Anda di halaman 1dari 31

Penulisan 1 : Dimensi Masyarakat : Usaha Membantu Orang Kelainan Upaya (OKU)

Usaha berterusan membantu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) merupakan satu
tindakan yang wajar demi membolehkan golongan ini memberikan sumbangan berkesan
kepada negara.   
Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk membantu
golongan ini? 

        Orang Kelainan Upaya (OKU) ialah kanak-kanak atau orang dewasa yang cacat  keadaan
fizikal atau mentalnya sejak lahir atau kesan kemalangan atau penyakit tertentu. Kecacatan
fizikal dan  mental ini menghalang mereka  daripada melakukan aktiviti-aktiviti normal  seperti
sosial, rekreasi, pelajaran dan pekerjaan. Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) secara
umumnya dapat dikategorikan kepada dua kumpulan utama, iaitu kelainan upaya secara kekal
dan kelainan upaya secara sementara. Walaupun banyak kekurangan yang ada, 
masyarakat kelainan upaya ini tidak harus dipinggirkan kerana mereka juga turut memberi
sumbangan kepada negara. Oleh sebab itu, pelbagai usaha patut dilakukan bagi membantu OKU 
meneruskan kehidupan dengan sempurna.
Antara usaha yang dapat dilakukan ialah masyarakat perlu menerima kehadiran
golongan kurang upaya ini seadanya dan membantu mereka menjalani kehidupan dengan
sebaiknya. Hal ini demikian kerana  masyarakat perlu sedar bahawa OKU tidak meminta
dilahirkan dalam keadaan yang tidak sempurna malah mempunyai hak untuk hidup sama seperti
orang lain.      
     Tidak kupinta lahir ke dunia,
     Tidak kuduga cacat begini,    
Tiada insan yang mahu dilahirkan dalam keadaan kurang sempurna justeru
golongan Kelainan Upaya (OKU) haruslah diberi layanan yang baik kerana mereka turut
mempunyai perasaan yang sama seperti insan lain. Mereka tidak suka dipandang rendah dan
dianggap tidak berguna. Namun begitu kita harus melayan mereka secara istimewa dalam
keadaan-keadaan tertentu seperti membantu mereka melintas jalan, memberi tempat duduk di
dalam kenderaan awam dan sebagainya.  Dalam hal ini, ibu bapa berperanan penting dalam
mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, simpati, belas kasihan dan
tolong menolong agar mereka dapat membantu OKU dengan seikhlas hati.
Selain itu, media massa sama ada media elektronik atau media cetak juga
berperanan penting dalam membantu golongan kurang upaya ini. Pihak media massa perlu
menyiarkan artikel dan rancangan khas tentang OKU kepada segenap lapisan masyarakat.
Rancangan di TV3 seperti Bersamamu kerap kali memaparkan kisah sedih dan pilu OKU  untuk
perhatian masyarakat. Melalui rancangan ini, perasaan masyarakat pasti akan tersentuh dan
secara tidak langsung wujud perasaan simpati dan terpanggil untuk menghulurkan bantuan. Dana
dan tabung khas disediakan oleh pihak media bagi memudahkan masyarakat menyalurkan
bantuan kewangan kepada OKU. Oleh hal yang demikian nasib OKU akan terbela dan mendapat
simpati berterusan daripada masyarakat untuk meneruskan kehidupan mereka.
Selain itu, kerajaan juga pula dapat membantu  OKU dengan memberi peluang
kepada mereka untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran dalam pelbagai bidang.
Golongan Kelainan Upaya (OKU) diberi peluang mengikuti latihan kemahiran seperti membaiki
kenderaan dan peralatan elektrik, membuat kek, keropok dan kraf tangan di Pusat Giat Mara,
Kolej Komuniti, Pusat Latihan dan Pemulihan Orang Cacat(JARO) dan lain-lain institusi. Di
sini, OKU dilatih dalam pelbagai bidang kemahiran supaya mereka dapat berdikari dan boleh
bekerja sama ada makan gaji atau berniaga sendiri. Setelah   mantap dalam bidang
pekerjaan,mereka akan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang lain
membantu negara dan tidak lagi menyusahkan orang lain bahkan mampu menyara hidup sendiri
dan keluarga.
Tambahan pula, pihak kerajaan juga turut membantu OKU dengan memberikan
bantuan dan elaun dalam bentuk wang ringgit,  makanan dan minuman, pakaian, tempat
tinggal, peralatan pembelajaran dan kenderaan khas. Peruntukan dari kerajaan ini disalurkan
melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, MARA dan sebagainya. Bantuan seperti ini bukan sahaja
dapat meringankan beban OKU malah dapat menggembirakan hati mereka dalam meneruskan
kehidupan di  dunia ini. Bantuan modal juga diperlukan oleh golongan OKU untuk memulakan
sesuatu perniagaan.  Hal ini demikian kerana rata-rata golongan ini adalah terdiri daripada orang
susah atau miskin. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan telah berusaha  memberi bantuan
modal kepada semua OKU yang berminat melalui permohonan dan sokongan daripada persatuan
masing-masing.  Oleh itu, bantuan kewangan atau modal ini sangat penting untuk membolehkan
golongan ini meningkatkan ekonomi mereka tanpa bergantung kepada pertolongan daripada
orang lain.
Selain itu, pihak kerajaan juga menyediakan peluang untuk menyambung pelajaran
di peringkat yang lebih tinggi kepada OKU. Sistem pendidikan khas perlu diperluaskan
kepada OKU yang berada di luar bandar supaya ibu bapa yang mempunyai anak-anak ini
berpeluang menyekolahkan anak-anak mereka. Sehubungan dengan itu, kemudahan pendidikan
khas ini mestilah ditingkatkan bagi melahirkan para pelajar yang setanding dengan pelajar yang
normal. Malah pihak kerajaan juga mestilah menyediakan tempat atau kuota pengajian di
peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada OKU yang mendapat keputusan yang
baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Oleh itu,
peluang ini akan meningkatkan lagi motivasi pelajar OKU untuk mengubah nasib hidup mereka
ke arah yang lebih baik pada masa akan datang dengan ilmu yang dimiliki itu. 
Di samping itu, pihak swasta pula digalakkan mengambil pekerja OKU untuk
berkhidmat dalam syarikat mereka. Mereka perlu memberi peluang ini kerana golongan OKU
juga mampu menyumbangkan kemahiran yang ada untuk memajukan syarikat tersebut. Di kilang
umpamanya sudah ada OKU yang bekerja sebagai operator pengeluaran, pembantu pejabat dan
kerani walhal sebelum ini kerja sebegini hanya dilakukan oleh pekerja yang normal sahaja.
Selain itu, usaha murni Pasar raya Besar Carrefour yang telah menyasarkan lima peratus
daripada pekerjanya ialah OKU haruslah diberi pujian kerana mereka memberi peluang kepada
OKU dan membantu mereka mendapatkan kerja bagi menyara kehidupan keluarga mereka.         
          
Kesimpulannya, golongan OKU sangat memerlukan bantuan daripada kita semua untuk
meneruskan dan memajukan diri mereka ke tahap yang lebih baik lagi. Untuk merealisasikan
hasrat tersebut semua pihak terutama kerajaan, swasta dan masyarakat mestilah berganding bahu
menjayakan matlamat tersebut. Sekiranya kita tidak bersungguh-sungguh membantu golongan
ini sudah pasti mereka akan tersisih dalam era pemodenan negara menjelang tahun 2020 nanti.
Kata pepatah muafakat membawa berkat sangat sesuai diamalkan oleh masyarakat kita dalam
usaha membantu golongan OKU.
Penulisan 2 : Dimensi Masyarakat : Usaha Memupuk Minat Orang Ramai Membaca
Karya Sastera

Minat untuk membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat ini semakin
berkurangan.
Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat
orang ramai membaca karya sastera.  

      Pada zaman berteknologi tinggi ini, orang ramai telah memilih untuk memiliki sebuah
komputer untuk mendapatkan maklumat daripada internet berbanding mencari maklumat atau
membaca daripada buku. Hal ini menyebabkan minat untuk membaca karya-karya sastera dalam
kalangan rakyat makin berkurangan. Malah ada yang telah lupa dan tidak kenal akan karya
sastera yang dihasilkan oleh sasterawan negara seperti Usman Awang, Shahnon Ahmad,
A.Samad Said dan sebagainya. Hal ini tidak boleh dipandang remeh kerana karya sastera yang
dihasilkan merupakan warisan bangsa yang menunjukkan identiti dan bangsa kita. Minat untuk
membaca karya-karya sastera ini perlu disemarakkan semula dalam kalangan masyarakat.
Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik
minat orang ramai untuk membaca karya sastera? 
        Langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai
membaca karya sastera termasuklah peranan pihak sekolah khususnya Pusat Sumber Sekolah.
Pusat Sumber Sekolah perlu memperbanyak buku sastera dan karya agung seperti novel ‘Ranjau
Sepanjang Jalan’oleh Shahnon Ahmad, ‘Salina’ oleh A.Samad Said, ‘Saudagar Besar Dari Kuala
Lumpur’ oleh Kamaludin Muhamad dan ‘Tulang-tulang Berserakan’oleh Usman Awang agar
murid mahupun guru berpeluang untuk membacanya. Pusat sumber boleh mengadakan
pertandingan mengulas novel, sajak, puisi dan pantun pada setiap bulan. Langkah ini
membolehkan  para pelajar untuk membaca karya-karya sastera memandangkan mereka ingin
menghasilkan ulasan yang menarik. Secara tidak langsung, minat pelajar terhadap karya sastera
akan semakin bertambah. Pihak sekolah turut boleh menggalakkan setiap kelas  menyediakan
satu ruang atau sudut membaca di kelas bagi memudahkan pelajar untuk menghayati karya
sastera ketika guru tiada di dalam kelas. Tegasnya, pihak sekolah memainkan peranan yang
penting dalam menarik minat pembaca terhadap karya sastera.
        Selain itu, peranan ibu bapa juga amat penting dalam mengambil langkah untuk menarik
minat anak-anak membaca karya sastera. Ibu bapa haruslah memberikan pendedahan tentang
karya sastera kepada anak-anak sejak kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Contohnya, ibu bapa boleh membaca sastera rakyat kepada anak-anak sebelum
mereka masuk tidur Melalui cara ini, hubungan silaturahim antara ibu bapa dengan anak bukan
sahaja dapat dipereratkan, malah anak-anak dapat mengetahui cara hidup dan budaya masyarakat
kita sendiri. Selain itu, ibu bapa bolehlah membelikan karya sastera untuk dibaca oleh anak-anak
supaya mereka dapat menghayati keindahan hasil warisan bangsa selain dapat mengisi masa
lapang dengan berfaedah. Ibu bapa boleh menghadiahkan novel yang sesuai kepada anak-anak
mengikut umur  mereka. Ibu bapa juga perlu pilih bahan bacaan yang hendak dibeli untuk anak-
anak sewaktu membawa mereka berkunjung ke kedai buku mahupun pameran buku. Seterusnya,
ibu bapa harus menyediakan sebuah perpustakaan mini yang dilengkapi dengan pelbagai bahan
bacaan khususnya karya-karya sastera seperti prosa atau puisi tradisional dan moden yang
dihasilkan oleh pengarang tersohor  di rumah. Dengan itu, minat anak-anak untuk membaca
karya sastera dapat dipupuk dan disemai dalam jiwa mereka.
Di samping itu, media massa turut memainkan peranan yang penting dalam mengambil
langkah menarik minat semua lapisan masyarakat membaca karya sastera. Sebagai contohnya,
pihak media boleh mempromosikan karya sastera kepada masyarakat melalui radio, televisyen
dan surat khabar. Melalui cara ini, lapisan masyarakat dapat mengetahui cara untuk mendapatkan
karya sastera di pasaran. Bukan itu sahaja, pihak media juga boleh menyiarkan sudut sastera atau
ulasan karya sastera yang agung di akhbar dan majalah kepada orang ramai. Dengan itu, orang
ramai berpeluang untuk mengenali karya sastera di negara kita dengan lebih mendalam.
Tambahan pula, pihak media turut boleh menganjurkan peraduan teka teki atau menulis sajak
dan syair yang bertemakan karya-karya sastera. Jelasnya, pihak media haruslah mengambil
langkah untuk menarik perhatian orang ramai untuk membaca karya sastera.
        Seterusnya, pihak kerajaan haruslah mengadakan pameran karya sastera dan kempen
menghayati karya sastera di seluruh pelusuk negara. Melalui langkah ini, rakyat berpeluang
untuk mengenali karya-karya sastera ini dengan lebih dekat. Tambahan pula, pihak kerajaan
boleh membina perpustakaan rakyat di setiap daerah bagi memudahkan rakyat untuk membaca
ataupun meminjam karya-karya sastera untuk dibaca. Pihak kerajaan turut boleh mengambil
inisiatif untuk mengurangkan kadar cukai penerbitan karya sastera. Langkah ini dapat
menurunkan harga buku tersebut agar semua rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah
berpeluang untuk memiliki karya-karya sastera itu sendiri. Oleh itu, jelaslah bahawa pihak
kerajaan turut memainkan watak yang utama dalam mengambil langkah untuk menarik minat
orang ramai membaca karya sastera.
        Akhir sekali, pihak-pihak NGO seperti syarikat penerbitan harus menerbitkan lebih banyak
karya sastera supaya karya tersebut mudah didapati di pasaran. Pihak penerbit boleh bekerjasama
dengan penulis untuk mengeluarkan berbagai-bagai genre sastera. Penerbit juga  perlu
memberikan bayaran setimpal dan berpatutan kepada penulis. Persatuan Karya-karya Sastera
boleh ditubuhkan untuk melindungi karya-karya penulis supaya tidak dplagiat oleh pihak tertentu
yang bermotifkan keuntungan dan bagi membolehkan para peminat  berkongsi pendapat bersama
dengan penulis. Kerajaan juga boleh meningkatkan jumlah penerbitan karya sastera dalam
setahun dan bekerjasama dengan seberapa ramai penulis dan penerbit untuk menghasilkan karya
sastera yang bermutu.
          Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa semua pihak menggalas
tanggungjawab yang berat dalam usaha untuk menghidupkan minat orang ramai membaca karya
sastera. Masyarakat pula harus bersikap berhati terbuka  supaya langkah-langkah tersebut
mendapat sambutan yang hangat dan seterusnya berjaya direalisasikan. Kita selaku warga
Malaysia haruslah mencintai dan menghayati karya sastera kita kerana ia merupakan warisan
bangsa dan mencerminkan identiti kita.

Penulisan 3 : Dimensi Keluarga : Peranan Ibu Bapa Menggalakkan Penggunaan Barangan


Buatan Malaysia
Ibu bapa merupakan insan yang berperanan penting  bagi menggalakkan  anak-anak
menggunakan barangan buatan Malaysia.
Huraikan langkah-langkah yang dapat diambil oleh ibu bapa terhadap anak-anak dalam
menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia.

Sebagai sebuah negara membangun yang akan menuju ke arah negara maju menjelang
2020, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasilkan dan mengeluarkan pelbagai barangan
serta produk sendiri. Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita agar tidak lagi mengagung-
agungkan barangan luar. Barangan keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar
dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita dijamin lebih baik. Walau
bagaimanapun, masih ramai lagi yang tidak mengetahui atau menyedari tentang kelebihan dan
kualiti sebenar barangan buatan negara kita, lebih-lebih lagi orang muda-muda yang kononnya
mempunyai cita rasa yang tinggi dalam memilih kebendaan. Persoalannya, apakah peranan ibu
bapa dalam menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia?
Peranan yang amat penting yang perlu diamalkan oleh setiap ibu bapa ialah ibu bapa
perlulah menjadi role model kepada  anak-anak mereka kerana anak-anak akan sentiasa
mengikuti jejak langkah kedua-dua ibu bapa mereka. Pepatah ada mengatakan bahawa
bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa merupakan insan yang  paling dikagumi  kerana
ibu bapalah orang yang terdekat dengan anak-anak. Anak-anak diibaratkan seperti sebutir
permata yang belum digilap, ibu bapa yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi
berlian yang indah dan bersinar. Walau bagaimanapun, ibu bapa janganlah bersikap seperti
ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul kerana ini akan menyebabkan anak-anak hilang
rasa kagum dan kepercayaan kepada ibu bapa mereka. Ibu bapa haruslah membeli kereta buatan
Malaysia seperti kereta dari kilang Proton Edar, barangan elektrik seperti Panasonic, Philips dan
lain-lain. Tegasnya, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka dengan
menyokong barangan buatan Malaysia yang berkualiti ini.
        Selain itu, ibu bapa perlulah memupuk perasaan cinta akan negara kepada anak-anak
mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini terjadi demikian
kerana semangat patriotik patut diterapkan ke dalam sanubari remaja supaya mereka terpanggil
untuk membeli barangan Malaysia sebagai tanggungjawab mereka. Ibu bapa juga boleh
menanam minat anak-anak terhadap barangan Malaysia melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia,
Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Hal ini akan dapat menyuntik
nilai cinta akan negara, taat setia kepada raja dan negara, dan sanggup berkorban untuk negara
kepada generasi muda kita. Ibu bapa patut menyeru anak-anak untuk mencontohi warganegara
Jepun dan Korea kerana rakyat mereka berasa bangga untuk membeli barangan negara mereka
sendiri. Misalnya, dalam filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan produk negara
sendiri seperti jenama Samsung, LG dan Panasonic. Dengan menyahut seruan Tun Dr. Mahathir
yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat melalui Dasar Pandang Ke Timur, kita
digalakkan mencontohi sifat baik negara lain yang baik untuk meningkatkan taraf kehidupan
negara ke alaf baru. Jika anak-anak telah diterapkan semangat cinta akan negara dan ingin
membeli barangan Malaysia, amalan ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Tidak dapat
dinafikan bahawa golongan remaja merupakan golongan pengguna yang banyak berbelanja.
Golongan remaja juga merupakan harapan negara kita. Hal ini kerana pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara. Jika mereka suka membeli produk jenama Malaysia, produk Malaysia pasti
akan laris di pasaran.
        Di samping itu, peranan yang boleh diamalkan oleh ibu bapa ialah ibu bapa membawa
anak-anak ke pameran barangan ciptaan Malaysia. Contohnya, ibu bapa bolehlah membawa
anak-anak ke Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan
Malaysia dengan premis perniagaan seluruh negara. Karnival sebegini telah ditetapkan hanya
barangan Malaysia yang mempunyai tawaran potongan harga yang istimewa.   Sebagai contoh,
kraf tangan dan  batik,  yang merupakan budaya yang menggambarkan tradisi Malaysia. Ibu bapa
perlu mendedahkan anak-anak dengan pelbagai barangan tempatan yang terdiri daripada
pelbagai bentuk dan keunikannya yang tersendiri. Apabila anak-anak meminta sesuatu benda
yang tidak keterlaluan, ibu bapa haruslah membeli barang tersebut dan barang tersebut mestilah
merupakan barangan buatan Malaysia. Terdapat juga pameran yang mengadakan pelbagai jenis
pertandingan. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak menyertai
pertandingan-pertandingan seperti menulis esei, melukis poster dan menjawab soalan-soalan kuiz
yang berkaitan. Hal ini secara tidak langsung dapat mencelikkan minda anak-anak supaya
mengetahui kualiti dan kelebihan barangan Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan
Malaysia, seperti peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Tegasnya, ibu bapa perlulah membeli
barangan buatan Malaysia untuk didedahkan kepada anak-anak generasi baru ini.
        Seterusnya, ibu bapa perlulah menerangkan kebaikan pembelian barangan buatan Malaysia
kepada anak-anak mereka supaya mereka dapat memahami faedah-faedahnya, menyokong dan
menggunakan barangan buatan Malaysia. Ibu bapa haruslah memberitahu anak-anak tentang
kualiti produk-produk Malaysia yang kini bukan sahaja kualitinya setanding dengan produk-
produk luar negara, malah harganya juga cukup murah untuk dimiliki seseorang. Ibu bapa juga
boleh menunjukkan kempen-kempen yang telah diadakan seperti Kempen Beli Barangan
Malaysia kepada anak-anak untuk memastikan anak-anak sedar dan mengetahui secara
mendalam barangan-barangan Malaysia. Sikap prejudis, memandang rendah barangan
tempatan dari sudut pemikiran juga seharusnya dilontar jauh-jauh oleh ibu bapa dan juga tidak
harus diwujudkan pada anak-anak mereka, tetapi, sebaliknya, membina semangat Malaysia
Boleh dari serba-serbi, termasuk soal kualiti dan standard barangan tempatan. Jelasnya, ibu bapa
berperanan penting dalam menerangkan manfaat-manfaat barangan buatan Malaysia kepada
anak-anak supaya mereka sedar dan bijak memilih benda yang baik dan mendatangkan kebaikan
kepada mereka.
        Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa yang merupakan
insan terdekat kepada generasi muda kini mestilah memainkan peranannya yang amat penting
dalam menggalakkan anak-anak menyokong, membeli dan menggunakan barangan buatan
Malaysia. Harapan kerajaan Malaysia supaya negara kita bukan sahaja mengimport barangan
luar negara malah juga mengeksport barangan buatan Malaysia dapat dicapai. Sedarlah bahawa
barangan Malaysia tidak sekadar lebih murah daripada barang buatan import negara malah
mempunyai kualiti dan kuantiti yang baik. Walau bagaimanapun,  usaha daripada ibu bapa
semata-mata adalah tidak mencukupi.  Rakyat Malaysia patut menghayati tema Hari
Kebangsaan; 1Malaysia Menjana Transformasi menyemarakkan semangat seisi negara agar seia
sekata sebagai satu bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan membeli
barangan Malaysia. Tegasnya, negara kita, tanggungjawab kita merupakan azimat yang tersemat
agar kita berbangga dengan barangan Malaysia yang bermutu tinggi.

Penulisan 4 : Dimensi Masyarakat : Semangat Kejiranan


Semangat kejiranan dalam kalangan rakyat di negara ini semakin
longgar.                                   
Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil oleh pelbagai  pihak
supaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk dapat ditingkatkan?

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan dan
juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal dalam satu taman atau di sebuah egara yang sama,
mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang
akan menjadi  sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi
kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “Jiran sepakat membawa berkat”.
Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam
melakukan sesuatu perkara. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang wajar diambil untuk
memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat?
Langkah primer yang harus diambil oleh pihak kerajaan ialah kerajaan menjalankan
kempen-kempen kejiranan yang bersesuaian di semua peringkat sama ada peringkat daerah,
negeri atau kebangsaan. Tujuan kempen ini adalah untuk menanam semangat perpaduan dan
bersatu padu dalam kalangan rakyat. Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana
Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak menekankan semangat perpaduan antara kaum di
Malaysia. Usaha sama sebegini yang wajar diambil contoh dan diaplikasikan dalam institusi
masyarakat bagi mencetuskan semangat kejiranan yang utuh. Kempen kejiranan yang dijalankan
ini perlulah berterusan dan janganlah hangat-hangat tahi ayam sahaja. Jelasnya, kempen yang
dijalankan ini dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk memupuk semangat
kejiranan.
Selain itu, langkah yang harus diambil ialah masyarakat setempat perlulah mengadakan
aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama
sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang
,mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan
seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan
melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa  tak kenal maka tak cinta. Sebagai contoh,
aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman,
menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat
menjalinkan dan meningkatkan hubungan negara jiran. Malahan, menurut laporan majalah ‘The
Times’ di Australia, kegiatan gotong-royong yang diamalkan di Malaysia merupakan antara
aktiviti yang terbaik di dunia.
        Di samping itu, peranan media massa merupakan langkah yang amat penting dalam
meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan rakyat Malaysia. Pelbagai kaedah boleh
digunakan dalam menyuburkan semangat kejiranan. Media cetak misalnya boleh menyiarkan
artikel-artikel tentang kepentingan semangat kejiranan. Media elektronik pula boleh menyiarkan
dokumentari dan rancangan menarik tentang kejiranan. Melalui media massa, pelbagai maklumat
dan berita boleh disampaikan dengan cepat dan mudah. Sesungguhnya, berita dan isu semasa
yang disiarkan oleh media massa lebih mudah menarik perhatian orang ramai terutamanya
generasi muda. Sebagai contoh, usaha Majalah 3 menyiarkan ‘Colour of Malaysia’ wajar
disokong. Justeru, semangat  hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah  ini wajar
kita tonjolkan melalui media massa.
        Seterusnya, setiap penduduk hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa
sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh
semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat
bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya ,melalui
rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang
sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, sambutan majlis
rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Krismas, Deepavali dan
sebagainya hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu
mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.
        Di samping itu, Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung dan Jawatan Kuasa Kemajuan Taman
juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti Hari Keluarga diadakan, semua ahli keluarga
jiran akan turut serta melibatkan diri dalam aktiviti berkayak, memasukkan air ke dalam botol,
terompah gajah dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan
terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini
hendaklah diadakan di padang bola sepak, taman rekreasi atau padang sekolah yang
berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat antara jiran dapat dibentuk yang
secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain
seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu, ke bukit sama didaki, ke lurah sama
dituruni.
        Tambahan lagi, kerajaan juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam
aktiviti seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu
persatuan yang mempunyai satu organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah
melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan
dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatan Kuasa Keselamatan dan
Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui
Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan
taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat
dalam peribahasa Melayu,  ibarat aur dengan tebing  yang mementingkan semangat sandar-
menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.
        Akhir sekali, masyarakat mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi dalam
kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam
hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan
mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu
berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital
kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada
mengatakan bahawa  berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai
jiran, kita mestilah berpegang kepada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga.
Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai
segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita itu.
Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk
setempat. Dalam era globalisasi, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan
orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam
belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan
luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan
bahawa “bersatu kita teguh bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat
kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah
sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita
sentiasa aman, harmoni dan sejahtera. 

Penulisan 5 : Dimensi Diri : Usaha-usaha memartabatkan permainan tradisional


Permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi muda.
Jelaskan usaha-usaha yang boleh anda lakukan bagi memartabatkan permainan 
tradisional di negara kita.

          Pada zaman pascakemerdekaan ini, arus modenisasi dan globalisasi yang pesat
berkembang menyebabkan permainan tradisional sudah semakin dipandang enteng dan
disisihkan oleh masyarakat kita daripada arus perdana. Permainan tradisional adalah merujuk
kepada permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesebuah masyarakat untuk satu tempoh
yang tertentu sebagai pengisi masa lapang. Negara kita kaya dengan pelbagai jenis permainan
tradisional yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Antara jenis permainan
tradisional tersebut termasuklah congkak, wau, gasing, galah panjang, batu seremban, teng-teng,
guli, sepak raga, konda-kondi dan sebagainya. Kebanyakan daripada permainan tersebut kurang
diketahui oleh generasi muda.  Hal ini membayangkan bahawa permainan tradisional  berkenaan
akan lenyap ditelan zaman jika tiada usaha diambil untuk mengetengahkannya dalam kalangan
khalayak ramai khususnya generasi masa ini. Persoalannya, apakah peranan yang seharusnya
saya mainkan dalam usaha memartabatkan permainan tradisional di negara kita?

          Usaha pertama yang saya lakukan untuk memartabatkan permainan tradisional adalah
dengan memupuk minat diri sendiri terhadap  permainan tradisional. Remaja pada masa ini 
banyak terdedah dengan pelbagai pengaruh modenisasi dan perubahan. Mereka sering
menganggap permainan tradisional telah lapuk dan ketinggalan zaman. Oleh itu, sebagai
generasi muda, saya harus sedar bahawa saya  berperanan  memartabatkan permainan tradisional.
Hal ini boleh dilakukan atas kesedaran diri sendiri untuk mencari pelbagai informasi berkaitan
dengan permainan tradisional. Saya akan mengakses maklumat tentang permainan tradisional
agar dapat memahami dengan lebih jelas setiap permainan tradisional yang ada di negara kita.
Terdapat banyak laman web yang memberikan pelbagai maklumat berkenan pelbagai permainan
tradisional berserta gambarnya sekali. Secara tidak langsung, wujud kesedaran dalam diri sendiri
untuk memartabatkan  permainan tradisional di negara ini bagi menyaingi permainan moden
yang semakin popular dalam kalangan remaja.

          Selain itu, usaha yang boleh saya lakukan  adalah dengan menjadikan permainan
tradisional sebagai pengisi masa lapang. Hal ini boleh dilakukan dengan rakan-rakan sebaya
pada waktu petang atau pada masa cuti sekolah bagi menggantikan permainan moden. Saya
boleh meminta tunjuk ajar daripada golongan yang lebih tua tentang cara-cara  permainan
tradisional tersebut bagi membolehkan saya dan rakan-rakan memainkannya bersama rakan-
rakan. Inisiatif ini bukan sahaja dapat memartabatkan permainan tradisional malah dapat
memupuk semangat setia kawan dan kerjasama sesama rakan. Hal ini juga boleh mengelakkan
diri saya sebagai remaja daripada terjebak dengan pelbagai gejala negatif akibat daripada
pengaruh rakan-rakan dan persekitaran yang tidak baik. Bagi diri saya  lebih baik mengisi masa
dengan bermain permainan tradisional daripada melakukan perkara-perkara yang tidak
berfaedah. Jelaslah permainan tradisional mendatangkan banyak  kebaikan kepada generasi
muda masa ini.

          Di samping itu, bagi memartabatkan permainan tradisional,  saya sebagai pelajar sekolah
haruslah berani mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar permainan tradisional menjadi
salah satu aktiviti semasa perjumpaan kokurikulum. Saya akan menulis surat kepada pihak
sekolah menerusi persatuan agar memasukkan permainan tradisional menjadi sebahagian
daripada aktiviti kokurikulum di sekolah.  Hal ini secara tidak langsung akan memperkenalkan
permainan tradisional kepada semua pelajar. Saya  juga akan  menyertai permainan tradisional
yang dipertandingkan di peringkat sekolah semasa aktiviti kokurikulum dan juga persatuan
akademik. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah pertandingan membuat wau, pertandingan
bermain congkaka dan demonstrasi permainan daripada golongan tua yang lebih berpengalaman
bagi menarik minat pelajar. Dengan cara tersebut, minat remaja terhadap permainan tradisional
dapat dipupuk agar kepelbagaian permainan tradisional dapat dipelihara. Ibarat kata pepatah, tak
kenal maka tak cinta amat bertepatan kerana jika pelajar telah mula diperkenalkan dengan
pelbagai permainan tradisional, sudah pastilah minat terhadapnya akan tertanam secara semula
jadi. Maka para pelajar perlu berani membuat perubahan ke arah memartabatkan permainan
tradisional.

          Usaha yang seterusnya ialah saya sebagai remaja perlu menanamkan semangat cinta akan
budaya terutama permainan tradisional.  Hal ini adalah  kerana, permainan tradisional merupakan
budaya masyarakat Malaysia sejak dahulu dan perlu diteruskan dan dipelihara agar dikenali oleh
generasi akan datang. Sesuatu yang baik itu perlu dipupuk dan ditanam dalam diri sejak kecil
sesuai dengan peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika asasnya telah kukuh maka
secara langsung remaja masa ini tidak akan segan silu mempertahankan dan memartabatkan
permainan tradisional. Alah bisa tegal biasa kerana sesuatu yang sukar pada awalnya akan
menjadi mudah dan biasa jika selalu dilakukan dan diamalkan. Begitulah juga yang diharapkan
terhadap permainan tradisional. Jika remaja seperti saya telah mula menanamkan sikap sayang
dan cinta akan budaya masyarakat ini, maka sudah pasti permainan tradisional terpelihara megah
dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sesungguhnya kecintaan terhadap permainan tradisional
akan memupuk juga rasa cinta terhadap negara

          Kesimpulannya, remaja hendaklah berusaha mempopularkan permainan tradisional agar


permainan tersebut terus terpelihara dan mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia umumnya
dan generasi muda khususnya. Maka golongan muda perlu berganding bahu dan meminta
bantuan golongan yang lebih tua agar permainan tradisional terus dimartabatkan dan
diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti. Kedua-dua golongan boleh saling bekerjasama
sebelum nasi menjadi bubur. Khazanah ini perlu dipelihara dan dikekalkan di negara ini dengan
menggunakan pelbagai pendekatan sesuai dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada
jalan. 
Penulisan 6 : Dimensi Diri : Usaha-usaha membantu pihak sekolah meningkatkan
penggunaan pusat sumber sekolah.

Anda sebagai pengawas pusat sumber sekolah.


Jelaskan usaha-usaha yang dapat anda lakukan untuk membantu meningkatkan
penggunaan pusat sumber sekolah anda.

        Pusat Sumber sekolah merupakan gedung ilmu iaitu tempat untuk mendapatkan pelbagai
informasi yang diperlukan oleh setiap warga sekolah. Namun, sejak akhir-akhir ini isu para
pelajar kurang mengunjungi pusat sumber sekolah sering diperkatakan dalam media massa sama
ada media cetak atau media elektronik. Hal ini membimbangkan semua pihak kerana para pelajar
merupakan pelapis yang bakal menerajui negara pada masa hadapan, bak kata peribahasa
pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Justeru, pusat sumber sekolah perlu diurus secara
sistematik dan efisien untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar agar menjadi
pelajar yang berilmu dan bermaklumat selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
Persoalannya, apakah usaha-usaha untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber
sekolah?
        Selaku pengawas pusat sumber sekolah, terdapat banyak usaha yang dapat saya lakukan
untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber di sekolah saya. Satu daripada caranya
ialah saya akan memastikan pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan kemas dan menarik.
Saya akan bekerjasama dengan pengawas pusat sumber yang lain untuk mengemas kini pusat
sumber. Aktiviti gotong-royong membersihkan pusat sumber  akan diadakan secara berkala agar
pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan bersih. Saya juga akan memastikan buku-buku
disusun atur dengan kemas  di atas rak-rak  buku mengikut kategori dan jenis buku. Dengan ini
keadaan harmoni dan selesa dapat diwujudkan. Situasi ini dapat memberi keselesaan kepada
seseorang pelajar semasa mengulang kaji pelajaran di pusat sumber. Jelaslah, situasi yang kemas,
bersih dan menarik mampu menarik para pelajar berkunjung ke pusat sumber.
        Selain itu, saya akan membantu guru pusat sumber melaksanakan program Nilam untuk
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Sebagai contohnya, saya boleh membantu
mencari dan menyediakan buku-buku yang sesuai serta menarik untuk kegunaan para pelajar
semasa program Nilam. Oleh itu, program Nilam dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan.
Hal ini dapat membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah dan juga menyemai
budaya membaca dalam kalangan pelajar. Program Nilam merupakan salah satu usaha
Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memupuk dan meningkatkan amalan membaca dalam
kalangan pelajar. Budaya membaca amat penting dan melambangkan ketinggian tamadun
sesuatu bangsa. Dengan membaca, seseorang itu akan mendapat pelbagai ilmu pengetahuan
sebagai pedoman hidup, bak kata peribahasa membaca jambatan ilmu. Justeru, pelaksanaan
program Nilam yang berkesan menjadi daya penarik kepada para pelajar untuk mengunjungi
pusat sumber.
        Seterusnya, saya akan mengesyorkan kepada pihak sekolah agar menyediakan kemudahan
yang lengkap di pusat sumber. Saya akan menulis surat kepada pihak pengurusan agar dapat
menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber untuk kebaikan pelajar. Saya akan
meminta pihak pengurusan menyediakan  komputer yang boleh diguna pakai oleh pelajar untuk
melayari internet bagi mendapatkan pelbagai informasi terkini. Saya akan membantu dari segi 
penyediaan buku-buku yang baharu dan menarik. Dengan adanya pelbagai buku yang baharu dan
terkini, pengunjung dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Pihak sekolah juga perlu
menyediakan pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada para pelajar. Secara tidak
langsung keadaan ini lebih mewujudkan suasana yang kondusif dan menggalakkan para pelajar
berkunjung ke pusat sumber sekolah.
        Di samping itu, sebagai pengawas pusat sumber juga, saya akan mengamalkan budaya
mesra pelanggan semasa menjalankan tugas. Saya akan bersikap sopan, berbudi pekerti mulia
dan berhemah tinggi serta sentiasa bersedia memberikan pertolongan sekiranya pengunjung
menghadapi masalah tanpa mengira bangsa dan agama , bak kata peribahasa budi bahasa budaya
kita. Layanan mesra daripada  pengawas  menggembirakan para pengunjung dan merupakan
salah satu kunci untuk menarik para pelajar mengunjungi pusat sumber. Saya juga akan
membantu pihak sekolah mempromosikan buku-buku di pusat sumber agar dapat dipinjam oleh
pelajar. Saya juga perlu bersikap adil dan tegas kepada semua pelanggan terutama sekiranya
mereka lewat atau sengaja  tidak memulangkan buku yang dipinjam mengikut tarikh yang
ditetapkan.
        Selaku pengawas pusat sumber juga, saya akan mencadangkan kepada pihak sekolah agar
menyediakan sistem pinjaman buku yang sistematik dan berkesan untuk membantu
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah saya. Contohnya penggunaan ICT khususnya
komputer dalam urusan pinjaman dan pemulangan buku dapat menjimatkan masa dan tenaga.
Penggunaan sistem berkod merupakan langkah bijak kerana semua bahan bacaan berbentuk buku
akan direkodkan secara berkod yang memudahkan urusan pinjaman dan pemulangan buku yang
dilakukan secara ‘scaning’. Kaedah ini akan mewujudkan sistem pengurusan pusat sumber yang
sistematik kerana para pelajar tidak perlu menunggu terlalu lama untuk urusan pinjaman dan
pemulangan buku. Jelaslah sistem pinjaman yang sistematik dan efektif  adalah penting untuk
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah.
        Kesimpulannya, pusat sumber sekolah menyediakan perkhidmatan dan sumber
pembelajaran dalam pelbagai bentuk bagi membolehkan warga sekolah menjadi pengguna yang
bermaklumat dan pemikir  yang kreatif serta kritis. Justeru, terpulang pada pelajar sendiri sama
ada mahu menggunakan atau sebaliknya,  tepuk dada tanyalah minda. Semua pihak perlulah
berganding bahu dalam usaha meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah bak kata
peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Penulisan 7 : Dimensi Diri : Usaha Menggembirakan Ibu Bapa

Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan.


