Anda di halaman 1dari 2

Kebaikan Menggunakan Pengangkutan Awam

 Mengurangkan kesesakan lalu lintas

 Menjimatkan masa

 Mengurangkan kos

 Mengurangkan pencemaran udara

 Dapat menambah pendapatan negara

Dunia kian berkembang pesat termasuklah negara kita Malaysia yang semakin menuju ke status negara maju.
Namun demikian, penggunaan pengangkutan awam masih dipandang sepi oleh segelintir masyarakat. Perkhidmatan
awam kini adalah lebih baik jika hendak dibandingkan satu dekad yang lalu. Pihak kerajaan telah mengambil
tindakan yang sewajarnya dalam menambah baik mutu perkhidmatan pengangkutan awam. Jika diperhalusi, ada
berbagai-bagai faedah yang kita peroleh apabila menggunakan pengangkutan awam.

Faedah utama pastinya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering menghantui jutaan penduduk
di bandar-bandar besar. Hal ini bertambah runcing lagi apabila tiba waktu puncak ketika pergi dan pulang dari
bekerja. Sekiranya orang ramai sepakat menggunakan perkhidmatan awam untuk ke tempat kerja, pastinya masalah
kesesakan ini tidak berlaku. Sebagai contoh, semua orang menggunakan bas awam untuk ke tempat kerja, maka
jumlah kereta persendirian di atas jalan raya pastinya berkurangan.

Selain itu, penggunaan pengangkutan awam juga pasti akan menjimatkan masa individu yang
menggunakannya. Hal ini demikian kerana, penggunaan Transit Aliran Ringan (LRT) atau Monorel yang tidak melalui
jalan raya pastinya mempercepat masa untuk sampai ke satu-satu destinasi. Stesen-stesen LRT ini juga dibina di
tempat-tempat tumpuan orang ramai seperti Pudu Sentral, Kuala Lumpur Sentral dan Pasar Seni. Secara tidak
langsung, kita tidak perlu menempuh jalan raya yang sesak dengan kenderaan.

Di samping itu, apabila kita menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, kita dapat menjimatkan kos
pengangkutan. Sebagai contoh, harga petrol yang tinggi dan juga bayaran parkir kenderaan pasti perlu ditanggung
jika kita menggunakan kenderaan persendirian ke tempat kerja. Namun demikian, dengan kos yang rendah kita tidak
perlu risau dengan kos petrol dan bayaran parkir berkenaan apabila menaiki kenderaan awam. Wang lebihan
berkenaan boleh dibuat tabungan kerana sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.

Seterusnya, indeks pencemaran udara juga dapat dikurangkan jika kita sepakat untuk menggunakan
pengangkutan awam untuk ke mana-mana destinasi. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana apabila kenderaan di atas
jalan raya semakin berkurangan, maka pelepasan gas karbon monoksida yang berbahaya kepada manusia turut
berkurangan. Kesannya, kita dapat mengurangkan pencemaran udara dan kesan rumah hijau sekali gus. Secara tidak
langsung juga, rakyat Malaysia dapat hidup dengan sihat dan sejahtera.

Tambahan pula, penggunaan pengangkutan awam yang efisien turut mampu menarik minat pelancong asing
untuk berkunjung ke negara kita. Justeru, pendapatan negara akan meningkat seiring dengan penambahan jumlah
pelancong tersebut. Hal ini membolehkan pihak kerajaan merangka lebih banyak kemudahan dan prasarana untuk
kegunaan rakyat tempatan. Oleh itu, penggunaan pengangkutan awam ini perlu digalakkan demi memastikan
kelangsungan penggunaanya dalam masyarakat.

Izharnya, sudah terang lagi bersuluh, penggunaan pengangkutan awam di negara kita ini mendatangkan
seribu satu faedah buat rakyat dan negara. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing
bagi memastikan kemudahan yang disediakan ini diselenggara dan dijaga dengan rapi untuk memastikan
kelangsungan penggunaannya. Jika semua perkara ini tidak dipandang enteng, tidak mustahil negara kita mampu
mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 seperti yang dicita-citakan.

Anda mungkin juga menyukai