Anda di halaman 1dari 9

LANGKAH-LANGKAH MEMBANTU ORANG KURANG UPAYA (OKU)

            Orang Kurang Upaya merupakan orang yang kurang bernasib baik.Mereka dilahirkan
dalam keadaan cacat atau mengalami kemalangan yang menjejaskan anggota badan. Mereka
tidak dapat menjalani kehidupan yang sempurna kerana kekurangan yang dimiliki. Mereka perlu
dibantu untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Terdapat pelbagai pihak yang perlu memainkan
peranan  untuk membantu Orang Kurang Upaya (OKU).
              Ibu bapa berperanan mendidik anak-anak mereka supaya menghormati serta
tidak memandang hina OKU.  Hal ini demikian kerana OKU juga mempunyai perasaan ingin
dihargai,disayangi dan dihormati oleh masyarakat. Sebagai contoh, anak-anak diajar supaya
tidak memandang sebelah mata serta tidak mentertawakan apabila berhadapan dengan
golongan tersebut. Tegasnya, ibu bapa perlu mendidik anak-anak supaya menghormati OKU.
             Selain itu, pihak kerajaan boleh menyediakan pelbagai peluang pendidikan dan
memberikan kemahiran kepada golongan OKU. Hal ini demikian kerana .pendidikan dan
kemahiran sangat penting demi masa depan mereka. Langkah pihak kerajaan mewujudkan
Kelas Pendidikan Khas patut dipuji..Jelaslah bahawa, pihak kerajaan memainkan peranan
penting dalam membantu OKU sebagaimana slogan yang dilaungkan oleh Perdana Menteri
Malaysia Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak ,’Rakyat Didahulukan,Pencapaian Diutamakan’.
              Di samping itu, pihak swasta juga hendaklah turut sama membantu golongan
OKU menjalani kehidupan yang lebih baik.  Mereka tidak seharusnya bersikap lepas tangan
dan jangan menganggap OKU sebagai beban.Sebagai contoh, usaha murni pengusaha pusat
beli-belah yang menyediakan kemudahan untuk golongan OKU seperti lorong khas, tandas dan
tempat letak kenderaan amat dihargai. Sikap pihak swasta yang menunjukkan keperihatinan
dan menunaikan tanggungjawab mereka terhadap golongan yang kurang bernasib baik ini perlu
dicontohi.
               Seterusnya, pihak media massa boleh memainkan peranan mereka dengan
menyebarkan maklumat peluang pendidikan dan kerjaya bagi  OKU. Setiap maklumat 
mestilah disampaikan dan disebarkan oleh pihak media massa  kepada orang ramai. Kempen 
Masyarakat Penyayang yang dilancarkan oleh pihak kerajaan perlulah disampaikan melalui
saluran media massa, maklumat boleh disalurkan melalui iklan,kempen,dan melalui drama.
Kesannya, orang ramai akan mendapat maklumat tentang OKU secara telus. Jelaslah, nasib
OKU akan terbela dengan adanya peranan media massa.
         Setiap individu perlu menunjukkan nilai-nilai murni. Hal ini demikan kerana setiap
individu mempunyai tangungjawab masing-masing. Sebagai contoh, mereka perlu membantu
golongan OKU semasa melintas jalan, menaiki bas atau ketika OKU memerlukan sebarang
bantuan, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Pendek kata, setiap individu
hendaklah mengamalkan nilai-nilai murni bagi membantu golongan ini.
      Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh,  pelbagai pihak perlu memainkan peranan
untuk membantu OKU. Semua pihak perlu berganding bahu, bak kata peribahasa berat sama
dipikul, ringan sama dijinjing, bagi membela nasib dan masa depan golongan OKU.

USAHA-USAHA MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL

Pada hari ini, permainan tradisional mula dilupakan. Antara permainan tradisional tersebut
ialah permainan gasing, layang-layang, congkak dan sebagainya. Hal ini disebabkan oleh
banyaknya permainan video dan permainan komputer di pasaran. Sebagai contoh play station,
game boy dan permainan internet. Oleh itu, usaha-usaha perlu diambil untuk mempopularkan
permainan ini.

Salah satu usaha bagi mempopularkan permainan tradisional adalah melalui pihak sekolah.
Pihak sekolah perlu mengadakan kegiatan kokurikulum yang berkaitan dengan permainan
tradisional. Pihak sekolah perlu menubuhkan Kelab Permainan Tradisional. Usaha ini bertujuan
untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada pelajar-pelajar. Antara aktiviti yang boleh
dijalankan ialah pertandingan congkak, sepak raga, gasing dan sebagainya. Aktiviti ini boleh
memberikan tubuh badan yang sihat. Jelaslah bahawa usaha ini dapat mempopularkan
permainan tradisional.
Peranan ibu bapa juga penting untuk mempopularkan permainan tradisional kepada
anak-anak . Ibu bapa perlu memperkenalkan permainan tradisional kepada anak-anak sejak
kecil lagi. Ibu bapa perlu meluangkan masa bersama dengan anak-anak dengan bermain
permainan tradisional seperti bermain congkak. Ibu bapa juga boleh membelikan permainan
tradisional seperti gasing, congkak dan layang-layang. Jelaslah bahawa peranan ibu bapa
penting dalam mempopularkan permainan tradisional kepada anak-anak.
Usaha seterusnya ialah peranan masyarakat. Masyarakat boleh memberikan sokongan
dengan menubuhkan persatuan atau kelab permainan tradisional di tempat tinggal mereka.
Mereka boleh bermain pada masa lapang. Mereka juga boleh mengadakan pertandingan di
peringkat kampung atau antara kampung. Sebagai contoh permainan gasing, layang-layang
dan sepak raga. Pertandingan ini dapat memperkenalkan dan menonjolkan bakat seseorang
dalam permainan tradisional. Oleh itu, peranan masyarakat amat penting dalam usaha
mempopularkan permainan tradisional.
Individu juga berperanan dalam usaha mempopularkan permainan tradisional.
Mereka hendaklah menanamkan sikap suka dan ingin tahu tentang permainan tradisional.
Dengan mempelajari dan mengambil bahagian dalam pertandingan permainan tradisional
setiap individu dapat mengurangkan diri mereka daripada terlibat dengan permainan moden
seperti permainan elektronik. Penyertaan pelajar dalam pertandingan yang diadakan oleh pihak
sekolah dan masyarakat dapat membantu pelajar mencintai dan meminati permainan
tradisional. Oleh yang demikian, peranan individu amat penting dalam mempopularkan
permainan tradisional.
Pihak media massa perlu menghebahkan kelebihan permainan tradisional kepada
masyarakat. Hebahan boleh dilakukan melalui surat khabar, televisyen, majalah dan internet.
Contohnya, TV3 melalui program Jom Heboh boleh mengadakan pertandingan permainan
tradisional seperti permainan gasing, congkak dan sebagainya. Sesungguhnya, media massa
mampu memperkenalkan permainan tradisioanl kepada masyarakat khususnya generasi muda.
Pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan. Pihak kerajaan hendaklah
mengadakan pesta permainan tradisional pada setiap tahun. Setiap negeri mestilah mengambil
bahagian untuk memeriahkan pesta tersebut. Contohnya, Festival Layang-layang di Pasir
Gudang, Johor bukan sahaja disertai oleh rakyat tempatan malahan masyarakat antarabangsa.
Tegasnya, pihak kerajaan haruslah memainkan peranan dan memastikan permainan tradisional
diminati oleh rakyat.
Kesimpulannya, terdapat banyak usaha untuk mempopularkan permainan
tradisional. Ringkasnya, semua pihak memainkan peranan penting dalam mempopularkan
permainan tradisional. Hal ini demikian agar permainan ini ”tak lapuk dek hujan tak lekang dek
panas”.
Contoh Karangan Bahan Ransangan: Bahagian A ( 45 minit )

Cara-Cara Menghargai Jasa Warga Tua

Warga tua telah banyak berjasa kepada keluarga dan negara. Namun, banyak jasa
mereka telah dilupakan. Terdapat anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah
orang tua-tua.

Anak-anak perlu membalas jasa kedua-dua orang tua mereka. Hal ini kerana ibu
bapa telah mendidik dan menyara kehidupan mereka. Pengorbanan mereka perlu dibalas
dengan sebaik-baiknya. Anak-anak janganlah menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang-
orang tua. Warga tua akan berasa sedih jika dihantar ke rumah orang tua-tua.

Selain itu, ibu bapa mestilah menjadi contoh kepada anak-anak. Mereka perlu
menjaga kedua-dua ibu bapa mereka dengan penuh kasih sayang. Ibu bapa perlu mewujudkan
hubungan mesra dalam keluarga. Anak-anak akan menghargai dan menghayati kasih sayang
yang dicurahkan kepada mereka. Anak-anak akan tetap menyayangi mereka,

Di sekolah, guru boleh menasihati pelajar agar menghormati warga tua. Guru-guru
perlu menasihati pelajar mereka supaya sayang dan hormati warga tua. Pelajar-pelajar perlu
bercakap dengan sopan apabila berhubung dengan ibu bapa mereka. Guru-guru boleh
menerapkan nilai ini melalui mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pengetahuan Moral. Peranan
guru penting untuk mendidik para pelajar.

Kerajaan boleh menghargai warga tua. Kerajaan perlu menyediakan pelbagai


kemudahan untuk warga tua. Sebagai contoh, warga tua perlu diberikan rawatan percuma di
hospital kerajaan ataupun dikenakan kadar bayaran rendah di hospital atau klinik swasta.
Warga tua akan berasa gembira dan dihargai. Kerajaan perlu mengadakan hari mengingati
warga tua.

Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa dan pengorbanan warga
tua. Kita tidak boleh mengabaikan warga tua kerana merekalah yang melahirkan dan
membesarkan kita.

[ 239 patah perkataan ]


PERANAN IBU BAPA DALAM MEMUPUK AMALAN MEMBACA DALAM KALANGAN
ANAK-ANAK.

Amalan membaca merupakan satu amalan yang mulia. Membaca amat penting dalam
membentuk masyarakat berilmu. Setiap anggota masyarakat harus menjadikan membaca
sebagai satu amalan. Dalam hal ini, ibu bapa perlu berusaha untuk mewujudkan keluarga
berilmu dengan menyemai minat membaca dalam kalangan anak-anak.
Salah satu usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa dalam memupuk minat membaca
dalam diri anak-anak adalah dengan membawa anak-anak ke perpustakaan. Amalan ke
perpustakaan akan menanam perasaan cinta dan sayang akan buku. Sebagai contoh, ibu bapa
boleh membawa anak-anak mereka ke perpustakaan awam pada setiap hujung minggu atau
semasa cuti sekolah. Di sini, anak-anak boleh memilih pelbagai buku yang digemari. Lantas,
anak-anak akan gemar membaca buku seumur hidup.

Selain itu, ibu bapa boleh mewujudkan perpustakaan mini di rumah. Perpustakaan ini
dapat dijadikan tempat menyimpan buku dan majalah. Malahan, boleh menjadi tempat anak-
anak membaca dan belajar. Perpustakaan mini di rumah mestilah dilengkapi dengan buku-buku
yang bersesuaian dapat menarik minat anak-anak untuk membaca. Sebagai contoh, majalah,
buku cerita dan surat khabar. Ruang perpustakaan ini juga mestilah dalam keadaan selesa.
Lantaran itu, ibu bapalah memainkan peranan yang sangat penting dalam mendidik anak-anak
mereka agar gemar membaca buku ketika berada di rumah..

Di samping itu juga, ibu bapa perlulah menunjukkan contoh teladan yang baik untuk
dicontohi oleh anak-anak mereka.Tidak dapat dinafikan, contoh teladan yang baik dari ibu bapa
mempengaruhi jiwa dan minda anak-anak. Sebagai contoh, sikap gemar membaca surat
khabar, majalah, buku dan sebagainya patutlah diamalkan oleh ibu bapa dalam mengisi masa
lapang. Lama-kelamaan, tabiat ini akan menjadi ikutan anak-anak. Bak kata peribahasa Melayu
‘bagaimana acuan, begitulah kuihnya’. Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa perlu menunjukkan
contoh terbaik untuk dicontohi anak-anak.

