
menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan
awam supaya dapat menanam konsep yang mendalam kepada fikiran pelajar agar
menaiki perkhidmatan awam. Usaha ini bukan sahaja perlu ditumpukan kepada
para pelajar, tetapi harus juga diperluas kepada mereka yang dewasa untuk
mengubah imej dalam hati mereka apabila menaiki pengangkutan awam. Melalui
pendidikan, kita dapat melahirkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan
awam seperti kereta api dan bas sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat
meningkatkan bilangan penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Walaupun
mereka memiliki kendera sendiri, tetapi mereka tetap akan menggunakan
perkhidmatan awam sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan
menggunakan pengangkutan awam tertanam dalam jiwa mereka.
Kesimpulannya, pengangkutan awam banyak membawa
kemaslahatan kepada masyarakat di negara kita seperti dapat mengurangkan
kesesakan dan kemalangan, mengurangkan pencemaran udara, menjimatkankan
masa malah mengurangkan kos kehidupan kita sehari-hari. Oleh itu, sebagai
pengguna jalan raya yang bijak, kita perlulah menyahut seruan kerajaan agar
menggunakan pengangkutan awam sebagai kaedah untuk bergerak dari satu
destinasi ke satu destinasi yang lain. Kita juga berharap agar dengan langkah-
langkah yang telah dan sedang dilaksanakan ini maka pengangkutan awam di
negara kita akan menjadi lebih maju setanding dengan pengangkutan awam di
negara-negara lain seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Australia.
11

PERANAN IBU BAPA MEMBENTUK KELUARGA BAHAGIA
Pendahuluan:
Keluarga merupakan institusi yang amat penting dalam sesebuah masyarakat.
Keluarga juga merupakan wahana kebahagiaan dalam kehidupan seseorang
Daripada keluarga, terpancarnya sinar kasih sayang antara ahlinya.
Daripada keluarga, lahir rasa menghormati dan saling memerlukan yang tidak
terucap.
Daripada keluarga, lahirnya insan yang bertanggungjawab terhadap dirinya serta
kepada insan lain yang memerlukan.
Baiti Jannati atau Rumahku Syurgaku - rumah merupakan tempat terperciknya
sinar kebahagiaan dalam kehidupan seseorang.
Rumah tangga yang bahagia dan ceria akan melahirkan warga yang juga memiliki
ciri-ciri kejiwaan yang sihat seperti gembira, yakin akan kebolehan diri dan
sebagainya. Seseorang yang dibesarkan dalam keluarga yang bahagia akan sentiasa
dihargai dan diberi sokongan moral dalam apa-apa jua perkara yang dilakukannya.
Galakan dan perangsang daripada ibu bapa yang penyayang dan adik-beradik yang
memahami akan membentuk jati diri yang sempurna dalam kalangan ahli keluarga
itu.
Setiap ahli dalam sesebuah keluarga itu perlu bersedia memainkan peranan
masing-masing untuk saling bertolak ansur, saling memahami serta saling
menghormati antara mereka. Apabila sifat ini dapat diwujudkan oleh setiap ahli
dalam sesebuah keluarga, maka suasana yang harmoni akan dapat diwujudkan.
Isi
1. Sebagai suri teladan kepada anak-anak
- Peranan ibu bapa dalam usaha membentuk keluarga sakinah adalah amat penting.
Ibu bapa perlu menjadi role-model kepada anak-anak. Mereka harus sentiasa
menunjukkan teladan yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak.
12

