Anda di halaman 1dari 3

Contoh Karangan 4

Tema : Gejala Sosial


Tajuk : Anda telah diudang untuk menyampaikan ceramah sempena
Kempen Antivandalisme. Ceramah anda bertajuk “ Punca-punca
Vandalisme ”. Tulis teks ceramah tersebut selengkapnya.

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Yang Berusaha Tuan
Pengetua Lee Chi Beng, guru-guru dan pelajar-pelajar yang dikasihi. Terlebih dahulu, saya
ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berusaha Tuan Pengetua yang sudi
mengundang saya datang ke sini untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “ Punca-punca
Vandalisme ” sempena Kempen Antivandalisme.

Hadirin sekalian,

Vandalisme merujuk kepada satu kegiatan manusia yang membinasakan harta benda
awam dan juga harta benda orang lain. Kebiasaanya, orang yang terlibat dalam gejala ini
ialah remaja yang berusia sekitar 15 tahun hingga 21 tahun. Antara tempat sering menjadi
tumpuan gejala vandalisme termasuklah pondok telefon awam, papan tanda, dinding tandas,
kemudahan taman, peralatan sekolah dan sebagainya. Sejak akhir-akhir ini, gejala
vandalisme semakin hari semakin meningkat. Hal ini menyebabkan masyarakat setempat
mengalami kesukaran dalam menggunakan infrastruktur awam.

Pelbagai faktor yang mempengaruhi gejala vandalisme ini berlaku. Ibu bapa ialah
penyebab utama kepada masalah ini. Kebanyakan remaja yang terjebak dalam gejala ini
lazimnya dilahirkan daripada sebuah keluarga yang bermasalah. Sebagai contoh, ibu bapa
terlalu sibuk dalam kerjaya sendiri hingga mereka mengabaikan keperluan dan kasih sayang
terhadap anak-anaknya berasa tersisih. Lama-kelamaan, sikap ambil mudah dan kurangnya
pemantauan daripada ibu bapa akan menyebabkan anak-anak akan melakukan perkara di luar
kawalan.

Hadirin yang mulia,

Selain itu, pendidikan agama dan nilai moral yang sempurna tidak ditanam dalam
jiwa anak-anak sejak kecil lagi, bak kata pepatah “ melentur buluh biarlah dari rebungnya ”.
Pendidikan agama dan nilai moral sangat penting kerana hanya nilai agama dan moral yang
sempurna mampu menjadi tembok penghalang remaja daripada melibatkan diri dalam gejala
vandalisme. Bukan itu sahaja, ajaran agama mementingkan kebaikan dan melarang remaja
daripada melakukan gejala negatif. Namun begitu, pendidikan agama dan moral sering
diketepikan dan dipandang rendah.

Di samping itu, pengaruh rakan sebaya juga merupakan salah satu faktor berlakunya
gejala vandalisme. Golongan remaja biasanya lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya
mereka. Hal ini demikian kerana rakan sebaya merupakan orang yang amat rapat dengan
mereka dan mereka menganggap rakan sebaya ialah orang yang sangat penting kepada
mereka. Namun, rakan sebaya juga merupakan komponen penting dalam membentuk
keperibadian seseorang. Pengaruh rakan sebaya akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah
laku seseorang remaja tersebut, terutamanya remaja yang tercicir dan menghadapi masalah
dalam institusi keluarga mereka. Maka, desakan rakan sebaya dan sikap tidak mahu
ketinggalan dalam kumpulan mudah mendorong gejala ini berlaku.

Hadirin yang budiman,

Seterusnya, media massa juga mendorong kepada gejala vandalisme. Media massa
mempunyai kuasa pengaruh yang kuat dan sukar dielakkan dewasa ini. Hal ini demikian
kerana paparan yang ditayangkan dalam filem-filem ataupun rancangan-rancangan televisyen
yang mempunyai unsur-unsur perlakuan ke arah vandalisme boleh mempengaruhi pemikiran
remaja untuk melakukan vandalisme. Jika golongan remaja tidak mendapat didikan dan
tunjuk ajar yang sewajarnya dariapda ibu bapa atau penjaga dengan segera, kemungkinan
besar akan menyebabkan mereka meniru dan melakukan perlakuan tersebut.

Akhir sekali, sikap tidak ambil peduli masyarakat juga mencetuskan berlakunya
gejala vandalisme. Sikap sesetengah masyarakat kini yang mementingkan kebendaan dan
tidak ambil peduli terhadap isu-isu sosial sememangnya merumitkan masalah yang sedia
wujud. Kebiasaanya, vandalisme banyak berlaku di bandar. Namun, golongan remaja yang
menconteng dinding dan merosakkan harta benda awam bukannya tidak terpelajar tetapi
generasi yang lahir di bandar sukar dikawal. Di kawasan bandar, sesetengah penduduknya
tidak ambil peduli tehadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh itu, golongan remaja
merasakan diri mereka bebas utnuk meneruskan gejala negatif ini tanpa menghiraukan rasa
tanggungjawab terhadap harta benda awam.

Secara tuntasnya, semua pihak haruslah berganding bahu untuk membanteraskan


gejala vandalisme agar semua orang dapat menikmati kemudahan infrastruktur yang
disediakan oleh pihak kerajaan. Walaupun masalah ini kelihatan remeh, tetapi impak
daripada kegiatan ini adalah sangat tinggi. Semua pihak khususnya ibu bapa dan masyarakat
di negara ini perlu memainkan peranan dan bertindak segera dalam menangani gejala ini dan
jangan sampai kita menyesal pada masa hadapan. Sebelum saya mengundurkan diri, saya
ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi kerana memberi perhatian sepanjang ceramah
saya. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai