Anda di halaman 1dari 2

AMALAN RUMAH TERBUKA

(TEMA) Rumah terbuka atau open house sudah menjadi lumrah pada sambutan
perayaan di negara ini termasuk Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Natal dan juga Hari Raya
Aidilfitri. Perayaan seperti ini tidak lengkap jika tiada rumah terbuka sehingga seluruh lapisan
dan pelbagai lapisan masyarakat mengetahui istilah rumah terbuka yang menjadi amat sinonim
dalam kehidupan mereka. (ISU) Kerajaan Malaysia pada tahun 2000 telah memutuskan
sebanyak enam perayaan kaum atau agama dianggap sebagai perayaan utama negara
yang diraikan di peringkat kebangsaan anjuran bersama kerajaan pusat dan kerajaan
negeri. (ARAHAN) Menyedari kesungguhan kerajaan untuk menganjurkan rumah terbuka pada
peringkat nasional, persoalan yang sering berlegar-legar di gawang minda kita ialah apakah
kepentingan-kepentingan amalan rumah terbuka?
(ISI 1) Sebenarnya, amalan rumah terbuka yang diwujudkan banyak memberikan
kepentingan terutamanya dalam mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan anggota
masyarakat di negara kita. (MENGAPA) Perpaduan yang terjalin sekali gus dapat memudahkan
pencapaian matlamat atau misi dan visi negara dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah
negara bangsa. Selain itu, amalan rumah terbuka memberikan makna besar kepada anggota
masyarakat mengenai erti perpaduan yang harus wujud untuk mengelakkan sebarang prejudis
terhadap keharmonian kaum. Amalan ini juga dilihat sebagai salah satu pertemuan yang
melupakan pertentangan pendapat, perbezaan idealogi, perbezaan konsep politik mahupun
berlainan parti politik sama ada pembangkang atau kerajaan. (BAGAIMANA) Jadi, setiap kaum
seperti Melayu, India, Cina, Kadazan dan sebagainya boleh berkunjung ke rumah terbuka kaum
lain tanpa sebarang halangan dan kekangan yang perlu dibimbangi. (KESAN) Sehubungan
dengan itu, perasaan muhibah antara satu sama lain dapat mewujudkan kehidupan yang lebih
harmoni. (PENEGAS) Tegasnya, konsep penyatuan antara kaum dapat dihidupkan melalui
amalan rumah terbuka.
(ISI 2) Di samping mewujudkan perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat serta
pemimpin sendiri, amalan rumah terbuka ini juga dapat membantu sesama kaum memahami
budaya kaum-kaum lain. (MENGAPA) Mereka hanya akan merayakan perayaan itu bersamasama walaupun mereka berbeza latar belakang, budaya dan juga agama. Amalan ini juga
membolehkan setiap kaum mengenali juadah kaum-kaum lain, memahami antara satu sama lain
selain didedahkan kepada adat resam dan pantang larang rakan-rakan mereka
sendiri. (BAGAIMANA) Sebagai contoh, orang-orang India, Cina, Iban, Kadazan dan
sebagainya merayakan sambutan Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga
sebaliknya. (KESAN) Hal ini dapat membantu mereka mempelajari budaya dan adat kaum lain
serta budaya yang sihat juga dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di
negara kita. Secara tidak langsung semangat toleransi akan tersemai dalam kalangan generasi
sekarang. (PENEGAS) Pendek kata, budaya dan adat resam kaum lain dapat dipelajari melalui
amalan murni ini.
(ISI 3) Selain kepada anggota masyarakat negara ini sendiri, penganjuran rumah-rumah
terbuka juga merupakan persembahan kepada pelancong asing yang datang melancong di negara
kita. (MENGAPA) Mereka bukan sahaja datang ke Malaysia untuk melancong dan menikmati
keindahan negara tetapi mereka juga dapat mengalami dan memahami sendiri keunikan dan
keharmonian pelbagai kaum di negara ini semasa menyambut perayaan kaum masing-

masing. (BAGAIMANA) Kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan


dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri berkenaan telah pun mengadakan majlis rumah
terbuka Malaysia semasa Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Pesta Keamatan, Hari Gawai,
Deepavali dan Krismas. (KESAN) Pengalaman pelancong asing meraikan perayaan-perayaan
yang terdapat di Malaysia akan menjadikan nama Malaysia sentiasa meniti dari bibir ke bibir
mereka sekembalinya mereka ke negara asal mereka dan sekali gus dapat merancakkan industri
pelancongan negara.(PENEGAS) Izharlah bahawa konsep rumah terbuka dapat memberikan
persembahan yang harmonis di mata pelancong asing kerana rakyat Malaysia yang berbilang
kaum dapat hidup di bawah payung keharmonian.
(ISI) Amalan rumah terbuka juga dapat merapatkan hubungan silaturahim dalam
hubungan kekeluargaan.(MENGAPA) Hal ini dikatakan demikian kerana simboliknya amalan
rumah terbuka ialah amalan ini merupakan medan pertemuan yang paling sesuai untuk
memperkukuh hubungan silaturahim antara ahli keluarga. Fenomena seperti ini amat
dititikberatkan agar sistem kekeluargaan akan sentiasa wujud dengan kukuh dan padu, bukannya
semakin layu dan pudar. Tanpa konsep rumah terbuka, hubungan silaturahim dan perpaduan akan
terhakis sedikit demi sedikit dan seterusnya akan hilang kepada generasi akan datang yang
semakin tidak mengenali sanak-saudara mereka.(BAGAIMANA) Semasa menghadiri rumah
terbuka, mereka akan beramah mesra dan dapat melepaskan kerinduan di samping mendapat
perkembangan terkini antara satu sama lain. Yang muda pula dapat mengenali mereka yang tua
dengan lebih dekat dalam pertemuan ahli keluarga ini. (PENEGAS) Ringkasnya, hubungan
kekeluargaan dapat diperkukuh dan serinya tidak akan hilang jika amalan rumah terbuka
dibudayakan.
(PENUTUP) Bayang kian jelas bahawa amalan rumah terbuka lebih banyak
membawa kebaikan kepada negara dan masyarakat. (CADANGAN) Oleh itu, konsep rumah
terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua pihak. Sekiranya konsep ini tidak difahami
dan dihayati, ditakuti amalan ini akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk
menganjurkannya. Kita tidak mahu menjadi seperti rumah sudah siap baru pahat
berbunyi apabila menganjurkan rumah terbuka. (HARAPAN) Jika amalan murni ini
dibudayakan sudah pasti hasrat negara untuk mencapai Gagasan Satu Malaysia akan menjadi
realiti dan bukannya angan-angan Mat Jenin. Walaupun negara kita merupakan satu titik kecil
di dalam peta dunia namun usaha kerajaan untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa
dapat dijadikan teladan kepada mata dunia.

Anda mungkin juga menyukai