Anda di halaman 1dari 4

Soalan : Peranan Pelbagai pihak dalam menjadikan sektor pertanian

sebagai sumber bekalan makanan negara

Sektor pertanian dan sektor asas tani amat penting dalam pembangunan
sesebuah negara. Melalui sistem pertanian yang terancang, bekalan makanan dapat
disalurkan kepada setiap penduduk di negara ini. Dalam pada itu, pertambahan
penduduk dan pembangunan negara yang semakin pesat menyebabkan bahan
makanan semakin berkurang. Oleh hal yang demikian, kerajaan terpaksa
mengimport bahan makanan daripada negara jiran dan negara luar. Menyedari
hakikat bahawa Malaysia berpotensi untuk menghasilkan pelbagai sumber makanan
yang tersendiri lantaran kemakmuran dan kesuburan bumi beriklim Tropika ini, maka
pelbagai pihak harus memainkan peranan bagi menjamin bekalan makanan
berterusan dan pembangunan negara berada pada tahap yang mapan. Persoalan
yang sering menjadi percaturan minda apakah peranan pelbagai pihak dalam
menjadikan sektor pertanian sebagai sumber bekalan makanan negara?

Peranan perdana untuk menjadikan sektor pertanian ini sebagai sumber


makanan negara ialah, pihak kerajaan perlu membuka kawasan pertanian baru. Hal
ini demikian kerana pembukaan tanah pertanian baru akan dapat meningkatkan
jumlah pengeluaran hasil pertanian. Sebagai contoh, pihak kerajaan boleh memberi
tanah rizab kerajaan kepada pihak-pihak tertentu seperti Lembaga Kemajuan Tanah
Persekutuan (FELDA) untuk membuka dan meneroka kawasan baru bagi tujuan
aktiviti pertanian. Era ini, FELDA telah berjaya membuka beberapa kawasan
pertanian secara komersial contohnya, di FELDA Kemahang Kelantan, FELDA Taib
Andak Johor, dan sebagainya. Kerajaan juga boleh menggalakkan pengusaha
membuka lebih banyak kawasan penternakan haiwan seperti ayam, kambing,
lembu, dan sebagainya. Bidang penternakan ini juga akan membuahkan hasil yang
lumayan. Walau bagaimanapun petani jangan mudah gelap mata dengan
peningkatan pendapatan tersebut kerana usaha berterusan amat perlu dan jangan
hanya bersikap ‘hangat-hangat tahi ayam’ . Oleh itu, ‘sudah terang lagi bersuluh’
bahawa pembukaan kawasan pertanian yang baru akan dapat meningkatkan kuantiti
hasil pertanian dan seterusnya mampu menjamin bekalan makanan negara.
Selain itu, peranan seterusnya yang boleh dilakukan untuk meningkatkan
hasil pertanian negara adalah melalui pihak bank memberi kemudahan kredit
kepada para petani atau pengusaha. Hal ini demikian kerana faktor utama sektor ini
kurang berkembang berbanding negara-negara pertanian lain seperti Thailand dan
Filipina, disebabkan hampir semua petani dan pengusaha di negara ini dihambat
kemiskinan dan kekurangan modal. Implikasinya, mereka tidak mampu membeli dan
memiliki jentera-jentera canggih , benih-benih yang bermutu, dan memperluas tanah
pertanian. Bertitik tolak daripada itu, kerajaan telah memberikan peruntukan dan
amanah yang besar kepada Agro Bank dan Lembaga Pemasaran Pertanian
Malaysia (FAMA) agar dapat membantu lebih ramai pengusaha dan petani
memperluas aktiviti memproses hasil pertanian dan meningkatkan kegiatan
pertanian mereka.Slogan Kementerian Pertanian Malaysia “ Pertanian adalah
Perniagaan”amat wajar dihayati dan diamalkan oleh para petani. Sebagai contoh,
pemberian pinjaman oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab akan memberi
peluang kepada petani membeli tanah untuk pertanian dan juga membeli pelbagai
kemudahan asas pertanian sekali gus pertanian secara komersial dapat dijalankan
lantaran pelbagai kemudahan kredit yang diberi. Oleh itu, bahan makanan dapat
dikeluarkan oleh para petani dalam kuantiti yang banyak sekali gus mampu
menampung permintaan yang banyak saban hari.

