Anda di halaman 1dari 2

Usaha berterusan membantu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) merupakan satu tindakan yang

wajar demi membolehkan golongan ini memberikan sumbangan berkesan kepada negara.
Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk membantu golongan ini?

Orang Kelainan Upaya (OKU) ialah kanak-kanak atau orang dewasa yang cacat keadaan fizikal
atau mentalnya sejak lahir atau kesan kemalangan atau penyakit tertentu. Kecacatan fizikal dan
mental ini menghalang mereka daripada melakukan aktiviti-aktiviti normal seperti sosial, rekreasi,
pelajaran dan pekerjaan. Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) secara umumnya dapat
dikategorikan kepada dua kumpulan utama, iaitu kelainan upaya secara kekal dan kelainan upaya
secara sementara. Walaupun banyak kekurangan yang ada, masyarakat kelainan upaya ini tidak
harus dipinggirkan kerana mereka juga turut memberi sumbangan kepada negara. Oleh sebab itu,
pelbagai usaha patut dilakukan bagi membantu OKU meneruskan kehidupan dengan sempurna.
Antara usaha yang dapat dilakukan ialah masyarakat perlu menerima kehadiran golongan
kurang upaya ini seadanya dan membantu mereka menjalani kehidupan dengan sebaiknya. Hal ini
demikian kerana masyarakat perlu sedar bahawa OKU tidak meminta dilahirkan dalam keadaan yang
tidak sempurna malah mempunyai hak untuk hidup sama seperti orang lain.
Tidak kupinta lahir ke dunia,
Tidak kuduga cacat begini,
Tiada insan yang mahu dilahirkan dalam keadaan kurang sempurna justeru golongan
Kelainan Upaya (OKU) haruslah diberi layanan yang baik kerana mereka turut mempunyai perasaan
yang sama seperti insan lain. Mereka tidak suka dipandang rendah dan dianggap tidak berguna.
Namun begitu kita harus melayan mereka secara istimewa dalam keadaan-keadaan tertentu seperti
membantu mereka melintas jalan, memberi tempat duduk di dalam kenderaan awam dan
sebagainya. Dalam hal ini, ibu bapa berperanan penting dalam mendidik anak-anak dengan nilai-nilai
murni seperti kasih sayang, simpati, belas kasihan dan tolong menolong agar mereka dapat
membantu OKU dengan seikhlas hati.
Selain itu, media massa sama ada media elektronik atau media cetak juga berperanan
penting dalam membantu golongan kurang upaya ini. Pihak media massa perlu menyiarkan artikel
dan rancangan khas tentang OKU kepada segenap lapisan masyarakat. Rancangan di TV3 seperti
Bersamamu kerap kali memaparkan kisah sedih dan pilu OKU untuk perhatian masyarakat. Melalui
rancangan ini, perasaan masyarakat pasti akan tersentuh dan secara tidak langsung wujud perasaan
simpati dan terpanggil untuk menghulurkan bantuan. Dana dan tabung khas disediakan oleh pihak
media bagi memudahkan masyarakat menyalurkan bantuan kewangan kepada OKU. Oleh hal yang
demikian nasib OKU akan terbela dan mendapat simpati berterusan daripada masyarakat untuk
meneruskan kehidupan mereka.
Selain itu, kerajaan juga pula dapat membantu OKU dengan memberi peluang kepada
mereka untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran dalam pelbagai bidang. Golongan Kelainan Upaya
(OKU) diberi peluang mengikuti latihan kemahiran seperti membaiki kenderaan dan peralatan
elektrik, membuat kek, keropok dan kraf tangan di Pusat Giat Mara, Kolej Komuniti, Pusat Latihan
dan Pemulihan Orang Cacat(JARO) dan lain-lain institusi. Di sini, OKU dilatih dalam pelbagai bidang
