Anda di halaman 1dari 5

SINOPSIS NOVEL SILIR DAKSINA

SINOPSIS UMUM
NOVEL SILIR DAKSINA

Novel Silir Daksina mengisahkan seorang remaja bernama Haiqal


Hakimi yang hidup bersama-sama dengan umi, bapa tirinya, dan adik
tirinya, Nurul Asiyah di Kuala Terengganu, Terengganu. Bapa Haiqal,
iaitu Abdullah bin Kayan berada di Kampung Seri Purnama, Parit
Raja, Batu Pahat, Johor. Haiqal terpisah dengan bapanya apabila
uminya berpisah dengan bapanya kerana mereka tidak sehaluan.
Uminya yang merupakan seorang usahawan batik dan mempunyai
kedai di Pasar Payang tidak dapat menerima bapanya sebagai
seorang pencinta seni sastera dan budaya. Akibatnya, perkahwinan
antara mereka hanya mampu bertahan selama tiga tahun.

Sejak kecil Haiqal tidak pernah berjumpa dengan ayahnya. Ketika


berusia 12 tahun, bapanya telah meninggal dunia sewaktu Haiqal
menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Umi dan bapa
tirinya pergi ke kampung arwah ayahnya untuk menziarahi jenazah
tetapi melarang Haiqal untuk turut sama atas alasan dia sedang
menduduki UPSR. Haiqal hanya mampu menangis kerana tidak
dapat melihat wajah ayahnya buat kali terakhir. Walaupun Haiqal
berasa terkilan namun dia amat menyayangi uminya dan tidak berani
membantah kata-katanya. Pada suatu hari, Haiqal menerima sebuah
manuskrip yang dihantar oleh seorang gadis berbangsa Cina melalui
kiriman pos. Sejak itu, hati Haiqal meronta-ronta untuk pergi ke Batu
Pahat, iaitu tempat arwah bapanya tinggal. Manuskrip yang diterima
itu menceritakan pelbagai peristiwa berkaitan dengan kehidupan
bapanya yang melibatkan diri dalam aktiviti untuk memperkasa seni
dan budaya zapin. Justeru, Haiqal berasa teruja untuk menjejaki
sejarah kehidupan bapanya itu bagi mengubat kerinduan yang
ditanggung olehnya sejak kecil.
Pada suatu malam, Haiqal telah memberitahu uminya bahawa dia
ingin ke kampung halaman bapanya. Umi Haiqal melarang Haiqal
meneruskan rancangannya itu dan memarahinya dengan alasan
tiada apa-apa di kampung tersebut memandangkan ayahnya sudah
lama meninggal dunia. Haiqal yang telah nekad tetap berkeras
dengan keputusannya itu. Umi Haiqal mengugut Haiqal bahawa dia
tidak akan memberikan wang kepadanya sekiranya dia kekampung
arwah ayahnya itu. Walid memahami perasaan Haiqal dan
merestukan pemergiannya. Walid akan menampung perbelanjaan
Haiqal sepanjang dia berack di Johor kelak.

Haiqal ke selatan tanpa diiringi oleh uminya. Di halaman rumah, walid


dan adik tirinya, Nurul Asiyah sahaja yang mengiringi Haiqal hingga
ke muka pintu. Haiqal dihantar oleh Ratna ke stesen bas. Haiqal
sampai di stesen bas Batu Pahat pada waktu subuh. Selesai
menunaikan solat subuh di surau, Haiqal menaiki sebuah teksi untuk
ke Parit Raja, iaitu kampung halaman bapanya.

Di sebuah warung, Haiqal bertanya kepada pemilik warung tersebut


tentang rumah arwah ayahnya. Pemilik warung tersebut, iaitu Wak
Sakimin menyuruhnya menunggu Tauke Ong untuk membawa Haiqal
ke rumah arwah ayahnya. Tidak lama kemudian, Tauke Ong tiba di
warung Wak Min. Tauke Ong menghantar Haiqal ke rumah arwah
ayahnya. Haiqal disuruh berehat dan dia akan membawa Haiqal
makan tengah hari di bandar. Di rumah arwah ayahnya, Haiqal
melihat beberapa sijil dan gambar yang ada. Haiqal mendapati arwah
ayahnya, Abdullah bin Kayan adalah lebih hebat daripada yang dia
sangkakan.

