Anda di halaman 1dari 1

Contoh Esei Elemen 3:

Sambutan hari perayaan di negara ini meliputi perayaan Hari Raya Puasa buat orang Islam, Tahun
Baru Cina buat orang Cina dan perayaan Deepavali buat orang India dan pelbagai lagi jenis
perayaan tradisi kaum minoriti di negara kita. Ketika perayaan-perayaan ini disambut suasananya
pasti dengan kegembiraan dan pelbagai jenis hidangan makanan. Semua rakyat negara ini pasti
menantikan setiap perayaan dengan penuh debaran dan semangat tinggi. Oleh itu memang ada
banyak kebaikan jika sambutan perayaan ini dilaksanakan di negara ini.

Kalau semua perayaan ini disambut bersama-sama sudah pasti akan berlaku interaksi antara
kaum dan hubungan erat akan terjalin. Perayaan di negara ini mempunyai konsep rumah terbuka
yakni setiap perayaan akan diadakan majlis melawat rumah orang yang menyambut sesuatu
perayaan itu. Lawatan yang diadakan sudah pasti akan menyebabkan berlakunya interaksi antara
kaum. Oleh itu, perayaan memang mampu meningkatkan interaksi kaum seterusnya memupuk
semangat kekitaan dalam kalangan semua kaum di negara ini.

Interaksi yang wujud ketika melawat rumah seseorang itu akan meningkatkan pengetahuan
masing-masing akan budaya kaum yang lain. Pemahaman sebegini menjadikan masyarakat lebih
faham akan tindakan seseorang daripada kaum yang berbeza dalam sesuatu perkara dan yang
jelas, kita sudah pastinya berbangga menjadi rakyat Malaysia. Sikap bertoleransi dan faham-
memahami antara semua kaum ini sudah pasti tidak akan menimbulkan sebarang salah faham
antara mereka. Maka, perayaan mampu meningkatkan kefahaman tentang budaya kaum yang
lain dan mampu mengukuhkan perpaduan kaum di negara kita.

Malah, imej negara juga akan turut menjadi lebih baik pada mata masyarakat dunia terutama
pelancong asing. Bukan mudah untuk memiliki sebuah negara yang aman jika rakyatnya berbilang
kaum pada kacamata masyarakat antarabangsa. Kejayaan Malaysia mengekalkan keamanannya
banyak bergantung kepada keupayaan rakyat negara ini menyambut perayaan setiap kaum
dengan penuh kegembiraan. Jelaslah, perayaan di negara ini memberikan satu imej yang positif
kepada negara dengan begitu mudah seterusnya mengukuhkan semangat setia negara.

Kesimpulannya, sambutan hari perayaan perlu diamalkan oleh masyarakat di negara ini. Pada
masa yang sama sambutan ini hendaklah dijadikan satu perayaan kebangsaan yang dinikmati
bersama-sama. Generasi muda akan mendapat banyak manfaat daripada sambutan sebegini.
Masyarakat yang harmoni, berusaha dan produktif akan wujud menerusi perayaan sebegini
pada masa hadapan dan secara tidak langsung juga akan dapat memperkukuh dan mengekalkan
perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai