Anda di halaman 1dari 2

Karangan jenis rencana - Masalah vandalisme

Gejala merosakkan kemudahan awam semakin berleluasa berlaku


dewasa ini. Bincangkan saranan anda untuk mengatasi masalah tersebut
untuk diterbitkan dalam ruangan Pendapat Pembaca.
Cadangan-cadangan untuk mengatasi masalah kemudahan awam
Yang dirosakkan dengan sengaja di negara ini.
Oleh: Subrato Rengato

                Dewasa ini negara kita sedang mengorak langkah menuju ke arah Wawasan
2020 dan taraf kehidupan seluruh rakyat tempatan telah meningkat secara
mendadak sejak akhir-akhir ini. Hampir seluruh rakyat di negara ini berpeluang
menerima pendidikan secara formal, malah     ramai yang telah berjaya memasuki
institusi pengajian tinggi yang berkembang bagaikan cendawan tumbuh
selepas hujan. Perkara yang menghairankan kita semua ialah masalah  vandalisme
di negara ini turut meningkat dan seolah-olah telah sampai ke satu tahap yang
kronik sedangkan kebanyakan rakyat di negara ini berpendidikan tinggi.

            Masalah vandalisme iaitu perbuatan merosakkan kemudahan awam dengan


sesuka hati merupakan duri dalam daging yang kini terbukti telah menular
bagaikan barah dalam tubuh manusia. Kemudahan awam sering dijadikan
sasaran rakyat tempatan melepaskan geram atau meringankan tekanan hidup. Para
remaja pula ingin mencari keseronokan dengan merosakkan telefon awam,
mengguris dan merosakkan lif serta menconteng dinding tandas awam. Perbuatan
tidak bertanggungjawab ini sangat dikesali kerana menyusahkan orang ramai dan
meningkatkan perbelanjaan untuk membaikinya. Oleh yang demikian, langkah-
langkah yang konkrit dan proaktif perlu dilaksanakan dengan segera bagi
membendung masalah      tersebut.

            Antara langkah untuk mengatasi masalah tersebut ialah mengubah strategi
atau sistem pendidikan yang sedia ada di negara ini. Sistem pendidikan sekarang
terlalu berorientasikan peperiksaan dan kegiatan kokurikulum selalu
diabaikan. Natijahnya pelajar-pelajar sekarang hanya berminat untuk menghafal
nota dan langsung tidak mahu melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum.
Sebenarnya peyertaan dalam kegiatan kokurikulum seperti pengakap, Kelab Cinta
Alam dan sebagainya boleh menyemai dan seterusnya menyuburkan nilai-
nilai murni seperti bertanggungjawab, cinta kepada alam sekeliling dan sebagainya
yang merupakan  elemen terpenting dalam usaha mengatasi vandalisme. Selain
itu, Kementerian Pendidikan patut menekankan subjek Pendidikan Moral dan
Agama menerusi pendidikan formal. Guru-guru wajar memberikan pendidikan
dengan kreatif dan inovatif agar pelajar-pelajar dapat menghayati serta
mempraktikkan nilai-nilai yang telah dipelajari dan seterusnya dapat  membasmi
gejala vandalisme.

            Selain itu, media massa perlu memainkan peranan penting dalam usaha
membendung masalah vendalisme. Media massa wajar memaparkan keadaan
kemudahan awam yang          dirosakkan dengan serius dan artikel-artikel yang
mengkritik perbuatan tersebut akan dapat menyedarkan anggota masyarakat. Setiap
anggota masyarakat juga patut menyedari peranan mereka dalam usaha
membendung masalah vandalisme. Anggota masyarakat juga wajar melaporkan
kepada pihak polis sekiranya terdapat individu yang merosakkan kemudahan awam.
Jelaslah media massa memainkan peranan penting bagi mengatasi masalah
tersebut      sebagaimana kata pepatah, “lidi segenggam kuat kudratnya dan
tidak mudah patah   walaupun oleh si gagah”.

            Kalau asalnya benih yang baik, tercampak ke laut akan menjadi


mutiara,  terhumban ke darat menjadi permata, terawang di angkasa
akan menjadi Kejora. Begitulah    peribahasa Melayu yang menyatakan dengan
jelas akan kepentingan pendidikan awal terhadap kanak-kanak. Ibu bapa perlu
mendidik anak-anak mereka dengan nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab,
bertimbang rasa dan sebagainya sejak mereka kecil kerana kita semua  percaya
kepada konsep “kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
Kanak-kanak diibaratkan sehelai kain putih yang perlu dicorakkan
peribadinya  oleh ibu bapa. Jika diwarnakan dengan warna pelangi,
maka berserilah kain tersebut, tetapi       sekiranya ditumpahkan dengan
warna hitam, maka gelaplah masa depannya. Ibu bapa perlu menunjukkan
“role model” kepada anak kesayangannya supaya mereka boleh menjadi manusia
yang berguna seperti kata peribahasa “ke mana tumpahnya kuah kalau tidak  
ke nasi  ”.

            Selain itu, pihak kerajaan patut menggubal undang-undang yang ketat bagi
mengawal tindak-tanduk anggota masyarakat. Undang-undang wajar dilaksanakan
oleh pihak berkenaan dan tidak terjadi seperti kata pepatah “bagai melepaskan
batuk di tangga”. Kerajaan patut mengenakan denda yang tinggi kepada mereka
yang bersikap seperti “enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-
masing”. Mereka yang melakukan perbuatan vandalisme patut   diheret ke
mahkamah dan hukuman sebat wajar dilaksanakan.

            Akibat nila setitik rosak susu sebelanga. Oleh itu kita patut
menggembleng tenaga    untuk mengatasi masalah vandalisme agar imej negara
kita sebagai antara negara yang    termaju di rantau Asia Pasifik tidak
tercalar begitu sahaja. Kita perlu berhati-hati dan berwaspada seperti kata
peribahasa “lengguknya biar bengkok tetapi mengena, tarinya biar senada
tetapi berbisa, langkahnya lembut tetapi kejap” semasa melaksanakan
langkah-langkah untuk membendung masalah tersebut supaya imej baik negara
terus terlindung dan keamanan hidup masyarakat terjamin.

Anda mungkin juga menyukai