Tepat jam 12:30 tengah hari, Tauke Ong dan anaknya, See Hwa
datang untuk membawa Haiqal makan tengah hari. Sewaktu di dalam
kereta, Tauke Ong memberitahu bahawa banyak kerja yang Haiqal
perlu uruskan. Tauke Ong memegang amanah untuk menguruskan
ladang kelapa sawit dan kebuh getah milik arwah ayah Haiqal dan
dia akan menyerahkan semua urusan itu kepada Haiqal.
Setibanya di pekan Parit Raja, Tauke Ong memberitahu Haiqal
bahawa dia ada urusan di bank dan meminta anaknya, See Hwa
membawa Haiqal makan di sebuah restoran. Di restoran itu, See
Hwa berbual-bual dengan Haiqal tentang tempat tinggal masing-
masing. Pada waktu itu, Haiqal teringatkan rakan karibnya, Ratna.
Sejak tiba di kampung pada pagi itu, dia masih belum menghantar
SMS kepada Ratna. Semasa makan, See Hwa memberitahu bahawa
ayah Haiqal pandai memasak ciii padi ikan haruan. Haiqal
merasakan bahawa See Hwa beruntung kerana dapat merasai kasih
sayang arwah ayahnya dan dapat mengisi kekosongan jiwa arwah
ayahnya itu. Haiqal ingin mendekati See Hwa kerana dia yakin
bahawa See Hwa banyak menyimpan rahsia hidup ayahnya. Dia jugs
membuat telahan bahawa watak Ai Ling dalam manuskrip yang
ditulis oleh arwah ayahnya itu ialah See Hwa.

See Hwa membawa Haiqal berjalan-jalan di sekitar pekan Parit Raja


dan mereka berhenti di sebuah kedai buku. See Hwa memilih-milih
novel yang hendak dibelinya manakala Haiqal membeli majalah yang
berkaitan dengan bahasa dan sastera. Ketika itu, mereka mendapati
bahawa mereka meminati penulis yang sama. Pertemuan itu telah
menimbuikan kemesraan antara mereka berdua. Pada petang itu,
Haiqal tersedar daripada tidurnya. Haiqal membaca SMS yang
dihantar oleh Nurul Asiyah dan membaiasnya.
 Haiqal menziarahi pusara ayahnya dengan menaiki motosikal yang
dipinjamkan oleh Tauke Ong. Haiqal membaca surah al-Fatihah dan
berselawat ke atas nabi, seterusnya membaca surah Yaasin.
Semasa Haiqal menunggang motosikal, hatinya tergerak untuk
memberhentikan motosikalnya berhampiran dengan sekumpulan
remaja yang sedang memancing ikan. Haiqal berbual-bual dengan
Pak Cik Bakar. Pak Cik Bakar mempelawa Haiqal ke rumahnya untuk
bercerita lebih lanjut tentang arwah ayahnya. Selepas menunaikan
solat maghrib dan isyak di masjid, Haiqal ke warung Wak Min untuk
mengisi perut. Haiqal, Pak Cik Bakar, Wak Arif, dan Haji Salim
berbual-bual mengenai tarian zapin.

Pada suatu hari, Haiqal telah dibawa ke balai raya Kampung Seri
Purnama. Di situ, Haiqal dapat melihat hasil kegiatan ayahnya.
Beberapa album, majalah, dan buku-buku milik arwah ayahnya juga
dipamerkan di situ. Haiqal sedar bahawa ayahnya benar-benar
seorang penari zapin. Di warung, Haigal bertanya tentang Aksara
kepada See Hwa dan memberitahu bahawa perkara itu ada dalam
manuskrip ayahnya. See Hwa memberitahu bahawa Aksara
merupakan satu-satunya perkara yang tidak dapat dilaksanakan oleh
arwah ayah Haiqal sebelum dia meninggal dunia. See Hwa juga
menjelaskan bahawa Aksara ialah singkatan kepada Akademi
Sastera Rakyat dan arwah ayah Haiqal bercita-cita untuk menjadikan
kampung Seri Purnama sebagai pusat pengembangan sastera di
daerah itu. Arwah ayah Haiqal amat mencintai bidang sastera rakyat
dan menganggap bahawa tugas itu sebagai satu tanggungjawab
sosial yang mesti dilaksanakan untuk mendekatkan masyarakat
dengan sastera.

