Anda di halaman 1dari 2

Karangan Jenis Rencana

MASALAH VANDALISME

Gejala merosakkan kemudahan awam semakin berleluasa berlaku dewasa ini. Bincangkan saranan anda
untuk mengatasi masalah tersebut untuk diterbitkan dalam ruangan Pendapat Pembaca.

Cadangan-cadangan untuk Mengatasi Masalah Vandalisme


Oleh: Syuhaida Mohamed Ismail

Dewasa ini negara kita sedang mengorak langkah menuju ke arah Wawasan 2020 dan taraf
kehidupan seluruh rakyat tempatan telah meningkat secara mendadak sejak akhir-akhir ini. Hampir seluruh
rakyat di negara ini berpeluang menerima pendidikan secara formal, malah ramai yang telah berjaya
memasuki institusi pengajian tinggi yang berkembang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Perkara
yang menghairankan kita semua ialah masalah vandalisme di negara ini turut meningkat dan seolah-olah
telah sampai ke satu tahap yang kronik sedangkan kebanyakan rakyat di negara ini berpendidikan tinggi.

Masalah vandalisme iaitu perbuatan merosakkan kemudahan awam dengan sesuka hati merupakan
duri dalam daging yang kini terbukti telah menular bagaikan barah dalam tubuh manusia. Kemudahan
awam sering dijadikan sasaran rakyat tempatan melepaskan geram atau meringankan tekanan hidup. Para
remaja pula ingin mencari keseronokan dengan merosakkan telefon awam, mengguris dan merosakkan lif
serta menconteng dinding tandas awam. Perbuatan tidak bertanggungjawab ini sangat dikesali kerana
menyusahkan orang ramai dan meningkatkan perbelanjaan untuk membaikinya. Oleh yang demikian,
langkah-langkah yang konkrit dan proaktif perlu dilaksanakan dengan segera bagi membendung masalah
tersebut.

Antara langkah untuk mengatasi masalah tersebut ialah mengubah strategi atau sistem pendidikan
yang sedia ada di negara ini. Sistem pendidikan sekarang terlalu berorientasikan peperiksaan dan kegiatan
kokurikulum selalu diabaikan. Natijahnya pelajar-pelajar sekarang hanya berminat untuk menghafal nota
dan langsung tidak mahu melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum. Sebenarnya peyertaan dalam
kegiatan kokurikulum seperti pengakap, Kelab Cinta Alam dan sebagainya boleh menyemai dan seterusnya
menyuburkan nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, cinta kepada alam sekeliling dan sebagainya
yang merupakan elemen terpenting dalam usaha mengatasi vandalisme. Selain itu, Kementerian
Pendidikan patut menekankan subjek Pendidikan Moral dan Agama menerusi pendidikan formal. Guru-
guru wajar memberikan pendidikan dengan kreatif dan inovatif agar pelajar-pelajar dapat menghayati
serta mempraktikkan nilai-nilai yang telah dipelajari dan seterusnya dapat membasmi gejala
vandalisme.**(SUVI)

Selain itu, media massa perlu memainkan peranan penting dalam usaha membendung masalah
vendalisme. Media massa wajar memaparkan keadaan kemudahan awam yang dirosakkan dengan
serius dan artikel-artikel yang mengkritik perbuatan tersebut akan dapat menyedarkan anggota
masyarakat. Setiap anggota masyarakat juga patut menyedari peranan mereka dalam usaha membendung
masalah vandalisme. Anggota masyarakat juga wajar melaporkan kepada pihak polis sekiranya terdapat
individu yang merosakkan kemudahan awam. Jelaslah media massa memainkan peranan penting bagi
mengatasi masalah tersebut sebagaimana kata pepatah, “lidi segenggam kuat kudratnya dan tidak
mudah patah walaupun oleh si gagah”.(SYED AZFAR)

Kalau asalnya benih yang baik, tercampak ke laut akan menjadi mutiara, terhumban ke darat
menjadi permata, terawang di angkasa akan menjadi Kejora. Begitulah peribahasa Melayu yang
menyatakan dengan jelas akan kepentingan pendidikan awal terhadap kanak-kanak. Ibu bapa perlu
mendidik anak-anak mereka dengan nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, bertimbang rasa dan
sebagainya sejak mereka kecil kerana kita semua percaya kepada konsep “kalau hendak melentur buluh
biarlah dari rebungnya”. Kanak-kanak diibaratkan sehelai kain putih yang perlu dicorakkan peribadinya
oleh ibu bapa. Jika diwarnakan dengan warna pelangi, maka berserilah kain tersebut, tetapi sekiranya
ditumpahkan dengan warna hitam, maka gelaplah masa depannya. Ibu bapa perlu menunjukkan “role
model” kepada anak kesayangannya supaya mereka boleh menjadi manusia yang berguna seperti kata
peribahasa “ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi ”.**(VIDYA)

Selain itu, pihak kerajaan patut menggubal undang-undang yang ketat bagi mengawal tindak-
tanduk anggota masyarakat. Undang-undang wajar dilaksanakan oleh pihak berkenaan dan tidak terjadi
seperti kata pepatah “bagai melepaskan batuk di tangga”. Kerajaan patut mengenakan denda yang tinggi
kepada mereka yang bersikap seperti “enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Mereka
yang melakukan perbuatan vandalisme patut diheret ke mahkamah dan hukuman sebat wajar
dilaksanakan.**(ZAININA)

Akibat nila setitik rosak susu sebelanga. Oleh itu kita patut menggembleng tenaga untuk
mengatasi masalah vandalisme agar imej negara kita sebagai antara negara yang termaju di rantau Asia
Pasifik tidak tercalar begitu sahaja. Kita perlu berhati-hati dan berwaspada seperti kata peribahasa
“lengguknya biar bengkok tetapi mengena, tarinya biar senada tetapi berbisa, langkahnya lembut tetapi
kejap” semasa melaksanakan langkah-langkah untuk membendung masalah tersebut supaya imej baik
negara terus terlindung dan keamanan hidup masyarakat terjamin.

Anda mungkin juga menyukai