Anda di halaman 1dari 3

1.

Acap kali negara kita menganjurkan sukan berprestij di dunia seperti Formula One, LeTour De
Langkawi, Sukan Komenwell dan sebagainya. Pecapaian Malaysia sebagai penganjur tidak dapat
dinafikan kehebatannya. Walaupun begitu, pencapaian Malaysia sebagai peserta amatlah mengecewakan.
Oleh hal yang demikian, pelbagai usaha haruslah dilakukan untuk memajukan sukan negara.

Punca utama para atlet tidak bergiat lama dalam bidang ini kerana tiada jaminan masa depan kepada
mereka. Oleh itu, suatu usaha harus dilakukan untuk menjamin masa depan mereka. Terutama peluang
pekerjaan jika berlaku kecederaan kepada mereka. Selain itu, elaun dan pencen harus diberikan kepada
mereka yang bergiat aktif dalam mewakili Malaysia, tidak kira sama ada atlet tersebut menang ataupun
kalah. Di samping itu, suatu organisasi harus ditubuhkan untuk menjaga kebajikan atlet Malaysia.

Bak kata pepatah, meluntur buluh biar dari rebungnya. Oleh itu, untuk membentuk atlet, pendedahan
haruslah dimulakan dari peringkat kanak-kanak. Sekolah sukan haruslah dibina di setiap daerah atau
disetiap negeri. Sekolah sukan berkaitan pula dibina dari peringkat sekolah rendah. Di sekolah tersebut,
kelengkapan sukan haruslah lengkap. Segala ilmu seperti teknik pernafasan yang betul diajar selain teknik
menguasai permainan sukan yang dipilih. Subjek sukan dimasukkan dalam silibus dan diuji, sama seperti
ujian bagi mata pelajaran lain.Oleh itu, pelajar tersebut akan memandang serius dalam subjek tersebut.

Di peringkat sekolah pula, Bulan kesukanan perlulah diadakan. Pelbagai aktiviti kesukanan haruslah
diadakan dan hadiah yang menarik pula perlulah ditawarkan sebagai ganjaran. Selain itu, perlawanan
persahabatan dalam sukan serta perlawanan peringkat sekolah haruslah ditingkatkan untuk mencungkil
bakat terpendam para pelajar yang seharusnya menjadi pelapis atlet yang sedia ada. Sementelahan,
kemudahan untuk sukan dan peruntukan untuk membeli peralatan sukan haruslah disediakan selain
galakan daripada pihak guru dan ibu bapa.

Konklusinya, semua pihak haruslah bekerjasama untuk memajukan lagi sukan di negara kita. Pihak
Kerajaan haruslah giat menjalankan kajian untuk memantapkan lagi sukan negara. Semua pihak
termasuklah ibu bapa seharusnya memberi bimbingan dan galakan kepada anak-anak yang
berkecenderungan terhadap bidang sukan. Majulah sukan untuk negara.

2. Sudah pasti perubahan minda masyarakat harus berlaku terutama persepsi mereka terhadap sukan.
Anggapan bahawa sukan tidak memberi apa-apa kesan atau tiada prospek ekonomi harus dikikis dengan
segera. Sukan sama juga seperti kerjaya lain jika dilakukan dengan betul, sistematik dan tabah berupaya
menyumbangkan sumber kewangan yang lumayan kepada penggamalnya. Oleh itu, perubahan paradigma
masyarakat hendaklah berubah selaras dengan perubahan zaman yang mengutamakan sukan di peringkat
global.

Selain itu, kerajaan harus memberikan ganjaran yang setimpal kepada ahli sukan yang berjaya di
dalam kejohanan peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Sumbangan dalam bentuk kewangan atau
pemberian latihan berupaya menyuntik semangat baru kepada ahli sukan untuk berusaha mencapai
kejayaan yang lebih baik lagi. Pemberian insentif ini juga memberi satu harapan kepada golongan muda
terutama kanak-kanak untuk mempunyai impian menjadi ahli sukan dan menerima ganjaran itu. Jadi,
ganjaran kepada ahli sukan perlulah wujud dan usahlah kita menganggap pemberian ganjaran ini tidak
penting dalam pembangunan sukan negara.

Jika kita mahu memiliki kelompok ahli sukan yang ramai dan baik, sudah pasti pembinaan kemudahan
sukan ditingkatkan. Pembinaan stadium, gelanggang dan padang menjadikan acara sukan lebih mudah
dan murah untuk disertai oleh masyarakat di negara ini. Keadaan ini menyebabkan kemahiran asas dalam
sesuatu asas sukan itu sudah dimiliki oleh masyarakat di negara ini dan hanya perlu digilap sahaja oleh
jurulatih negara apabila tiba masanya. Sesungguhnya, pembinaan kemudahan sukan menjamin negara
memiliki satu kelompok ahli sukan yang berwibawa.
Tambahan pula, negara boleh menganjurkan kejohanan sukan bertaraf dunia di negara ini.
Penganjuran sukan sebegini memberi peluang kepada ahli sukan negara untuk bersaing dengan ahli-ahli
sukan dunia yang sememangnya lebih baik. Persaingan yang hebat ini menjadikan ahli sukan kita lebih
fokus dan menyedari kelemahan serta mampu meningkatkan kualiti diri mereka sejajar dengan
pengalaman yang diperoleh. Maka, lebih banyak penganjuran acara sukan dunia di negara ini, semakin
bertambahlah mutu ahli sukan kita.

Bagaimana dengan juruatih? Sudah pasti pengambilan jurulatih berpengalaman terutama dari negara
luar berupaya menyuntik teknik baru kepada latihan ahli sukan kita. Jurulatih asing yang berpengalaman
ini mampu melihat kelemahan dan mengatasi kelemahan ahli sukan kita dengan pantas kerana mereka
berpengalaman. Dalam masa yang sama jurulatih asing ini boleh membuat program untuk melatih
jurulatih tempatan atau berkongsi pengalaman dengan mereka untuk merangka satu sistem latihan yang
baik. Jadi, jurulatih asing boleh membawa perubahan drastik terhadap mutu sukan kita.

Konklusinya, mutu sukan di negara ini boleh berubah. Cuma kegagalan persatuan-persatuan sukan
untuk melihat secara positif dan masalah konflik dalaman persatuan yang menyebabkan mutu sukan kita
terus menjunam. Masyarakat sudah muak dengan alasan demi alasan yang diberikan setiap kali ahli sukan
kita mengalami kekalahan. Sikap 'menuding jari' membuktikan betapa kita banyak menyalahkan orang
lain tanpa mahu berubah.

3. Di samping itu, program-program pembangunan atlet juga perlu diperbaiki dan diberi nafas baru
dalam usaha melahirkan atlet yang berdaya saing dan mampu mengibarkan cabaran negara pada
peringkat antarabangsa. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan telah menyediakan peruntukan
yang cukup banyak untuk menyokong program-program pembangunan sukan di negara ini seperti
penubuhan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). Program pembangunan sukan
ini meliputi aspek-aspek kritikal seperti kewangan, kejurulatihan, pemakanan, psikologi, dan sebagainya.
Berhubung dengan isu ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman pernah menegur tentang
cara pemakanan para pemain bola sepak kebangsaan ketika bertanding dalam Kejohanan Piala Asia
yang dianggap tidak bersesuaian dengan diet para atlet. Menurutnya kebanyakan para pemain bola sepak
negara lebih menggemari roti canai, nasi lemak, dan merokok. Kegagalan menyediakan
program-program berkualiti, memungkinkan mutu sukan negara terus merudum dan kita terus
ketandusan para atlet yang berpotensi. Contohnya sejak menjuarai Piala Thomas pada 1992, Persatuan
Badminton Malaysia (BAM) terus gagal membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang mampu
memecah penguasaan China dan Indonesia dalam arena badminton. Biarpun munculnya “gandingan
emas”, Koo Ken Kiat dan Tan Boon Heong, namun kegagalan pasukan negara dalam Kejohanan
Badminton Dunia bulan lalu menterjemahkan segala-galanya. Namun begitu, segala kelemahan tidak
harus menjadi noktah untuk kita terus berusaha. Dengan pengemblengan usaha dan iltizam semua pihak,
pastinya “sinar di hujung terowong” dapat dijelmakan untuk mengangkat kembali martabat sukan negara
kita.

Selain itu, para atlet negara juga perlu didedahkan dengan kejohanan-kejohanan antarabangsa secara
lebih kerap. Penyertaan secara berterusan amat penting dalam usaha memantapkan persembahan serta
menyesuaikan diri di dalam situasi pertandingan yang sebenarnya. Pasukan bola sepak contohnya, tidak
mampu membentuk persefahaman yang mantap jika digabungkan menjelang saat akhir pada sesebuah
kejohanan sahaja. Setiap pemain sudah pasti mempunyai latar belakang kemahiran dan peribadi yang
berbeza. Justeru, penyertaan secara berterusan dalam pelbagai kejohanan dapat membentuk
persefahaman dalam kalangan mereka seterusnya mampu menuai hasil yang diharapkan. Pencapaian
ratu squasy negara, Nicole Ann David sehingga membolehkan beliau berada pada kedudukan teratas
senarai pemain terbaik dunia, adalah berpunca daripada penyertaan yang tidak putus-putus dalam
pertandingan peringkat antarabangsa. Perlu ditegaskan bahawa kejayaan yang diinginkan tidak boleh
dijelmakan dengan usaha secara ala kadar, “seperti melepaskan batuk di tangga”. Sebaliknya ia
menuntut iltizam dan kerja keras semua pihak sama ada dalam kalangan para atlet, pihak-pihak berwajib,
dan malahan peminat sukan tanah air.

Anda mungkin juga menyukai