Anda di halaman 1dari 2

KARANGAN CONTOH 22 - PERANAN IBU BAPA DALAM MEMUPUK SEMANGAT

KEJIRANAN DALAM KALANGAN REMAJA

Semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat semakin luntur. Dalam hal ini, ibu bapa
memainkan peranan penting untuk menghidupkan semangat kejiranan agar menjadi ikutan
remaja.
Ulaskan pernyataan ini.

Susun papan satu persatu,


Agar redup dahan rumbia;
Hidup berjiran bantu –membantu,
Agar hidup harmoni bahagia.

Maksud pantun di atas jelas memaparkan kepentingan hidup berjiran. Amalan


bantu-membantu sesama jiran menjamin kehidupan masyarakat yang harmoni dan bahagia.
Namun, pada era globalisasi kini, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat semakin
luntur.Kehidupan moden yang mementingkan kebendaan telah menghanyutkan manusia
dalam arus kesibukan yang tidak bernoktah sehingga jalinan hubungan antara jiran tetangga
disisihkan. Fenomena ini semakin membimbangkan sekiranya menjadi ikutan golongan
remaja kerana tingkah laku dan sikap remaja sebenarnya banyak dipengaruhi oleh orang
tua mereka. Contohnya, sekiranya ibu bapa tidak pernah bertegur sapa atau tidak
mengenali siapa jiran di sebelah rumah, sudah pasti sikap ini akan dicontohi oleh anak-
anak remaja mereka persis ungkapan bapa borek anak rintik, bagaimana acuan , begitulah
kuihnya. Siapakah insan yang pertama menghulurkan bantuan jika kita dilanda musibah
kalau bukan jiran di sebelah rumah. Justeru, peranan ibu bapa sangat penting dalam
menghidupkan semangat kejiranan dalam sanubari generasi muda demi merealisasikan
hasrat mewujudkan kehidupan masyarakat yang harmoni.

Memang tidak dapat dinafikan, ibu bapa merupakan suri teladan atau role-model
kepada anak-anak . Oleh itu, tindak tanduk dan sikap ibu bapa terhadap jiran akan
diperhatikan dan dicontohi oleh anak-anak mereka. Ibu bapalah yang mengasuh dan
mendidik anak-anak dari tapak kaki sebesar dua jari sehinggalah meningkat remaja.
Umpama sehelai kain putih, anak-anak perlu dicorakkan bukan dengan sahaja nilai-nilai
agama malah nilai-nilai sosial yang murni. Justeru dalam usaha memupuk semangat
kejiranan dalam jiwa anak-anak-anak, ibu bapa sendiri perlu mengorak langkah dengan
menjalinkan hubungan yang baik sesama jiran tetangga. Contohnya, ibu bapa perlu
menunjukkan sikap sentiasa mesra dengan jiran, bertegur sapa dan bertanya khabar
apabila bersua muka, dan sebagainya. Ibu apa juga perlu menerangkan tentang peranan
dan kepentingan jiran kepada anak-anak sejak kecil supaya mereka menghargai jiran
tetangga sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka. Bak kata perpatah, melentur
buluh biarlah dari rebungnya, usaha memupuk amalan dan pergaulan yang baik dengan
jiran sejak kecil lagi akan kekal dipraktikkan oleh anak-anak sehingga mereka meningkat
remaja.

Selain itu, ibu bapa juga perlu melibatkan anak-anak dalam perkara-perkara yang
berkaitan hubungan dengan jiran supaya anak-anak dapat mempraktikkan sendiri nilai-nilai
kejiranan tersebut. Tak kenal maka tak cinta, justeru, amalan kunjung-mengunjung mesti
diamalkan supaya dapat mengenali jiran dengan lebih dekat dan seterusnya kemesraan
dapat diwujudkan. Janganlah dibiarkan anak-anak remaja kita terlalu leka menonton
televisyen, bermain permainan komputer atau melayari internet sehingga tidak endah
WADAH KETERAMPILAN BAHASA MELAYU PT3 & SPM 2020
E-mail : izzathakim74@gmail.com Blog : www.kkomsas.blogspot.com
Telegram : http://t.me/joinchat/GWYICUlDrYiAiv1FB2Z54A
dengan suasana di sekeliling. Contohnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak
mengunjungi jiran tetangga ketika sambutan Hari Raya, Tahun Baru Cina atau Deepavali.
Apa yang sering berlaku setiap kali hari kelepasan sempena Hari Raya contohnya, ahli
keluarga termasuk ibu bapa leka menonton televisyen kerana banyak program menarik
disiarkan. Mereka lebih rela memerap di rumah untuk menonton program kegemaran
menyebabkan budaya kunjung-mengunjung semakin dipinggirkan. Justeru, ibu bapa mesti
mengubah fenomena ini , lebih-lebih amalan ziarah-menziarahi ini menjadi lebih penting jika
jiran kita jatuh sakit atau mengalami masalah. Ibu bapa perlu bijak memujuk anak-anak
untuk turut sama menziarahi jiran supaya amalan ini dapat dipupuk dalam kalangan remaja.

Tambahan pula, program-program yang dianjurkan oleh masyarakat di sesebuah


kawasan kejiranan turut dapat memupuk semangat bantu-membantu, hormat-menghormati
dan berkerjasama dalam kalangan masyarakat di kawasan tersebut. Aktiviti seperti gotong-
royong membersihkan kawasan taman perumahan, aktiviti Hari Keluarga, Rukun Tetangga,
dan sebagainya boleh dianjurkan oleh ahli jawatankuasa yang berkenaan. Di kawasan
kampung misalnya, aktiviti marhaban pada Hari Raya, rewang ketika kenduri-kendara atau
majlis perkahwinan, kumpulan bacaan Yasin dan sebagainya juga merupakan aktiviti yang
sangat penting untuk memupuk semangat kejiranan ini. Di sinilah ibu bapa memainkan
peranan yang amat penting untuk memastikan mereka dan anak-anak remaja melibatkan
diri secara aktif. Janganlah ketiadaan masa atau ingin berehat setelah penat bekerja
dijadikan alasan sehingga aktiviti yang bermanfaat ini tidak mendapat sambutan yang
sewajarnya. Melalui aktiviti ini remaja berpeluang mengenali jiran dengan lebih dekat,
beramah mesra terutama dengan jiran yang seusia dengan mereka, menghormati jiran yang
lebih tua dan secara tidak langsung akan menyedari bahawa aktiviti seumpama ini adalah
yang terbaik bagi mengisi masa lapang remaja. Seperti ungkapan serampang dua mata,
aktiviti yang dianjurkan ini diharapkan bukan sahaja dapat memupuk dan menghidupkan
semula semangat hidup berjiran malah dapat mengurangkan ketaksuban dan kegemaran
remaja terhadap aktiviti yang berkaitan dengan kecanggihan alat teknologi, gajet dan
internet.

Kesimpulannya, hidup berjiran merupakan amalan yang wajar dipelihara dalam


masyarakat pada masa kini. Tanpa hubungan yang baik dengan jiran, kepincangan
sebenarnya telah berlaku dalam keperibadian seseorang ahli masyarakat. Justeru, sebagai
pemimpin keluarga, perlakuan ibu bapa semasa bergaul dengan jiran akan meninggalkan
gambaran yang mendalam kepada remaja. Natijahnya, ibu bapa yang prihatin tentang
hubungan sesama jiran pasti akan melahirkan remaja yang dapat hidup berbaik-baik dengan
jiran, seterusnya mampu mewujudkan masyarakat Malaysia yang hidup bersatu padu ,
harmoni dan bahagia.

WADAH KETERAMPILAN BAHASA MELAYU PT3 & SPM 2020


E-mail : izzathakim74@gmail.com Blog : www.kkomsas.blogspot.com
Telegram : http://t.me/joinchat/GWYICUlDrYiAiv1FB2Z54A

Anda mungkin juga menyukai