Anda di halaman 1dari 1

Dilema Ibu Bapa

Jun 6, 2007 mindabahasa


Satu dilema yang dihadapi oleh ibu bapa di Malaysia pada hari ini ialah bagaimana
cara untuk mengimbangi masa bekerja dengan masa untuk mendidik anak yang menjadi
semakin sukar apabila majikan mereka menuntut supaya mereka balik lambat untuk
menghabiskan kerja. Apatah lagi, sebahagian kecil ibu bapa pula kurang pengetahuan dan
kemahiran dalam mendidik anak dan ini memerlukan penyelesaian. Kenyataannya ialah
ibu bapa begitu sibuk dengan kerjaya masing-masing dan tidak mempunyai masa untuk
anak menyebabkan ribuan kanak-kanak di bandar ditinggalkan bersama pembantu rumah
rakyat asing, pengasuh bayi dan sebahagian kecil dengan saudara mara. Mereka terdedah
kepada pengaruh dan pemikiran penjaga mereka ini. Kanak-kanak yang pulang dari
sekolah mendapati diri mereka di dalam rumah kosong kerana kedua-dua ibu bapa
bekerja. Tiada siapapun di rumah untuk memberikan kasih sayang, membimbing dan
menerapkan nilai kekeluargaan yang murni. Mereka sebaliknya mendapatkan tunjuk ajar
dan dipengaruhi oleh rakan sebaya. Dengan pengaruh yang tidak baik daripada rakan
sebaya, wujudlah suasana yang akan membawa mereka kepada pelbagai penyakit dan
masalah sosial. Kanak-kanak yang membesar di dalam suasana seperti itu akhirnya akan
menjadi mangsa pelbagai masalah sosial seperti keganasan di sekolah, menagih dadah
malah terbabit dengan jenayah. Ibu bapa mesti bersedia meluangkan masa untuk
bersama anak mereka. Kanak-kanak memerlukan kasih sayang ibu bapa dan tanpanya
kehidupan mereka akan musnah kerana mereka tidak memahami atau menghargai kasih
sayang dan nilai kekeluargaan dalam kehidupan mereka kemudian nanti. Ibu bapa
mestilah lebih peka terhadap kualiti ikatan kekeluargaan dan sentiasa mengambil langkah
untuk menerapkan nilai asas moral kepada anak mereka yang diperlukan untuk
membangunkan asas yang kuat kepada satu masyarakat yang stabil dan kukuh. Jelasnya,
satu program perlu dijalankan bagi meningkatkan nilai moral dan mengukuhkannya
secara berterusan untuk menyedarkan anak akan tanggungjawab terhadap diri mereka
sendiri, ibu bapa, masyarakat dan negara.

Anda mungkin juga menyukai