-Sebagai contoh, seorang bapa perlu berinteraksi dengan sopan dan lemah-lembut
dengan isteri dan anak-anaknya. Ibu dan bapa juga perlu saling menghormati
antara satu sama lain. Apabila anak-anak melihat keharmonian kedua-dua orang
tua mereka, mereka juga akan meneladani sikap baik itu apabila berinteraksi
sesama mereka kerana bapa borek, anak rintik.
-Contoh yang negatif diperlihatkan oleh ibu bapa kepada anak-anak, seperti
pertengkaran, maki hamun serta penderaan suami terhadap isteri bukan sahaja akan
menjejaskan perkembangan jiwa anak-anak, tetapi juga akan menjejaskan
hubungan dalam kalangan anak-anak. Mereka juga akan sentiasa bertengkar dan
tidak menghormati satu sama lain. Jika hal ini terjadi, rumah akan menjadi neraka
kepada anak-anak. Apabila kebahagiaan di rumah tidak dapat dinikmati, maka
anak-anak akan berusaha mendapatkannya daripada kawan-kawan dengan
berpelesiran serta melepak di pusat-pusat beli belah. Adalah lebih malang lagi jika
apabila anak-anak itu berumah tangga kelak, mereka akan mengulangi sejarah
yang tidak berkesudahan yang telah diwarisi oleh mereka daripada kedua-dua
orang tua mereka.

2.Melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan
-Ibu bapa perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan keibubapaan bagi
memahami tanggungjawab besar yang terletak di atas bahu mereka dalam
memastikan kebahagiaan keluarga mereka.
-Hal ini boleh dilakukan oleh bakal-bakal ibu dan bapa dengan mengikuti kursus-
kursus praperkahwinan serta kursus selepas berkahwin yang dikendalikan oleh
pejabat agama daerah masing-masing. Dalam kursus-kursus tersebut, suami isteri
akan mendapat ilmu untuk melahirkan sebuah keluarga yang bahagia melalui
ceramah dan bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh penceramah-penceramah
yang berwibawa. Selepas mendapat ilmu tersebut, perkara yang lebih penting
adalah bagi mereka mempraktikkannya untuk melahirkan sebuah rumah tangga
yang penuh dengan sinar kebahagiaan.


13

3.Memberikan perhatian dan kasih sayang/meluangkan masa
-Pada era yang penuh dengan persaingan yang sengit ini, masyarakat bertambah
sibuk dengan usaha mencari nafkah bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing.
Hal ini disebabkan kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat.
- Statistik telah menunjukkan bahawa hampir 90 peratus ibu yang bekerja hanya
bercakap dengan anak-anak mereka selama empat minit sehari. Hal ini merupakan
perkara yang amat menyedihkan kerana anak-anak merupakan golongan yang
memerlukan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa
mereka. Hukuma-hakama Arab pernah mengatakan anak- anak yang kehilangan
kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim. Oleh itu, demi
membentuk keluarga yang bahagia, ibu bapa yang merupakan peneraju kehidupan
dalam sesebuah keluarga perlu meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama
dengan anak-anak mereka.
- Pada masa ini, kerajaan telah mengumumkan hari Sabtu sebagai cuti umum.
Manakala pihak swasta pula turut memberikan pelepasan kepada para pekerja
mereka pada Sabtu pertama setiap bulan. Seharusnya, ibu dan bapa merebut
kesempatan ini untuk bermesra dengan keluarga sambil merehatkan minda setelah
penat bekerja. Menghabiskan waktu cuti dengan berkelah atau berekreasi bersama
keluarga akan memberi peluang kepada ahli keluarga untuk berhibur di samping
meluangkan masa untuk mengeratkan hubungan di antara mereka. Sekiranya masa
yang berkualiti untuk bersama-sama dengan anak-anak, tidak mustahil
kebahagiaan dalam sesebuah keluarga akan dapat diwujudkan

4. Memberikan didikan agama dan moral
- Didikan agama dan moral yang sempurna dalam kalangan generasi muda juga
dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah keluarga yang bahagia. Hal ini
disebabkan, pegangan agama serta nilai moral yang kuat dapat membentuk nilai
sahsiah yang tinggi di kalangan generasi muda. Kualiti ini akan melahirkan ibu dan
bapa yang bertanggungjawab serta dapat memikul tugas membangunkan rumah
tangga dengan efektif. Golongan yang berpendidikan agama ini akan mampu
mewujudkan persefahaman dan perasaan tolak ansur sesama suami isteri.
14

