Anda di halaman 1dari 2

DIDIK

PUSAT TUISYEN BAHASA MELAYU


TEL NO : 016 88 22 114 / 084- 215 415 [ CIKGU CHAI ] TAHUN 2015

AMALAN RUMAH TERBUKA


(TEMA) Rumah terbuka atau open house sudah menjadi lumrah pada sambutan perayaan di
negara ini termasuk Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Natal dan juga Hari Raya Aidilfitri. Perayaan seperti
ini tidak lengkap jika tiada rumah terbuka sehingga seluruh lapisan dan pelbagai lapisan masyarakat
mengetahui istilah rumah terbuka yang menjadi amat sinonim dalam kehidupan mereka. (ISU) Kerajaan
Malaysia pada tahun 2000 telah memutuskan sebanyak enam perayaan kaum atau agama dianggap sebagai
perayaan utama negara yang diraikan di peringkat kebangsaan anjuran bersama kerajaan pusat dan kerajaan
negeri. (ARAHAN) Menyedari kesungguhan kerajaan untuk menganjurkan rumah terbuka pada peringkat
nasional, persoalan yang sering berlegar-legar di gawang minda kita ialah apakah kepentingan-kepentingan
amalan rumah terbuka?
(ISI 1) Sebenarnya, amalan rumah terbuka yang diwujudkan banyak memberikan kepentingan
terutamanya dalam mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan anggota masyarakat di negara kita.
(MENGAPA) Perpaduan yang terjalin sekali gus dapat memudahkan pencapaian matlamat atau misi dan
visi negara dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa. Selain itu, amalan rumah
terbuka memberikan makna besar kepada anggota masyarakat mengenai erti perpaduan yang harus wujud
untuk mengelakkan sebarang prejudis terhadap keharmonian kaum. Amalan ini juga dilihat sebagai salah
satu pertemuan yang melupakan pertentangan pendapat, perbezaan idealogi, perbezaan konsep politik
mahupun berlainan parti politik sama ada pembangkang atau kerajaan. (BAGAIMANA) Jadi, setiap kaum
seperti Melayu, India, Cina, Kadazan dan sebagainya boleh berkunjung ke rumah terbuka kaum lain tanpa
sebarang halangan dan kekangan yang perlu dibimbangi. (KESAN) Sehubungan dengan itu, perasaan
muhibah antara satu sama lain dapat mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni. (PENEGAS) Tegasnya,
konsep penyatuan antara kaum dapat dihidupkan melalui amalan rumah terbuka.
(ISI 2) Di samping mewujudkan perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat serta pemimpin
sendiri, amalan rumah terbuka ini juga dapat membantu sesama kaum memahami budaya kaum-kaum lain.
(MENGAPA) Mereka hanya akan merayakan perayaan itu bersama-sama walaupun mereka berbeza latar
belakang, budaya dan juga agama. Amalan ini juga membolehkan setiap kaum mengenali juadah kaumkaum lain, memahami antara satu sama lain selain didedahkan kepada adat resam dan pantang larang
rakan-rakan mereka sendiri. (BAGAIMANA) Sebagai contoh, orang-orang India, Cina, Iban, Kadazan dan
sebagainya merayakan sambutan Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya.
(KESAN) Hal ini dapat membantu mereka mempelajari budaya dan adat kaum lain serta budaya yang sihat
juga dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita. Secara tidak langsung
semangat toleransi akan tersemai dalam kalangan generasi sekarang. (PENEGAS) Pendek kata, budaya
dan adat resam kaum lain dapat dipelajari melalui amalan murni ini.
(ISI 3) Selain kepada anggota masyarakat negara ini sendiri, penganjuran rumah-rumah terbuka
juga merupakan persembahan kepada pelancong asing yang datang melancong di negara kita.
(MENGAPA) Mereka bukan sahaja datang ke Malaysia untuk melancong dan menikmati keindahan
negara tetapi mereka juga dapat mengalami dan memahami sendiri keunikan dan keharmonian pelbagai
kaum di negara ini semasa menyambut perayaan kaum masing-masing. (BAGAIMANA) Kerajaan melalui
1

DIDIK

PUSAT TUISYEN BAHASA MELAYU


TEL NO : 016 88 22 114 / 084- 215 415 [ CIKGU CHAI ] TAHUN 2015

Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri berkenaan
telah pun mengadakan majlis rumah terbuka Malaysia semasa Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Pesta
Keamatan, Hari Gawai, Deepavali dan Krismas. (KESAN) Pengalaman pelancong asing meraikan
perayaan-perayaan yang terdapat di Malaysia akan menjadikan nama Malaysia sentiasa meniti dari bibir ke
bibir mereka sekembalinya mereka ke negara asal mereka dan sekali gus dapat merancakkan industri
pelancongan negara. (PENEGAS) Izharlah bahawa konsep rumah terbuka dapat memberikan persembahan
yang harmonis di mata pelancong asing kerana rakyat Malaysia yang berbilang kaum dapat hidup di bawah
payung keharmonian.
(ISI) Amalan rumah terbuka juga dapat merapatkan hubungan silaturahim dalam hubungan
kekeluargaan. (MENGAPA) Hal ini dikatakan demikian kerana simboliknya amalan rumah terbuka ialah
amalan ini merupakan medan pertemuan yang paling sesuai untuk memperkukuh hubungan silaturahim
antara ahli keluarga. Fenomena seperti ini amat dititikberatkan agar sistem kekeluargaan akan sentiasa
wujud dengan kukuh dan padu, bukannya semakin layu dan pudar. Tanpa konsep rumah terbuka, hubungan
silaturahim dan perpaduan akan terhakis sedikit demi sedikit dan seterusnya akan hilang kepada generasi
akan datang yang semakin tidak mengenali sanak-saudara mereka. (BAGAIMANA) Semasa menghadiri
rumah terbuka, mereka akan beramah mesra dan dapat melepaskan kerinduan di samping mendapat
perkembangan terkini antara satu sama lain. Yang muda pula dapat mengenali mereka yang tua dengan
lebih dekat dalam pertemuan ahli keluarga ini. (PENEGAS) Ringkasnya, hubungan kekeluargaan dapat
diperkukuh dan serinya tidak akan hilang jika amalan rumah terbuka dibudayakan.
(PENUTUP) Bayang kian jelas bahawa amalan rumah terbuka lebih banyak membawa kebaikan
kepada negara dan masyarakat. (CADANGAN) Oleh itu, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan
mendalam oleh semua pihak. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati, ditakuti amalan ini akan
mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk menganjurkannya. Kita tidak mahu menjadi
seperti rumah sudah siap baru pahat berbunyi apabila menganjurkan rumah terbuka. (HARAPAN) Jika
amalan murni ini dibudayakan sudah pasti hasrat negara untuk mencapai Gagasan Satu Malaysia akan
menjadi realiti dan bukannya angan-angan Mat Jenin. Walaupun negara kita merupakan satu titik kecil di
dalam peta dunia namun usaha kerajaan untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa dapat
dijadikan teladan kepada mata dunia.

Anda mungkin juga menyukai