Tambahan pula, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke pameran buku. Sehubungan
dengan itu, ibu bapa juga boleh membawa anak-anak mengunjungi kedai buku ketika pergi ke
pusat beli-belah. Dengan mengunjungi tempat-tempat tersebut, minat mereka untuk membaca
akan dapat ditingkatkan, Di samping itu, mereka akan dapat mempelajari cara memilih bahan-
bahan bacaan yang sesuai. Bahan bacaan yang dijual adalah berkualiti. Harganya pula adalah
berpatutan. Natijahnya, ibu bapa yang membawa anak-anak ke pameran buku atau kedai buku
sebenarnya membawa kepada mewujudkan budaya suka membaca dalam kalangan ahli
keluarganya.

Seterusnya, ibu bapa juga boleh menghadiahkan buku kepada anak-anak. Ibu bapa
perlu memberikan hadiah atau ganjaran kepada anak-anak apabila anak-anak berjaya dalam
peperiksaan dan sempena hari kelahiran. Anak-anak akan berasa gembira kerana kejayaannya
dihargai oleh keluarga mereka. Hadiah berbentuk buku lebih sesuai untuk anak-anak. Ibu bapa
boleh membelikan buku berbentuk pelajaran, novel ataupun komik mengikut kesesuaian umur.
Amalan ini sepatutnya diterapkan sejak kecil lagi dalam kalangan anak-anak. Bersesuaian
dengan peribahasa Melayu, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Kesimpulannya, terdapat beberapa peranan ibu bapa dalam usaha untuk memupuk
minat membaca dalam kalangan anak-anak kerana membaca jambatan ilmu. Oleh itu,anak-
anak yang rajin membaca akan menjadi pandai dan bakal pemimpin pada masa akan datang.

CARA-CARA MENCERIAKAN KAWASAN SEKOLAH

Sekolah ialah tempat kita belajar dan mendapatkan ilmu. Sebagai seorang pelajar,kita
seharusnya menjaga kebersihan dan keindahan sekolah. Setiap pelajar akan berasa selesa jika
persekitaran sekolahnya bersih dan ceria. Terdapat pelbagai cara untuk menceriakan
kawasan sekolah.

Antara cara-cara menceriakan kawasan sekolah adalah dengan mengadakan program


bergotong-royong. Bergotong royong bermaksud melakukan kerja bersama-sama. Gotong-
royong bertujuan untuk memastikan kerja-kerja dapat dijalankan dengan mudah. Selain itu,
kerja dapat disiapkan dengan cepat,bak kata pepatah,yang berat sama dipikul,ringan sama
dijinjing. Pada hujung minggu,pelajar sekolah boleh hadir untuk aktiviti gotong-
royong.Contohnya, pelajar dikehendaki memungut sampah atau membersihkan longkang.

Selain itu ialah mengadakan taman bunga di sekolah. Taman bunga ialah kawasan
yang ditanam dengan pokok-pokok bunga. Taman bunga boleh mencantikkan kawasan
sekolah. Sekolah boleh membeli pokok bunga untuk ditanam di dalam pasu atau di sekeliling
kawasan sekolah. Pelajar-pelajar juga boleh membawa pokok bunga dari rumah untuk ditanam
di kawasan sekolah. Oleh itu,taman bunga perlu diadakan di sekolah untuk menceriakan
kawasan sekolah.

Seterusnya adalah dengan mengecat semula bangunan sekolah. Mengecat


bangunan boleh mencantikkan sekolah. Pelajar juga akan berasa seronok untuk datang ke
sekolah. Cogan kata ada menyatakan , “sekolahku syurgaku..” Sekolah boleh menyediakan cat
dan berus cat. Pelajar juga boleh mengecat dan melukis mural di dinding sekolah. Mereka
boleh melukis gambar landskap,pemandangan,lukisan dan corak.

Di samping itu pihak sekolah juga boleh menganjurkan pertandingan kelas terbersih dan
terceria . Pertandingan kelas terbersih ialah peraduan bilik darjah yang paling bersih dan paling
ceria. Guru bertugas harian akan memantau dan menilai kebersihan kelas setiap hari. Elas
terbersih dan terkotor akan diumumkan dalam perhimpunan mingguan. Kelas terbersih akan
diberikan hadiah dan sijil penghargaan.