Kesabaran kerana iman yang tebal juga akan mengelakkan keluarga daripada
bercerai-berai disebabkan alasan yang kadangkala tidak munasabah.
- Sebagai ibu dan bapa, kita perlu memberi didikan agama yang kukuh serta
menerapkan nilai-nilai akhlak dan moral dalam kalangan anak-anak. Anak-anak
yang sopan akan menghormati orang tua mereka serta saling bekerjasama sesama
adik beradik bak kata peribahasa, yang berat sama dipikul, yang ringan sama
dijinjing dan hati kuman sama dicecah, hati gajah sama dilapah. Maka, jika
semangat ini dapat diwujudkan dalam jiwa setiap ahli keluarga oleh ibu bapa,
sudah pasti sebuah keluarga yang mantap dan harmoni akan dapat dilahirkan.

5.Mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan anak-anak
- Ibu bapa harus mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan luar anak-anak
supaya mereka yang baru berumur setahun jagung, darah setampuk pinang tidak
terjebak dalam kancah negatif. Ibu bapa harus memastikan anak-anak tidak bergaul
dengan rakan sebaya yang buruk akhlak. Keluarga yang bahagia akan sentiasa
menjaga maruah ahli keluarganya. Anak-anak tidak akan terjebak dalam kancah
kehinaan jika mendapat pemantauan yang rapi daripada ibu bapa kerana perbuatan
mereka itu akan menconteng arang ke muka ahli keluarga dan sekali gus akan
meruntuhkan kebahagiaan yang dikecapi

6. Setiap ahli keluarga saling menghormati antara satu sama lain.
-Ahli keluarga sewajarnya mengelakkan daripada mencetuskan pertelingkahan
terutamanya antara ibu bapa dengan anak-anak kerana keluarga bahagia tidak
seharusnya ada sikap seperti ini dan hal ini boleh mencemarkan nama baik
keluarga secara tidak langsung.Ramai orang mengatakan bahawa keluarga yang
bahagia ialah keluarga yang harmoni,aman dan damai.Sebagai ahli keluarga yang
prihatin dan mengambil berat terhadap keluarga,mereka haruslah mewujudkan
situasi ini dalam keluarga agar keluarga kita dihormati oleh masyarakat luar dan
tidak dipandang serong serta dipandang hina.Ahli keluarga haruslah bahu-
membahu antara satu sama lain. Seandainya dalam keluarga itu ada seorang yang
lemah dalam subjek Matematik,haruslah dibantu oleh adik beradik yang lain
15

kerana sikap bantu membantu ialah sikap yang baik dan mulia. Orang yang
kedekut ilmu selalunya merupakan orang yang rugi kerana mereka tidak ingin
membantu memajukan generasi akan datang,malah mereka lebih rela melihat
generasi akan datang dipijak oleh penjajah.Kita haruslah mengamalkan sikap
"berat sama dipikul ringan sama dijinjing" dan "ke gunung sama didaki,ke lurah
sama dituruni".Tegasnya,setiap ahli keluarga bahagia di samping membangunkan
generasi akan datang agar sesebuah institusi keluarga itu menjadi keluarga


Penutup
- Keluarga yang harmoni dan bahagia hanya akan dapat diwujudkan jika setiap
individu yang menganggotainya telah melalui pelbagai proses pemupukan
kejiwaan yang berkesan sejak kecil. Kesediaan setiap anggota untuk bersedia
berkorban dan bertolak asur sesama mereka akan memudahkan proses pemupukan
keluarga harmoni dan bahagia ini. Sesungguhnya keluarga bahagia merupakan asas
pembentukan masyarakat yang penyayang dan masyarakat yang maju. Jika
pincang keluarga maka pincanglah masyarakatnya. Semoga impian negara untuk
mewujudkan masyarakat yang penyayang akan dapat direalisasikan demi kebaikan
barsama.








