Anda di halaman 1dari 7

KEBURUKAN MEDIA MASSA

Era globalisasi yang sarat dengan pelbagai cabaran zahir dan maya ini, terbit satu masalah
yang kian meruncing dalam rakyat Malaysia, iaitu ketagihan terhadap laman sesawang sosial.
Menurut kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), secara purata,
seorang rakyat Malaysia kini mempunyai 3 akaun laman sosial Facebook. Lebih-lebih lagi,
rakyat Malaysia didapati mempunyai rakan Facebook teramai jika dibandingkan dengan
pengguna-pengguna laman sosial itu di negara-negara yang lain. Bukan itu sahaja, malah
menurut kajian yang sama, seorang rakyat di negara ini meluangkan masa selama sembilan
jam dalam tempoh seminggu untuk melayari laman-laman sosial. Hasil kajian ini jelas
menunjukkan bahawa 'ketagihan' rakyat Malaysia terhadap laman-laman sosial seperti
Facebook dan Twitter semakin serius malah membimbangkan. Hal ini demikian kerana
terdapat pelbagai kesan buruk laman sesawang sosial.

Pertama sekali, laman sesawang sosial akan menyebabkan pembaziran berlaku. Wang
mengalir dengan begitu mudah apabila kita menggunakan laman sesawang sosial. Misalnya,
kita terpaksa membayar bil internet dan bil elektrik yang lebih tinggi kerana menggunakan
perkhidmatan tersebut untuk melayari alam maya yang kita gemari. Lebih menyedihkan lagi
apabila masa kita yang amat berharga turut terbazir begitu sahaja di hadapan kaca komputer.
Sekiranya hasil kajian SKMM mengenai jumlah jam yang diluangkan oleh seorang rakyat
Malaysia untuk melayari laman-laman sosial adalah tepat, maka kita sedang membuang
hampir 80 minit pada setiap hari. Ungkapan masa itu emas semakin dilupakan oleh rakyat
Malaysia akibat terlalu fanatik dengan dunia maya. Secara tidak langsung, rakyat Malaysia
yang berhemat dan bijak menggunakan masa semakin 'hilang ditelan zaman'.

Di samping itu, laman sesawang sosial juga menyebabkan pelbagai gejala negatif berlaku.
Hakikatnya, laman-laman sosial seperti Facebook dan Twitter merupakan satu bentuk
penjajahan minda yang menyasarkan golongan muda. Insan kerdil ciptaan Tuhan ini
sepatutnya berusaha melakukan anjakan paradigma terhadap negara. Malangnya, pengaruh
internet, terutamanya laman sesawang sosial telah menjejaskan kekuatan mental remaja.
Umpamanya, menerusi Facebook, golongan muda, khasnya perempuan gemar menyebarkan
gambar-gambar diri mereka yang mencolok mata demi mendapatkan jumlah 'like' yang
tinggi. Ugutan serta kegiatan buli turut sering dilakukan oleh remaja menerusi laman-laman
sosial kerana mereka menganggap perbuatan tersebut tidak menyalahi undang-undang
negara. Namun begitu, tanpa disedari oleh mereka, 'mangsa' mereka akan terganggu secara
emosi sehingga melakukan perkara-perkara di luar jangkaan seperti bunuh diri.
Maka, impak laman sesawang sosial terhadap penggunanya, terutamanya remaja sungguh
tinggi dan mampu membawa kemudaratan yang amat buruk.

Selain itu, negara turut menerima kesan buruk yang langsung akibat pengaruh laman
sesawang sosial. Terdapat insiden-insiden yang telah menjejaskan keamanan negara kerana
laman sosial. Misalnya, penganjur perhimpunan haram pada awal tahun ini telah
menggunakan blog dan Facebook untuk menyebarkan maklumat-maklumat mengenai
penganjuran aktiviti tersebut. Kesannya, ibu negara telah huru-hara selama hampir setengah
hari. Peristiwa tersebut berulang pada malam menjelang sambutan Kemerdekaan Malaysia
ke-55 apabila pihak yang sama menggunakan Facebook sebagai wahana untuk mengajak
rakyat Malaysia berhimpun secara haram di Dataran Merdeka. Situasi ini telah mencemarkan
nama baik negara kita yang telah lama diukir sejak tahun 1957. Keadaan ini sesungguhnya
membuktikan bahawa pengaruh laman sesawang sosial turut menjejaskan keamanan negara.

Intihanya, sememangnya terdapat pelbagai kesan buruk laman sesawang sosial. Oleh itu,
pelbagai pihak terutamanya pihak kerajaan, pihak sekolah dan ibu bapa perlu berganding
bahu dan melaksanakan langkah-langkah bersepadu untuk mendidik anak-anak muda supaya
menggunakan laman sesawang sosial secara bijak. Jika laman sesawang sosial dimanfaatkan
oleh golongan muda secara maksimum, pasti dunia maya itu tidak akan menyebabkan
pengaruh negatif dalam kalangan mereka. Maka, tidak mustahil laman sesawang sosial
mampu menjadi salah satu faktor pemangkin pembangunan negara sekali gus membantu
dalam mencapai Wawasan 2020 dengan melahirkan rakyat Malaysia yang celik teknologi
maklumat.


Keburukan Media Massa
Dalam era globalisasi ini, media massa merupakan media yang amat penting dalam kalangan
masyarakat. Namun, terdapat pelbagai keburukan yang berpunca daripada media massa yang
dapat memberi kesan negatif kepada kehidupan kita.
Antaranya ialah media massa sering menyebabkan kita leka akan perkara yang lebih penting.
Tamsilnya, seorang ibu terlupa untuk memasak ketika menonton televisyen.
Selain itu, media massa juga sering mendedahkan perkara yang tidak sepatutnya ditonton
oleh kanak-kanak seperti filem-filem yang berunsurkan keganasan . Sebagai contoh, kanak-
kanak yang berumur sepuluh tahun amat meminati peperangan kerana terpengaruh dengan
rancangan televisyen yang ditayangkan.
Di samping itu, media massa juga banyak menyebarkan gosip yang tidak diketahui akan
kesahihannya. Hal ini untuk menaikkan kadar tontonan bagi mendapatkan keuntungan yang
lebih banyak.
Konklusinya, terdapat banyak keburukan media massa. Kita perlulah sentiasa berwaspada
agar tidak leka dengan perkara-perkara sebegini.









KEJIRANAN

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga
di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah kampung yang
sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana
merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita
menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat
membawa berkat".Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa
bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar
hendaklah diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.

Langkah primer yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui
aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang
aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat
berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu
mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui
pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Sebagai contoh,
aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman,
menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat
menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran.

Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu
sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh
semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat
bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui
majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan
berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh,
semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan
sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis
rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan
dengan lebih erat lagi.

Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk
semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan,
semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti
berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti
Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah
anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang
bola tampar, taman rekreasi, atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini,
hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan
menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap
dalam peribahasa Melayuke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.


Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti
sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu
persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini
hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela
ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa
Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya.
Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-
gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini
berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang
mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.


Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan
rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup
bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan
mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu
berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital
kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada
mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai
jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga.
Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat
merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan
kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita
itu.

Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk
setempat. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak
mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah
Melayu bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Jika hal ini
dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan
negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Oleh
itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh.
Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat
kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.








Usaha-usaha untuk memperkasakan perpaduan kaum di Malaysia.
Dalam mengharungi arus globalisasi serta menerajui dunia ketiga, kita sayugia
memperkasakan keeratan serta perpaduan kaum di Malaysia bagi mengelakkan berlakunya
rusuhan kaum. Justeru, variasi kaum haruslah bergerak sederap bagai aur dengan tebing
sebagai satu sinergi menjurus ke wawasan 2020. Menurut kata Perdana Menteri yang
keenam, keakraban rencaman kaum merupakan penawar yang paling mujarab bagi
menyemarakkan keakraban kaum bak kata pepatah bulat air kerana pembetung bulat
manusia kerana muafakat. Selain itu, sinergi daripada semua pihak berganding bahu
melakukan usaha-usaha yang proaktif dan efektif dalam merealisasikan aspirasi rakyat
seantero Malaysia.

Dalam mengharungi arus pemodenan, usaha yang efisien harus ditangani untuk membentuk
perpaduan kaum di negara kita. Pihak keraajaan mempunyai peranan dalam merealisasikan
perpaduan kaum. Usaha kerajaan mengadakan Majlis Rumah Terbuka peringkat kebangsaan
untuk menyambut perayaan kaum utama Malaysia amat dialu-alukan. Menurut Perdana
Menteri kita, konsep Satu Malaysia dapat dijayakan melalui majlis sebegini. Semasa kerajaan
mengadakan majlis rumah terbuka, sarwajagat negara kita yang tediri daripada pelbagai kaum
memberi komitmen yang tinggi. Mereka menghadirkan diri dan mengitimkan hubungan
mereka dengan masyarakat yang mempunyai pelbagai kaum dan latar belakang. Interaksi
antara kaum dalam majlis sebegini dapat memperkasakan hubungan antara kaum di Malaysia.
Tuntasnya, kemajuan negara kita bergantung kepada perpaduan kaum seperti kata pepatah
bersatu teguh, bercerai roboh.

Perpaduan kaum juga dapat dipupuk melalui aktiviti kemasyarakatan yang memerlukan
setiap kaum mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Cara ini dapat
memupuk semangat kerjasama dan saling membantu antara satu sama lain dengan
menghapuskan sikap mementingkan diri yang tertanam di dalam jiwa masyarakat kini.
Namun, sikap negative masyarakat terutamanya masyarakat yang duduk di bandar yang
hanya bekerja tidak tentu masa dan melakukan kerja sendiri menyebabkan usaha memupuk
semangat perpaduan sukar untuk diterapkan. Aktiviti memperteguh jalinan kemesraan harus
dijalinkan seperti aktiviti gotong royong yang memerlukan sumbangan setiap pihak untuk
menjayakan aktiviti tersebut supaya perpaduan secara maksimum dapat dilahirkan. Pendek
kata, aktiviti kemasyarakatan dapat menjadi wadah yang terbaik bagi memupuk semangat
perpaduan yang perlu ada dalam diri setiap rakyat seiring dengan hasrat negara untuk
mewujudkan masyarakat yang bersatu padu walaupun berlainan bangsa mahupun agama.

Sejajar dengan konteks perbicaraan, dengan menganjurkan program Hari Keluarga, semangat
muhibah antara kaum yang berbeza di Malaysia dapat disemarakkan. Agenda program ini
bertujuan untuk mewujudkan nilai keakraban dan membendung sikap diskriminasi. Serentak
dengan itu, menerusi program hari keluarga ini, pelbagai lapisan masyarakat yang hadir dapat
berkomunikasi serta bertukar-tukar idea dan pendapat berkaitan dengan sesuatu isu. Sebagai
contoh, sekolah-sekolah di seluruh pelosok negara juga dapat melibaatkan diri dalam
sambutan Hari Keluarga. Di samping itu, kerajaan juga boleh mengadakan sambutan ini khas
untuk kakitangan kerajaan. Jelaslah bahawa usaha-usaha dalam membentuk perpaduan kaum
di Malysia boleh direalisasikan dengan program Hari keluarga yang berpotensi untuk
memperkasakan hubungan antara kaum di negara kita.
Seiring dengan itu, system pendidikan merupakan satu jalan komunikasi yang pintas untuk
merealisasikan hasrat ini. Pengenalan satu system pendidikan yang sama oleh Kementerian
Pendidikan Malaysia telah mewujudkan perpaduan kaun. Selain itu, sekolah wawasan yang
menempatkan tiga jenis sekolah yakni sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan cina
dan sekolah jenis kebangsaan tamil juga mempercepat proses perpaduan kaum. Sebagai
contoh, aktiviti kumpulan yang dijalankan dapat memperkasa hubungan kaum di peringkat
sekolah. Selain itu, penggunaan bahasa Malaysia iaitu bahasa rasmi negara kita sebagai
bahasa perantaraan di sekolah-sekolah kebangsaan turut membolehkan pelbagai kaum
berinteraksi antara satu sama lain seperti slogan bahasa jiwa bangsa. Izharnya, memang tidak
boleh kita nafikan bahwa sistem pendidikan negara kita menjadi pemangkin dalam proses
memperkasa hubungan sesama kaum.

Dari kaca mata yang lain, penerapan nilai-nilai budaya dan warisan juga merupakan salah
satu langkahh dalam mendekati matlamat dan harapan para pemimpin kita dalam mencapai
perpaduan kaum. Negara Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yakni Melayu, Cina dan
India. Rakyat boleh mengaplikasikan budaya kaum mereka dari aspek pemakanan,
pemakaian, dan peradaban serta berkongsi dengan kaum-kaum lain. Sebagai contoh, semakin
ramai wanita bukan Melayu yang memakai baju tradisional orang Melayu iaitu baju kurung
ke majlis-majlis dan kuliah-kuliah. Makanan India seperti roti canai dan tose juga semakin
diminati oleh kaum yang lain. Oleh itu, kemasukan nilai-nilai budaya dan warisan berbilang
kaum ini dapat menimbulkan rasa hormat antara satu sama lain dan seterusnya mengeratkan
lagi perpaduan kaum dalam negara.

Sekiranya isu ini diperinci secara mendalam, kerajaan telah mewajibkan remaja yang
berumur 17 tahun ke atas menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Modul
kenegaraan PLKN sememangnya bertujuan untuk melahirkan semangat perpaduan dalam
sanubari remaja daripada masyarakat majmuk yang merupakan bakal pemimpin negara.
Selaras dengan modul kenegaraan, para remaja berbilang kaum berpeluang untuk
bekerjasama bagai aur dengan tebing dan seterusnya perpaduan dapat disemai melalui
aktiviti-aktiviti berkumpulan yang dilaksanakan dalam PLKN. Sesungguhnya, tidak dapat
disangkal bahawa PLKN turut memainkan peranan dominan dalam iltizam membentuk
perpaduan kaum.

Sebagai intiha, dapatlah disimpulkan bahawa keamanan dan kemakmuran sesebuah negara
perlulah bergantung kepada perpaduan kaum di Malaysia. Pelbagai pihak harus bergerak
sederap, seia sekata dalam iltizam mencapai hasrat keharmonian dan perpaduan negara bak
kata pepatah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Perpaduan kaum
merupakan suatu misi yang amat penting agar Malaysia dapat mengorak langkah menuju ke
arah pembentukan negara bangsa dan menjadi sebuah negara yang mampu berdiri sama
tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju. Rakyat adalah aset negara yang
paling bernilai dalam pembinaan negara yang berbilang kaum demi visi Wawasam 2020.
Ciri-ciri Pelajar Cemerlang
Setiap tahun apabila keputusan peperiksaan awam seperti PMR dan SPM diumumkan sudah
pasti akan muncul ribuan pelajar yang cemerlangl Setiap individu yang memperoleh
keputusan cemerlang dalam peperiksaan adakah cemerlang dalam semua aspek? Oleh itu,
penulis akan mengupas tentang apa yang benar-benar cemerlang dalam erti kata sebenarnya.
Pelajar yang cemerlang sudah tentu mempunyai sejarah pencapaian akademik yang
cemerlang sama ada peperiksaan dalaman atau peperiksaan awam. Bukan itu sahaja, mereka
juga merupakan pelajar yang sentiasa taat dalam menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru
pada masa yang telah ditetapkan. Hal ini selaras dengan kata-kata pujangga, 'orang cerdik
memberi jawapan, orang bodoh memberi alasan'. Mereka juga turut membuat persediaan
sebelum guru memulakan pelajaran baru.
Selain aspek akademik, pelajar yang cemerlang juga mempunyai daya kepemimpinan.
Daya kepemimpinan menjadikan mereka seorang yang dihormati oleh rakan-rakan yang lain.
Sebagai contoh, pelajar yang cemerlang akademik dan mempunyai daya kepemimpinan yang
tinggi akan dilantik oleh pihak sekolah sebagai ketua pelajar atau pengawas sekolah.
Seorang yang cergas dan mempunyai sahsiah diri yang berdisiplin juga merupakan aspek
penting dalam diri seorang pelajar cemerlang. Penglibatan mereka dalam aktiviti
kokurikulum seperti pertandingan bahas dan acara sukan menunjukkan mereka seorang yang
cergas. Disiplin yang baik seperti menghormati guru, menepati masa dan tidak melanggar
peraturan sekolah menyebabkan mereka disenangi oleh semua pihak.

Konklusinya, pelajar cemerlang yang dihasilkan pada setiap tahun perlu cemerlang dalam
pelbagai aspek. Pihak sekolah dan ibu bapa perlu peka akan perkara ini agar modal insan
yang kita lahirkan berminda kelas pertama seperti yang diuar-uarkan oleh bekas Perdana
Menteri kita, Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi.

Anda mungkin juga menyukai