Anda di halaman 1dari 2

Dunia kini kian berkembang pesat termasuklah negara kita yang semakin menuju

ke status negara maju. Namun demikian, penggunaan pengangkutan awam masih


dipandang sepi oleh segelintir masyarakat. Perkhidmatan awam kini adalah lebih baik
jika hendak dibandingkan dengan satu dekad yang lalu. Pihak kerajaan telah mengambil
tindakan yang sewajarnya dalam menambah baik kualiti perkhidmatan pengangkutan
awam. Jika diperhalusi, ada berbagai-bagai faedah yang kita peroleh apabila
menggunakan pengangkutan awam.

Faedah utama pastinya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering
menghantui jutaan penduduk di bandar-bandar besar. Hal ini bertambah runcing lagi
apabila tiba waktu puncak ketika pergi dan pulang dari bekerja. Sekiranya orang ramai
sepakat menggunakan perkhidmatan awam untuk ke tempat kerja, pastinya masalah
kesesakan ini tidak berlaku. Sebagai contoh, semua orang menggunakan bas awam
untuk ke tempat kerja, maka jumlah kereta persendirian di atas jalan raya pastinya
berkurangan.

Selain itu, penggunaan pengangkutan awam juga pasti akan menjimatkan masa
individu yang menggunakannya. Hal ini demikian kerana, penggunaan Transit Aliran
Ringan (LRT) atau Monorel yang tidak melalui jalan raya pastinya mempercepat masa
untuk sampai ke satu-satu destinasi. Stesen-stesen LRT ini juga dibina di tempat-tempat
tumpuan orang ramai seperti Pudu Sentral, Kuala Lumpur Sentral dan Pasar Seni.
Secara tidak langsung, kita tidak perlu menempuh jalan raya yang sesak dengan
kenderaan.

Di samping itu, apabila kita menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam,


kita dapat menjimatkan kos pengangkutan. Sebagai contoh, harga petrol yang tinggi dan
juga bayaran parkir kenderaan pasti perlu ditanggung jika kita menggunakan kenderaan
persendirian ke tempat kerja. Namun demikian, dengan kos yang rendah kita tidak perlu
risau dengan kos petrol dan bayaran parkir berkenaan apabila menaiki kenderaan awam.
Wang lebihan berkenaan boleh dibuat tabungan kerana sedikit-sedikit lama-lama jadi
bukit.

Seterusnya, indeks pencemaran udara juga dapat dikurangkan jika kita sepakat
untuk menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana destinasi. Hal ini tidak
dapat dinafikan kerana apabila kenderaan di atas jalan raya semakin berkurangan, maka
pelepasan gas karbon monoksida yang berbahaya kepada manusia turut berkurangan.
Kesannya, kita dapat mengurangkan pencemaran udara dan kesan rumah hijau sekali
gus. Secara tidak langsung juga, rakyat Malaysia dapat hidup dengan sihat dan
sejahtera.
Tambahan pula, penggunaan pengangkutan awam yang efisien turut mampu
menarik minat pelancong asing untuk berkunjung ke negara kita. Justeru, pendapatan
negara akan meningkat seiring dengan penambahan jumlah pelancong tersebut. Hal ini
membolehkan pihak kerajaan merangka lebih banyak kemudahan dan prasarana untuk
kegunaan rakyat tempatan. Oleh itu, penggunaan pengangkutan awam ini perlu
digalakkan demi memastikan kelangsungan penggunaanya dalam masyarakat.

Izharnya, sudah terang lagi bersuluh, penggunaan pengangkutan awam di


negara kita ini mendatangkan seribu satu faedah buat rakyat dan negara. Oleh itu, semua
pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi memastikan kemudahan yang
disediakan ini diselenggara dan dijaga dengan rapi untuk memastikan kelangsungan
penggunaannya. Jika semua perkara ini tidak dipandang enteng, tidak mustahil negara
kita mampu mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 seperti yang dicita-
citakan.

Anda mungkin juga menyukai