Bincangkan usaha-usaha yang wajar anda lakukan untuk memastikan harapan mereka itu
tercapai.
        Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan. Pernyataan ini jelas
menunjukkan bahawa hasrat semua ibu bapa di dunia ini adalah sama. Sesungguhnya, ibu bapa
merupakan insan mulia yang melahirkan kita  dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang
bagai menatang minyak yang penuh. Mereka  merupakan orang yang paling banyak berkorban
demi kesejahteraan hidup kita. Ahli bijak pandai pernah berkata bahawa, ”Tiada anugerah yang
lebih berharga yang diberikan oleh ibu dan ayah kepada anaknya kecuali tunjuk ajar dan budi
pekerti yang mulia”. Ungkapan ini jelas memaparkan betapa besar pengorbanan  ibu bapa dalam
mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna.  Sebagai anak yang bertanggungjawab, kita
perlu sentiasa ingat akan pengorbanan ibu bapa kita dan sentiasa bersedia untuk membalas budi
mereka agar kita tidak dianggap sebagai anak yang derhaka atau kacang lupakan kulit.. Satu
perkara yang amat wajar kita lakukan dalam kehidupan kita ialah memenuhi harapan ibu bapa
terhadap kita agar berjaya dalam hidup. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang wajar saya
lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai?
        Usaha pertama yang perlu saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai ialah
saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Saya
akan menumpukan sepenuh perhatian  semasa guru sedang mengajar di kelas. Sekiranya terdapat
topik yang tidak difahami, saya akan bertanya kepada guru. Sememangnya tidak dapat dinafikan
bahawa kecemerlangan dalam bidang akademik pada zaman ini menentukan keadaan masa
hadapan seseorang kerana mereka yang cemerlang dalam akademik biasanya mempunyai masa
hadapan yang cerah. Kejayaan yang saya capai ini, sudah pasti dapat membanggakan kedua-dua
ibu bapa dan keluarga. Pada era globalisasi ini yang penuh dengan persaingan ini,  amat penting
bagi seseorang  mencapai kecemerlangan akademik untuk bersaing dengan orang lain
terutamanya dalam alam pekerjaan. Masyarakat kini menilai seseorang berdasarkan pencapaian
akademiknya. . Saya akan sentiasa berusaha untuk membolehkan diri saya meraih kejayaan dan
kegembiraan setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Oleh itu, saya akan membuat
persediaan yang rapi sebelum menduduki peperiksaan agar saya dapat menjawab semua soalan
dengan cemerlang kerana di mana ada kemahuan di situ  pasti ada jalan.. Pada masa yang sama,
saya juga akan memberi perhatian pada perkara yang berkaitan dengan ilmu selain bidang
akademik. Hal ini kerana saya sedar bahawa kecemerlangan akademik bukanlah segala-galanya.
Seorang insan yang berjaya perlu mahir dalam pelbagai bidang. Tegasnya, saya akan belajar
dengan tekun dan berusaha dengan gigih bagi menunaikan harapan ibu bapa.
        Selain itu, saya juga akan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi bahasa dalam
kehidupan. Saya akan mengamalkan nilai ketabahan, kerajinan, amanah, tidak berputus asa dan
berkeyakinan tinggi dalam usaha mencapai kejayaan.  Hal ini demikian kerana saya sedar
bahawa orang yang berjaya dalam kehidupan bukan sahaja perlu cemerlang dalam bidang
akademik,  malahan perlu menjadi seorang yang cemerlang dari segi akhlak, rohani, intelek dan
emosi iaitu mempraktikkan konsep JERI yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Sebagai contohnya, saya akan sentiasa bersopan santun dan menghormati ibu bapa, guru-guru, 
jiran tetangga  dan orang di sekeliling saya. Amanat ini bukan sahaja dapat mengeratkan
hubungan saya dengan orang lain malah dapat membina personaliti yang luhur dalam diri saya.
Saya juga akan sentiasa menghormati orang yang lebih tua dan bertegur sapa seperti
mengucapkan selamat kepada mereka. Sahsiah yang saya miliki  ini pasti akan menggembirakan
hati kedua-dua ibu bapa saya, bak kata pepatah, “akhlak yang baik seperti madu, sentiasa manis
dan berkhasiat”. Saya akan membuang sikap malas dalam diri agar tidak menghampakan
harapan ibu bapa saya. Akhlak yang terpuji akan menjadi penghias diri dan berjalan seiring
dengan kejayaan yang kita miliki. Kita perlu ingat bahawa sekiranya akhlak seseorang itu buruk,
walau betapa cemerlang pun pencapaiannya dalam akademik tidak akan dihormati dan disegani.
Jelasnya, amalan berbudi bahasa amat penting dalam menentukan kejayaan seseorang individu.
       Seterusnya, saya juga akan sentiasa berpegang teguh  kepada ajaran agama sekiranya ingin
berjaya dalam kehidupan. Pegangan agama yang teguh  membolehkan saya mempunyai benteng
keimanan yang  kukuh dan ampuh bagi mengelakkan diri saya daripada  pengaruh  negatif yang
dapat menjejaskan kehidupan saya. Dengan berpegang teguh kepada ajaran agama, saya akan
memiliki jati diri yang utuh untuk melawan serangan pemikiran yang boleh menjerumuskan saya
ke kancah maksiat. Hal ini kerana Tuhan sentiasa menyeru hambanya  untuk melakukan sesuatu
yang baik serta menjauhi perkara yang buruk. Pegangan kepada agama juga dapat meningkatkan
keyakinan diri saya dan membolehkan saya mempunyai matlamat yang jelas dalam hidup. Hal
ini amat penting dalam menentukan kejayaan saya  pada masa hadapan. Pendidikan agama yang
saya peroleh, menjadi pedoman hidup yang boleh membentuk saya menjadi seorang yang positif
dalam segala hal. Saya tidak mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan yang tidak baik. Sebaliknya,
saya akan sentiasa  menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga.  Tegasnya, saya akan berpegang
teguh kepada ajaran agama agar dapat mencapai kejayaan dalam hidup dan membanggakan
kedua-dua ibu bapa saya.
        Di samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan mempunyai keinginan
untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Dengan ini, saya
tidak akan dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah dan seterusnya terlibat dalam gejala
social yang negatif. Saya akan membezakan antara kaca dengan permata dan sentiasa
memikirkan akan masa depan saya serta matlamat hidup saya. Melalui pergaulan dengan rakan-
rakan yang mengutamakan pendidikan mereka, saya akan dapat bertukar-tukar pendapat serta
ilmu dengan mereka. Saya juga dapat menyertai kumpulan pembelajaran mereka dan
membolehkan saya berbincang serta lebih memahami topik-topik yang telah diajarkan oleh guru.
Secara tidak langsung, pencapaian keputusan peperiksaan saya akan meningkat hasil daripada
perbincangan dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan.  Pergaulan dengan rakan-rakan yang bijak
dalam pembelajaran akan dapat menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya. Saya akan
mempunyai semangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri saya tidak akan
diasingkan dari kumpulan tersebut serta tidak akan berasa tersisih dan terpulau apabila dalam
menyelesaikan sesuatu soalan. Saya juga dapat bergantung kepada rakan–rakan yang baik ini
apabila saya tidak berdaya untuk menghadapi dan menyelesaikan  sesuatu cabaran dalam hidup.
Mereka tentu  akan dapat membantu saya untuk membangkitkan diri saya semula dengan
memberi  dorongan dan nasihat yang berguna kepada saya dan bukannya menyuruh saya
melibatkan diri diri dengan gejala sosial negatif yang dapat mengurangkan tekanan jiwa dan
stress. Maklumlah, seseorang akan lebih terpengaruh dengan gejala sosial apabila berada dalam
ambang kegagalan dan kekecewaan. Tegasnya, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang
berakhlak mulia agar saya tidak akan tersilap langkah dalam membuat sebarang keputusan dalam
hidup saya agar dapat memenuhi impian dan harapan ibu bapa.
      Seterusnya, saya akan meningkatkan keilmuan diri saya dengan pembacaan. Ibnu  Khaldun
pernah berkata bahawa “membaca menjadi akar tunjang kekuatan seseorang individu, malah
sesuatu bangsa dan sesebuah negara”. Hal ini  jelas menunjukkan bahawa membaca adalah amat
penting dalam menentukan kekuatan dan kejayaan seseorang individu. Saya akan membaca
buku-buku yang berkaitan dengan pembinaan kendiri seperti buku-buku motivasi dan sebagainya
untuk meningkatkan tahap pemikiran diri saya kerana membaca jambatan ilmu. Langkah ini
bagai serampang dua mata kerana selain boleh membantu saya dalam bidang akademik, usaha
tersebut juga dapat membentuk diri saya menjadi seorang yang berilmu pengetahuan luas. Secara
langsung, kejayaan akan dapat dicapai dalam kehidupan. Saya juga akan cuba memperbaiki
kelemahan diri untuk berjaya dalam kehidupan. termasuk mengatasi  sikap malas. Saya akan
mengubah sikap ini untuk mencapai kejayaan dan berubah menjadi seorang yang rajin kerana
rajin dan usaha, tangga kejayaan.  Saya berharap agar perubahan yang saya lakukan ini dapat
membolehkan diri saya mencapai harapan ibu bapa iaitu berjaya dalam kehidupan. Apabila
masuk ke alam  pekerjaan kelak, saya akan mencari pekerjaan yang stabil dan membalas budi
mereka.
        Akhir sekali,  saya akan sentiasa mendengar nasihat ibu bapa kerana Tuhan hanya akan
menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa. Saya akan sentiasa patuh
kepada arahan ibu bapa tanpa sebarang rungutan kerana saya sedar bahawa syurga terletak di
bawah tapak kaki ibu. Saya juga sedar bahawa tanpa doa dan dorongan ibu bapa, betapa tabah
dan pandai saya sekali pun, saya tidak mungkin akan mencapai impian serta kejayaan dalam
hidup saya. Ibu bapa merupakan insan yang lebih tua dan mereka terlebih dahulu makan garam
daripada saya. Oleh itu, ibu bapa mempunyai pengalaman yang kaya dan luas dalam masyarakat
dan dunia luar. Maka, wajarlah saya untuk meminta dan menerima pandangan mereka agar diri
saya tidak akan menimbulkan kesilapan yang mungkin mengakibatkan saya berasa menyesal
buat seumur hidup saya. Mereka merupakan punca tenaga  dan dorongan saya untuk mengejar
impian dan cita-cita saya serta memperoleh kejayaan dalam hidup saya. Tanpa mereka, saya
tidak mungkin berpeluang untuk mencapai kejayaan dalam hidup saya. Tegasnya, saya akan
mematuhi arahan dan mendengar nasihat ibu bapa agar impian saya dapat dicapai dan yang
paling penting sekali ialah kisah Si Tanggang tidak akan berlaku ke atas diri saya.
        Berdasarkan perbincangan di atas,  dapatlah  disimpulkan bahawa untuk mencapai impian
dan kejayaan dalam hidup, saya sebagai remaja perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk
mencapai kejayaan.. Saya akan berusaha memastikan agar impian dan cita-cita saya tercapai dan
sekali gus,  saya juga dapat memenuhi impian dan harapan ibu bapa saya.  Charles Dickens
pernah berkata bahawa “kemahuan seperti sebilah pedang yang dapat membuat jalan melalui
hutan rimba.” Manusia memang tidak dapat menjangka dan melihat masa hadapan, tetapi
manusia boleh meramal masa hadapan mereka dengan merancang masa hadapan mereka sebaik-
baiknya. Jelasnya, kita harus memberi peluang kepada diri kita untuk menjadikan impian dan
cita-cita  sebagai kenyataan kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
Penulisan 8 : Dimensi Keluarga : Usaha Ibu Bapa Menjadikan Anak-anak Insan yang
Berguna

Ibu bapa sentiasa mengharapkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna.
Bincangkan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan
mereka itu tercapai.

