Anda di halaman 1dari 3

Bahasa Melayu SPM

Blog ini bertujuan memberi bimbingan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada calon-calon
yang menduduki peperiksaan SPM.

Ahad, 24 Ogos 2014


Karangan jenis rencana - Masalah vandalisme

Gejala merosakkan kemudahan awam semakin berleluasa berlaku dewasa ini. Bincangkan
saranan anda untuk mengatasi masalah tersebut untuk diterbitkan dalam ruangan
Pendapat Pembaca.
Cadangan-cadangan untuk mengatasi masalah kemudahan awam
Yang dirosakkan dengan sengaja di negara ini.
Oleh: Subrato Rengato

Dewasa ini negara kita sedang mengorak langkah menuju ke arah Wawasan 2020 dan
taraf kehidupan seluruh rakyat tempatan telah meningkat secara mendadak sejak akhir-akhir ini.
Hampir seluruh rakyat di negara ini berpeluang menerima pendidikan secara formal,
malah ramai yang telah berjaya memasuki institusi pengajian tinggi yang berkembang bagaikan
cendawan tumbuh selepas hujan. Perkara yang menghairankan kita semua ialah
masalah vandalisme di negara ini turut meningkat dan seolah-olah telah sampai ke satu tahap
yang kronik sedangkan kebanyakan rakyat di negara ini berpendidikan tinggi.

Masalah vandalisme iaitu perbuatan merosakkan kemudahan awam dengan sesuka hati
merupakan duri dalam daging yang kini terbukti telah menular bagaikan barah dalam tubuh
manusia. Kemudahan awam sering dijadikan sasaran rakyat tempatan melepaskan geram atau
meringankan tekanan hidup. Para remaja pula ingin mencari keseronokan dengan merosakkan
telefon awam, mengguris dan merosakkan lif serta menconteng dinding tandas awam. Perbuatan
tidak bertanggungjawab ini sangat dikesali kerana menyusahkan orang ramai dan meningkatkan
perbelanjaan untuk membaikinya. Oleh yang demikian, langkah-langkah yang konkrit dan proaktif
perlu dilaksanakan dengan segera bagi membendung masalah tersebut.

Antara langkah untuk mengatasi masalah tersebut ialah mengubah strategi atau sistem
pendidikan yang sedia ada di negara ini. Sistem pendidikan sekarang terlalu berorientasikan
peperiksaan dan kegiatan kokurikulum selalu diabaikan. Natijahnya pelajar-pelajar sekarang
hanya berminat untuk menghafal nota dan langsung tidak mahu melibatkan diri dalam kegiatan
kokurikulum. Sebenarnya peyertaan dalam kegiatan kokurikulum seperti pengakap, Kelab Cinta
Alam dan sebagainya boleh menyemai dan seterusnya menyuburkan nilai-nilai murni seperti
bertanggungjawab, cinta kepada alam sekeliling dan sebagainya yang merupakan elemen
terpenting dalam usaha mengatasi vandalisme. Selain itu, Kementerian Pendidikan patut
menekankan subjek Pendidikan Moral dan Agama menerusi pendidikan formal. Guru-guru wajar
memberikan pendidikan dengan kreatif dan inovatif agar pelajar-pelajar dapat menghayati serta
mempraktikkan nilai-nilai yang telah dipelajari dan seterusnya dapat membasmi gejala
vandalisme.
Selain itu, media massa perlu memainkan peranan penting dalam usaha membendung
masalah vendalisme. Media massa wajar memaparkan keadaan kemudahan awam
yang dirosakkan dengan serius dan artikel-artikel yang mengkritik perbuatan tersebut akan
dapat menyedarkan anggota masyarakat. Setiap anggota masyarakat juga patut menyedari peranan
mereka dalam usaha membendung masalah vandalisme. Anggota masyarakat juga wajar
melaporkan kepada pihak polis sekiranya terdapat individu yang merosakkan kemudahan awam.
Jelaslah media massa memainkan peranan penting bagi mengatasi masalah
tersebut sebagaimana kata pepatah, “lidi segenggam kuat kudratnya dan tidak mudah
patah walaupun oleh si gagah”.

Kalau asalnya benih yang baik, tercampak ke laut akan menjadi


mutiara, terhumban ke darat menjadi permata, terawang di angkasa akan menjadi Kejora.
Begitulah peribahasa Melayu yang menyatakan dengan jelas akan kepentingan pendidikan awal
terhadap kanak-kanak. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka dengan nilai-nilai murni seperti
bertanggungjawab, bertimbang rasa dan sebagainya sejak mereka kecil kerana kita semua percaya
kepada konsep “kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Kanak-kanak
diibaratkan sehelai kain putih yang perlu dicorakkan peribadinya oleh ibu bapa. Jika
diwarnakan dengan warna pelangi, maka berserilah kain tersebut, tetapi sekiranya
ditumpahkan dengan warna hitam, maka gelaplah masa depannya. Ibu bapa perlu
menunjukkan “role model” kepada anak kesayangannya supaya mereka boleh menjadi manusia
yang berguna seperti kata peribahasa “ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi ”.

Selain itu, pihak kerajaan patut menggubal undang-undang yang ketat bagi mengawal
tindak-tanduk anggota masyarakat. Undang-undang wajar dilaksanakan oleh pihak berkenaan dan
tidak terjadi seperti kata pepatah “bagai melepaskan batuk di tangga”. Kerajaan patut
mengenakan denda yang tinggi kepada mereka yang bersikap seperti “enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing”. Mereka yang melakukan perbuatan vandalisme
patut diheret ke mahkamah dan hukuman sebat wajar dilaksanakan.

Akibat nila setitik rosak susu sebelanga. Oleh itu kita patut menggembleng
tenaga untuk mengatasi masalah vandalisme agar imej negara kita sebagai antara negara
yang termaju di rantau Asia Pasifik tidak tercalar begitu sahaja. Kita perlu berhati-hati
dan berwaspada seperti kata peribahasa “lengguknya biar bengkok tetapi mengena, tarinya
biar senada tetapi berbisa, langkahnya lembut tetapi kejap” semasa melaksanakan langkah-
langkah untuk membendung masalah tersebut supaya imej baik negara terus terlindung dan
keamanan hidup masyarakat terjamin.
Posted by AHMAD RAMADHAN SUBRA BIN RENGASAMY at 10:00 PTG

Mengenai Saya

AHMAD RAMADHAN SUBRA BIN RENGASAMY


Pengetua SMK Selandar, Melaka. Mengajar Bahasa Melayu.
Lihat profil lengkap saya

Tema Ringkas. Imej tema oleh luoman. Dikuasakan oleh Blogger.

Anda mungkin juga menyukai