Anda di halaman 1dari 2

‘AKU BANGGA BERBAHASA

MELAYU’
Saya bangga berbahasa Melayu! Itulah ungkapan keramat yang saya
pegang hingga hari ini kerana kecintaan saya yang mendalam terhadap bahasa
kebangsaan. Walaupun saya bukan penutur asal bahasa ini, tetapi saya bangga
kerana dapat bertutur dengan rakan yang pelbagai bangsa menggunakan bahasa
ini. Bak kata pepatah, lenturlah buluh, biarlah dari rebungnya mengingatkan saya
kembali seawal usia kecil dahulu, seawal saya melangkah masuk ke alam
persekolahan di mana bahasa Melayu bukan bahasa ibunda yang saya selalu
tuturkan. Tetapi sekarang, saya bukan sahaja dapat bertutur, tetapi mampu menulis
dengan baik. Terima kasih guruku.

Dalam era globalisasi ini, masyarakat sibuk menuntut pelbagai bidang ilmu
pengetahuan bagi memacu kecemerlangan diri walhal penggunaan bahasa
Melayu ini kian ketinggalan. Bahasa Melayu menjadi ‘bahasa rojak’ bagi generasi
muda zaman kini. Penggunaan bahasa yang bercampur-campur dengan bahasa
barat menjadikan bahasa Melayu rosak dan menjadi ikutan generasi yang baru
belajar. Namun begitu, bahasa ini tetap teguh kerana bahasa Melayu merupakan
bahasa rasmi negara seperti mana termaktub dalam perlembagaan Malaysia. Saya
bangga berbahasa Melayu!

Slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ membuatkan saya tertarik untuk lebih


mendalami dan mempelajari bahasa Melayu. Di sekolah, saya terlibat dengan
program Nilam. Di sinilah saya, menimba ilmu dan menyemai kecintaan saya
terhadap bahasa Melayu. Banyak perkataan baharu yang saya temui dan setelah
sekian lama berkecimpung membaca buku-buku bahasa Melayu, saya akhirnya
menemui sesuatu yang berharga iaitu bahasa Melayu ini sangat indah, sangat
bersopan santun, tidak lekang manis tutur katanya dan juga tidak kurang hebat
dalam puisinya.

Di samping itu, bahasa Melayu juga merupakan bahasa ‘lingua franca’ pada
zaman dahulu kala. Satu perkara yang saya tidak pernah ketahui sebelum ini. Bahasa
Melayu pernah digunakan oleh pedagang-pedagang pada suatu ketika dahulu
sebagai bahasa pengantaraan. Ini membuatkan saya lebih sukakan bahasa Melayu
kerana sebelum ini bahasa Melayu pernah gah di mata dunia terutama di rantau
Nusantara ini. Bukan itu sahaja, saya percaya bahawa Bahasa Melayu ini sangat unik
di mana ia mudah dipelajari dan senang difahami. Bak kata pepatah, di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan.

Akhir sekali, satu keistimewaan dalam bahasa Melayu ialah kehebatan dalam
menyampaikan sesuatu secara berlapis. Sebagai contoh, memberikan teguran
menggunakan pantun, menyampaikan perasaan menggunakan sajak dan
menyampaikan hajat menggunakan seloka. Hari demi hari, saya belajar semua jenis
puisi ini dan rasa cinta terhadap bahasa Melayu kian mendalam. Di peringkat
sekolah, saya menyertai pertandingan mendeklamasi sajak dan menulis esei ini
kerana saya mengerti, ini sahaja cara untuk membuktikan rasa bangga dan cinta
saya terhadap Bahasa Melayu. Tepuk dada tanya selera. Saya bangga berbahasa
Melayu.

Anda mungkin juga menyukai