16

PERANAN MASYARAKAT UNTUK MEMBENTUK MASYARAKAT
PENYAYANG
PENDAHULUAN
(T) Cabaran ketujuh dalam Wawasan 2020 ialah mewujudkan masyarakat
penyayang dan budaya penyayang. Masyarakat penyayang boleh diertikan sebagai
kelompok masyarakat yang hidup dalam suasana saling menghormati, berbakti,
memberi khidmat, menolong, berbuat jasa, menabur budi, melakukan kebajikan,
menunjukkan rasa kasih dan belas kasihan, bertimbang rasa dan pemurah terhadap
mereka yang memerlukan pertolongan dan bantuan. Cara hidup ini juga dikenali
sebagai budaya ikram. Tun Dr Mahathir mentafsirkan masyarakat penyayang dan
budaya penyayang sebagai sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih
daripada diri sendiri. (I) Sayangnya, kehidupan dalam suasana pemuafakatan
antara ahli-ahli keluarga yang terjalin mesra, bertimbang rasa, faham-memahami,
hormat-menghormati sudah semakin terhakis dan telah diganti dengan sikap
individualistik bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan
tidak peduli yang menebal. Sama ada kita mahu menerima hakikat ini ataupun
tidak, fenomena inilah merupakan salah satu daripada punca berlakunya gejala
sosial dalam masyarakat seperti yang dihidangkan oleh media massa setiap hari.
Malah boleh dikatakan, hampir setiap hari akhbar-akhbar melaporkan berita
kejadian penyalahgunaan dadah, pembuangan bayi, pergaduhan yang berakhir
dengan kematian, penculikan kanak-kanak, remaja lari dari rumah, murid ponteng
sekolah, sumbang mahram dan bermacam-macam lagi masalah yang melibatkan
setiap lapisan individu dalam masyarakat. (A) Sebelum bisul menjadi nanah, setiap
anggota masyarakat tanpa mengira usia, bangsa, agama dan status harus
memainkan peranan masing-masing untuk menangani masalah ini supaya
masyarakat yang penyayang dapat dilahirkan.

(P1) Peranan masyarakat yang signifikan ialah setiap individu masyarakat haruslah
mempunyai didikan agama yang mantap dan utuh. (M) Membentuk sebuah
masyarakat adalah sama seperti membina sebuah bangunan. Sekiranya dalam
pembinaan bangunan, asasnya disiapkan terlebih dahulu, maka begitu jugalah
dengan pembentukan masyarakat yang mesti dimulakan dengan pembinaan
17

asasnya iaitu didikan agama. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap agama
mengajar umatnya supaya berkasih sayang sama ada kasih sayang kepada
Pencipta, kasih sayang sesama manusia dan kasih sayang kepada makhluk yang
lain di muka bumi ini. Tanpa didikan agama, sudah pasti kehidupan manusia akan
keberantakan lantaran nipisnya keimanan yang dimiliki senipis kulit bawang. (B)
Sekiranya kita mempunyai keimanan yang tebal sudah pasti kita tidak akan
melakukan kezaliman dan penganiayaan kepada insan lain seperti kes
penganiayaan bayi, kes pembunuhan, perogolan, penindasan dan sebagainya.
Bukan sahaja itu, kemusnahan alam sekitar juga dapat dielakkan. (K) Sejajar
dengan itu, masyarakat yang penyayang dapat mengurangkan kadar jenayah dan
setiap anggota masyarakat dapat hidup dalam keadaan yang harmoni. Lebih-lebih
lagi pembangunan yang lestari dan mapan dapat dipraktikkan disebabkan sifat
penyayang telah mulai membenih dalam jiwa masyarakat kita. (P) Maka jelaslah di
sini bahawa didikan agama yang mantap mampu melahirkan masyarakat yang
penyayang demi kebaikan bersama.

