Anda di halaman 1dari 4

BAPA BOREK ANAK RINTIK DALAM KEHIDUPAN KITA

Pendahuluan
Satu daripada keistimewaan bahasa Melayu ialah kekayaan bentuk bahasa kiasan yang
terdapat di dalamnya. Bentuk-bentuk ini adalah sangat aktif digunakan hari-hari. Bahasa
kiasan lama biasanya akan lenyap dari penggunaan dan diganti dengan bahasa kiasan
baharu yang sama erti, ataupun bentuk lama itu mendapat makna baharu.
Dalam bahasa Melayu, bentuk-bentuk bahasa kiasan dapat diklasifikasikan seperti yang
berikut, iaitu peribahasa dan bukan peribahasa. Peribahasa merangkum unsur simpulan
bahasa, pepatah, bidalan, dan perumpamaan manakala aspek bukan peribahasa pula
merangkum unsur personifikasi, metafora dan hiperbola.
Pepatah
Bapa borek anak rintik tergolong dalam unsur pepatah dalam peribahasa Melayu.
Menurut Kamus Peribahasa Lengkap Utusan (1993), pepatah bapanya borek, anaknya
tentu rintik merujuk kepada maksud, yakni anak mencontohi kelakuan orang tuanya.
Dalam buku Panduan Peribahasa Melayu PSM (1975) pula, pepatah bapa borek anak
rintik merujuk kepada kelakuan ibu bapa itu biasanya menurun kepada anaknya.
Jika kita halusi pepatah Melayu tersebut, jelaslah bahawa maknanya masih relevan dan
boleh kita rujuk dan dihubungkaitkan dengan dunia kehidupan masyarakat moden pada
hari ini, terutamanya apabila kita menyentuh aspek kehidupan rumah tangga dan institusi
keluarga.
Peranan Ibu Bapa
Saban hari masyarakat dihidangi berita tentang kejayaan anak-anak dalam dunia
akademik, kokurikulum dan kesahsiahan diri. Tidak kurang pula anak-anak yang telah
berjaya menjadi modal insan yang berguna bukan sahaja kepada diri dan keluarga bahkan
juga kepada bangsa dan negara yang tercinta.
Sebenarnya, kejayaan anak-anak tersebut banyak bergantung kepada corak didikan ibu
bapa (keluarga) yang diwarisi dan disemaikan di rumah sejak anak-anak masih bertatih
lagi. Tidak boleh kita nafikan bahawa anak-anak umpama kain putih yang suci bersih dan
ibu bapalah yang bakal mencorakwarnakan dunia kehidupannya. Tanpa didikan, galakan
dan contoh teladan yang baik daripada ibu bapa, barangkali tingkah laku, sikap dan masa
depan anak-anak akan menjadi tidak menentu sekali gus anak-anak terutamanya
golongan remaja bakal berhadapan dengan dunia kehidupan yang sukar dan beranjau.
Tidak dapat kita nafikan bahawa tangan yang mengayun buaian itulah yang akan
melahirkan generasi warga yang berbudi bahasa, bersahsiah mulia dan berhemah tinggi.
Sejak seseorang bayi dilahirkan, beberapa aspek kehidupan telah dititikberatkan oleh ibu
bapa seperti didikan agama, nilai budaya dan cara hidup bertatasusila. Jika dihalusi secara
terperinci, amalan dan didikan ibu bapa semasa anak-anak di rumah cukup penting dan

merupakan prasyarat awal untuk anak-anak mengorak langkah awal ke alam pendidikan
sebelum mereka mula melayari bahtera kerjaya yang lebih mencabar apabila usia mereka
meniti dunia kematangan dan kedewasaan hidup. Amalan murni seperti hormatmenghormati ibu bapa, bertutur dengan sopan-santun, mendirikan sembahyang, rajin
berusaha dan sikap tolong-menolong perlu bermula daripada contoh teladan ibu bapa
yang sebenar sebelum dapat diterjemahkan untuk diteladani oleh anak-anak dalam
kehidupan mereka sehari-hari.
Nilai Murni
Maksud peribahasa bapa borek anak rintik turut boleh kita hubung kaitkan dengan
amalan membaca di rumah. Sekiranya, amalan membaca mula dititikberatkan dan turut
diamalkan oleh ibu bapa di rumah, maka akan menjadi suatu kebiasaan pula amalan yang
bermanfaat ini akan dicontohi oleh anak-anak di rumah. Yang penting, amalan murni ini
haruslah mula disemaikan dalam jiwa raga ibu bapa terlebih dahulu sebelum amalan
murni ini dapat dihidupsuburkan dalam jiwa raga anak-anak. Sekiranya, ibu bapa tidak
memiliki minat membaca atau barangkali malas membaca ataupun mereka mempunyai
seribu satu alasan maka anak-anak yang senantiasa memerhati gerak-geri dan fiil ibu
bapa mereka, akan mula beranggapan bahawa amalan tersebut merupakan amalan yang
remeh-temeh dan tidak perlu diutamakan dalam kehidupan seharian mereka sedangkan
amat kita sedari bahawa bangsa yang membaca ialah bangsa yang berjaya.
Sikap berjimat cermat dan amalan menabung dalam kehidupan sehari-hari juga harus
bermula daripada daya usaha amalan dan teladan ibu bapa yang biasanya akan bertindak
sebagai "role model" kepada anak-anak dalam sesebuah keluarga. Sebaliknya, jika ibu
bapa senantiasa mengamalkan corak hidup mewah biarpun di luar kemampuan dan amat
suka berboros serta berhutang keliling pinggang, maka tidak hairanlah sikap buruk dan
merugikan ini akan turut dicontohi dan diwarisi oleh anak-anak dalam kehidupan mereka
sehari-hari sehingga mereka lupa diri dan lupa daratan atau barangkali akan turut
terlanjur berhutang dengan lintah darat atau along.
Peranan Guru
Guru, golongan pendidik atau yang bergelar munsyi di sekolah turut memainkan peranan
yang cukup penting dalam usaha menjadi pendorong atau pemangkin kepada anak-anak
didik untuk berusaha gigih dan cekal dalam perjuangan menimba ilmu dan berjaya
dengan cemerlang dalam buana pelajaran. Sekiranya, guru pula bersikap sambalewa atau
pasif ataupun bersikap acuh tak acuh, maka anak-anak didik yang terbiar bebas dan liar
akan mengabaikan pelajaran dan seterusnya membabitkan diri dalam masalah disiplin
dan sosial yang serius. Remaja pelajar yang kehilangan pedoman dan hala tuju
perjuangan hidup akan mudah terdorong untuk membabitkan diri dalam masalah sosial
yang serius seperti kegiatan penyalahgunaan dadah, samseng jalanan, gengsterisme dan
maksiat. Sesungguhnya, keterlibatan remaja dalam masalah sosial tersebut akan
merugikan diri, keluarga, bangsa dan negara.

