Anda di halaman 1dari 2

RUMAH TERBUKA MASYARAKAT SEJAHTERA

Rumah terbuka bermaksud jamuan yang meraikan sambutan perayaan penting dalam
Negara kita seperti Deepavali , Tahun Baru Cina , Hari Raya Aidilfitri dan juga Hari Natal.
Tujuan rumah terbuka diadakan adalah bagi memupuk persefahaman dalam masyarakat
Malaysia yang pelbagai kaum dan menganuti pelbagai agama. Amalan rumah terbuka ini
menjadi satu perkara yang wajib diadakan apabila tibanya musim perayaan.Kebiasaannya,
jamuan rumah terbuka diadakan di dewan, rumah atau padang dan tempat yang terbuka.
Persoalannya, apakah kepentingan rumah terbuka yang boleh melahirkan masyarakat yang
sejahtera?

Antara kebaikan amalan rumah terbuka ialah dapat menjadi ruang untuk berkenalan
antara satu sama lain. Hal ini demikian kerana anggota masyarakat yang berlainan kaum
berkumpul dalam satu acara perayaan sambil bersalam-salaman, tegur-menegur dan juga
berbual-bual. Kadangkala tuntutan kerja seharian menyebabkan mereka sukar untuk
mengambil masa berbual-bual, jadi dengan adanya rumah terbuka pelbagai masyarakat
yang berbilang kaum saling bertukar pandangan dan berkongsi pendapat serta bertanya
khabar. Oleh itu, masyarakat dapat merapatkan silaturrahim dan dapat beramah- mesra.
Justeru, mereka dapat menambah kenalan daripada kaum lain bagi mengukuhkan lagi
hubungan silaturrahim.

Seterusnya, anggota masyarakat dapat mengenali pelbagai kaum dalam majlis rumah
terbuka. Hal ini demikian kerana mereka dapat merayakan perayaan itu bersama-sama
walaupun berbeza latar belakang budaya dan agama malah dapat mengenali juadah, adat
resam dan pantang larang. Contohnya, orang India, Cina, Iban dan Kadazan merayakan
Hari Raya Aidilfitri bersama-sama. Sambutan Hari Raya Aidilfitri disambut oleh
masyarakat Islam bagi meraikan kejayaan masyarakat Islam berpuasa selama sebulan di
bulan Ramadhan. Kesannya, budaya sihat dapat diwujudkan dalam masyarakat malah
mereka dapat menghormati budaya dan kepercayaan kaum lain.

Selain itu, anggota masyarakat juga dapat menikmati kepelbagaian juadah yang enak
kerana peluang untuk merasai juadah yang enak pasti tidak akan dilepaskan.Contohnya,
bagi masyarakat Islam ketupat rendang menjadi menu wajib apabila perayaan Hari Raya
Aidilfitri, buah Limau semasa menyambut Tahun Baru Cina dan Maruku ketika sambutan
Deepavali. Oleh itu, masyarakat dapat merasai kepelbagaian aneka masakan daripada latar
masyarakat yang berbeza. Justeru, tradisi bangsa dapat terus kukuh sekaligus melahirkan
masyarakat yang sejahtera.

Di samping itu, anggota masyarakat dapat membentuk kebudayaan Malaysia melalui


budaya bangsa Nasional. Hal ini demikian kerana amalan rumah terbuka dapat
mewujudkan integrasi budaya antara kaum dengan mempamerkan pemakaian baju kurung
oleh kaum bukan Melayu dan pemberian angpau semasa amalan kunjung- mengunjung. Ini
sekaligus dapat memartabatkan baju kebangsaan kepada generasi muda supaya tak lapuk
dek hujan, tak lekang dek panas. Justeru, lahirlah masyarakat yang terbuka untuk
berkongsi budaya yang positif.

Kesimpulannya, terdapat banyak kebaikan amalan rumah terbuka dalam membentuk


kesejahteraan masyarakat. Semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing
untuk mengekalkan dan meraikan amalan rumah terbuka setiap kali menjelangnya musim
perayaan. Pihak kerajaan yang diketuai oleh Kementian kesenian dan Kebudayaan
Malaysia umumnya haruslah memainkan peranan yang penting bagi memastikan amalan
rumah terbuka menjadi suatu tradisi yang wajar diadakan bagi memastikan keharmonian
masyarakat dapat dicapai dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. Tanpa kerjasama
yang padu, masyarakat berbilang kaum akan berpecah belah. Jelaslah bahawa amalan
jamuan terbuka ini melahirkan masyarakat yang sejahtera.

Anda mungkin juga menyukai