      Anak-anak yang sihat serta memperlihatkan kecemerlangan diri merupakan idaman setiap
ibu bapa. Dalam hal ini, ibu bapa bertanggungjawab penuh untuk merealisasikan hal tersebut.
Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anaknya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa
dan negara. Mereka perlu berusaha untuk merealisasikan impian itu dengan mengaplikasikan
kemahiran keibubapaan ke tahap yang paling optimum. Jika hal ini dipraktikkan, harapan untuk
memiliki anak-anak yang berguna akan dapat direalisasikan. Persoalannya, apakah usaha-usaha
yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka tercapai?
        Usaha paling asas yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka
menjadi insan yang berguna ialah mewujudkan suasana kekeluargaan yang saling berkasih
sayang. Ibu bapa haruslah memahami bahawa anak-anak memerlukan perhatian dan kasih
sayang mereka. bu bapa boleh mencurahkan kasih sayang sama ada berbentuk luahan kata dan
perbuatan yang secukup kepada anak-anak agar anak-anak berasa diri mereka diambil berat dan
tidak diabaikan oleh ibu bapa. Misalnya, ibu bapa haruslah memberikan pujian kepada anak-anak
sama ada dengan cara memberikan hadiah ataupun dengan mengucapkan kata-kata positif
apabila anak-anak mendapat keputusan yang cemerlang. Hal ini penting kerana sepatah kata
yang positif daripada ibu bapa dapat menyuntik semangat dan memberikan dorongan serta
motivasi kepada anak-anak untuk terus berusaha mencapai kejayaan kerana pepatah menyatakan
rajin dan usaha, tangga kejayaan. Kajian menunjukkan bahawa punca kebanyakan anak menjadi
sampah masyarakat adalah kerana keadaan rumah tangga yang porak-peranda di samping sikap
ibu bapa yang materialistik dan mementingkan kerjaya. Sebagai contohnya, banyak ibu bapa
yang menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada pembantu rumah sepenuhnya.
Hal ini menyebabkan anak-anak berasa tersisih dan diabaikan lalu melakukan perkara-perkara
negatif. Tegasnya, anak-anak akan menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat,
agama, dan negara jika keluarga yang saling berkasih sayang dan mengambil berat dapat
diwujudkan.
        Selain itu, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna juga, ibu bapa perlu
menyediakan kediaman yang menepati konsep “Rumahku Syurgaku” demi keselesaan anak-
anak. Ibu bapa perlulah mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai supaya anak-anak
berasa tenang ketika berada di rumah. Setiap ibu bapa perlulah mengelakkan pertelingkahan di
hadapan anak-anak. Ibu bapa hendaklah mengucapkan kata-kata yang lemah-lembut agar anak-
anak mendengar segala arahan dan nasihat daripada ibu bapa. Bagi mewujudkan keselesaan
dalam rumah tangga, ibu bapa perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk ahli
keluarganya seperti bilik tidur yang mencukupi, bilik untuk anak-anak belajar dan bilik untuk
anak-anak menonton televisyen atau bermain komputer. Sudah terbukti bahawa anak-anak yang
tinggal di kediaman yang kurang selesa cenderung untuk melepak dan sesetengahnya tidak
pulang ke rumah. Amalan melepak ini mendedahkan anak-anak kepada pelbagai bentuk gejala
negatif seperti merokok, menagih dadah dan sebagainya. Hal ini banyak berlaku di bandar-
bandar besar, khususnya di kawasan-kawasan setinggan. Oleh hal yang demikian ,ibu bapa perlu
menyediakan kediaman yang selesa untuk anak-anak mereka sekiranya mereka menginginkan
anak-anak mereka menjadi insan yang berguna dan menyayangi keluarganya.
        Di samping itu, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, setiap ibu bapa
haruslah memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi
kerana pepatah menyatakan bahawa kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya dan
asas pendidikan bermula dari rumah.. Didikan agama yang sempurna dapat membentuk akhlak
dan pekerti mulia kepada anak-anak di samping membantu mereka mengetahui batas hidup yang
betul. Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan  baik atau buruk
sesuatu perkara dan anak-anak membesar dengan berpandukan ajaran agama. Sebagai contoh,
jika keluarga tersebut berasal dari keluarga yang baik, kebiasaannya keturunannya akan baik.
Jika ibu bapa mempunyai pegangan didikan agama yang kuat, anak-anak mereka juga akan
mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu juga, dan
bagaimana acuan begitulah kuihnya. Dengan kesempurnaan didikan agama, anak-anak dapat
mengawal diri daripada melakukan maksiat seperti meragut, berfoya-foya dan sebagainya.
Tegasnya, didikan agama yang sempurna dapat merealisasikan impian ibu bapa untuk memiliki
anak-anak yang berguna.
        Seterusnya, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa mestilah
menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak, bak kata pepatah bagaimana acuan
begitulah kuihnya. Ibu bapa janganlah menjadi seperti “ketam mengajar anaknya berjalan betul”.
Ibu bapa meminta anak-anak menunjukkan contoh terbaik sedangkan mereka tidak menunjukkan
contoh yang baik kepada anak-anak. Gaya mendidik anak-anak seperti ini tidak akan berkesan.
Peribahasa Melayu “bapa borek anak rintik” sudah jelas membuktikan bahawa segala tindak
tanduk ibu bapa akan menjadikan ikutan anak-anak, kerana anak-anak biasanya meniru tingkah
laku dan percakapan ibu bapa. Anak-anak yang membesar di bawah didikan ibu bapa yang
berjaya menjadi suri teladan yang baik akan menjadi insan yang baik dan bertanggungjawab.
Oleh itu, ibu bapa haruslah sentiasa menjaga tingkah laku dan mengelakkan penggunaan bahasa
yang kasar dalam kehidupan sehari-hari. Hal ini demikian kerana keperibadian ibu bapa menjadi
penentu tingkah laku anak-anak pada masa hadapan. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi contoh
teladan yang baik agar anak-anaknya turut menjadi insan yang baik dan berguna.
        Tambahan lagi, ibu bapa perlulah bersedia untuk menerima sebarang teguran daripada
orang lain berkaitan dengan tingkah laku anak-anak mereka dengan hati terbuka. Sebagai ibu
bapa yang bertanggungjawab dan ingin membentuk anak mereka menjadi insan yang berguna,
ibu bapa tidak sepatutnya menyebelahi anak-anak mereka apabila orang lain memberi teguran.
Hal ini demikian kerana teguran yang diberi itu bukanlah untuk memburuk-burukkan anak
mereka tetapi untuk membetulkan kesilapan yang telah dilakukan oleh anak mereka. Dalam
konteks ini, falsafah “menjaga tepi kain orang lain” dalam masyarakat  adalah untuk kebaikan
bersama dan ibu bapa perlulah menerimanya secara positif. Berdasarkan teguran yang diberikan,
ibu bapa perlulah segera membetulkan kesilapan anak dan mencari punca anak mereka berbuat
kesilapan sedemikian rupa agar anak mereka tidak mengulangi kesilapan yang sama. Jadi, untuk
membentuk anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa perlu menerima kritikan dan teguran
orang lain dengan hati yang terbuka. Peribahasa “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak
berguna” atau “sudah terhantuk baru tengadah” sewajarnya menjadi panduan kepada ibu bapa.
        Akhir sekali, ibu bapa perlu sentiasa mengikuti perkembangan pendidikan anak-anak sama
ada dalam aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah anak-anak. Sikap prihatin dan ambil berat
ibu bapa menyebabkan anak-anak berasa diri mereka diutamakan. Untuk tidak mengecewakan
ibu bapa, anak-anak akan berusaha meningkatkan kecemerlangan sama ada dalam aspek
kurikulum ataupun kokurikulum. Hubungan ibu bapa dengan guru-guru sekolah juga
memberikan impak kepada tahap sahsiah anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlu menjalinkan
hubungan yang baik dengan guru di sekolah sama ada guru disiplin, guru kelas atau guru mata
pelajaran. Ibu bapa perlu sering berkunjung ke sekolah untuk mengikuti perkembangan
kemajuan anak-anak dalam bidang pelajaran dan berbincang dengan guru disiplin sekolah
berkaitan akhlak dan sikap anak-anak di sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlu mengawasi
tingkah laku anak-anak di luar rumah serta mengenali rakan-rakan mereka. Ibu bapa juga
perlulah bertanya kepada anak sebab-sebab anak-anak keluar rumah atau pulang
lewat. Tuntasnya, ibu bapa perlu memantau perkembangan pendidikan dan sahsiah anak-anak
agar mereka jadi insan yang berguna apabila dewasa kelak.
        Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa usaha untuk membentuk
anak-anak menjadi insan yang berguna memerlukan pengorbanan dan kesabaran ibu bapa. Untuk
mendidik anak-anak menjadi seorang insan yang berguna bukanlah satu tugas yang mudah.
Semua ini perlu dilakukan melalui proses pendidikan sedikit demi sedikit dan dengan penuh
kesabaran. Oleh itu, perancangan yang teliti dan sistematik perlu dilakukan oleh ibu bapa secara
istiqamah untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna. Setiap ibu bapa juga
mengharapkan anak mereka dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara serta
mempertahankan maruah keluarga. Tegasnya, tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anak
mereka jadi sampah masyarakat yang bukan sahaja tidak memberikan sebarang sumbangan
kepada masyarakat dan negara malah membawa masalah serta menjatuhkan keluarga kita.
Penulisan 9 : Dimensi Keluarga : Peranan Ibu Bapa Memupuk Minat Membaca

Minat membaca terutama membaca buku-buku ilmiah dalam kalangan anak remaja
belum mencapai tahap yang memuaskan. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk
menggalakkan anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan
generasi yang cinta akan ilmu.
Nyatakan usaha-usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk mencapai hasrat tersebut.

           Pada era globalisasi ini, ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-
anak mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu
pengetahuan. Hal ini demikian kerana anak-anak muda pada era ini, lebih gemar membaca
bahan-bahan bacaan yang ringan seperti surat khabar,  novel cinta, komik, majalah hiburan dan
animasi kartun. Majalah atau buku yang sarat dengan ilmu dan pengetahuan seperti buku-buku
motivasi, pembinaan kendiri, falsafah, Majalah Dewan Masyarakat, Solusi, Dewan Budaya, Al
Islam,  dan Anis kurang diminati malah ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu akan
kewujudan majalah tersebut di pasaran. Mereka berpendapat bahawa membaca karya-karya
ilmiah dianggap berat dan membosankan kerana memerlukan minda untuk berfikir sedangkan 
majalah atau buku-buku yang berunsurkan hiburan lebih seronok untuk dibaca kerana
pembacaan bagi mereka hanya sekadar mengisi ruang kosong dalam masa senggang sahaja. Apa
pun yang jelas, buku yang baik adalah kunci kepada khazanah kebijaksanaan. Ibu bapa
merupakan insan yang penting untuk melahirkan anak yang berilmu, bersahsiah baik dan
dihormati oleh orang lain. Persoalannya, apakah modus operandi yang boleh diambil oleh ibu
bapa untuk melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan?
          Untuk memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak, ibu bapa haruslah membawa
anak-anak ke pesta buku atau pameran buku  seperti Pameran Buku Antarabangsa  di PWTC
yang diadakan pada setiap tahun. Hal ini dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu
pengetahuan. Apabila ibu bapa membawa anak-anak ke pameran buku, minat anak-anak untuk
membaca buku akan bercambah. Anak-anak akan dapat melihat pelbagai jenis buku yang
menarik serta menyeronokkan untuk dibaca. Mereka berpeluang untuk memilih buku-buku yang
disukai dan diminati. Dalam hal ini, peranan ibu bapa amat penting untuk membimbing anak-
anak agar dapat memilih buku yang berkualiti yang mampu membina pemikiran atau minda
anak-anak. Selain itu, anak-anak juga berpeluang untuk membaca buku-buku yang berunsurkan
keagamaan, falsafah, motivasi dan sebagainya.. Hal ini secara tidak langsung, dapat
meningkatkan ilmu pengetahuan dalam diri anak-anak. Di samping itu, anak juga berpeluang
untuk membaca buku-buku yang memaparkan sejarah negara lain. Hal ini, dapat meningkatkan
pengetahuan am anak-anak tentang Negara luar. Tegasnya, usaha ibu bapa membawa anak-anak
mereka ke pameran buku merupakan salah satu langkah efektif yang melahirkan minat anak-
anak untuk membaca karya-karya ilmiah dan menjadi ulat buku dan seterusnya menjadi
generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.
         Selain itu, ibu bapa harus  menjadi suri teladan kepada anak-anak dalam aspek membaca.
Justeru, ibu bapa hendaklah  memulakan budaya membaca di rumah dengan menyediakan
persekitaran yang boleh  merangsang minat anak-anak untuk membaca buku-buku ilmiah. Ibu
bapa hendaklah membaca buku-buku dan surat khabar  pada setiap hari terutama pada waktu
senggang. Perbuatan ibu bapa yang suka membaca pasti akan dicontohi dan diikuti oleh anak-
anak kerana pepatah menyatakan bagaimana acuan begitulah kuihnya, ke mana tumpah
kuah kalau tidak ke nasi. Pada zaman ini, anak-anak tidak tahu untuk mengisi masa lapang
dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah Jadi, ibu bapa boleh mendidik anak-anak sejak kecil lagi
untuk membaca buku-buku ilmiah. Bak kata pepatah, melentur buluh  biarlah dari
rebungnya dan asas pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa boleh melakukan aktiviti
membaca bersama anak-anak pada hari cuti sewaktu semua ahli keluarga berehat di rumah.
Dalam hal ini, Ibu bapa janganlah menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul,
sedangkan diri sendiri  tidak betul. Sekiranya, ibu bapa tidak pernah membaca bahan-bahan
ilmiah, bagaimanakah anak-anak hendak membaca bahan-bahan tersebut. Anak-anak akan suka
membaca apabila melihat orang tuanya membaca. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi suri teladan
yang baik  kepada anak-anak kerana anak-anak akan menjadikan membaca sebagai satu amalan
ke mana-mana sahaja mereka pergi bak kata pepatahkalau asal benih yang baik jatuh ke laut
menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar.
          Di samping itu, Ibu bapa perlu menambahkan sumber bacaan dengan membeli banyak
buku atau majalah yang mengandungi  ilmu  pengetahuan yang boleh mengembangkan minda
anak-anak.  Pepatah menyatakan bahawa  membaca jambatan ilmu.  Apabila anak- anak
banyak membaca, sudah tentu pengetahuan mereka pun akan meningkat. Sebagai ibu bapa,
mereka hendaklah membeli bahan bacaan secara tetap pada setiap bulan seperti Majalah Dewan
Masyarakat, Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Al Islam  dan Solusi selain surat khabar yang dibeli
secara harian. Secara tidak langsung, anak-anak akan tertarik untuk membaca buku-buku dan
majalah yang mengandungi banyak ilmu dan pengetahuan yang dibeli oleh ibu bapa mereka.
Minat untuk membaca bahan-bahan yang berkualiti pasti akan bercambah dalam jiwa mereka.
Anak-anak yang disuburkan dengan budaya membaca, pasti dapat membina jati diri unggul,
mempunyai minda sihat, berketerampilan sebagai orang berilmu dan berpengetahuan tinggi.
Selain itu, ibu bapa boleh memberikan hadiah berupa buku sempena hari lahir atau hadiah
sempena kejayaan anak-anak dalam pelajaran atau peperiksaan sebagai ganjaran. Sebagai
contohnya, ibu bapa boleh menghadiahkan buku-buku motivasi sempena hari lahir anak. Hadiah
tersebut dapat memotivasikan diri anak-anak. Mereka akan belajar bersungguh-sungguh kerana
menghargai jasa ibu bapa. Amalan seperti ini akan menyebabkan anak-anak hidup dalam dunia
buku. Tak kenal maka tak cinta.   
            Seterusnya  ibu bapa juga hendaklah menggalakkan anak-anak  membaca buku dengan
cara mendaftar anak mereka menyertai kelab buku.  Melalui penyertaan dalam kelab buku, anak-
anak akan menyertai pelbagai aktiviti dan mengetahui perkembangan buku yang terkini.  Sebagai
contohnya, anak-anak boleh menjadi ahli Kelab Buku Ilmiah yang ditubuhkan oleh Dewan
Bahasa dan Pustaka.    Apabila anak-anak menjadi ahli kelab buku, mereka didedahkan dengan
pelbagai perkara yang berkaitan dengan buku. Secara tidak langsung, anak-anak juga dapat
membezakan bahan bacaan yang bermutu dan bahan bacaan yang tidak berkualiti. Anak-anak
pasti memilih bahan-bahan yang berkualiti kerana boleh mematangkan minda seseorang dalam
mengeluarkan pendapat atau melakukan tindakan. Selain itu, ibu bapa juga boleh menggalakkan
anak-anak menyertai  Kempen Galakan Membaca  dan Kembara Buku yang dianjurkan oleh
pelbagai pihak. Dengan menghadiri kempen-kempen  membaca,  anak-anak bukan sahaja
mendapat kesedaran tentang pentingnya membaca malah ibu bapa turut memperoleh
manfaatnya.  Tegasnya, ibu bapa perlulah membawa anak-anak menghadiri kempen-kempen
membaca dan menggalakkan anak-anak menyertai ahli kelab buku agar anak-anak  membaca
bahan-bahan ilmiah yang dapat membentuk anak-anak menjadi insan yang mulia dan disanjung
tinggi.
             Selain itu, ibu bapa  boleh membina perpustakaan mini yang mengandungi bahan-bahan
ilmiah yang menempatkan pelbagai jenis  buku ilmiah  seperti novel karya agung,  kamus, buku-
buku agama, dan buku motivasi diri  selain buku pelajaran dan buku rujukan. Hal ini dapat
menyuburkan minat anak-anak  untuk membaca buku-buku yang disimpan di rak buku tersebut.
Ibu bapa juga hendaklah memainkan peranan dan memastikan anak mereka membaca buku-buku
yang disediakan dalam perpustakaan mini di rumah.  Anak-anak  juga  digalakkan  untuk
membaca surat khabar atau majalah ilmu pada setiap hari dan membaca sebuah buku pada  setiap
minggu. Hal ini akan menyebabkan masa lapang anak-anak terisi dengan aktiviti membaca tanpa
perlu keluar rumah. Perpustakaan mini yang disediakan oleh ibu bapa tidak memerlukan modal
yang banyak. Buku-buku dan majalah yang dibeli pada setiap bulan boleh disimpan dalam
perpustakaan mini tersebut. Pembacaan buku dan majalah yang berulang kali dapat menguatkan
minda anak-anak. Pepatah menyatakan bahawa bangsa yang membaca, bangsa yang berjaya. 
Apabila anak-anak sudah biasa didedahkan untuk membaca surat khabar pada  setiap hari dan
sebuah buku pada setiap minggu, anak-anak akan biasa berbuat demikian  dan  menjadikan
membaca sebagai  amalan rutin harian kerana alah bisa, tegal dek biasa. Mereka akan selalu
membaca apabila  ada  masa terluang dan mereka akan menghargai masa kerana masa itu emas.
Tambahan pula, jika ibu bapa mempunyai waktu terluang, mereka bolehlah membawa anak-anak
ke perpustakaan awam yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka.  Perpustakaan awam
memuatkan berjuta-juta buku yang boleh meningkatkan ilmu pengetahuan anak-anak. Malahan,
apabila anak-anak pergi ke perpustakaan awam, mereka dapat membaca buku dalam keadaan
yang senyap, aman, damai dan tenang. Jelasnya, usaha ibu bapa membawa anak-anak mereka ke
perpustakaan awam dan menyediakan perpustakaan mini di rumah dapat melahirkan generasi
yang cinta akan ilmu pengetahuan.
Tambahan lagi, ibu bapa juga boleh memupuk minat membaca bahan-bahan ilmiah
dengan membimbing anak-anak mereka melayari internet. Internet merupakan sumber ilmu yang
boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat. Namun, terdapat remaja yang yang
menyalahgunakan Internet seperti melihat gambar-gambar lucah. Dalam konteks ini, ibu bapalah
merupakan pembimbing kepada anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak melayari
internet untuk mencari judul  buku ilmiah yang terkenal supaya boleh dibeli di kedai-kedai buku
berhampiran. Hal ini dapat  menggalakkan anak-anak membaca karya-karya ilmiah supaya boleh
melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Ilmu yang diperoleh daripada bahan-
bahan ilmiah boleh dijadikan sebagai panduan hidup. Hal ini disebabkan mesej-mesej yang
terkandung dalam bahan bahan ilmiah penting dalam kehidupan. Justeru, ibu bapa memainkan
peranan yang penting dalam memupuk minat membaca buku-buku ilmiah.
              Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk melahirkan
generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan, ibu bapalah yang memainkan peranan penting
menggalakkan anak-anak membaca bahan-bahan ilmiah. Ibu bapa harus menanamkan sikap suka
membaca dalam kalangan anak mereka kerana membaca akan menjadikan minda anak-anak
mereka cerdas. Oleh hal yang demikian,  ibu bapa mestilah menjadi pendorong untuk
menyemaikan minat membaca dalam kalangan anak mereka.  Jika anak-anak sudah jatuh
cinta dengan aktiviti membaca, kejayaan dalam bidang pelajaran akan terbentang luas di depan
mereka pada masa depan. Ibn Khaldun  dalam karya besarnya, Muqaddimah, pernah berkata
bahawa kekuatan ilmu bukan sahaja menjadi syarat dan pelengkap kepada kekuatan fizikal,
malah memberi arah dan makna kepada manusia dan bangsa terbabit. Tegasnya, ibu bapa
memainkan peranan yang penting dalam melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.
Penulisan 10 : Dimensi Diri : Usaha Menggembirakan Ibu Bapa

Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan.


Bincangkan usaha-usaha yang wajar anda lakukan untuk memastikan harapan mereka itu
tercapai.

        Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan. Pernyataan ini jelas
menunjukkan bahawa hasrat semua ibu bapa di dunia ini adalah sama. Sesungguhnya, ibu bapa
merupakan insan mulia yang melahirkan kita  dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang
bagai menatang minyak yang penuh. Mereka  merupakan orang yang paling banyak berkorban
demi kesejahteraan hidup kita. Ahli bijak pandai pernah berkata bahawa, ”Tiada anugerah yang
lebih berharga yang diberikan oleh ibu dan ayah kepada anaknya kecuali tunjuk ajar dan budi
pekerti yang mulia”. Ungkapan ini jelas memaparkan betapa besar pengorbanan  ibu bapa dalam
mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna.  Sebagai anak yang bertanggungjawab, kita
perlu sentiasa ingat akan pengorbanan ibu bapa kita dan sentiasa bersedia untuk membalas budi
mereka agar kita tidak dianggap sebagai anak yang derhaka atau kacang lupakan kulit.. Satu
perkara yang amat wajar kita lakukan dalam kehidupan kita ialah memenuhi harapan ibu bapa
terhadap kita agar berjaya dalam hidup. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang wajar saya
lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai?
        Usaha pertama yang perlu saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai ialah
saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Saya
akan menumpukan sepenuh perhatian  semasa guru sedang mengajar di kelas. Sekiranya terdapat
topik yang tidak difahami, saya akan bertanya kepada guru. Sememangnya tidak dapat dinafikan
bahawa kecemerlangan dalam bidang akademik pada zaman ini menentukan keadaan masa
hadapan seseorang kerana mereka yang cemerlang dalam akademik biasanya mempunyai masa
hadapan yang cerah. Kejayaan yang saya capai ini, sudah pasti dapat membanggakan kedua-dua
ibu bapa dan keluarga. Pada era globalisasi yang penuh dengan persaingan ini,  amat penting
bagi seseorang  mencapai kecemerlangan akademik untuk bersaing dengan orang lain
terutamanya dalam alam pekerjaan. Masyarakat kini menilai seseorang berdasarkan pencapaian
akademiknya. Saya akan sentiasa berusaha untuk membolehkan diri saya meraih kejayaan dan
kegembiraan setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Oleh itu, saya akan membuat
persediaan yang rapi sebelum menduduki peperiksaan agar saya dapat menjawab semua soalan
dengan cemerlang kerana di mana ada kemahuan di situ  pasti ada jalan. Pada masa yang sama,
saya juga akan memberi perhatian pada perkara yang berkaitan dengan ilmu selain bidang
akademik. Hal ini kerana saya sedar bahawa kecemerlangan akademik bukanlah segala-galanya.
Seorang insan yang berjaya perlu mahir dalam pelbagai bidang. Tegasnya, saya akan belajar
dengan tekun dan berusaha dengan gigih bagi membanggakan ibu bapa.
        Selain itu, saya juga akan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi bahasa dalam
kehidupan. Saya akan mengamalkan nilai ketabahan, kerajinan, amanah, tidak berputus asa dan
berkeyakinan tinggi dalam usaha mencapai kejayaan.  Hal ini demikian kerana saya sedar
bahawa orang yang berjaya dalam kehidupan bukan sahaja perlu cemerlang dalam bidang
akademik,  malahan perlu menjadi seorang yang cemerlang dari segi akhlak, rohani, intelek dan
emosi iaitu mempraktikkan konsep JERI yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Sebagai contohnya, saya akan sentiasa bersopan santun dan menghormati ibu bapa, guru-guru, 
jiran tetangga  dan orang di sekeliling saya. Amanat ini bukan sahaja dapat mengeratkan
hubungan saya dengan orang lain malah dapat membina personaliti yang luhur dalam diri saya.
Saya juga akan sentiasa menghormati orang yang lebih tua dan bertegur sapa seperti
mengucapkan selamat kepada mereka. Sahsiah yang saya miliki  ini pasti akan menggembirakan
hati kedua-dua ibu bapa saya, bak kata pepatah, “akhlak yang baik seperti madu, sentiasa manis
dan berkhasiat”. Saya akan membuang sikap malas dalam diri agar tidak menghampakan
harapan ibu bapa saya. Akhlak yang terpuji akan menjadi penghias diri dan berjalan seiring
dengan kejayaan yang kita miliki. Kita perlu ingat bahawa sekiranya akhlak seseorang itu buruk,
walau betapa cemerlang pun pencapaiannya dalam akademik tidak akan dihormati dan disegani.
Jelasnya, amalan berbudi bahasa amat penting dalam menentukan kejayaan seseorang individu.
       Seterusnya, saya juga akan sentiasa berpegang teguh  kepada ajaran agama sekiranya ingin
berjaya dalam kehidupan. Pegangan agama yang teguh  membolehkan saya mempunyai benteng
keimanan yang  kukuh dan ampuh bagi mengelakkan diri saya daripada  pengaruh  negatif yang
dapat menjejaskan kehidupan saya. Dengan berpegang teguh kepada ajaran agama, saya akan
memiliki jati diri yang utuh untuk melawan serangan pemikiran yang boleh menjerumuskan saya
ke kancah maksiat. Hal ini demikian kerana Allah sentiasa menyeru hamba-Nya untuk
melakukan sesuatu yang baik serta menjauhi perkara yang buruk. Pegangan kepada agama juga
dapat meningkatkan keyakinan diri saya dan membolehkan saya mempunyai matlamat yang jelas
dalam hidup. Hal ini amat penting dalam menentukan kejayaan saya  pada masa hadapan.
Pendidikan agama yang saya peroleh, menjadi pedoman hidup yang boleh membentuk saya
menjadi seorang yang positif dalam segala hal. Saya tidak mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan
yang tidak baik. Sebaliknya, saya akan sentiasa  menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga. 
Tegasnya, saya akan berpegang teguh kepada ajaran agama agar dapat mencapai kejayaan dalam
hidup dan membanggakan kedua-dua ibu bapa saya.
        Di samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan mempunyai keinginan
untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Dengan ini, saya
tidak akan dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah dan seterusnya terlibat dalam gejala
social yang negatif. Saya akan membezakan antara kaca dengan permata dan sentiasa
memikirkan akan masa depan saya serta matlamat hidup saya. Melalui pergaulan dengan rakan-
rakan yang mengutamakan pendidikan mereka, saya akan dapat bertukar-tukar pendapat serta
ilmu dengan mereka. Saya juga dapat menyertai kumpulan pembelajaran mereka dan
membolehkan saya berbincang serta lebih memahami topik-topik yang telah diajarkan oleh guru.
Secara tidak langsung, pencapaian keputusan peperiksaan saya akan meningkat hasil daripada
perbincangan dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan.  Pergaulan dengan rakan-rakan yang bijak
dalam pembelajaran akan dapat menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya. Saya akan
mempunyai semangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri saya tidak akan
diasingkan dari kumpulan tersebut serta tidak akan berasa tersisih dan terpulau apabila dalam
menyelesaikan sesuatu soalan. Saya juga dapat bergantung kepada rakan-rakan yang baik ini
apabila saya tidak berdaya untuk menghadapi dan menyelesaikan  sesuatu cabaran dalam hidup.
Mereka tentu  akan dapat membantu saya untuk membangkitkan diri saya semula dengan
memberi  dorongan dan nasihat yang berguna dan bukannya menyuruh saya melibatkan diri diri
dengan gejala sosial negatif yang dapat mengurangkan tekanan jiwa dan stres. Maklumlah,
seseorang akan lebih terpengaruh dengan gejala sosial apabila berada dalam ambang kegagalan
dan kekecewaan. Tegasnya, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia agar
saya tidak akan tersilap langkah dalam membuat sebarang keputusan dalam hidup saya agar
dapat memenuhi impian dan harapan ibu bapa.
      Seterusnya, saya akan meningkatkan keilmuan diri saya dengan pembacaan. Ibnu  Khaldun
pernah berkata bahawa “membaca menjadi akar tunjang kekuatan seseorang individu, malah
sesuatu bangsa dan sesebuah negara”. Hal ini  jelas menunjukkan bahawa membaca adalah amat
penting dalam menentukan kekuatan dan kejayaan seseorang individu. Saya akan membaca
buku-buku yang berkaitan dengan pembinaan kendiri seperti buku-buku motivasi dan sebagainya
untuk meningkatkan tahap pemikiran diri saya kerana membaca jambatan ilmu. Langkah ini
bagai serampang dua mata kerana selain boleh membantu saya dalam bidang akademik, usaha
tersebut juga dapat membentuk diri saya menjadi seorang yang berilmu pengetahuan luas. Secara
langsung, kejayaan akan dapat dicapai dalam kehidupan. Saya juga akan cuba memperbaiki
kelemahan diri untuk berjaya dalam kehidupan. termasuk mengatasi sikap malas. Saya akan
mengubah sikap ini untuk mencapai kejayaan dan berubah menjadi seorang yang rajin kerana
rajin dan usaha, tangga kejayaan. Saya berharap agar perubahan yang saya lakukan ini dapat
membolehkan diri saya mencapai harapan ibu bapa iaitu berjaya dalam kehidupan. Apabila
masuk ke alam pekerjaan kelak, saya akan mencari pekerjaan yang stabil dan membalas budi
mereka.
        Akhir sekali,  saya akan sentiasa mendengar nasihat ibu bapa kerana Tuhan hanya akan
menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa. Saya akan sentiasa patuh
kepada arahan ibu bapa tanpa sebarang rungutan kerana saya sedar bahawa syurga terletak di
bawah tapak kaki ibu. Saya juga sedar bahawa tanpa doa dan dorongan ibu bapa, betapa tabah
dan pandai saya sekali pun, saya tidak mungkin akan mencapai impian serta kejayaan dalam
hidup saya. Ibu bapa merupakan insan yang lebih tua dan mereka terlebih dahulu makan garam
daripada saya. Oleh itu, ibu bapa mempunyai pengalaman yang kaya dan luas dalam masyarakat
dan dunia luar. Maka, wajarlah saya untuk meminta dan menerima pandangan mereka agar diri
saya tidak akan menimbulkan kesilapan yang mungkin mengakibatkan saya berasa menyesal
buat seumur hidup saya. Mereka merupakan punca tenaga  dan dorongan saya untuk mengejar
impian dan cita-cita saya serta memperoleh kejayaan dalam hidup saya. Tanpa mereka, saya
tidak mungkin berpeluang untuk mencapai kejayaan dalam hidup saya. Tegasnya, saya akan
mematuhi arahan dan mendengar nasihat ibu bapa agar impian saya dapat dicapai dan yang
paling penting sekali ialah kisah Si Tanggang tidak akan berlaku ke atas diri saya.

        Berdasarkan perbincangan di atas,  dapatlah  disimpulkan bahawa untuk mencapai impian
dan kejayaan dalam hidup, saya sebagai remaja perlu berusaha bersungguh-sungguh. Saya akan
berusaha memastikan agar impian dan cita-cita saya tercapai dan sekali gus,  saya juga dapat
memenuhi impian dan harapan ibu bapa saya. Charles Dickens pernah berkata bahawa
“kemahuan seperti sebilah pedang yang dapat membuat jalan melalui hutan rimba.” Manusia
memang tidak dapat menjangka dan melihat masa hadapan, tetapi manusia boleh meramal masa
hadapan mereka dengan merancang masa hadapan mereka sebaik-baiknya. Jelasnya, kita harus
memberi peluang kepada diri kita untuk menjadikan impian dan cita-cita  sebagai kenyataan
kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
Penulisan 11 : Dimensi Diri : Usaha yang perlu anda lakukan untuk menambahkan ilmu
pengetahun
Dalam menghadapi dunia semakin mencabar ini ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang
penting dalam kehidupan seseorang. 
 Huraikan usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk menambahkan ilmu pengetahuan.
                         "Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad" dan " Ilmu Jambatan
Hidup" . Itulah antara dua kata-kata yang membuktikan bahawa ilmu sangat penting dalam
kehidupan manusia. Pada zaman kini, jika saya itu tidak mempunyai ilmu, saya akan ketinggalan
dan  akan mengalami kesusahan dalam kehidupan, saya boleh diibaratkan seperti katak di
bawah tempurung akan sentiasa ketinggalan dalam berbagai aspek kehidupan sama ada aspek
sosioekonomi, mahupun sosiobudaya. . Untuk memperoleh serta mendalami ilmu, saya perlu
berusaha dengan gigih kerana ilmu tidak datang sendiri melainkan dengan usaha yang
berterusan. Bak kata peribahasa Melayu, yang bulat tidak datang menggolek dan yang pipih
tidak datang melayang. Menurut Hadis, Rasululah pernah meriwayatkan tuntutlah ilmu
sehingga ke nagara China. Berdasarkan kenyataan di atas, sudah terang lagi bersuluh, ilmu
pengetahuan amat penting dalam kehidupan dan saya perlu berusaha untuk menggapainya, bak
kata peribahasa Melayu genggam api biarlah jadi arang, menjeluk perkasam biarlah sampai
ke pangkal lengan, begitulah konsep sepatutnya menjadi pegangan saya lakukan untuk
mengembangkan ilmu di dada. Bahkan juga, ilmu pengetahuan mampu mengubah kehidupan
keluarga saya terutama untuk memecah kepompong kemiskinan keluarga yang sering
menghantui keluarga saya mayapada. Sekiranya saya tidak mengambil kesempatan mengubah
kehidupan keluarga saya dengan meningkatkan ilmu pengetahuan, sudah pasti kehidupan
keluaraga saya tidak akan berubah dan berada pada takuk yang lama. Persoalannya,
bagaimanakah kita mampu untuk menambah ilmu pengetahuan?

             Mari kita bersama-sama mengupas isi pertama saya iaitu cara saya memperoleh ilmu
pengetahuan ialitu melalui pembacaan. Hal ini kerana ayat pertama yang diturunkan Allah
kepada junjungan besar Nabi Muhammad ialah surah Al-Alaq.Wahyu tersebut disampaikan oleh
Malaikat Jibrail dengan berkata, 'Bacalah wahai Muhammad! ' Beliau bersabda: "Aku tidak
pandai membaca."  Sabda Rasulullah lagi, lalu malaikat memegang dan memelukku erat-erat,
ketika aku merasakan kepayahan ia pun melepasku. Sudah terang lagi bersuluh betapa dalam
Islam konsep membaca amat diutamakan selaras dengan Surah Al-Alaq di atas, Malaikat Jibrail
meminta Rasululah membaca walaupun beberapa kali Rasulullah menyatakan bahawa beliau
tidak tahu membaca. Oleh sebab itu, sebagai khalifah di muka bumi saya sebagai generasi yang
sedar akan peri pentingnya ilmu dalam kehidupan seharusnya membudaya membaca dalam
kehidupan seharian saya. Sebagai khalifah pada zaman moden pelbagai cara membolehkan saya
memperoleh ilmu dengan membaca kerana membaca gedung ilmu . Kita boleh membaca
secara konvensional dengan membaca buku pelbagai aspek ilmuan seperti bahasa, matematik,
sains dan sebagainya. Seyogia, pada zaman moden ini, maklumat di hujung jari, dan dunia
tanpa sempadan kerana saya boleh melayari pelbagai sumber ilmu menggunakan pelbagai
peranti sama ada dengan komputer riba atau gadjet terkini telefon pintar, dan cara pembacaan ini
bukan sahaja pantas dan murah tetapi bahan pembacaan boleh diperoleh dengan pelbagai
pendekatan sama ada melalui video dengan melayari laman sesawang Youtube, atau melalui
bahan berbentuk bahan bertulis sam ada berbentuk powerpoint, atau melalui teks. Sekiranya saya
cakna dengan maklumat berkenaan sudah pasti saya menjadi orang berilmu kerana orang berilmu
diperlukan dalam kalangan masyarakat kotemporori dan saya akan dihormati. Kesimpulannya,
ilmu pengetahuan membolehkan saya meningkatkan ilmu pengetahuan terutama melalui
pembacaan sama ada secara konvensional iatu yang boleh saya dapati daripada buku, mahupun
menggunakan teknologi terkini menggunakan telefon pintar arau komputer riba.

              Mari kita selusuri perbincangan seterusnya dengan menggunakan minda pelajar kelas
pertama dengan kata kunci isi kedua iaitu cara saya menuntut ilmu pengetahuan dengan memberi
tumpuan kepada sesi pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas. Guru ibarat lilin
membakar diri untuk menerangi kehidupan pelajar, justeru adalah sangat malang jika saya
tidak mengambil pusing dengan tidak menumpu perhatian kepada proses pengajaran guru. Selain
itu, amalkan bertanya sekiranya kita tidak memahami penerangan guru kerana malu bertanya
sesat jalan dan malu biarlah bertempat. Oleh sebab itu, saya sebagai pelajar
yang proaktif memerlukan saya sentiasa melibatkan diri dalam proses pengajaran dan
pembelajaran kerana dengan langkah sedemikian rupa saya akan menjadi  pelajar yang berjaya
dan disayangi guru. Selalunya pelajar dalam kategori ini akan sentiasa mengungguli tempat
pertama dalam peperiksaan, sama dijalankan oleh pihak sekolah atau peperiksaan umum yang
dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia . Bahkan konsep mencatat setiap penerangan
guru juga merupakan amalan terpuji kerana adakalanya penerangan guru tidak ada dalam nota
tetapi keluar secara spontan semasa pengajaran guru kerana proses mengunakan deria telinga
untuk mendengar, deria mata untuk melihat dan angota tangan dan jari jemari mencatat
akan memudahkan proses memantapkan ingatan saya semasa proses pengajaran dan
pembelajaran guru semasa di dalam kelas. Menurut seorang pakar psikologi pernah mengatakan
bahawa “ lima puluh peratus kejayaan pelajar-pelajar adalah disebabkan kerana mereka
memberikan sepenuh perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang
dijalankan. Selain itu, saya juga  perlu mengelakkan diri saya daripada melakukan perbuatan
yang menimbul kemarahan guru seperti bersembang, dan mengganggu proses guru semasa
beliau mengajar kerana konsentrasi guru akan hilang semasa mengajar apabila situasi berkenaan
berlaku, dan selalunya pelajar dalam kategori ini akan berada di belakang pelajar yang berjaya.
Kesimpulannya, Jika saya tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan
menjadi lalat yang membusukkan ikan.” Maksud peribahasa berkenaan ialah kita harus tidak
menimbulkan masalah kepada orang lain kerana sifat berkenaan amat merugikan. Tegasnya,
sebagai seorang pelajar ingin berjaya, saya perlu memberi tumpuan kepada sesi pengajaran dan
pembelajaran guru di dalam kelas.

                       Seterusnya saya akan membincangkan isi ketiga di bawah kata kunci membentuk
kumpulan belajar mampu meningkatkan kefahaman saya terhadap ilmu pengetahuan, terutama
mata pelajaran yang saya tidak kuasai. Sebagai seorang pelajar yang mendambakan
kecemerlangan saya perlu memilih anggota kumpulan yang akan membatu saya menguasai  mata
pelajaran yang sukar untuk saya kuasai kerana berkawan biarlah ramai, musuh jangan
dicari. Antara faktor pemilihan rakan untuk kumpulan saya berkenaan biarlah kalangan rakan
yang sealiran dengan jiwa saya, supaya saya berbincang maksudnya biarlah rakan  kumpulan
studi saya ini rakan yang boleh membantu saya berbincang berkiatan pelajaran di luar waktu
persekolahan. Seterusnya, rakan yang saya pilih perlu bervariasi kemahiran, maksudnya rakan
yang tersebut perlu menguasai pelbagai mata pelajaran. Apabila semua faktor pemilihan
berkenaan diambil kira, sudah pasti proses pembelajaran berkumpulan akan memberi impak
maksima dan perbincangan boleh dilakukan dengan perkongsian ilmu yang akan dapat
meningkatkan penguasaan ilmu pelbagai untuk saya dan ahli kumpulan perbicangan saya.
Contohnya rakan pertama mahir dalam mata pelajaran bahasa Inggeris, dan saya pula mahir mata
pelajaran Bahasa Melayu, rakan kedua saya pula mahir mata pelajaran matematik, sementara
rakan ketiga saya mahir mata pelajaran matematik tambahan, dan rakan kelima mahir mata
pelajaran Biologi. Tepuk dada tanya selera, jika semua faktor pemilihan di atas lengkap sudah
pasti aktiviti pembelajaran saya secara kumpulan akan ceria, di samping perkongsian ilmu
akan berkonsep menang menang dan semua ahli kumpulan akan menerima kesan terutama
untuk menguasai pelbagai ilmu. Peribahasa ada mengatakan "Kawan ketawa senang dicari,
kawan menangis sukar dicari." Konklusinya, saya akan membentuk kumpulan belajar sealiran
dengan jiwa saya dan mampu meningkatkan kefahaman saya terhadap ilmu pengetahuan,
terutama mata pelajaran yang saya tidak kuasai.

            Seterusnya, saya akan membicarakan isi keempat saya di bawah tajuk pemilihan buku
hasil karya pengarang tersohor amat penting untuk saya meraih pengalaman mereka menggapai
kecemerlangan dalam kehidupan terutama kejayaan mereka memperoleh ilmu pengetahuan
dalam kehidupan. Hali ini kerana mereka telah menerbitkan karya ilmiah yang mampu
meningkatkan minat dan kesungguhan pembaca untuk mengumpulkan ilmu pengetahuan
untuk menerangi kehidupan serta kesejahteraan masyarakat serata alam. Antara nama
pengarang tersohor Islam yang perlu kita contohi seperti  Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Syed
Muhammad Abduh, Syed Tahir Jalaluddin, HAMKA atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik
bin Syeikh Abdul Karim bin Syeikh Muhammad Amarullah. Ketekunan ilmuan tersohor ini
untuk menuntut ilmu perlu perlu saya jadikan budaya dalam kehidupan sayaa. Contohnya Ibnu
Sina seorang ulama tersohor Islam malah pakar dalam bidang perubatan sehingga hasil karya
beliau diterjemahkan dalam bahasa latin, Hebrew dan bahasa Inggeris. Oleh sebab itu, bak kata
pepatah Melayu, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Antara hasil penemuan Ibnu Sina
dalam ilmu perubatan ialah beliau telah menemui  pengaruh kuman dalam penyakit seperti
penyakit rubella, alahan, cacar, penyakit jiwa, dan menghasilkan ubatan dan preskripsi ubat yang
mujarab untuk digunakan sebagai penyembuhan pelbagai jenis penyakit. Harimau mati
meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, begitulah jasa ilmuan tersohor Islam
yang menguasai pelbagai ilmu untuk kegunaan manusia sehingga ke zaman moden ini.
Intihanya, pemilihan buku bacaan terutama hasil karya ilmuan Islam tersohor mampu meningkat
usaha saya untuk menghasilkan penemuan baru dalam apa juga bidang ilmu terutama untuk
kejahteraan masyarakat negara malah untuk masyarakat dunia amnya.

