Anda di halaman 1dari 2

KEPENTINGAN PENGANGKUTAN ALAF INI Memang tidak dapat dinafikan bahawa pengangkutan di negaraMalaysia menjadi salah satu cerucuk

utama kemajuan yang telah kita kecapi setelah mencapai kemerdekaan selama setengah abad. Pengangkutan alaf ini ataupun pengangkutan moden boleh didefinisikan sebagai kenderaan yang digunakan pascamodenisasi ini untuk memenuhi kehendak negara serta rakyatnya. Tidak semua orang mampu memiliki kenderaan sendiri, maka pengangkutan alaf ini memberikan peluang atau nafas baru kepada semua untuk meneruskan kehidupan yang selesa dan berkualiti. Hasil daripada penggemblengan usaha kerajaan dan generasi muda kita, negara kita dilengkapi dengan pelbagai pengangkutan moden seperti monorel, perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), kereta api elektronik, Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan kontena untuk masyarakat kita nikmati pada hari ini. Persoalannya, apakah kepentingan pengangkutan alaf ini? Perkhidmatan ini telah berjaya meningkatkan darjah ketersampaian di negara ini iaitu keupayaan untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Hal ini dikatakan mustahak bagi sesetengah rakyat yang berulangalik ke tempat kerja pada setiap hari. Mereka yang tinggal jauh dari destinasi mereka setiap pagi terpaksa mengambil masa berjam-jam sekiranya berlakunya kesesakan lalu lintas di jalan rayatanpa kemudahan pengangkutan alaf ini. Tekanan perasaan akibat kesesakan lalulintas yang dihadapi pula kemungkinan besar akan menjejaskan emosi mereka semasa bekerja nanti. Deduksinya, pengangkutan alaf ini berupaya melahirkan masyarakat yang mampu berdepan dengan dunia realiti kita yang pantas berubah dan berkembang. Sementelahan itu, perkhidmatan pengangkutan moden juga mampu meminimumkan jumlah kemalangan jalan raya yang berlaku di negara kita. Kebelakangan ini, kemelut tersebut telah mengundang polemik sehingga membimbangkan masyarakat di negara kita. Penggunaan pengangkutan yang pelbagai jenis dapat mengurangkan penggunaan pengangkutan jalan raya semata-mata. Hal ini dapat menjamin keselamatan penduduk negara kita kerana kemalangan yang berlaku terutamanya pada waktu puncak boleh mengakibatkan kematian. Buruk padahnya jika mangsa kemalangan tersebut merupakan pewaris bangsa yang mampu memanifestasikan kemajuan negara kita. Pengkangkutan alaf ini bukan sahaja dapat menjamin kesihatan rakyat negara kita, tetapi juga dapat memelihara hubungan yang erat antara manusia dengan persekitarannya. Hal ini adalah kerana penggunaan perkhidmatan moden dapat mengurangkan pencemaran alam. Pembakaran tenaga petroleum semasa penggunaan pengangkutan masa dahulu boleh menyebabkan pembebasan gas beracun seperti gas karbon monoksida, sulfur dioksida dan nitrus dioksida.

Pembebasan gas-gas ini bukan sahaja memudaratkan kesihatan masyarakat negara kita, menyebabkan kesan rumah hijau yang serius serta menipiskan lapisan ozon dunia. Pengangkutan alaf ini seperti feri, kapal terbang, serta kereta api elektrik adalah mesra alam. Baru-baru ini, kerajaan telah merancang untuk mengusahakan kereta yang mampu menggunakan tenaga solar dan elektrik untuk bergerak. Hal ini dapat menyelamatkan bumi kita daripada kehabisan bahan galian yang mustahak untuk memajukan aspek-aspek lain yang memerlukan perhatian. Walaupun kepentingan pengangkutan alaf ini telah jelas diperkatakan, semua pihak masih harus berganding bahu menjangkau sehabis tangan untuk memastikan bahawa kemudahan ini dapat dimanfaatkan secara maksimum. Tanpa usaha masyarakat, nescaya matlamat negara kita untuk mengoptimumkan kebaikan pengangkutan moden tidak tercapai. Untuk menjamin penglibatan aktif rakyat dalam memajukan pengangkutan alaf ini, kempen-kempen perlulah diadakan untuk meniup kesedaran tentang peri pentingnya penggunaan kemudahan ini untuk kebaikan semua pihak. Sekiranya masyarakat menggunakan pengangkutan moden dengan lebih kerap, kerajaan akan sanggup membelanjakan berjuta-juta ringgit demi meningkatkan lagi taraf dan kualiti kemudahan pengangkutan di negara kita. Kerjasama rakyat amat diperlukan kerana sesebuah negara itu terdiri daripada rakyatnya. Kemudahan yang disediakan memang bermatlamat untuk dinikmati oleh segenap lapisan rakyat di negara ini. Di samping itu, kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) perlu dimantapkan lagi untuk memajukan sektor pengangkutan di negara kita. Kerajaan kita telah menubuhkan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang merupakan sebuah rancangan kerajaan ke arah kecanggihan teknologi maklumat. Kemudahan ini boleh digunakan untuk meningkatkan lagi pengawasan dan pemanduan sistem pengangkutan serta menjamin penggunaan pengangkutan moden yang lebih efisien dan sistematik. Hal ini seterusnya akan menaikkan keyakinan masyarakat terhadap perkembangan pengangkutan alaf ini selaras dengan kemajuan yang telah dikecapi oleh negara kita pada era globalisasi ini.Sebagai intiha bicara, tidak dapat disangkal bahawa sistem pengangkutan yang moden serta efisien adalah amat diperlukan bagi memenuhi kehendak manusia pada abad ke-21 ini. Raja diibaratkan pohon manakala rakyat umpama akarnya, tanpa akar, mustahillah pohon itu dapat berdiri. Dalam kata lain, kerjasama antara kerajaan dan rakyatnya amat mustahak kerana muafakat membawa berkat. Kita hendaklah mengadunkan usaha yang cukup padu demi membina impian masa depan kita yang lebih gemilang lagi. Yakinilah sistem pengangkutan kita pada hari ini yang mampu mendorong kita untuk menangani pancaroba mayapada yang bakal menghambat serta memajukan negara Malaysia yang telah lima puluh satu tahun mengecapi kemerdekaan.

Anda mungkin juga menyukai