(P2) Jika kita kaji dari dimensi yang lain, peranan masyarakat yang lain adalah
dengan menjadi suri teladan kepada golongan yang masih hijau atau separa
matang. Dalam hal ini, ibu bapalah yang memainkan peranan utama. (M) Hal ini
disebabkan setiap individu yang dilahirkan dalam negara kita dilahirkan oleh
kesemua ibu bapa dan ibu bapa sepatutnya berusaha membentuk seorang anak
yang memiliki sifat-sifat penyayang. Jika setiap ibu bapa terlibat dalam usaha ini
dan penggabungan kesemua anak di Malaysia sudah mampu melahirkan sebuah
masyarakat yang penyayang. (B) Oleh itu, ibu bapa perlu menjadi contoh yang
terbaik kepada anak-anak bak kata pepatah, bapa borek, anak rintik. Pepatah ini
membuktikan bahawa ibu bapa sendiri perlu bersifat penyayang supaya jejak
langkah meraka akan diikuti oleh anak mereka. Dalam pada itu, ibu bapa sendiri
perlu mencurahkan kasih sayang kepada anak mereka supaya anak-anak yang
membesar tidak akan rasa kekurangan kasih sayang. (K) Keadaan ini secara tidak
langsung akan menjadikan seseorang anak yang membesar itu untuk mempunyai
sifat kasih sayang kerana mereka mengetahui perasaan kebahagiaan kasih sayang.
Akhirnya, masyarakat yang penyayang yang lahir daripada insititusi keluarga yang
penyayang dapat dilahirkan. (P) Tegasnya, sebagai sebahagian daripada anggota
18

masyarakat ibu bapa perlu memainkan peranan mereka untuk melahirkan
masyarakat yang penyayang.

(P3) Selain itu, sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab pihak sekolah
juga haruslah memikul obligasi untuk melahirkan masyarakt yang penyayang. (M)
Hal ini dikatakan demikian kerana pihak sekolah juga merupakan salah satu ejen
yang penting dalam membentuk masyarakat yang penyayang. Lagipun, golongan
kanak-kanak dan remaja banyak menghabiskan masa mereka di sekolah selain
rumah dan sekolah dianggap sebagai rumah kedua mereka. (B) Pendedahan nilai-
nilai murni harus didedahkan dan seterusnya disemai ke dalam jiwa setiap pelajar.
Oleh itu, pihak sekolah tidak seharusnya hanya mendedahkan nilai-nilai murni
kepada para pelajar dalam subjek Pendidikan Moral dan Agama Islam sahaja tetapi
nilai-nilai ini perlu diterapkan pada setiap masa walaupun di luar waktu dua subjek
tersebut. Guru-guru pula mesti menyemai sifat penyayang kepada para pelajar
sejak mereka kecil lagi seperti kata peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah
dari rebungnya. Seterusnya pendekatan-pendekatan yang bersifat penyayang
semasa proses pembelajaran dan pengajaran seharusnya dikreatifkan. (K) Dengan
ini, para pelajar dapat membesar dengan persekitaran yang penyayang dan
harmoni sekali gus impian untuk melahirkan masyarakat penyayang dapat
direalisasikan. Bukan itu sahaja, impian negara untuk melahirkan modal insan
bermentaliti kelas pertama dapat dilahirkan. (P) Jadi, peranan masyarakat pendidik
untuk melahirkan masyarakat penyayang tidak dapat dipertikaikan lagi.

(P4) Peranan masyarakat yang seterusnya ialah aktiviti-aktiviti kemasyarakatan
diperbanyakkan. (M) Melalui aktiviti kemasyarakatan yang diadakan, setiap
anggota masyarakat akan bersatu kudrat dan sebulat suara untuk menjayakan
aktiviti yang dijalankan persis kata orang tua-tua, bulat air kerana pembetung,
bulat manusia kerana muafakat. Bukan itu sahaja, sifat penyayang akan terserlah
melalui amalan tolong-menolong dan bertoleransi dalam aktivti-aktiviti tersebut.
(B) Sebagai tamsilannya, amalan rumah terbuka akan menggalakkan aktiviti
ziarah-menziarahi jiran tetangga, saudara-mara dan rumah-rumah kebajikan pada
hari-hari perayaan. Manakala penyertaan masyarakat setempat dalam aktiviti
19

gotong-royong dan kerja sukarela juga perlulah diperbanyakkan. (K) Aktiviti-
aktiviti sosial ini sudah pasti dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara satu
sama lain di samping memupuk sikap pemurah, ikhlas, sentiasa sanggup
membantu dan menghulurkan tenaga untuk golongan yang tidak berkemampuan
ibarat yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Akhirnya, masyarakat
yang berjiwa penyayang dapat dilahirkan untuk membentuk sebuah negara yang
harmoni dan bertaraf kelas pertama. (P) Deduksinya, penganjuran aktiviti-aktiviti
masyarakat setempat yang banyak merupakan antara elemen yang penting bagi
melahirkan masyarakat penyayang.