Dalam kita menghalusi maksud peribahasa bapa borek anak rintik, terdapat juga
beberapa peribahasa Melayu yang turut mendukung maksud yang bersinonim dengannya.
Antara lain, peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya, bagaimana contoh begitulah
gubahannya, yakni anak menurut baka ibu bapanya; sesuatu itu menurut asalnya. Pepatah
seperti bagaimana bunyi gendang, begitulah tarinya, bagaimana biduk, bagaimana
pengayuh, bagaimana cetak, begitu kuihnya, bagaimana contoh begitulah gubahnya dan
bagaimana rupa begitulah bayangnya turut bersinonim dengan peribahasa bapa borek
anak rintik.
Pengaruh
Pernah juga kita terbaca atau menonton dalam media massa, kisah remaja yang terbabit
dalam kes GRO, gejala buang bayi, kes lari dari rumah, remaja bergentayangan dengan
rakan-rakan di pusat-pusat beli-belah atau di pusat-pusat hiburan sehingga dinihari dan
sebagainya. Kenapakah gejala sosial itu masih berlaku dan berterusan sedangkan ibu
bapa atau penjaga remaja tidak mengamalkan tabiat buruk tersebut sebaliknya mereka
mempunyai keluarga yang bahagia, sumber pendapatan yang tetap dan lumayan?
Barangkali dalam hal ini, golongan remaja yang hidup bebas dan liar ini sebenarnya
bukan dipengaruhi oleh cara hidup ibu bapa atau penjaga mereka sebaliknya mereka
sudah terlanjur bergaul atau berkawan dengan golongan remaja bebas dan liar yang sudah
menyimpang jauh dari aspek agama, nilai budaya dan akhlak!
Dalam konteks ini, pepatah bapa borek anak rintik tidak boleh kita asosiasikan dengan
dunia kehidupan remaja yang bobrok lantaran keterlanjuran diri, dek kebebasan hidup
yang tidak berpedoman dan bermatlamat dalam rutin kehidupan golongan remaja pada
hari ini. Di sini, barangkali golongan ibu bapa atau penjaga boleh kita
pertanggungjawabkan dek pengabaian mereka selama ini dalam memberikan kasih
sayang, kurangnya penjagaan dari aspek kebajikan anak-anak, tidak mahu memahami
dunia mereka atau barangkali kurangnya usaha pemantauan kerana kesibukan ibu bapa
atau penjaga mengejar dunia kerjaya dan dunia kebendaan pada alaf globalisasi ini
sehingga kasih sayang dan kebajikan anak-anak di rumah diserahkan bulat-bulat kepada
pembantu rumah warga asing yang barangkali agak subjektif dan rumit jika dikaji latar
belakang kehidupan mereka.
Bagaimanakah pula keadaan dan nasib anak-anak yang sedang membesar diasuh dan
dididik pula oleh pembantu rumah asing yang barangkali pernah terlibat dalam gejala
sosial dan jenayah yang serius semasa di tanah air sendiri? Bayangkanlah risiko yang
telah diambil oleh ibu bapa atau penjaga dalam usaha untuk mencari sesuap rezeki dan
seteguk kehidupan saban hari di buana kehidupan yang serba mencabar ini.
Kesimpulan
Sememangnya tidak boleh kita nafikan, dalam sesetengah kes khususnya dalam konteks
kehidupan golongan anak-anak dan remaja, tingkah laku ibu bapa atau penjaga turut
berperanan besar mempengaruhi watak dan perwatakan anak-anak. Namun begitu,
terdapat juga kes-kes sosial dan jenayah juvana yang membabitkan anak-anak, khususnya

golongan remaja yang akar masalah sebenarnya bukan kerana tingkah laku atau
keturunan ibu bapa atau penjaga sebaliknya barangkali benar berpunca daripada
kurangnya kasih sayang dan pemantauan ibu bapa, guru dan masyarakat di sekelilingnya
di samping pengaruh akrab dan intim dunia media massa pada era dunia tanpa sempadan
ini seperti Internet, selain faktor pengaruh rakan sebaya dan ketirisan kesedaran
masyarakat terhadap kepentingan pendidikan agama atau moral, nilai budaya, siviks dan
ketatanegaraan dalam kehidupan masyarakat moden pada hari ini.
Add starShareEmailKeep unread

Anda mungkin juga menyukai