Di samping itu, agensi-agensi kerajaan juga turut memainkan peranan


penting dalam meningkatkan hasil pertanian negara. Hal ini demikian kerana,
masyarakat kita hari ini masih dangkal tentang pertanian moden. Agensi-agensi
kerajaan seperti Lembaga Beras dan Padi Negara (LPN), Pihak Berkuasa Pekebun
Kecil (RISDA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) merupakan penggerak kepada
petani. Mereka menggalakkan masyarakat terlibat dalam bidang pertanian dengan
cara menyediakan khidmat kursus dan latihan, memberi pinjaman modal, dan
mempromosikan hasil pertanian. Sebagai contoh, pada Julai 2008, pihak RISDA
telah mengadakan satu kursus kepada para belia bagi menggalakkan mereka
terlibat secara giat dalam sektor ini. Minat para belia mesti dipupuk kerana ‘tak
kenal maka tak cinta’. Hal ini demikian kerana, sumbangan belia dalam sektor ini
akan mencorakkan sektor pertanian negara. Oleh itu, ‘belum berkilat sudah
berkilau, bulan sangkap tiga puluh’ agensi-agensi kerajaan memainkan peranan
penting bagi meningkatkan hasil pertanian negara.

Seterusnya, wahana penting negara mudah disebarkan melalui media massa.


Dalam hal ini media massa memainkan peranan penting dalam usaha
menyampaikan maklumat mutakhir tentang sebarang visi dan misi kerajaan. Begitu
juga peranan media massa dalam usaha meningkatkan hasil pertanian negara .
Impak positifnya amat jelas kerana media massa merupakan medium penyebaran
maklumat yang berkesan. Media cetak atau media elektronik mestilah memainkan
peranan masing-masing dengan memberi pendedahan ilmu pertanian kepada petani
dan masyarakat setempat. Media massa contohnya Radio dan Televisyen Malaysia
( RTM ) perlu mengatur dan merancang program-program yang memaparkan
kepentingan sektor pertanian terhadap pembangunan negara. Pelbagai program
khas yang memaparkan kaedah-kaedah pertanian yang efektif hendaklah
diketengahkan bagi membantu para petani dan usahawan untuk meningkatkan
kualiti dan kuantiti hasil pertanian mereka. Selain itu, segmen-segmen usahawan
berjaya juga perlu diterap dalam program tersebut.Matlamat utama program
tersebut, diharapkan para penonton akan lebih berminat menceburkan diri dalam
sektor ini kerana ‘mata pena lebih tajam daripada mata pedang’. Sebagai contoh,
program-program yang sering dipaparkan adalah seperti Agrojurnal, Agrotek,
Usahawan Muda dan sebagainya. Intihanya, peranan media massa tidak kurang
pentingnya dalam usaha meningkatkan hasil pertanian negara.

Akhir sekali, Institusi Pengajian Tinggi seperti Universiti Pertanian Malaysia


sewajarnya menjalankan penyelidikan secara santifik bagi meningkatkan hasil
pertanian Negara. Penyelidikan yang tepat akan berjaya menghasilkan kualiti benih
yang bermutu dan tahan penyakit. Benih yang berkualiti akan menghasilkan
tanaman yang berkualiti dan seterusnya dapat dipasarkan untuk pasaran dalam dan
luar negara. Penyelidikan boleh dijalankan melalui kacukan biji benih dari pokok
induk yang baik bakanya seterusnya membuat pengklonisasi untuk memastikan
kuantiti tanaman mencukupi dalam satu masa dan memelihara kualiti hasil tanaman.
Dalam usaha merealisasikannya, pihak bertanggungjawab seperti Malaysian
Agricultural Research and Development Institute (MARDI) perlu turun padang dan
jangan hanya 'sekadar ringan mulut, berat punggung’ sahaja. Pihak-pihak yang
terlibat ini perlu sentiasa membuat penyelidikan bagi meningkatkan hasil pertanian
dan mengawal kualiti sama ada tanaman atau ternakan.Tegasnya, penyelidikan
adalah amat penting bagi memastikan pengeluaran biji benih yang sihat dan
menjurus kepada penghasilan tanaman yang baik.

Konklusinya, sektor pertanian akan lebih berkembang pesat jika semua pihak
berusaha untuk memajukan sektor ini. Penganjuran MAHA pada setiap tahun
contohnya, merupakan komitmen kerajaan dan agensi swasta untuk melonjak
pendapatan negara melalui sektor pertanian dan asas tani selain berobjektifkan
menarik minat rakyat negara ini menceburkan diri dalam bidang ini.Oleh itu, usaha
yang bersungguh-sungguh untuk maju dalam bidang ini amat perlu dalam kalangan
rakyat negara ini kerana ‘kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat
sagunya’. Sesungguhnya gandingan mantap semua pihak ‘seperti aur dengan
tebing’ akan dapat merealisasikan impian negara untuk meningkatkan hasil
pertanian negara dan sekali gus menjamin sumber bekalan makanan negara
mencukupi.

Anda mungkin juga menyukai