kemahiran supaya mereka dapat berdikari dan boleh bekerja sama ada makan gaji atau berniaga
sendiri. Setelah mantap dalam bidang pekerjaan, mereka akan duduk sama rendah dan berdiri sama
tinggi dengan orang lain membantu negara dan tidak lagi menyusahkan orang lain bahkan mampu
menyara hidup sendiri dan keluarga.
Tambahan pula, pihak kerajaan juga turut membantu OKU dengan memberikan bantuan dan
elaun dalam bentuk wang ringgit, makanan dan minuman, pakaian, tempat tinggal, peralatan
pembelajaran dan kenderaan khas. Peruntukan dari kerajaan ini disalurkan melalui Jabatan Kebajikan
Masyarakat, MARA dan sebagainya. Bantuan seperti ini bukan sahaja dapat meringankan beban OKU
malah dapat menggembirakan hati mereka dalam meneruskan kehidupan di dunia ini. Bantuan
modal juga diperlukan oleh golongan OKU untuk memulakan sesuatu perniagaan. Hal ini demikian
kerana rata-rata golongan ini adalah terdiri daripada orang susah atau miskin. Sehubungan dengan
itu, pihak kerajaan telah berusaha memberi bantuan modal kepada semua OKU yang berminat
melalui permohonan dan sokongan daripada persatuan masing-masing. Oleh itu, bantuan kewangan
atau modal ini sangat penting untuk membolehkan golongan ini meningkatkan ekonomi mereka
tanpa bergantung kepada pertolongan daripada orang lain.
Selain itu, pihak kerajaan juga menyediakan peluang untuk menyambung pelajaran di
peringkat yang lebih tinggi kepada OKU. Sistem pendidikan khas perlu diperluaskan kepada OKU yang
berada di luar bandar supaya ibu bapa yang mempunyai anak-anak ini berpeluang menyekolahkan
anak-anak mereka. Sehubungan dengan itu, kemudahan pendidikan khas ini mestilah ditingkatkan
bagi melahirkan para pelajar yang setanding dengan pelajar yang normal. Malah pihak kerajaan juga
mestilah menyediakan tempat atau kuota pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam
(IPTA) kepada OKU yang mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia
dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Oleh itu, peluang ini akan meningkatkan lagi motivasi pelajar OKU
untuk mengubah nasib hidup mereka ke arah yang lebih baik pada masa akan datang dengan ilmu
yang dimiliki itu.
Di samping itu, pihak swasta pula digalakkan mengambil pekerja OKU untuk berkhidmat
dalam syarikat mereka. Mereka perlu memberi peluang ini kerana golongan OKU juga mampu
menyumbangkan kemahiran yang ada untuk memajukan syarikat tersebut. Di kilang umpamanya
sudah ada OKU yang bekerja sebagai operator pengeluaran, pembantu pejabat dan kerani walhal
sebelum ini kerja sebegini hanya dilakukan oleh pekerja yang normal sahaja. Selain itu, usaha murni
Pasar raya Besar Carrefour yang telah menyasarkan lima peratus daripada pekerjanya ialah OKU
haruslah diberi pujian kerana mereka memberi peluang kepada OKU dan membantu mereka
mendapatkan kerja bagi menyara kehidupan keluarga mereka.
Kesimpulannya, golongan OKU sangat memerlukan bantuan daripada kita semua untuk
meneruskan dan memajukan diri mereka ke tahap yang lebih baik lagi. Untuk merealisasikan hasrat
tersebut semua pihak terutama kerajaan, swasta dan masyarakat mestilah berganding bahu
menjayakan matlamat tersebut. Sekiranya kita tidak bersungguh-sungguh membantu golongan ini
sudah pasti mereka akan tersisih dalam era pemodenan negara menjelang tahun 2020 nanti. Kata
pepatah muafakat membawa berkat sangat sesuai diamalkan oleh masyarakat kita dalam usaha
membantu golongan OKU.

Anda mungkin juga menyukai