Anda di halaman 1dari 2

Dunia kian berkembang pesat termasuklah negara kita Malaysia yang semakin menuju ke status negara

maju. Namun demikian, penggunaan pengangkutan awam masih dipandang sepi oleh segelintir
masyarakat. Perkhidmatan awam kini adalah lebih baik jika hendak dibandingkan satu dekad yang lalu.
Pihak kerajaan telah mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menambah baik mutu perkhidmatan
pengangkutan awam. Jika diperhalusi, ada berbagai-bagai faedah yang kita peroleh apabila
menggunakan pengangkutan awam.

Faedah utama pastinya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering menghantui jutaan
penduduk di bandar-bandar besar. Hal ini bertambah runcing lagi apabila tiba waktu puncak ketika pergi
dan pulang dari bekerja. Sekiranya orang ramai sepakat menggunakan perkhidmatan awam untuk ke
tempat kerja, pastinya masalah kesesakan ini tidak berlaku. Sebagai contoh, semua orang menggunakan
bas awam untuk ke tempat kerja, maka jumlah kereta persendirian di atas jalan raya pastinya
berkurangan.

Selain itu, penggunaan pengangkutan awam juga pasti akan menjimatkan masa individu yang
menggunakannya. Hal ini demikian kerana, penggunaan Transit Aliran Ringan (LRT) atau Monorel yang
tidak melalui jalan raya pastinya mempercepat masa untuk sampai ke satu-satu destinasi. Stesen-stesen
LRT ini juga dibina di tempat-tempat tumpuan orang ramai seperti Pudu Sentral, Kuala Lumpur Sentral
dan Pasar Seni. Secara tidak langsung, kita tidak perlu menempuh jalan raya yang sesak dengan
kenderaan.

Di samping itu, apabila kita menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, kita dapat
menjimatkan kos pengangkutan. Sebagai contoh, harga petrol yang tinggi dan juga bayaran parkir
kenderaan pasti perlu ditanggung jika kita menggunakan kenderaan persendirian ke tempat kerja.
Namun demikian, dengan kos yang rendah kita tidak perlu risau dengan kos petrol dan bayaran parkir
berkenaan apabila menaiki kenderaan awam. Wang lebihan berkenaan boleh dibuat tabungan kerana
sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.

Seterusnya, indeks pencemaran udara juga dapat dikurangkan jika kita sepakat untuk
menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana destinasi. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana
apabila kenderaan di atas jalan raya semakin berkurangan, maka pelepasan gas karbon monoksida yang
berbahaya kepada manusia turut berkurangan. Kesannya, kita dapat mengurangkan pencemaran udara
dan kesan rumah hijau sekali gus. Secara tidak langsung juga, rakyat Malaysia dapat hidup dengan sihat
dan sejahtera.

Tambahan pula, penggunaan pengangkutan awam yang efisien turut mampu menarik minat
pelancong asing untuk berkunjung ke negara kita. Justeru, pendapatan negara akan meningkat seiring
dengan penambahan jumlah pelancong tersebut. Hal ini membolehkan pihak kerajaan merangka lebih
banyak kemudahan dan prasarana untuk kegunaan rakyat tempatan. Oleh itu, penggunaan
pengangkutan awam ini perlu digalakkan demi memastikan kelangsungan penggunaanya dalam
masyarakat.

Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh, penggunaan pengangkutan awam di negara kita ini
mendatangkan seribu satu faedah buat rakyat dan negara. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu
bagai aur dengan tebing bagi memastikan kemudahan yang disediakan ini diselenggara dan dijaga
dengan rapi untuk memastikan kelangsungan penggunaannya. Jika semua perkara ini tidak dipandang
enteng, tidak mustahil negara kita mampu mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 seperti
yang dicita-citakan.

Anda mungkin juga menyukai