Anda di halaman 1dari 2

KEBAIKAN MENGGUNKAN PENGANGKUTAN AWAM

Dunia kian berkembang pesat termasuklah negara kita Malaysia yang semakin menuju ke
status negara maju. Namun demikian, penggunaan pengangkutan awam masih dipandang
sepi oleh segelintir masyarakat. Perkhidmatan awam kini adalah lebih baik jika hendak
dibandingkan satu dekad yang lalu. Pihak kerajaan telah mengambil tindakan yang
sewajarnya dalam menambah baik mutu perkhidmatan pengangkutan awam. Jika
diperhalusi, ada berbagai-bagai faedah yang kita peroleh apabila menggunakan
pengangkutan awam.

Faedah utama pastinya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering
menghantui jutaan penduduk di bandar-bandar besar. Hal ini bertambah runcing lagi
apabila tiba waktu puncak ketika pergi dan pulang dari bekerja. Sekiranya orang ramai
sepakat menggunakan perkhidmatan awam untuk ke tempat kerja, pastinya masalah
kesesakan ini tidak berlaku. Sebagai contoh, semua orang menggunakan bas awam untuk ke
tempat kerja, maka jumlah kereta persendirian di atas jalan raya pastinya berkurangan.

Selain itu, penggunaan pengangkutan awam juga pasti akan menjimatkan masa
individu yang menggunakannya. Hal ini demikian kerana, penggunaan Transit Aliran Ringan
(LRT) atau Monorel yang tidak melalui jalan raya pastinya mempercepat masa untuk sampai
ke satu-satu destinasi. Stesen-stesen LRT ini juga dibina di tempat-tempat tumpuan orang
ramai seperti Pudu Sentral, Kuala Lumpur Sentral dan Pasar Seni. Secara tidak langsung, kita
tidak perlu menempuh jalan raya yang sesak dengan kenderaan.

Di samping itu, apabila kita menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, kita


dapat menjimatkan kos pengangkutan. Sebagai contoh, harga petrol yang tinggi dan juga
bayaran parkir kenderaan pasti perlu ditanggung jika kita menggunakan kenderaan
persendirian ke tempat kerja. Namun demikian, dengan kos yang rendah kita tidak perlu
risau dengan kos petrol dan bayaran parkir berkenaan apabila menaiki kenderaan awam.
Wang lebihan berkenaan boleh dibuat tabungan kerana sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.

Seterusnya, indeks pencemaran udara juga dapat dikurangkan jika kita sepakat untuk
menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana destinasi. Hal ini tidak dapat
dinafikan kerana apabila kenderaan di atas jalan raya semakin berkurangan, maka
pelepasan gas karbon monoksida yang berbahaya kepada manusia turut berkurangan.
Kesannya, kita dapat mengurangkan pencemaran udara dan kesan rumah hijau sekali gus.
Secara tidak langsung juga, rakyat Malaysia dapat hidup dengan sihat dan sejahtera.
Tambahan pula, penggunaan pengangkutan awam yang efisien turut mampu menarik
minat pelancong asing untuk berkunjung ke negara kita. Justeru, pendapatan negara akan
meningkat seiring dengan penambahan jumlah pelancong tersebut. Hal ini membolehkan
pihak kerajaan merangka lebih banyak kemudahan dan prasarana untuk kegunaan rakyat
tempatan. Oleh itu, penggunaan pengangkutan awam ini perlu digalakkan demi memastikan
kelangsungan penggunaanya dalam masyarakat.

Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh, penggunaan pengangkutan awam di


negara kita ini mendatangkan seribu satu faedah buat rakyat dan negara. Oleh itu, semua
pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi memastikan kemudahan yang
disediakan ini diselenggara dan dijaga dengan rapi untuk memastikan kelangsungan
penggunaannya. Jika semua perkara ini tidak dipandang enteng, tidak mustahil negara kita
mampu mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 seperti yang dicita-citakan.

Anda mungkin juga menyukai