(P5) Meninjau dari skop yang berbeza, masyarakat yang penyayang juga dapat
dilahirkan melalui kempen kesedaran yang efektif. Usaha ini dapat dilaksanakan
oleh golongan masyarakat media sama ada media elektronik atau media cetak. (M)
Seperti yang diketahui umum bahawa media merupakan wahana yang berkesan
untuk menyedarkan masyarakat umum tentang kepentingan amalan penyayang
dalam menjalani kehidupan harian kita. Pihak media lebih menitikberatkan aspek
sosial iaitu hubungan sesama manusia untuk didedahkan tatapan umum. (B) Oleh
itu, pihak media yang merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat yang
prihatin haruslah menggiatkan pelaksanaan kempen Keluarga Bahagia,
Penerapan Nilai-nilai Murni dan Cintai Sungai Kita untuk menerapkan budaya
penyayang dalam kalangan masyarakat kita. Kempen-kempen ini haruslah
diadakan secara berterusan dan bukannya bermusim atau hangat-hangat tahi ayam.
(K) Sehubungan dengan itu, masyarakat sedar akan kepentingan amalan
penyayang dalam konteks kehidupan bermasyarakat. Sikap menganiayai, menindas
dan memusnahkan kepentingan orang lain dapat dihindarkan sekali gus dapat
menyemai sikap prihatin dalam kalbu masyarakat kita hari ini. (P) Izharlah bahawa
peranan masyarakat media melalui kempen-kempen yang diadakan dapat
membentuk masyarakat yang penyayang.

PENUTUP
(K) Bulan semakin terang bahawa peranan setiap anggota masyarakat amat penting
untuk melahirkan masyarakat yang penyayang. Kasih sayang merupakan suatu
20

fitrah yang amat bernilai dalam diri manusia. Kasih sayang sangat penting untuk
menjamin kesejahteraan masyarakat. Pernyataan ini disokong oleh sabda
Rasulullah S.A.W dalam memupuk amalan kasih sayang yang bermaksud, Tidak
beriman seseorang itu selagi dia tidak kasihkan saudaranya sebagaimana dia
kasihkan dirinya sendiri. (C) Oleh itu, setiap individu dalam kalangan masyarakat
harusnya mengambil inisiatif untuk melakukan anjakan paradigma bagi
merealisasikan pembentukan masyarakat penyayang dalam kalangan rakyat
Malaysia. Kita tidak seharusnya mengharapkan pihak berkuasa sahaja untuk
menjayakan matlamat ini kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Ibu
bapa seyogianya memainkan peranan penting untuk melahirkan generasi muda
yang bermoral, berakhlak baik dan bersifat suka menbantu orang lain. Sebagai
rakyat Malaysia, kita harus bekerjasama dan saling membantu serta saling
menyayangi ibarat yang tua dihormati, yang muda disayangi. Kita juga harus
mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan. (H)
Dengan cara ini, masyarakat kita akan dipandang tinggi sebagai sebuah bangsa
yang bukan sahaja maju dari aspek kebendaannya justeru kaya dengan budaya
penyayang. Secara tidak langsung juga imej negara akan harum di persada dunia
dan masyarakat Malaysia akan dianggap sebagai masyarakat kelas pertama kerana
ketinggian akhlaknya. Tokoh pujangga yang bernama Ahmad Shauqi Bey berkata,
Sesungguhnya bangsa akan kekal utuh selagi akhlaknya masih utuh. Jika
akhlaknya sudah lumpuh, mereka pun akan lenyap. Diharapkan pembentukan
masyarakat penyayang dapat merealisasikan visi kudsi negara iaitu Wawasan 2020
dengan mudahnya.

Anda mungkin juga menyukai