Anda di halaman 1dari 1

Kebaikan Menggunakan Pengangkutan Awam

Dunia kian berkembang pesat termasuklah negara kita Malaysia yang semakin menuju ke status
negara maju. Namun demikian, penggunaan pengangkutan awam masih dipandang sepi oleh
segelintir masyarakat. Perkhidmatan awam kini adalah lebih baik jika hendak dibandingkan satu
dekad yang lalu. Pihak kerajaan telah mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menambah baik
mutu perkhidmatan pengangkutan awam. Jika diperhalusi, ada berbagai-bagai faedah yang kita
peroleh apabila menggunakan pengangkutan awam.

Faedah utama pastinya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering menghantui
jutaan penduduk di bandar-bandar besar. Hal ini bertambah runcing lagi apabila tiba waktu puncak
ketika pergi dan pulang dari bekerja. Sekiranya orang ramai sepakat menggunakan perkhidmatan
awam untuk ke tempat kerja, pastinya masalah kesesakan ini tidak berlaku. Sebagai contoh, semua
orang menggunakan bas awam untuk ke tempat kerja, maka jumlah kereta persendirian di atas jalan
raya pastinya berkurangan.

Selain itu, penggunaan pengangkutan awam juga pasti akan menjimatkan masa individu yang
menggunakannya. Hal ini demikian kerana, penggunaan Transit Aliran Ringan (LRT) atau Monorel
yang tidak melalui jalan raya pastinya mempercepat masa untuk sampai ke satu-satu destinasi.
Stesen-stesen LRT ini juga dibina di tempat-tempat tumpuan orang ramai seperti Pudu Sentral, Kuala
Lumpur Sentral dan Pasar Seni. Secara tidak langsung, kita tidak perlu menempuh jalan raya yang
sesak dengan kenderaan.

Di samping itu, apabila kita menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, kita dapat
menjimatkan kos pengangkutan. Sebagai contoh, harga petrol yang tinggi dan juga bayaran parkir
kenderaan pasti perlu ditanggung jika kita menggunakan kenderaan persendirian ke tempat kerja.
Namun demikian, dengan kos yang rendah kita tidak perlu risau dengan kos petrol dan bayaran
parkir berkenaan apabila menaiki kenderaan awam. Wang lebihan berkenaan boleh dibuat tabungan
kerana sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.

Seterusnya, indeks pencemaran udara juga dapat dikurangkan jika kita sepakat untuk
menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana destinasi. Hal ini tidak dapat dinafikan
kerana apabila kenderaan di atas jalan raya semakin berkurangan, maka pelepasan gas karbon
monoksida yang berbahaya kepada manusia turut berkurangan. Kesannya, kita dapat mengurangkan
pencemaran udara dan kesan rumah hijau sekali gus. Secara tidak langsung juga, rakyat Malaysia
dapat hidup dengan sihat dan sejahtera.

Tambahan pula, penggunaan pengangkutan awam yang efisien turut mampu menarik minat
pelancong asing untuk berkunjung ke negara kita. Justeru, pendapatan negara akan meningkat
seiring dengan penambahan jumlah pelancong tersebut. Hal ini membolehkan pihak kerajaan
merangka lebih banyak kemudahan dan prasarana untuk kegunaan rakyat tempatan. Oleh itu,
penggunaan pengangkutan awam ini perlu digalakkan demi memastikan kelangsungan
penggunaanya dalam masyarakat.

Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh, penggunaan pengangkutan awam di negara kita
ini mendatangkan seribu satu faedah buat rakyat dan negara. Oleh itu, semua pihak perlu berganding
bahu bagai aur dengan tebing bagi memastikan kemudahan yang disediakan ini diselenggara dan
dijaga dengan rapi untuk memastikan kelangsungan penggunaannya. Jika semua perkara ini tidak
dipandang enteng, tidak mustahil negara kita mampu mencapai status negara maju menjelang tahun
2020 seperti yang dicita-citakan.

Anda mungkin juga menyukai