Anda di halaman 1dari 1

1.

CARA-CARA MENGGALAKKAN AKTIVITI GOTONG ROYONG DALAM


KALANGAN GENERASI MUDA

Dalam mendepani isu sosial yang masih bersarang dalam kalangan masyarakat, aktiviti
gotong-royong merupakan aktiviti yang semakin dilupai masyarakat khususnya generasi muda.
Aktiviti gotong-royong dalam kalangan masyarakat semakin sukar untuk dilakukan lantaran
masyarakat lebih banyak menghabiskan masa membasahi tubuh dengan keringat untuk
mencari sesuap nasi. Keadaan ini telah memberi kesan buruk secara tidak langsung kepada
generasi muda. Pada hari ini, remaja bersikap antisosial dan bergaul dalam kelompok mereka
sahaja. Malah, mereka juga tidak mahir berkomunikasi sehingga bahasa yang ditutur boleh
menggores hati orang terutamanya warga emas. Oleh itu, kita perlu menelusuri setiap langkah
dan cara untuk menggalakkan aktiviti gotong-royong dalam kalangan generasi muda.
Dalam satu perspektif, ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam
menggalakkan aktiviti gotong-royong dalam kalangan remaja. Peribahasa ada mengatakan
bagaimana acuan begitulah kuihnya, maka ibu bapa merupakan suri teladan yang menjadi
ikutan kepada anak-anak. Mereka hendaklah membawa anak-anak bergotong-royong. Sebagai
satu tamsilan, ibu bapa membawa anak menyertai aktiviti gotong-royong membersihkan
kawasan perumahan yang dianjurkan oleh persatuan penduduk. Dengan cara ini, mereka dapat
bertemu dengan anak-anak jiran yang sebaya dan pada masa yang sama mengenali jiran
tetangga. Secara tidak langsung ibu bapa dapat mendidik dan memberi pendedahan kepada
anak-anak tentang budaya bergotong-royong dalam masyarakat.
Dari perspektif yang lebih formal iaitu di institusi pendidikan negara, pihak sekolah
berperanan memupuk amalan bergotong-royong dalam aktviti penceriaan kelas. Pelajar
dikehendaki melakukan pembersihan kelas secara berkala dengan jadual pembersihan yang
telah ditetapkan oleh ketua kebersihan kelas yang dilantik. Mereka akan bekerja dalam satu
kumpulan kerana sesungguhnya sebatang lidi mudah dipatahkan berbanding seikat penyapu
yang sukar dipatahkan, begitulah semangat mereka dalam melakukan aktiviti gotong-royong
untuk membersihkan dan menghiaskan bilik darjah. Semangat berlumba-lumba membersihkan
kelas secara gotong-royong ini telah memberi galakan kepada remaja agar mengamalkan
gotong-royong dalam kehidupan mereka.
Perspektif yang berbeza juga dapat dilihat dari sudut masyarakat terutamanya
masyarakat setempat yang menganjurkan pelbagai aktiviti gotong-royong. Melalui persatuan
penduduk, aktiviti gotong-royong boleh diadakan dengan penglibatan remaja. Sebagai contoh,
aktiviti gotong-royong mengacau bubur lambuk, mengacau dodol dan membakar lemang
merupakan antara aktiviti yang menarik minat remaja. Hal ini dikatakan demikian kerana
remaja akan berasa teruja untuk mengetahui dan mencuba sesuatu yang baharu. Secara tidak
langsung, sumbangan mereka ini akan dihargai masyarakat setempat malah pandangan serong
masyarakat terhadap remaja dapat dikikis dengan amalan bergotong royong ini.
Media massa juga merupakan pihak yang tidak boleh ditinggalkan dalam usaha
menggalakkan amalan gotong-royong dalam kalangan remaja. Hal ini dikatakan demikian
kerana media massa terutamanya media sosial tidak dapat dipisahkan dengan remaja kerana
hubunganyan dengan remaja sangat rapat bagai isi dengan kuku. Maka, media massa seperti
televisyen dan radio berperanan penting untuk menyalurkan maklumat tentang aktiviti gotong-
royong yang melibatkan remaja. Dengan cara ini remaja akan seronok melakukan aktiviti
gotong-royong apabila digabung dengan hiburan masa ini yang menjadi kegilaan mereka.
Secara keseluruhannya, amalan gotong-royong hendaklah digalakkan dalam kalangan
remaja masa ini agar mereka dapat mempelajari cara bersosial dan berinteraksi dengan
masyarakat sekitar agar mereka tidak kekok apabila melalui zaman yang akan mendewasakan
mereka. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menjaga remaja Malaysia agar terhindar daripada
pemikiran yang boleh merosakkan masa depan negara.

Anda mungkin juga menyukai