Haiqal telah mencadangkan kepada Pak Cik Bakar untuk


mengadakan persembahan tarian zapin. Cadangan Haiqal itu
dikemukakan kepada ketua kampung. Mesyuarat untuk
membincangkan cadangan Haiqal telah diadakan di balai raya dan
cadangan Haiqal itu diterima sebulat suara oleh penduduk kampung.
Pembahagian tugas sempena majlis yang bakal diadakan itu turut
dilakukan pada malam tersebut. Tauke Ong menawarkan diri untuk
menaja jamuan semasa majlis itu berlangsung kelak. Oleh itu,
persiapan sempena majlis tersebut dilakukan oleh penduduk
kampung. Haiqal juga turut serta dalam membuat persiapan itu.
Tauke Ong mencadangkan agar Haiqal turut mempelajari tarian
zapin. Haiqal akur apabila Pak Cik Bakar, Haji Selamat, Wak Parmin,
Abang Ramlan, dan Wak Seman bersungguh-sungguh mahu
mengajarnya tarian zapin.

Seminggu sebelum acara persembahan itu, Haiqal telah


memaklumkan kepada walidnya tentang tarian zapin jincat itu. Dia
meminta walid, umi, dan Nurul Asiyah mendoakannya agar dapat
mempersembahkan tarian itu dengan baik. Pada hari majlis tersebut,
mereka mendapat berita bahawa Lazim telah ditimpa kemalangan
jalan raya sewaktu pulang dari kerja. Haji Salim mengemukakan
cadangan supaya See Hwa menggantikan Lazim memandangkan
Lazim tidak dapat menjadi pasangan Haiqal untuk persembahan
tarian tersebut. Haji Salim menyuruh Haiqal memujuk See Hwa untuk
menari zapin dengannya.

Selepas solat maghrib, Haiqal ke rumah Tauke Ong. Dia


memberitahu Tauke Ong tentang tujuannya untuk memujuk See Hwa
supaya berpasangan dengannya pada malam itu. Haiqal terkejut
apabila mendapati See Hwa sedang menggosok baju zapin. See
Hwa berterus terang kepada Haiqal bahawa dia dan Lazim sudah
berpakat untuk membuat kejutan kepada Haiqal. Haiqal meminta See
Hwa menari bersamanya bagi menggantikan tempat Lazim.

Akhirnya, malam itu menjadi kenyataan apabila Haiqal dapat


mempersembahkan tarian zapinnya dengan baik. YB Datuk Syaiful
Azizi terpesona melihat kelembutan gerak tari See Hwa dan Haiqal.
Ketika asyik menari, Haiqal terpandang uminya, walid, dan Nurul
Aisyah yang sedang berdiri di belakang balai raya sambil melihatnya
menari di atas pentas. Haiqal amat terharu dan bersyukur apabila
melihat mereka datang untuk melihatnya menari.

Haiqal membuat keputusan untuk menyambung pelajarannya di


sebuah universiti di Bumi Kenyalang. Haiqal percaya bahawa
dendam uminya terhadap ayahnya juga telah lebur apabila uminya
datang ke Kampung Seri Purnama untuk melihat dia menari zapin.
Umi Haiqal sedar bahawa darah merah yang mengalir dalam setiap
pelosok tubuh Haiqal merupakan darah Abdullah bin Kayan yang
tidak boleh dinafikan. Sahabat Haiqal, iaitu Ratna telah bertunang
dengan seorang usahawan. Ketika Haiqal meninggalkan Kampung
Seri Purnama, See Hwa telah menangis. Haiqal sedar bahawa dia
perlu menjadi seperti ayahnya untuk mewujudkan Aksara semula.
Hasrat itu masih terlalu jauh daripada jangkauannya kerana dia
masih belum layak untuk memimpin Aksara. Haiqal merasakan
bahawa silir daksina benar-benar mendamaikannya.

Anda mungkin juga menyukai