                    Selanjutnya, perbicaraan saya menjurus kepada membicarakan isi kelima iaitu untuk
menambah ilmu pengetahuan saya perlu mengikuti kelas tuisyen atau program kecemerlangan
anjuran sekolah. Sebagaimana kita sedia maklum, banyak pusat tuisyen boleh menjadi medan
untuk saya meningkatkan pengetahuan ke arah seorang pelajar berjaya dalam pelajaran. Setiap
tahun, pusat tuisyen tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Kenapa situasi ini berlaku?
Antaranya, ibu bapa dan pelajar sedia maklum, tenaga pengajar yang mengajar di pusat tuisyen
adalah dalam kalangan guru-guru berpengalaman mengajar dan kebanyakan mereka menjadi
penyemak kertas peperiksaan berdasarkan bidang ilmu mereka, justeru ibu bapa berusaha untuk
melaburkan duit mereka untuk kecemerlangan anak-anak mereka dengan menghantar anak-anak
mereka ke pusat tuisyen. Tindakan ibu bapa ini umpama di mana ada gula, di situ ada semut.
Kebiasaannya guru-guru berpengalaman di pusat tuisyen akan mempermudah dan mendedahkan
cara-cara  untuk saya menjawab soalan, terutama item-item soalan sukar untuk saya fahami.
Oleh sebab itu, kebanyakan pelajar yang berjaya mencapai keputusan cemerlang adalah dalam
kalangan pelajar yang mengikuti kelas tuisyen. Selain itu, budaya sekolah cemerlang, sentiasa
mengadakan program kecemerlangan dengan menjemput guru-guru cemerlang, sama ada dalam
daerah malah ada yang menjemput guru-guru cemerlang dari luar daerah dan antara kriteria
guru-guru yang dipilih untuk menjadi tenaga penceramah berkenaan adalah kalangan guru
berpengalaman terutama menjadi penyemak kertas mata pelajaran berkenaan. Dalam kalangan
ibu bapa pula, mereka sentiasa menyokong sebarang usaha pihak pentadbir sekolah untuk
mengadakan program kecemerlangan untuk anak-anak mereka. Sokongan ibarat aur dengan
tebing, antara pihak sekolah dengan ibu bapa serta bantuan Persatuan Ibu Bapa Guru, begitu juga
sekiranya program yang dijalankan melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli
Parlimen di tempat tersebut, sudah pasti usaha tersebut akan membuahkan impak yang
maksimun. Kesimpulannya, untuk menambah ilmu pengetahuan saya akan sedaya upaya akan
mengikuti kelas tuisyen atau program kecemerlangan anjuran sekolah untuk kecemerlangan saya
dalam pelajaran.

                 Kesimpulannya, pelbagai kaedah, pendekatan boleh saya lakukan


untuk menambahkan ilmu  pengetahuan. Sebagai mana perbicaraan di atas, ilmu pengetahuan
boleh diperkembangkan antaranya saya perlu membudayakan membaca dalam kehidupan
seharian saya, di samping itu, saya perlumemberi tumpuan kepada sesi pengajaran dan
pembelajaran guru di dalam kelas, membentuk kumpulan belajar yang mampu meningkatkan
kefahaman saya terhadap ilmu pengetahuan, terutama mata pelajaran yang saya tidak
kuasai,  pemilihan buku hasil karya pengarang tersohor amat penting untuk saya meraih
pengalaman mereka menggapai kecemerlangan dalam kehidupan terutama kejayaan mereka
memperoleh kejayaan dengan ilmu pengetahuan, dan untuk menambah ilmu pengetahuan dalam
kalangan pelajar, saya perlu mengikuti kelas tuisyen atau program kecemerlangan anjuran
sekolah. Sudah terang lagi bersuluh, yang pipih tidak akan datang melayang dan yang bulat
tidak akan datang bergolek, menjolok pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan untuk
menggapai kecemerlangan ilmu pengetahuan, justeru untuk menambah ilmu pengetahuan saya
perlu berusaha bersungguh-sungguh kerana usaha tangga kejayaan.
Penulisan 12 : Dimensi Diri : Prakarsa Mencapai Kecemerlangan Peperiksaan

Setiap murid mempunyai  cita-cita tersendiri untuk berjaya dalam hidup termasuk
mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam peperiksaan.
Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk mencapai kecemerlangan
dalam peperiksaan.

Permaisuri, Raja, Gajah, Kuda, Kesateria, dan bidak merupakan nama yang tidak asing
dalam permainan catur. Pecatur perlu merancang strategi agar kemenangan dapat diperoleh.
Menuntut ilmu juga memerlukan perancangan yang teliti ibarat seorang pencatur. Murid-murid
sebagai insan yang masih berdenyut, tidak boleh sekadar berdiam diri dan hanya memasang
impian untuk mendakap kejayaan. Begitu juga dengan saya, hidup ini mesti dihias dengan
harapan, perancangan dan cita-cita barulah sempurna. Tahun demi tahun, rekod kecemerlangan
Sijil Pelajaran Malaysia telah dapat dicipta dan dipecahkan. Suatu waktu dahulu, ada calon yang
berjaya memperoleh 16A1, yakni suatu pencapaian yang belum pernah dicapai. Akan tetapi
beberapa tahun kemudian rekod ini telah dapat dipecahkan oleh Saudari Nur Amalina yang
berjaya memperoleh 17A1. Pada SPM 2008 pula, Saudara Azli Azlan dapat mencipta rekod
dengan memperoleh kesemua 21A1 bagi subjek yang diambil oleh beliau. Sebagai pelajar yang
berwawasan, saya perlu mempunyai percaturan untuk mencapai kecemerlangan dalam dunia
akademik saya. Persiapan-persiapan awal amatlah mustahak sebagai persediaan untuk mencapai
kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Saban hari angin perubahan mengetuk-ngetuk pintu kehidupan kita. Segala-galanya terus
mengalami perubahan dengan pantas. Yang alpa, yang masih lena dibuai mimpi pasti akan
ketinggalan. Setiap murid perlu memperlengkap diri mencari bekal bagi menghadapi perubahan
dengan memastikan diri mencapai tahap akademik setinggi yang boleh. Tidak dapat dinafikan
bahawa setiap murid pasti mempunyai keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan. Namun, kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai sekiranya pelajar-pelajar
berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah
sesuatu yang susah untuk dicapai sekiranya murid itu sendiri mempunyai azam yang tinggi untuk
mencapainya. Murid-murid tidak sepatutnya menganggap perkara ini sesuatu yang remeh atau
mudah kerana keputusan peperiksaanlah yang akan menjamin masa hadapan seseorang pelajar.
Agar pelajar tidak menyesal pada masa hadapan disebabkan gagal memperoleh keputusan yang
cemerlang dalam peperiksaan, mereka mempersiapkan diri kerana sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tidak berguna. Oleh itu, sebagai seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia, saya harus
berusaha mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Persoalannya, apakah modus operandi
dan perancangan dan persediaan awal yang sepatutnya saya lakukan untuk mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan nanti?
Langkah pertama yang saya ambil ialah sentiasa memberikan perhatian ketika guru sedang
mengajar di kelas. Apabila saya memberi perhatian ketika seseorang guru sedang mengajar,
sudah tentu sesuatu pembelajaran tersebut akan cepat diserap masuk ke dalam minda saya. Hal
ini persis pendapatseorang pakar psikologi yang pernah mengatakan bahawa “lima puluh peratus
kejayaan pelajar-pelajar adalah disebabkan oleh mereka memberikan sepenuh perhatian ketika
proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan”. Ditambah lagi dengan suasana bilik
darjah bilik darjah yang ceria perlu supaya saya tidak akan berasa bosan dan secara tidak
langsung saya akan dapat mengingati apa-apa yang disoal atau ditanya oleh guru serta apa-apa
yang saya sebut atau yang saya ulangi. Saya juga menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan
oleh guru-guru supaya saya akan lebih memahami sesuatu topik dan tidak ketinggalan. Saya juga
akan bertanya kepada guru-guru sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang saya kurang
faham kerana berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan dan telah mendapati bahawa
kebanyakan kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar
yang sentiasa mengemukakan soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang
difahami oleh mereka. Tegasnya memberi tumpuan ketika guru mengajar dan menyiapkan kerja
rumah yang diberikan oleh guru merupakan satu langkah dan persediaan yang sedang saya
lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Selain itu, saya menguruskan masa dengan bijak dan baik. Saya akan menyediakan jadual
waktu belajar dan saya akan mengikutinya dengan tegas sekiranya saya ingin mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan. Hal ini demikian kerana berdasarkan satu kajian, jadual
waktu belajar dapat membantu para pelajar menguruskan masa secara berkesan supaya mereka
akan mempunyai masa yang mencukupi untuk mengulang kaji pelajaran dengan lebih
menyeluruh dan bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Malah, jika saya mengikut jadual
waktu belajar yang telah saya tetapkan  apabila peperiksaan sudah tiba, hal ini diibaratkan nasi
sudah menjadi bubur. Kita haruslah sediakan payung sebelum hujan. Tambahan pula,
kebanyakan pelajar yang berjaya biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang telah membuat
persiapan awal. Manakala pelajar-pelajar yang tidak membuat persiapan awal kerana mereka
terlalu leka membuang masa  dan tidak berpegang kepada pepatah “masa itu emas” dan “masa
lalu tidak akan kembali”, maka mereka tidak dapat menghabiskan semua tajuk-tajuk sebelum
tiba peperiksaan dan ini haruslah dielakkan. Jelasnya, pengurusan masa yang cekap akan
memberi saya masa yang cukup untuk membuat persediaan awal supaya saya dapat mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan yang akan saya duduki nanti.
Seterusnya, saya akan mengikuti kelas tuisyen. Jika saya segan bertanya guru di sekolah,
barulah saya bertanya kepada guru yang mengajar di kelas tuisyen tetapi saya juga haruslah
menghapuskan perasaan segan bertanya kepada guru-guru di sekolah bak kata pepatah “malas
berkayuh perahu hanyut”, “segan bertanya sesat jalan.” Malah, jika saya tidak memahami
sesuatu topik yang diajar oleh guru-guru di pusat tuisyen, maka bolehlah saya bertanya kepada
guru di tuisyen. Tambahan pula, jika terdapat sesuatu topik itu diajar dua kali, maka saya akan
mudah ingat dan saya juga boleh mengikuti program di sekolah kerana ini juga membantu saya
untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Saya akan menyertai segala program yang
dianjurkan oleh pihak sekolah seperti Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Teknik
Menjawab Soalan dan lain-lain lagi. Sekiranya saya menyertai program yang dianjurkan oleh
pihak sekolah, saya akan didedahkan dengan jenis-jenis soalan dan latihan yang kerap ditanya
dalam peperiksaan. Jelasnya, penyertaan saya dalam program sekolah dan mengikuti kelas
tuisyen merupakan salah satu langkah bagi saya untuk mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan.
Di samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan mempunyai
keinginan untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak.
Dengan ini, saya tidak akan dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah dan seterusnya
terlibat dalam gejala social yang negatif. Saya akan membezakan antara kaca dengan permata
dan sentiasa memikirkan akan masa depan saya serta matlamat hidup saya. Melalui pergaulan
dengan rakan-rakan yang mengutamakan pendidikan mereka, saya akan dapat bertukar-tukar
pendapat serta ilmu dengan mereka. Saya juga dapat menyertai kumpulan pembelajaran mereka
dan membolehkan saya berbincang serta lebih memahami topik-topik yang telah diajarkan oleh
guru. Secara tidak langsung, pencapaian keputusan peperiksaan saya akan meningkat hasil
daripada perbincangan dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan. Pergaulan dengan rakan-rakan yang
bijak dalam pembelajaran akan dapat menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya. Saya
akan mempunyai semangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri saya tidak
akan diasingkan dari kumpulan tersebut serta tidak akan berasa tersisih dan terpulau apabila
dalam menyelesaikan sesuatu soalan. Saya juga dapat bergantung kepada rakan-rakan yang baik
ini apabila saya tidak berdaya untuk menghadapi dan menyelesaikan sesuatu cabaran dalam
hidup. Mereka tentu  akan dapat membantu saya untuk membangkitkan diri saya semula dengan
memberi dorongan dan nasihat yang berguna kepada saya dan bukannya menyuruh saya
melibatkan diri dengan gejala sosial negatif yang dapat mengurangkan tekanan jiwa dan stres.
Maklumlah, seseorang akan lebih terpengaruh dengan gejala sosial apabila berada dalam ambang
kegagalan dan kekecewaan. Tegasnya, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak
mulia agar saya tidak akan tersilap langkah dalam membuat sebarang keputusan dalam hidup
saya.
Akhir sekali, saya akan mematuhi segala nasihat ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa
berdoa kepada Tuhan. Kata orang-orang tua, “Tuhan hanya akan menolong dan memberkati
hidup anak yang taat kepada ibu bapa.” Kenyataan ini pasti benar kerana orang-orang tua
mempunyai lebih banyak pengalaman. Saya akan sentiasa patuh pada nasihat dan asuhan ibu
kerana saya sedar bahawa syurga terletak di telapak kaki ibu. Misalnya, ibu saya selalu
menasihatkan saya untuk belajar bersungguh-sungguh. Oleh itu, saya akan berusaha secara gigih
untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang. Segala doa dan dorongan ibu bapa, saya tahu
walaupun betapa tabah atau bijak mana saya sekalipun, saya tidak mungkin dapat memperoleh
kejayaan yang cemerlang yang saya ingini tanpa doa, restu dan dorongan daripada kedua-dua ibu
bapa saya. Malah, saya juga akan sentiasa berdoa kepada Tuhan supaya saya tidak akan jatuh
sakit pada hari peperiksaan kerana manusia hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan
segala-galanya. Jelasnya, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah
mematuhi segala nasihat kedua-dua ibu bapa saya dan  saya juga akan sentiasa berdoa dan
bersyukur kepada Tuhan atas segala pemberiannya.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk mencapai


kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mengikuti langkah-langkah dan segala
perbincangan yang saya rancangkan. Saya perlu mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan
agar masa depan saya tidak gelap tetapi terang dengan cahaya iaitu kejayaan. Kejayaan dalam
peperiksaan adalah diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam-malam
yang gelap gelita. Tanpa kecemerlangan dalam peperiksaan terutamanya peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia, hidup kita sudah tentu teraba-raba dalam kegelapan. Oleh itu, saya akan
belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan tanpa berputus asa ibarat genggam
bara api biar sampai jadi arang.

Anda mungkin juga menyukai