Dalam masa yang sama juga pihak sekolah boleh mengadakan Program 3K.
Program 3K bermaksud Kesihatan,Keceriaan dan Keselamatan. Program ini boleh menjadikan
sekolah sentiasa ceria dan selamat. Ini kerana pihak sekolah sentiasa mengadakan
pemantauan dari semasa ke semasa. Oleh itu program 3K perlu diadakan di sekolah.

Kesimpulannya, semua warga sekolah hendaklah bekerjasama untuk menceriakan sekolah.


Dalam hal ini,-guru,pelajar-pelajar dan kakitangan sekolah perlu bersama-sama menjaga
persekitaran sekolah supaya bersih dan ceria. Sekolahku adalah kesayanganku.

FAEDAH MENYERTAI KEGIATAN KOKURIKULUM.

Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti di luar bilik darjah. Terdapat banyak jenis kegiatan
kokurikulum di sekolah. Kegiatan tersebut termasuklah aktiviti badan beruniform, kelab dan
persatuan serta sukan dan permainan. Semua pelajar digalakkan menyertai kegiatan
kokurikulum. Ada banyak faedah kegiatan kokurikulum.

Salah satu faedah kegiatan kokurikulum ialah aktiviti itu dapat memenuhkan masa
lapang. Mereka tiada masa untuk terlibat dengan gejala sosial. Mereka sentiasa sibuk dengan
aktiviti di sekolah. Sebagai contoh, jika mereka aktif dalam bidang sukan, mereka akan berlatih
setiap petang. Oleh itu, kegiatan kokurikulum dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah.

Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih pelajar menjadi pemimpin. Ada
berbagai-bagai jawatan dalam persatuan. Sebagai contoh, jawatan pengerusi, setiausaha,
bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa. Apabila pelajar memegang jawatan pengerusi,
mereka akan belajar menjadi ketua. Ahli jawatankuasa juga belajar menguruskan aktiviti
persatuan. Ahli biasa juga boleh belajar daripada kawan-kawan yang ada jawatan. Oleh hal
yang demikian, dengan menyertai aktiviti kokurikulum, pelajar akan belajar menjadi pemimpin.

Di samping itu, dengan menyertai kegiatan kokurikulum juga kita dapat membentuk
disiplin diri. Disiplin sangat penting untuk mencapai kejayaan. Pelajar yang tidak berdisiplin
susah untuk berjaya. Sebagai contoh, apabila hendak menjalani latihan sukan atau bahas, kita
mesti menepati masa. Jika terlewat, kita akan rugi. Hal ini kerana masa latihan itu sudah
dibazirkan. Dengan menepati masa, kita sudah mematuh disiplin. Oleh itu, kita akan menjadi
lebih berdisiplin apabila terlibat dengan kegiatan kokurikulum.

Tambahan pula, badan kita akan menjadi sihat apabila menyertai kegiatan
kokurikulum. Kita boleh menjadi ahli kelab sukan seperti pasukan bola sepak dan pasukan bola
tampar. Untuk menang dalam pertandingan yang disertai, kita akan menjalani latihan.
Sekurang-kurangnya latihan itu dijalankan tiga kali seminggu. Dengan latihan itu kita akan
menjadi cergas. Kita akan mengeluarkan peluh. Badan kita akan menjadi sihat dan kuat. Kita
tidak akan mudah sakit.

Akhir sekali, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan. Setiap persatuan
dan kelab ada banyak ahlinya. Ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum. Ada yang berbangsa
Melayu, Cina, India dan lain-lain. Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan berkumpul.
Mereka boleh berbincang untuk bertukar-tukar pendapat. Dengan ini akan mengeratkan
hubungan sesama mereka. Oleh itu, dengan kegiatan kokurikulum, perpaduan kaum dapat
diwujudkan.
Kesimpulannya, terdapat banyak faedah menyertai kegiatan kokurikulum. Pihak
sekolah hendaklah mengadakan aktiviti yang menarik untuk menggalakkan pelajar
menyertainya. Ibu bapa pula hendaklah menggalakkan anak-anak mereka terlibat dengan
kegiatan kokurikulum. Oleh itu, kita dapat menghasilkan pelajar yang cemerlang.
(385 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai